Di Santau Majikan (Part 2)

Assalamualaikum semua. Ingat Cha lagi tak..? Nampak gaya cerita pertama yang aku hantar bertajuk Di Santau Majikan, ramai yang tak berapa puas hati kerana aku tidak menjelaskan secara terperinci kejadian-kejadian mistik yang berlaku kepada aku, dan siapa dalang angkara perbuatan santau itu.

Bukan tak nak bercerita secara penuh masa itu. Ada yang menghalang aku untuk bercerita secara terperinci. Di bahagian kedua ini aku akan menceritakan apa yang tidak aku ceritakan di bahagian pertama. Seperti yang aku beritahu, aku sakit selama 9 bulan lamanya. Nak mencari tukang ubat, punyalah sangkak. Hari-hari aku berlalu dengan kesakitan yang bagai nak gila. Aku mengalami batuk yang makin teruk, muntah d***h, sesak nafas dan kemurungan yang teruk. Kadangkala aku menangis sendiri, kadangkala aku ketawa sendiri. Tidurku berbantalkan dua buah bantal untuk mempermudahkan pernafasan ku.

Seperti yang aku ceritakan sebelumnya, adik ku pernah terbangun dari tidur dan lihat aku terbungkus bagaikan pocong.! Entah datang dari mana kain putih tu, aku pun tak tahu. Ayahku yang tolong membuka ikatanku dan terus membakar kain putih tu. Muntahku pula, bermacam-macam warna dan bau. Paling selalu, aku muntah d***h. Baunya cukup busuk, hanyir. Sebanyak-banyaknya d***h aku muntah sampai lemah longlai. Mama ayahku pernah bawa ke hospital tapi yang menghairankan, perkiraan d***h aku tidak pernah turun walaupun muntah d***h banyak kali. Oxygen dalam badan pun tak pernah surut walaupun aku pada zahirnya tercungap-cungap macam orang sedang nazak.

Setelah jenuh mencari, aku dipertemukan dengan seorang ustaz. Mama, ayah serta adikku menemaniku ke tempat perubatannya. Aku diubatkan secara ruqyah. Ustaz itu memulakan sesi perubatan dengan bertanya kepadaku nama penuhku, umurku, apa pekerjaanku dan dimanakah tempat kerja ku. Setelah aku memberitahu bahawa aku seorang pegawai yang bertugas di sebuah lapangan terbang, ustaz itu terus berkata, “Seeloknya, kamu berhenti lah bekerja disitu. Saya, bukan apa, terus terang saya katakan, kalau dalam satu hari saya ada 10 kes, 9 dari tempat kerja kamu.

Suami orang nak kan isteri orang, dibuat si isteri orang tu. Isteri orang nak kan suami orang, dibuat suami orang tu. Banyak kan kes2 macam tu berlaku disana??” Aku mengangguk lemah. Dalam hati bertanya, macam mana ustaz ni tahu eh.? Tempat kerjaku memang banyak kes skandal. Lalu sesi perubatan pun bermula. Ustaz suruh aku pejam mata dan tenangkan fikiran. Setelah itu, apa yang aku dengar adalah suatu suara yang sangat kuat membaca ayat2 Ruqyah. Sampailah kepada sepotong ayat yang dibaca, aku tiba-tiba rasa nak muntah.

Aku muntahkan apa yang rasa nak terkeluar dari tekak ku. Dengan mataku yang masih terpejam, aku lihat seolah-olah aku ditengah-tengah api yang membara. Panas rasanya. Tiba-tiba laungan ayat itu terhenti dan aku disuruh buka mata. Ustaz itu berkata, “Cha, istighfar Cha. Tengok ni dalam plastik ada apa?” Aku nampak lendir, debu seperti serbuk kaca, rambut dan sebagainya. “Anak awak ni, ada tanda-tanda kena santau” kata Ustaz kepada mama dan ayahku. “Macam mana Ustaz tahu?” Tanya Ayahku. Agak tidak logik bila difikirkan sekarang kenapa ayahku bertanya begitu pada seorang pakar perubatan Islam.

Ustaz itu menerangkan, sewaktu dia membacakan Ruqyah, dia terasa panas di bahagian tengkuk dan dadanya. Untuk seorang perawat, itulah tanda-tanda orang yang diubati itu terkena racun santau. “Sebab itu saya singkatkan bacaan Ruqyah untuk kali ini. Kalau saya lanjutkan, Cha takkan tahan. Sebab dia akan rasa lebih panas dari saya.” Ustaz pun memberi tiga botol air yang telah diruqyahkan kepada ayahku, satu untuk aku mandi, lagi dua untuk aku minum.

Aku bertanya padanya, kalau benar aku disantau, boleh tak aku tahu siapa dalangnya. Ustaz mulanya enggan memberitahu. Dia tak mahu aku berdendam atau melakukan apa-apa pada orang berkenaan. “Ustaz… saya mohon. Saya tak akan melakukan apa-apa, saya cuma nak tahu je.” rayuku.

“Baiklah. Saya tidak akan memberitahu siapa dalangnya. Tapi, pertanyaan saya yang berikut ni mungkin akan memberi petunjuk ya. Ada tak kamu bergaduh dengan sesiapa di tempat kerja kamu akhir-akhir ni? Kenapa dia ingin menyantau kamu sehingga kalau boleh nak kamu m**i?” kata Ustaz. Aku terkedu. Mindaku terus jadi kosong. Aku langsung tak ingat apa-apa. Siapa ya?

“Tak apalah. Kamu pulang dulu dan buat air mandian ya. Yang untuk minum pun jangan lupa diminum. In Shaa Allah tak ada apa-apa. Nanti bila dah habis air mandian dan air minuman, telephone lagi ya buat temu janji yang kedua. Kamu sekurang-kurangnya kena diruqyahkan 3-4 kali” kata Ustaz.

Aku mengangguk lemah. Rasa badan begitu longlai. Setelah sampai di rumah, kami sekeluarga berasa begitu mengantuk. Macam sebulan tak tidur ngantuknya bukan main. Namun begitu, kami solat Asar berjemaah dahulu bersama. Bila selesai, ayahku berdoa dengan suara yang lantang, “Ya Allah Ya Tuhanku, kepada Mu kami bermohon pelindungan dari jin-jin,syaitan-syaitan serta manusia-manusia yang bertopengkan syaitan.

Ya Allah, Kau tunjukkanlah kepada kami apa sebenarnya yang sedang berlaku kepada anak sulungku Cha. Jika benar Cha disantau, Kau tunjukkanlah siapa dalangnya. Kami bukan ingin membalas, sesungguhnya menghukum dosa seseorang adalah hak Mu Ya Allah. Kami hanya inginkan supaya Cha tahu siapa yang patut dia hindari ditempat kerjanya. Dengan itu, Kau sembuhkan lah anak kami,Cha. Aamiin.”

Usai solat Asar, kami sekeluarga pun makan bersama. Seleraku masih belum kembali. Mama menyuakan air bacaan yang diberi Ustaz kepadaku. “Cha selawat dan minum ni dulu. Lepas tu baru makan yer” kata Mama. Aku pun berselawat dan minum perlahan-lahan. Tiba-tiba bilaku toleh untuk melihat makanan di meja, aku menjerit! Pada pandangan mataku, di atas piring yang mama ku hidangkan tu semua makanan busuk! Berulat!

“Mama! Apa semua ni. Eeeeeee Cha tak nak makan! Ada ulat!” jeritku. “Ulat? Mana?” tanya mamaku sambil membelek hidangannya. Ayahku yang sedang duduk di kepala meja tiba-tiba bersuara, “Nanti dulu. Jangan pegang.” Ayahku ini orangnya pandai juga dalam hal-hal mistik. Cuma untuk mengubatkan aku, dia tak berdaya. Pernah dicubanya tapi tarafnya belum setinggi itu.

Dia pun meletakkan tangan kanannya dibawah meja. “Bismillahirahmanirahiim!” Tiba-tiba semua pinggan-pinggan atas meja kami pecah.! “Astaghfirullahalazim…” kami semua mengucap panjang. “Mama…Cha takut” “Jangan takut Cha. Baca ayat suci Nak”mama ku cuba menenangkan ku. Kami tak jadi makan di rumah. Semua lauk pauk yang mamaku masak dibuangnya. Nak tak nak, ayahku terpaksa hubungi rumah nenek untuk makan disana. Kami semua akhirnya makan petang dan makan malam sekali di rumah nenek.

Bila sudah pulang ke rumah, kami yang sememangnya mengantuk dari petang tadi terus ke bilik mandi untuk cuci kaki dan bersiap untuk tidur. Mama menyediakan keperluan untuk aku bersiram dengan air mandian yang telah diruqyah tadi. Aku tidak boleh bersiram di dalam tandas atas alasan air itu telah dibaca ayat-ayat suci. Maka aku kena berdiri dalam satu baldi besar supaya dapat mengumpul air mandianku untuk dibuang nanti.

Ustaz telah berpesan, apa yang aku mungkin bakal nampak keluar dari badanku, jangan tegur. Aku yang masih berbaju ni disiram oleh mamaku dari atas kepala sampai ke hujung kuku. Setelah selesai, aku tuangkan air mandian itu kedalam plastik untuk ayahku buang ke tanah esok hari. Plastik itu aku letakkan di bahagian dapur.

Pada malam itu, rumahku seakan-akan bergema. Macam-macam bunyi kami dengar, semua dari arah dapur. Bila aku terlena, aku bermimpi seolah-olah ada seorang ustaz yang tidak ku kenali menghampiriku. Aku dipimpin dan dia berkata, “Kau nak tahu kan siapa yang buat? Mari aku tunjuk.” Jarinya menuding kearah seorang lelaki. Am! Aku nampak Am! Aku terjaga dari mimpi lalu terbatuk-batuk teruk. Aku ke bilik mandi dan muntahkan segalanya yang seolah tersangkut dikerongkong. Sekali lagi, aku nampak rambut, debu-debu kecil dan kahak ku seolah berwarna hitam.

“Mama…!” aku menjerit. Mama ku bingkas bangun dari katil. “Kenapa Cha? Ya Allah Cha.. muntah kau banyaknya. Astaghfirullah” mama seakan hendak menangis. Aku diberi air minuman ruqyah sekali lagi. “Mama. Cha mimpi majikan Cha, Ma. Cha mimpi ada orang bilang si Am yang buat Cha.” Mama terdiam lalu suruh aku buat solat hajat keesokan hari. Am. Ya, dia majikan aku. Kalau dalam Bahasa Inggeris, Direct Reporting Manager. Segala pembayaran gajiku, harus melaluinya.

Setelah beberapa kali aku berubat dengan Ustaz dan juga buat solat hajat, makin hari makin terang petunjuk Allah beri padaku. Makin terang mimpi-mimpi yang Dia perlihatkan kepadaku bahawa memang sah Am lah dalangnya. Namun atas nasihat Ustaz dan keluargaku, aku banyakkan bersabar dan berserah kepada Allah atas balasan yang dia layak perolehi.

Itulah, setelah 9 bulan berlalu dan aku beransur pulih, aku mendapat khabar bahawa anak si Am jatuh sakit. Sakitnya seakan sama dengan yang aku alami; batuk, muntah d***h. Aku berasa sedikit kesal, kerana padaku, sepatutnya yang sakit itu si Am, bukan anaknya yang tidak berdosa. Tapi kata mama dan ayah, itulah pembalasan kerana menyakitkan anak orang lain.

Kenapa Am menyantau aku? Hanya kerana perasaan marah, dengki dan tidak puas hati. Dia pernah datang kepadaku suatu hari untuk meminta maaf. Katanya, dia tidak sanggup lagi melihat penderitaan anaknya. Dia sebenarnya marah kerana aku begitu galak berjumpa dengan Bob untuk menjelaskan segalanya yang berlaku pada hari yang aku datang lewat.

Dia juga dengki dengan keakraban aku dan Bob, kerana menurutnya, dia dimarahi dengan teruk oleh Bob. Bob adalah Boss Besar yang meneliti segala yang berlaku dalam lapangan terbang termasuk kebajikan kakitangan. Siapa yang tak cemburu bila Bob mengatakan padanya bahawa Bob menganggap aku sebagai anak angkatnya. Jadi Am tidak puas hati dengan aku lalu dia menyantauku.

Aku berkata padanya bahawa aku boleh maafkan dia, dengan syarat dia berhenti membuat perbuatan terkutuk itu. Aku juga berkata, memaafkan dia tidak bermakna anak dia akan terus sembuh. Itu kerja Allah swt dan aku minta dia memohon keampunan padaNya. Aku harap kisah ini dapat melengkapi kisah ku yang pertama. Sekian… In Shaa Allah kalau banyak yang minta, akan aku ceritakan lagi pengalamanku yang lain.

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 9 Average: 4.8]

17 thoughts on “Di Santau Majikan (Part 2)”

  1. Kesiannya…Sabar banyak-banyak ya. Kita doakan awak sembuh sepenuhnya dan bebas daripada gangguan. Sampaikan salam pada mak dan ayah awak. Sebak hati ni….Jaga diri.

    Reply
  2. Fuuhhhh…
    Legaaaa dah…
    Terjwb persoalan2 sebelum ni…
    Teringat dlu mase arwah abah tanpa disedari dikenakan seseorg yg br dikenali…
    Akhirnye si polan dtg umah merayu2 mtk maaf sbb Allah bayar satu persatu perbuatan zalimnye pdhal hakikatnye abah x terpikir lgsg semua yg terjadi perbuatan khianat yg disengajakan…
    Betullah tu kita nk tau sbb nk perbetulkan kesilapan atau berjaga2 bkn membls dendam…
    Wallahualam…

    Reply
  3. tak sangka pula situ banyak skandal ya… emmm…lagi heran dah nak kiamat pun aa juga yg syirikkan Allah semata2 nak hati dia senang. Ingat zaman dah moden tak main benda syirik macam ni…

    s

    Reply
  4. semoga sentiasa berada dalam lindungan & rahmat Allah. Biarlah Allah yang menghukum kejahatan seseorang. terima kasih kerana berkongsi kisah

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.