Diari Siti – Dendam Anak Haiwan

“Tandatangan dekat sini, encik. Dan sini.” Lelaki berbadan tegap itu menghulurkan beberapa helaian kertas kepada Doktor Zainal sambil sebelah tangannya mengesat peluh di dahinya. Kotak-kotak besar bertenggek rapi di antara perabot-perabot yang belum disusun atur di dalam rumah dua tingkat setengah yang baru siap dibina itu.

“Ada lagi satu barang, kan?” Tanya Doktor Zainal sambil memanjangkan lehernya, menjenguk ke luar pintu rumah itu. Barang yang disebutkannya itulah yang paling dirisaukan keadaannya sepanjang proses pemindahan itu berjalan.

“Oh, itu encik kena berurusan dengan bos saya. Dia tak beritahu saya apa-apa tentang barang tu.” Jawab lelaki itu.

Doktor Zainal sekadar mengangguk faham. Memang dia sendiri yang pergi berjumpa dengan pemilik syarikat pemindahan itu beberapa hari yang lepas, meminta agar barang terakhir itu diurus sendiri oleh si bos. Selesai Doktor Zainal menandatangai helaian-helaian kertas yang langsung tidak dibaca isi kandungannya itu, lelaki berbadan tegap tadi berlalu pergi.

“Mah!” Panggil Doktor Zainal.

“Ya, bang?” Halimah menjenguk keluar dari balik pintu tingkat bawah tanah rumah baharu mereka itu.

“Siti mana?”

“Dia dekat kolej. Kenapa?”

Tanpa menjawab, Doktor Zainal mengeluarkan telefon bimbitnya dari dalam kocek, lalu mendial nombor seseorang. Terdengar nada panggilan buat beberapa saat sebelum seorang lelaki menyambut dari sebelah sana.

“Hello, Dato’ Lau speaking. Who’s this?”

“Dato’. Ini Zainal. Itu barang macam mana?”

“Mau angkat sekarang?”

“Boleh. Rumah clear.”

“Okay. Tapi doktor, itu barang, dalam ada apa? Haram punya barang ka? Saya takut wor mau angkut sama van. Kalau kena tahan, bungkus wor saya punya company.”

“Itu barang medical lah Dato’. Kalau saya bagitahu pun, bukan you faham.”

Dato’ Lau terdiam sejenak.

“Okaylah. You tunggu rumah. Saya sendiri pergi sana hantar.”

Selepas talian diputuskan, Doktor Zainal melangkah menuruni anak tangga sempit yang mengarah ke sebuah bilik bawah tanah yang suram. Langsung tidak kelihatan sebarang perabot di dalam bilik itu. Yang ada cuma beberapa buah kotak yang hampir serupa dengan kotak-kotak lain di tingkat atas.

Terlihat Halimah sedang menyapu debu-debu simen ke satu sudut di hujung ruang itu. Di satu sudut yang lain, terlihat sebuah pintu kolong kayu di atas lantai.

Sebaik terlihat suaminya itu, Halimah berhenti menyapu dan mengangkat daun pintu kolong itu ke atas.

“Abang nak masuk tengok ke?” Tanya Halimah.

Tanpa menjawab, Doktor Zainal menuruni beberapa anak tangga masuk ke dalam sebuah lagi bilik bawah tanah di bawah ruang itu. Tangannya meraba-raba dinding di sebelahnya, mencari suis lampu. Sebaik lampu dipasang, terlihatlah sebuah ruang yang keluasannya cuma separuh dari tingkat bawah tanah di atasnya.

“Bolehlah ni.” Kata Doktor Zainal tanpa berpaling. Dia tahu Halimah sedang menjenguk ke arahnya dari atas anak tangga.

“Sampai bila, bang? Kalau kita dah tak ada nanti, macam mana dengan peti Sarah?”

“Kau ni Mah. Sarah tu tak lebih macam mayat-mayat lain. Cuma keranda dia aja pelik. Nanti, kita simen aja bilik ni. Asalkan tak ada sesiapa buka peti tu.”

Halimah diam seketika, berfikir-fikir.

“Entahlah bang. Mah masih rasa lagi perasaan tu.”

“Ah, sudahlah! Apa, kau ingat kau psikik ke? Anak binatang tu dah m**i. Dah 17 tahun pun dia dalam tu.”

“Tapi… abang tak pernah rasa. Banyak kali, bang. Saya dengar bunyi haiwan tu dalam kepala saya!”

“Hah, tu. Kau sendiri cakap dalam kepala kau aja. Kalau dia ada pun, buat apa dia nak cari kau. Bukannya kau jaga dia. Aku yang dok bagi dia makan dulu.”

“Hmm. Abang ingat tak, masa si Siti masih kecil dulu, beberapa kali si Siti bertanya tentang kakak dia. Masa tu, Sarah masih hidup. Macam mana kalau Siti pernah jumpa dengan Sarah?”

“Mah, abang kunci bilik bawah tanah tu dulu. Tak mungkin si Siti boleh masuk. Kalaulah Siti nampak haiwan tu, mesti dia dah lari menangis-nangis.” Bahu Doktor Zainal menggigil sedikit dengan riak wajah jijik apabila terkenangkan rupa paras anak pertamanya itu. Halimah merenung kosong wajah suaminya.

“Tapi Siti pernah beritahu pada doktor psikiatrik dia dulu. Dia kata, rupa kakaknya tu macam… Takkan kebetulan?”

“Ah, Siti tu memang kuat berangan. Dahlah Mah. Apa yang kau nak fikir lagi? Ni dah bilik bawah tanah dalam bilik bawah tanah aku simpan peti tu. Nak simen lagi nanti. Kau nak aku buat macam mana lagi? Kau nak aku telan peti tu?”

Halimah mengeluh perlahan. Doktor Zainal menggeleng lalu berlalu naik ke tingkat atas tanpa mempedulikan isterinya itu.

Tengahari itu, Dato’ Lau bersama beberapa orang pekerjanya melangkah menuruni anak tangga ke dalam bilik bawah tanah itu. Sambil mengarah orang-orangnya membawa turun peti besi besar itu ke tempat yang Doktor Zainal minta, Dato’ Lau sempat menjeling ke arah wajah Doktor Zainal.

“Apa pasal doktor? You nampak tension saja.”

“Ah, tak ada apa-apa. Perjalanan semua okay, kan Dato’? Tak ada sesiapa ikut belakang van you?”

“Tak ada. Jangan risau. You mau takut apa? Tadi you sendiri kata itu peti dalam ada medical punya barang saja. You tipu ka?”

Doktor Zainal tidak merasakan bahawa soalan lelaki itu perlu dijawabnya. Dia sekadar diam memerhati pekerja-pekerja lelaki itu meletakkan peti itu di tengah-tengah ruang kecil itu.

“Tapi ah doktor, tadi, itu peti ada gegar-gegar sikit tau. Apa pasal ah?”

Doktor Zainal terdiam merenung lelaki cina itu.

“You bawa van. Mesti gegarlah.” Jawabnya sambil tersengih sumbing.

“Yalah wor. Haha.” Dato’ Lau menepuk-nepuk belakang bahu Doktor Zainal. Doktor Zainal tersenyum hambar lalu berjalan keluar dari bilik bawah tanah yang menyesakkan itu. Cuba untuk menyembunyikan kegusaran pada wajahnya.

Sebelum Dato’ Lau dan orang-orangnya berlalu pergi, Doktor Zainal sempat menyambar lengan lelaki itu lalu berbisik ke dalam telinganya.

“Ini kerja sama total payment, you jangan kasi tahu orang.”

“Buat apa saya mau kasi tau orang? Tak ada masuk rekod pun. Itu macam banyak punya payment, cukai saja sudah berapa ribu. You jangan risau. Nanti ada apa barang mau angkat lagi, you kasi call sama saya.”

Doktor Zainal mengangguk lalu menutup pintu hadapan rumah baharunya itu sebelum sempat Dato’ Lau menambah apa-apa. Dia kini bergelar seorang jutawan. Memang pengaruh dan wang yang dimahukannya sejak dari dahulu lagi. Dengan bantuan Tan sri Daud Shah sebelum lelaki itu berangkat ke luar negara, tiada sesiapa yang pernah mempersoalkan sumber kekayaan Doktor Zainal.

Malam itu, Siti membantu ibunya mengeluarkan barang-barang perhiasan dari dalam kotak. Doktor Zainal pula sedang sibuk menyusun atur perabot-perabot ke tempat yang dirasakannya sesuai. Siti mengeluh kuat melihat bapanya itu.

“Papa, kenapa papa tak upah saja orang untuk kerja susun-susun ni semua? Siti tak fahamlah kenapa kita tak pernah ada orang gaji.”

Doktor Zainal diam tidak mengendahkan celoteh Siti.

“Kawan-kawan Siti, mak ayahnya biasa-biasa aja. Tapi ada orang gaji. Siti rasa, papa mampu upah tiga…”

“Siti!” Jerkah Doktor Roslan kepada anaknya itu. Halimah sekadar diam, berpura-pura tidak mendengar. ” Papa tak nak ajar Siti jadi pemalas. Apa salahnya kita buat semua benda sendiri?”

“Masalahnya Papa tak tahu betapa penatnya Mama nak kemas rumah kita sebelum ni. Itu rumah lama kita. Siti rasa…” Siti memandang ke kiri dan kanannya. “rumah ni dua kali ganda lagi besar dari rumah lama kita. Kita perlukan orang gaji, Pa.”

Doktor Zainal diam merenung anaknya itu. Kemudian pada isterinya. Ya, dia tahu, walaupun dia memberikan lebih dari cukup kemewahan kepada Halimah dan Siti, namun keletihan yang dilihatnya pada wajah Halimah setiap kali dia pulang ke rumah cukup untuk membuatkan dia rasa bersalah. Semuanya kerana rasa paranoidnya. Takut-takut ada sesiapa yang menemui peti besi di dalam bilik bawah tanahnya itu. Memang jarang ada tetamu yang dipelawa ke rumah mereka. Dia perlu mengubah perkara itu. Ya, dengan cara menyimen pintu kolong bilik rahsia itu nanti, mungkin rasa paranoidnya dapat dikurangkan.

“Yalah… Papa janji. Nanti Papa upah orang gaji. Dalam masa dua atau tiga bulan lagi.”

“Dua atau tiga bulan?!…”

Tiba-tiba… DING DONG!

Terdengar loceng pintu rumah itu dibunyikan. Doktor Zainal berpaling laju ke arah pintu. Jantungnya berdebar kencang. Tak mungkin ada sesiapa tahu tentang perpindahannya ke rumah baharu itu. Sudah tidak ada teman rapat mahupun saudara-mara yang masih dihubunginya.

DING DONG!

Sekali lagi loceng pintu itu dibunyikan.

“Jangan buka dulu.” Katanya tegas.

Doktor Zainal bergegas menuju ke bilik belakang rumah itu lalu mengeluarkan sepucuk pistol dari dalam peti besinya. Disorokkan pistol itu di belakang badannya. Dia melangkah laju menuju ke arah pintu hadapan rumah itu, lalu perlahan-lahan tangannya menarik daun pintu. Di dalam kekelaman cahaya lampu jalan, terlihat samar-samar susuk tubuh seorang lelaki sedang berdiri di luar pagar rumah itu yang jaraknya hampir 100 meter dari pintu besar.

“Siapa?!” Laung Doktor Zainal. Hulu pistolnya digenggam kemas di belakang badan.

“Kawan lama, Nal.” Laung suara itu kembali. Doktor Zainal tergamam. Suara itu. Suara yang cukup dikenalinya. Suara seorang rakan lama yang sepatutnya sudah tenggelam bersama ikan-ikan di dasar sungai entah di pelusuk mana.

“Bangsat!” Doktor Zainal mengacu hujung pistolnya ke arah lelaki itu. Dia boleh menggunakan pengaruhnya untuk menutup apa sahaja jenayah yang dilakukannya, namun dia tahu bunyi tembakan yang bergema nanti pasti akan menarik perhatian. Doktor Zainal berjalan menghampiri pagar rumahnya itu. Semakin dia menghampiri lelaki itu, semakin jantungnya berdegup laju.

“Jangan macam ni, Nal. Tolonglah.” Rayu Kamsan. Wajah lelaki pertengahan umur itu tampak kemas berjanggut tipis. Namun terlihat kekusutan di dalam matanya. Doktor Zainal diam sejenak, teragak-agak.

“Kau patutnya dah m**i, Kamsan!”

“Aku mangsa keadaan, Nal. Sama macam kau.”

Terlihat sebuah kereta Mercedes Benz hitam diletakkan di luar tembok rumah itu. Doktor Zainal dapat segera mengagak bahawa kereta itu milik Kamsan. Di balik cermin gelap kereta itu, terlihat kelibat seseorang yang sedang duduk tegak di tempat duduk belakang. Bodyguard.

“Berapa banyak kau dapat aniaya orang, bangsat?”

Kamsan merenung wajah Doktor Zainal dengan penuh rasa terdesak, cuba untuk tidak menjawab soalan itu. Doktor Zainal menaikkan bidikan pistolnya ke arah dahi lelaki itu.

“Tak berbaloi, Nal…” Kamsan menundukkan pandangannya. “Tak berbaloi.”

Kamsanlah yang menjadi dalang utama komplot yang masih menghantui hidup Doktor Zainal sejak 27 tahun yang lepas. Berdirinya lelaki itu di hadapannya pada malam itu hanya membangkitkan semula rasa bencinya terhadap diri sendiri.

Doktor Zainal diam merenung Kamsan yang masih tidak berani mengangkat kepalanya. Tangannya yang masih menggenggam kemas hulu pistol tadi diturunkan perlahan. Tanpa berkata apa-apa, Doktor Zainal melangkah masuk semula ke dalam rumah lalu menekan butang yang membuka pagar automatiknya, membenarkan Kamsan berjalan masuk ke dalam perkarangan banglo mewah itu. Langkah Kamsan terhenti di hadapan pintu. Di hadapannya, Doktor Zainal sedang berdiri menghalang laluan.

“Mah, Siti, tinggalkan aku sekejap.” Arah Doktor Zainal tanpa mengalihkan pandangannya dari Kamsan. Halimah tergamam sebaik terpandang wajah tetamunya itu. Tanpa berani menjawab, dia menarik lengan Siti lalu berjalan naik ke tingkat atas. Kamsan diam berdiri janggal di hadapan pintu. Buat beberapa saat mereka berdiri tanpa berkata apa-apa. Doktor Zainal sekadar diam merenung wajah lelaki di hadapannya itu, seakan-akan cuba menghadam berpuluh-puluh teori yang sedang bermain di dalam kepalanya.

Akhirnya Doktor Roslan mencampak lembut pistolnya ke atas sebuah kotak. Dengan separuh hati, dia mengangguk kecil, mempelawa tetamunya itu masuk.

Dia perlu tahu cerita lelaki itu.

Mereka duduk di sebuah ruang tamu berjubin marmar berkilat dengan perabot-perabot yang tidak tersusun. Yang ada cuma beberapa buah kerusi lengan yang diletak janggal dan rak-rak buku yang kosong. Disekeliling mereka, berbelas kotak-kotak besar yang sesetengahnya sudah mula dikosongkan isinya. Doktor Zainal menarik kasar langsir baldu hitam ruang itu, menutupi tingkap kaca besar yang memantulkan kembali keadaan ruang itu pada permukaannya. Kamsan mencuba sedaya upaya untuk tidak bertentang mata dengan Doktor Zainal. Doktor Zainal pula bagaikan tidak mampu mengalihkan pandangannya dari lelaki itu.

“Sekarang, kau ceritakan pada aku. Apa sebenarnya yang berlaku? Kalau aku rasa ragu dengan kebenaran cerita kau, kepala kau akan bersepai.” Kata Doktor Zainal garang sambil mencapai semula pistolnya lalu diletakkan di atas sebuah kotak yang tergeletak betul-betul di sebelah kerusi lengannya.

Kamsan diam, cuba untuk menyusun ayat.

“Dana hopital yang kita curi tu… itu semua rancangan Tan sri Daud. Dia yang minta aku hasut kau buat kerja tu.” Jawab Kamsan takut-takut.

“Kau khianat aku sebab wang?” Doktor Zainal mencuba sedaya-upaya untuk kekal tenang, namun tetap kedengaran getaran bengis di dalam suaranya. Kamsan mengangguk separuh hati.

“Kau tahu apa jadi pada anak aku, Kamsan?” Doktor Zainal menjeling ke arah pistolnya tadi. Tangannya terasa gatal. Sekali lagi Kamsan sekadar mengangguk perlahan.

“Lepas dapat duit dari Tan sri, aku lari dari KL. Aku kahwin beberapa tahun lepas tu. Bila isteri aku mengandung, mereka cari aku pula. Mereka ugut nak gunakan bukti-bukti kerja kita dulu… Tan sri Daud tu memang binatang!” Wajah Kamsan berubah merah. Terlihat genangan di dalam matanya.

“Mereka dapat anak kau?” Tanya Doktor Zainal. Kamsan mengangguk mengiyakan. “Apa jadi lepas tu?”

“Ujikaji mereka gagal. Anak aku jadi macam haiwan.” Kamsan diam sejenak, menantikan respon dari Doktor Zainal. Apabila dia melihat lelaki itu sekadar diam merenungnya kembali, Kamsan meneruskan ceritanya.

“Buat beberapa tahun, mereka masih jalankan rebound experiments pada dia. Tapi, bila hasil-hasil yang mereka dapat semuanya tak memuaskan, mereka pergi. Katanya mereka pulang ke Russia. Tapi aku tak rasa maklumat tu benar. Mereka ada tinggalkan sebuah peti besar untuk simpan…” Kamsan terdiam, tidak mampu untuk terus bercerita. Dia menunduk termenung. Terlihat kesedihan pada wajahnya.

“Anak kau dah m**i?”

“Itu masalahnya, Nal…” Kamsan mengangkat kepalanya, merenung tepat ke dalam mata Doktor Zainal. “Aku ingat dia dah m**i.”

“Apa maksud kau?” Doktor Zainal menegakkan gaya duduknya. Barulah dia perasan bahawa yang telihat pada wajah teman lamanya itu bukanlah riak kesedihan, tetapi rasa takut yang teramat.

“Dia tak boleh m**i, Nal. Dah macam-macam cara aku cuba. Dengan parang, belati, pistol… dia tak boleh m**i.”

“Kau cuba b***h dia?”

“Berkali-kali.”

Doktor Zainal terdiam. Matanya menjeling ke arah pintu bilik bawah tanah tidak jauh dari tempat mereka sedang duduk. Kamsan tersedar akan perkara itu. Dia cepat menangkap bahawa Doktor Zainal masih menyimpan ‘anaknya’ di dalam rumah itu.

“Anak kau ada dalam rumah ni ke Nal?” Tanya Kamsan terkejut. Doktor Zainal kembali memandang Kamsan. Dia mengangguk teragak-agak sebelum keningnya dikerutkan.

“Dah dua kali aku pindah sejak kali terakhir kita berjumpa. Macam mana kau boleh tahu aku di sini?” Soal Doktor Zainal, cuba untuk mengubah topik perbualan.

“Aku masih berhubung dengan pihak Russia.”

“Maksud kau?”

“Mereka masih jejak bahan ujikaji mereka. Ada alat pengesan pada peti tu. Aku dapat tahu masa aku cuba untuk buang peti tu dalam laut. Mereka halang aku.”

Doktor Zainal tersandar. Matanya dipejam rapat. Tangannya mengurut-urut kepalanya yang kian botak.

“Aku hubungi mereka petang tadi, bertanya kalau-kalau mereka tahu di mana kau berada. Mereka hantar lokasi rumah ni pada aku.” Kamsan diam seketika. “Aku perlukan bantuan kau, Nal.” Sambungnya dalam nada merayu.

“Bantuan apa lagi? Apa aku boleh tolong kau? Pergilah pada kawan-kawan Russia kau!” Jerkah Doktor Zainal. Fikirannya bercelaru.

“Aku… aku perlukan bantuan anak kau.”

“Anak aku student kolej, Kamsan. Apa yang dia boleh buat?”

“Student kolej? Kau cakap apa ni?” Soal Kamsan hairan. Barulah Doktor Zainal sedar, anak yang dimaksudkan oleh Kamsan itu adalah Sarah.

“Sarah dah m**i.” Beritahu Doktor Zainal. Namun terdengar nada keraguan di dalam suaranya. “Aku masukkan dia dalam peti tu. Dah 17 tahun dia dalam tu.” Sambung Doktor Zainal, lebih untuk meyakinkan dirinya sendiri berbanding Kamsan.

“Macam mana dia boleh m**i?” Soal Kamsan penuh berharap. Namun Doktor Zainal diam tidak menjawab. Dia langsung tidak memandang wajah Kamsan.

“Kau… masukkan dia dalam peti tu hidup-hidup?”

Dengan keluhan panjang Doktor Zainal mengangguk lambat. Kamsan menggeleng serius.

“Bukan semudah itu, Nal. Mereka tak m**i semudah itu.”

“Kenapa penting sangat mereka m**i atau tidak? Asalkan aku tak nampak muka binatang tu lagi dah cukup baik untuk aku.”

“Dah cukup baik untuk kau? Heh. Kau tak tahu apa mereka mampu buat, Nal.”

“Eksperimen yang gagal. Anak… anak manusia berubah jadi anak haiwan. Apa yang mampu dia buat? Bercakap pun tak pernah.” Balas Doktor Zainal dalam nada penuh yakin yang dibuat-buat.

“Mula-mula aku pun fikir macam tu. Sampailah isteri aku dihasut.” Kamsan menelan air liurnya. Tekaknya terasa luar biasa kering. “Isteri aku dah m**i, Nal. Dia b***h diri.”

Doktor Zainal mengalihkan pandangannya dari Kamsan. Mungkin kerana tidak dapat menerima rasa kasihannya yang terbit terhadap lelaki yang telah mengkhianati dirinya itu. Kamsan mengangguk, cuba untuk memahami kesalahan yang telah dilakukannya terhadap Doktor Zainal. Sejenak kemudian, dia meraba-raba koceknya mengeluarkan sehelai nota.

“Nah, baca ni. Tulisan terakhir isteri aku.” Kamsan menghulurkan nota itu kepada Doktor Zainal. Doktor Zainal mencapai malas.

“Maafkan ibu, Anna. Tapi Anna bukan milik ibu lagi. Anna milik mereka. Ibu tahu, Ibu tak pernah belai Anna, apatah lagi menjaga Anna. Tapi Ibu dapat dengar suara Anna setiap malam dalam kepala Ibu. Ibu tahu Anna cuba berkali-kali untuk panggil Ibu. Ibu dengar tangisan Anna. Ibu tak dapat tanggung lagi rasa bersalah dalam diri Ibu ini. Biarlah Ibu pergi. Mungkin ini sahaja caranya. Ibu tahu, Anna takkan baca surat ini. Cuma ibu harap, janganlah Anna apa-apakan ayah. Selamat tinggal, Anna. Ibu sayangkan Anna.”

Doktor Zainal kembali memandang wajah Kamsan. Dia melipat kemas nota itu lalu dihulurkannya semula kepada Kamsan.

“Janganlah Anna apa-apakan ayah…” Kamsan menggenggam erat nota itu buat sejenak lalu menyisipkannya ke dalam kocek seluarnya. “Mula-mula aku ingat isteri aku dah tak betul. Tapi sejak dari kejadian tu, aku nampak Anna di mana-mana. Sedangkan dia terkurung di dalam loteng rumah aku. Dia… dia masuk dalam minda aku, Nal.”

“Imaginasi kau. Akibat dari rasa bersalah…” Doktor Zainal memberi pendapat. Namun Kamsan menggeleng bersungguh-sungguh.

“Satu hari tu, aku letakkan CCTV pada pintu loteng tu. Bila aku tengok balik rakamannya, memang Anna melangkah keluar dari loteng tu. Hampir setiap malam. Sedangkan aku kunci loteng tu dari luar. Sampai aku perlu upah beberapa orang bodyguard untuk jaga aku sepanjang masa. Kau tahu apa jadi pada mereka?”

Doktor Zainal mengangkat malas bahunya. Namun di dalam hatinya, dia dapat mengagak apa yang akan dikatakan oleh Kamsan.

“Mereka b***h diri. Ketiga-tiganya. Dalam satu malam. Dengan pistol mereka sendiri. Tapi aku tak laporkan pada pihak polis. Aku upah beberapa orang kepercayaan aku untuk uruskan mayat mereka. Malam esoknya, aku bawa pistol aku naik ke atas loteng tu. Aku tengok Anna tengah duduk bertenggek di atas almari fail. Tersenyum. Itu kali pertama aku lihat dia tersenyum. Berdas-das tembakan aku lepaskan. Satu pun tak melukakan dia, apatah lagi m******h. Dia turun dari atas almari tu, dan datang pada aku. Aku capai apa sahaja yang termampu. Tapi tak ada gunanya. Dia masih tersenyum. Memandang tepat dalam mata aku. Seakan-akan menantikan arahan aku. Aku arahkan dia masuk ke dalam peti yang pihak Russia tinggalkan tu. Dia ikut arahan aku. Masa tu lah aku cuba nak buang dia ke dalam laut. Tapi pihak Russia halang aku. Mereka ekori peti tu.”

“Apa jadi lepas tu?” Tanya Doktor Zainal yang kini tidak lagi cuba untuk menyelindungi perasaan ingin tahunya. Tanyannya terasa sejuk. Sekejap-sekejap dia menjeling ke arah pintu bilik bawah tanahnya.

“Aku tahu, mereka beritahu kau yang eksperimen mereka gagal, kan?” Tanya Kamsan. Doktor Zainal mengangguk. “Aku tak rasa mereka gagal. Cuma mereka belum dapat cara untuk kuasai makhluk-makhluk tu. Percayalah cakap aku, Nal. Makhluk-makhluk tu cuma akan ikut arahan kita, bapa mereka.”

“Jadi, kenapa kau perlu takut?” Tanya Doktor Zainal. Kamsan diam sejenak, cuba untuk memikirkan cara paling halus untuk menjawab soalan Doktor Zainal itu.

“Perlahan-lahan mereka akan b***h sesiapa sahaja yang dekat dengan kita. Tak guna kita kurung mereka. Segala pintu mereka boleh buka tanpa bantuan sesiapa. Selagi Anna tak betul-betul m**i, aku tak boleh dekat dengan sesiapa. Sampailah yang tinggal cuma aku dan dia.”

Doktor Zainal mengangguk faham. Wajahnya kelihatan berfikir-fikir. Tiba-tiba matanya dibuntangkan.

“Segala pintu mereka boleh buka?” Soalnya serius. Kamsan mengangguk mengiyakan. “Siti…”

“Siapa Siti?” Tanya Kamsan hairan.

“Anak kedua aku. Masa dia masih kecil, berkali-kali dia cuba yakinkan aku dan Halimah yang dia selalu bermain-main dengan kakaknya. Sarah.”

“Bermain-main? Mereka bukan makhluk main-main, Nal. Mereka mampu m******h!” Kamsan menjeling ke arah pintu bilik bawah tanah yang asyik menjadi perhatian Doktor Zainal tadi. “Aku dah tak duduk dekat rumah aku tu lagi. Aku tak berani. Sekarang, satu-satunya harapan aku adalah kau dapat arahkan anak kau tu b***h anak aku. Mungkin kemampuan mereka setara. Mungkin itu sahaja jalannya.”

Doktor Zainal berfikir-fikir sejenak. Tidak dapat dia bayangkan betapa marahnya Sarah yang terkurung selama 17 tahun di dalam peti besinya itu. Mungkin cakap Kamsan ada betulnya. Mungkin dengan cara itu, kedua-dua makhluk itu dapat saling berbunuhan.

“Kau bawa pistol kau?” Tanya Doktor Zainal. Kamsan mengangguk.

“Ada dalam kereta.”

“Suruhlah bodyguard kau bawa ke sini. Dia ada pistol juga?”

“Kan aku dah beritahu tadi, bodyguard aku semua dah m**i.” Kamsan berkerut hairan.

“Habis, siapa dekat belakang kereta kau tadi?”

Tiba-tiba pintu hadapan rumah itu berkeriut terbuka…

-Bersambung-

Ahmad Rusydi

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 0 Average: 0]

19 thoughts on “Diari Siti – Dendam Anak Haiwan”

    • tu typo rasanya hakak…mmg ada 1 ayat jadi doktor roslan…trus den marah …mana 1 doktor roslan ke doktor zainal….hahahaha

      Reply
  1. Aik ingat dah takde sambungan.tengok ada noti kt email terus baca.doc roslan tu dari cerita 7 pintu.biasa la silap sesekali.cuma kalau nak dibukukan kena lebih hati2

    Reply
  2. saya rasa cerita ini berkisahkan KISAH BENAR…
    sebab tu Penulis asik tersilap nama Doc tu.

    cerita ini sangat menarik! serius saya suka.

    teruskan menulis <3

    Reply
  3. bagus cerita ini dibuku kan,lagipun cerita ni mmg menarik. Ada bakat jadi penulis jgn sia2 kan. Thumb up utk penulis ni.

    Reply
  4. Allahu. Maaf semua. Saya beberapa kali tersasul nama Doktor Zainal tu. Maaf sekali lagi. Apa pun, terima kasih semua yang sudi baca.

    Reply
  5. penulis memang dah inform awal2 yang mungkin ada kesilapan nama sebab dia tak sempat nak proof read. Tolong sambung balilk pls ahmadrusydi.. pastikan takde sambungan dah… lama ni tunggu..

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.