DIBAH

18 September 2023. Isnin. Jam 3.00 petang.

Petang yang damai itu saya dapat satu mesej dari Ustazah Syahirah, salah seorang tenaga penggerak dan guru di madrasah tempat saya mengajar silat. Katanya ada hal penting yang dia ingin minta tolong dari saya. Dia minta izin untuk call. Kebetulan masa itu saya baru sahaja siapkan kerja, jadi dapatlah saya luangkan masa berbual dengan Ustazah Syahirah.

Kata Ustazah Syahirah, pada hari Jumaat yang lepas, guru-guru dan pelajar madrasah ada buat gotong-royong di tanah kosong yang terletak di sebelah madrasah. Tanah itu agak luas, muat kalau nak bina sebuah rumah bersaiz sederhana. Tanah kosong tersebut agak berpaya. Rumputnya panjang. Kalau hujan meriahlah dengan suara katak berpesta.

Dengan keadaan tanah yang semak samun dan ada juga pokok-pokok kecil yang tumbuh, kawasan itu dah jadi belukar kecil dan jadi tempat pembiakan nyamuk. Bila malam, asrama pelajar madrasahlah yang jadi sasaran nyamuk-nyamuk yang hauskan d***h tersebut.

Jadi, untuk menghapuskan habitat pembiakan nyamuk itulah pihak madrasah mengambil keputusan untuk melakukan gotong-royong walaupun tanah tersebut kepunyaan orang lain.

Dibah adalah salah seorang pelajar yang agak senior yang terlibat dengan gotong-royong. Keesokannya, hari Sabtu, ada perubahan yang berlaku pada Dibah. Dia jadi pendiam. Emosinya berubah-ubah, sekejap OK sekejap sedih. Kadang-kadang dia seperti menangis, nampak matanya berair dan basah.

Melihat keadaan Dibah yang agak pelik, kawan Dibah membawanya berjumpa dengan Ustazah Syahirah. Apa sahaja soalah yang Ustazah Syahirah tanyakan kepada Dibah semuanya berlalu tanpa jawapan. Cuma ada reaksi muka yang kabur dari Dibah.

Ustazah Syahirah sendiri cuba mengambil sebarang kemungkinan, iaitu sama ada Dibah telah terkena gangguan makhluk halus ataupun mungkin dia mengalami tekanan perasaan yang melampau.

Kehidupan sebagai seorang pelajar madrasah sepenuh masa memang agak menekan. Nak kena hafal macam-macam perkara. Nak hadap macam-macam jenis perangai kawan-kawan. Jika hati tak kental memang akan mudah alami tekanan jiwa.

“Awak rasa awak ada gangguan makhluk halus atau ada apa-apa tentang madrasah ni yang buatkan awak tertekan?” Soal Ustazah Syahirah kepada Dibah.

Seperti sebelumnya juga, Dibah cuma memandang Ustazah Syahirah dengan mata berkaca. Bibirnya bergerak seolah-olah ingin mengatakan sesuatu, tapi tiada suara yang keluar dari mulutnya. Tak lama kemudian Dibah keluarkan satu kertas yang bertulis sesuatu. Dalam nota tersebut, Dibah menulis;

“Saya pun tak tau apa yang terjadi kepada diri saya. Saya tak pasti adakah ini gangguan makhluk halus ataupun perasaan saya sendiri. Bahu dan belakang saya rasa sakit. Dada saya rasa berdebar. Emosi saya tak stabil, tapi lebih kepada rasa sedih dan sayu. Saya nak bercakap, tapi suara saya tak keluar.”

Rupa-rupanya nota tersebut telah Dibah tuliskan awal-awal untuk ditunjukkan kepada kawannya. Kebetulan pula apa yang ditanyakan oleh Ustazah Syahirah sesuai dengan apa yang ditulis olehnya.

Sambil Ustazah Syahirah bercerita sambil saya menganalisis apa yang sedang berlaku kepada Dibah. Hati saya kuat mengatakan yang memang ada setan yang sedang mengganggu Dibah, tapi untuk mengesahkan lagi, saya tanya Ustazah Syahirah dengan lebih lanjut.

“Sebelum ni Dibah tak pernah berkelakuan macam ni kan?”

“Tak pernah Cikgu.”

“Kalau ikut pengalaman saya. Boleh jadi juga apa yang berlaku ni disebabkan oleh tekanan perasaan, atau mungkin juga gangguan makhluk halus campur dengan tekanan perasaan. Tapi untuk kes Dibah ni saya rasa memang ada yang kacau dia sekarang ni.”

“Tulah Cikgu, saya pun rasa macam tu. Sebab tu saya call Cikgu, sebab Cikgu lebih faham perkara-perkara macam ni.”

“Tak apa Ustazah, sekejap lagi saya cuba ikhtiarkan. Saya nak minta tolong Ustazah beritahu saya keadaan Dibah kalau dapat hubungi dia nanti ya.”

“Baik, insyaAllah Cikgu. Esok pagi saya ke madrasah, nanti saya akan tengok keadaan Dibah sama ada dah OK atau tak. Apa-apa nanti saya beritahu Cikgu ya. Terima kasih banyak Cikgu.”

Pada hari-hari yang ada kuliah, iaitu Isnin hingga Jumaat, Ustazah Syahirah akan berulang-alik dari rumahnya ke madrasah yang mengambil masa lebih kurang setengah jam memandu kereta.

“Sama-sama Ustazah. InsyaAllah.”

Tak lama selepas menamatkan panggilan telefon dengan Ustazah Syahirah, saya bersandar di kerusi malas favorit saya, pejamkan mata, ambil mood dan terus lancarkan serangan ke arah setan yang mengganggu Dibah.

Serangan saya teruskan secara bertubi-tubi selama beberapa minit. Biasanya serangan untuk tempoh tersebut dah cukup untuk setan yang mengganggu itu cabut lari, cuma kadang-kadang ada juga yang jenis degil dan keras kepala sanggup tahan sakit semata-mata nak mengganggu orang yang menjadi sasarannya. Untuk kes-kes setan degil seperti itu biasanya saya akan serang berperingkat dan berkali-kali.

Lebih kurang sejam kemudian, saya dapat tahu yang setan tu dah pun melarikan diri. Sambil dia lari itu pun serangan masih hinggap pada badannya. Setan tu sebenarnya tinggal di pokok yang dicantas oleh Dibah masa gotong-royong. Dibah pula memang ada sejarah gangguan, jadi mudah untuk setan tu singgah dan mengganggunya.

Punca Dibah tak boleh bercakap pula adalah sebab setan tu duduk di peti suaranya. Mungkin kalau Dibah bersuara takut keluar suara garau, nanti kantoi pula setan tu.

19 September 2023. Selasa.

Pukul 8.43 pagi. Dapat satu mesej whatsapp dari Ustazah Syahirah.

“Assalamualaikum Cikgu. Alhamdulillah pagi ni Dibah dah boleh bercakap dan dah ada suara. Muka pun dah ceria. Malam tadi bahu kiri dia bergetar-getar lepas tu dia macam takut sangat. Macam ada benda yang masih mengganggu dia. Tapi pagi ni Alhamdulillah nampak dah semakin baik.”

“Waalaikumussalam. Alhamdulillah. Saya tak pasti tentang bahu yang bergetar tu, mungkin kesan bisa setan yang keluar tu. Tapi kalau lepas ni jadi lagi minta Ustazah beritahu saya boleh ya?”

“Oo macam tu. Baik Cikgu. Apa-apa saya akan beritahu Cikgu semula. Untuk masa sekarang ni saya akan pantau perkembangan Dibah dulu nak tengok dia OK ke tak. Terima kasih Cikgu.”

“Sama-sama Ustazah.”

Tiga hari badan sakit. Tiga hari emosi terganggu. Tiga hari suara terkunci. Semoga Allah memberikan kesembuhan yang tiada sakitnya lagi selepas ini kepada Dibah. Amin Ya Rabb.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 18 Average: 4.1]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.