DUKUN SIAM

DUKUN SIAM

Beberapa tahun lepas. Tak betah duduk, dia berdiri dan kemudian mundar-mandir di ruang tamu. Hakim mencekak pinggang, hatinya bolak-balik. Kepala yang tidak gatal digaru-garu.

Seketika dia kembali duduk, telefon dibuka. Cebisan kertas dalam saku dibawa keluar. Dia termenung seketika, kemudian melepaskan keluhan panjang.

Hakim nekad untuk membuat panggilan, lama dia menunggu namun hampa, panggilan tiada jawapan. Dia menarik nafas semula, wajah Myra yang menghiasi ‘wallpaper’ telefonnya membuatkan dia kuatkan semangat untuk cuba membuat panggilan kembali.

Talian berdering masuk tapi tak berangkat, Hakim menanti dalam debaran. Saat dia melepaskan nafas kecewa dan hampir menamatkan panggilan, talian berjawab.

“Hello…” sapa Hakim sebaik panggilan masuk.

“…Hello, ada orang tak ni?” Senyap tiada jawapan, hanya bunyi desiran angin yang mengilukan telinga. Hakim mengetap bibir geram, dia pasrah dan mahu menamatkan panggilan.

“Hmmm…” telinga Hakim menangkap suara seseorang di talian.

“Err hello..ni tok bomoh ke?” Hakim segera menyoal.

“Ho..dukun, ambo tok dukun” jawab tok bomoh itu ringkas dengan suara garau.

“Err saya..”

“Ambo tau..tok soh royak, demo mari jumpa ambo” belum sempat Hakim berkata-kata, tok bomoh telah memberikan arahan.

“Err..aa..dekat mana tok?” Soal Hakim dengan rasa berdebar.

“Dekat jah, demo gi banglo atas bukit belake rumah demo tu male esok, kok-kok mano demo mari” arah tok dukun serius seraya menamatkan panggilan.

Hakim termenung, “banglo atas bukit? Uishh”

Hatinya sedikit resah, banglo besar di atas bukit itu telah berkurun terbiar, tak ramai berani naik ke sana. Mengikut cerita ada banyak kejadian b***h terjadi di banglo itu.

Hakim mendail nombor Rosli, hajatnya mahu mengajak Rosli menemaninya, namun panggilan tak berjawab.

Keesokan harinya, Hakim tak dapat fokus dengan kerja di pejabat. Fikirannya terganggu memikirkan banglo itu. Kisah-kisah seram, puaka dan berhantu mengenai banglo itu berlegar-legar di kepalanya.

Kejadian terakhir yang sampai ke telinga, sekumpulan remaja yang aktif membuat rakaman paranormal telah naik ke banglo atas bukit itu. Namun hingga kini tidak muncul dan mereka hilang begitu sahaja.

Ada juga cerita yang didengari, kaki judi naik memuja untuk minta nombor ekor, namun akhirnya ditemui dalam keadaan ngeri.

Tak kurang juga ada yang menjadi gila malah ada yang lumpuh akibat naik ke sana. Enah apa lah yang berlaku.

Hati Hakim semakin resah, jam menunjukkan angka 3 petang, Rosli masih tak menjawab panggilannya.

Kemudian matanya meliar mencari siapa yang boleh dijadikan teman. Dia tak sanggup pergi sendirian.

“Yunus!!” Jerit Hakim sambil melambai tangan.

“Hah apa Kim?” Soal Yunus sebaik mendekati meja Hakim.

“Malam ni kau sibuk tak? Teman aku” pinta Hakim penuh harapan.

“Pergi mana?”

“Ada laa..jom la, nanti aku belanja la kau makan ke apa” Hakim menabur janji sambil tersengih.

“Haa, boleh lah, tapi ambik aku dekat rumah” ujar Yunus dan berlalu. Hakim menguntum senyum, mujur ada Yunus, kalau tidak dia sorang la jawabnya.

Malam menjelma, Hakim tiba di hadapan rumah Yunus. Hon kereta dibunyikan. Dalam 5 minit menunggu, Yunus belum juga keluar.

“Eh kemana pulak si Yunus ni tak keluar-keluar, dah dekat pukul 9 ni” bebel Hakim seraya mendail nombor Yunus.

“Ahh, tak cantik ni” Hakim mengeluh, taliannya masuk ke ‘mailbox’. Dia turun dari kereta mahu masuk ke dalam rumah, namun pintu pagar berkunci. Rumah juga bergelap seperti tiada orang.

“Alamak, kunci pulak, erm kereta dia pun tak ada ni, kemana la malaun ni pegi, dah janji kot” Hakim merasa sedikit marah. Tak lama kemudian, Hakim berlalu pergi. Kelibat Yunus tidak juga keluar walaupun puas dia menekan hon dan memanggil.

“Ahh sorang pun sorang laa, demi Myra, lautan api aku redahhh” jerit Hakim sendirian menguatkan semangat.

Dia tiba di kaki bukit hampir jam 10 malam, kereta terpaksa diparkir di bawah kerana ada runtuhan jalan masuk ke banglo membentuk satu lubang yang panjang. Mustahil mana-mana kenderaan dapat melaluinya.

Hakim berjalan melepasi pintu pagar yang telah tumbang. Pondok pengawal di sebelah kiri di tenung dari jauh, suasana yang gelap disinari cahaya bulan malap memperlihatkan sepasang mata bercahaya memandangnya dari dalam.

Hakim mempercepatkan langkah. Ketakutan mula menyelubungi. Suasana bertambah gelap dan pekat di pertengahan jalan. Dia hanya bertemankan lampu suluh. Terasa mengah memanjat bukit menuju ke banglo di atas.

Meremang bulu roma Hakim sepanjang perjalanan naik. Sekejap terdengar bunyi orang berjalan turun, kemudian terdengar orang ketawa. Kejap-kejap seperti ada yang melintas.

Hakim mula rasa nak menangis, namun digagahkan jua. Tiba di atas, banglo tiga tingkat tersergam di depan mata, besar dan menakutkan. Semak samun melingkar di sekeliling banglo.

Keadaan sangat gelap dan hening. Sesekali terdengar bunyi angin seolah bersiul-siul. Terasa bagai ada banyak mata memerhati.

Hakim berjalan perlahan masuk melalui pintu utama. Daun pintu sudah tertanggal sebelah. Lampu di suluh ke dalam bahagian kanan. Perabot lama dan daun kering berselerakan.

Hakim meninjau ke bahagian kiri. “Zappp” terasa ada sesuatu melintas di belakangnya. Sepantas kilat dia berpaling.

“Siapa tu??” Soal Hakim. Suaranya bergema.

“Tok!! Tok!!…tok dukun!! Saya dah sampai” Hakim memanggil-manggil dengan suara sedikit bergetar. Jantungnya berdegup kencang.

“Brizz…brizzz…brizz”

Hakim tersentak, bunyi seperti seseorang bermain paip air di singki kawasan dapur sedikit ke belakang.

Perlahan Hakim menuju ke dapur, nafas cuba di kawal. Dia mengintai sedikit ke ruangan dapur dari dinding pemisah. Ada seseorang sedang berdiri mengadap singki dan bermain-main paip air.

“Ttt…ttokk ke tuuu?” Soal Hakim tergagap-gagap. Namun tiada jawapan.

Hakim berjalan sedikit demi sedikit mahu merapati dan menepuk bahu orang itu. Belum sempat sampai, orang itu berpaling dan menyeringai.

Rambutnya panjang tetapi jarang-jarang, wajahnya mereput terkopek-kopek dan mata terkeluar.

Lutut Hakim terketar-ketar. “Aaaa…” Dia berlari keluar dari dapur menuju ke pintu utama.

Belum reda di sergah hantu di dapur tadi, kini di pintu hadapan pula, berdiri tegak satu makhluk badan berbulu seperti monyet yang sangat besar. Wajahnya garang dan mahu menerkam Hakim.

Hakim tiada pilihan, dia memanjat tangga dan naik ke tingkat dua berlari tak tentu arah. Kemudian masuk ke satu bilik lalu meniarap bersembunyi di tepi katil bersebelahan dinding.

Mulutnya ditekup untuk menahan suaranya. Lampu suluh dipadamkan. Jantung berdegup bagai nak pecah. Dari bawah katil, Hakim dapat melihat monyet tadi berjalan melepasi bilik terkedek-kedek.

Untuk beberapa ketika, Hakim membatukan diri sehingga keadaan reda dan dia merasa kembali tenang.

Perlahan-lahan kepala diangkat meninjau sebalik katil. Lampu suluh kembali dibuka.

“Makkkk…!!!”

Hakim bingkas bangun melarikan diri. Sebaik lampu suluh dibuka tadi, suluhannya tepat ke arah wajah hantu bungkus yang baring mengiring menghadapnya dari atas katil.

Berterabur Hakim berlari keluar dari bilik itu entah kemana. Dia berhenti mencari nafas yang tercungap-cungap.

“Tak guna betul, lepas satu, satu..menyesal betul datang” bebel Hakim. Berbakul-bakul kata makian keluar dari mulutnya.

“Kohh..kohh”

Hakim bediri tegak, terdengar suara seseorang batuk. Di hujung lorong kelihatan samar-samar kelibat seseorang.

Hakim berjalan perlahan menyusuri dinding. Jantung kembali berdegup kencang. Semakin dekat, jelas kelihatan, seorang tua berjalan terbongkok-bongkok menggunakan tongkat.

“Apa benda pulak ni, aduhh” Hakim mengeluh panjang. Telahannya benar, orang tua itu ketawa dan mula berjalan mengundur. Hakim yang dah nak terkencing turut berundur seiring dan seirama pergerakan orang tua itu.

“Pap!!” Seseorang menepuk bahunya dari belakang.

“Aaaaaaa…” Hakim menjerit panjang saat berpaling. Seorang lelaki berkepala botak dan berselempang oren tersenyum melihatnya.

“Bobo la nepik, ambo ni..”

“Ttttt…tttokk dukun??” Soal Hakim sambil mengurut dada. Airmata dikesat lalu melemparkan senyuman tawar.

“Panggil ambo tok sami, mai ikut ambo..”

Hakim hanya menurut sambil menelan air liur. Seketika mereka masuk ke dalam sebuah bilik.

Dindingnya penuh dengan contengan-contengan aneh. Cahaya lilin yang banyak menerangi ruangan bilik itu. Terang benderang.

“Duduk!!” Arah tok Sami. Hakim menurut sahaja duduk berdepan dengan tok sami. Ada sebuah meja di antara mereka.

Di atas meja ada satu kepala khinzir dalam sebuah bekas, d***h pekat memenuhi bekas itu. Terdapat juga tengkorak kehitaman. Hakim menelan air liur dan tergamam.

“Ambo sajo test tadi, nak tengok demo lari keluar ko lagu mano, jange maroh deh hehe” ujar tok sami sedikit tersengih.

Hakim senyum tawar, melihat wajah tok sami juga menyeramkan sebenarnya.

“Ado bawak gambar tino tu dok?” Soal tok sami. Hakim mengeluarkan sekeping gambar Myra yang berada dalam dompetnya lalu diserahkan kepada tok sami.

Tok sami memperasap gambar Myra dengan asap kemenyan. D***h khinzir yang bertakung dalam bekas di calit dan di oles pada gambar Myra.

“Ambo tidok nak buat tino ni gilo ko demo sajo, tapi nak bui demo lebih lagi” ujar tok sami serius.

“Aa..apa maksud tok sami?” Soal Hakim takut-takut.

“Balik nanti, kalu tino ni nok ko demo, demo keno mari lagi jupo ambo, demo keno jadi anok didik ambo, ambo ajar demo jadi lebih lagi”

Hakim sekadar mengangguk. “Kkaa..kalau saya tak mahu..mmaa..macam mana tok?” Soal Hakim ketakutan.

Tok sami sekadar senyum, “demo pasti mari”

Seketika tok sami membaca serapah yang langsung Hakim tidak fahami dan seolah-olah ‘menurun’.

“Ni minum” tok sami menghulurkan segelas minuman.

“Air apa ni tok?” Soal Hakim sambil menyambut gelas yang dihulurkan.

“Daroh b*bi hahaha” tok sami ketawa.

“Hah?? Takkan saya kena minum?” Hakim merasa loya dan mual.

“Ikut demo laa, kalu rasa tok sey tino tu, tak payoh minum, kalu nok tino tu..” ujar tok sami menunjukkan tangan ke arah gelas.

Hakim serba salah, tanpa berfikir panjang, dia menutup hidung lalu menelan sekali gus semua yang ada di dalam gelas itu.

Tok sami tersenyum, Hakim menekup mulut menahan mual.

“Demo boleh balik, esok ambo jamin, tino tu demo punyo”

Hakim bingkas bangun berlari keluar dan memuntahkan segala isi perutnya. Teruk benar rasanya meminum d***h.

Dari jauh dia mendengar tok sami membaca serapah dalam bahasa siam. Hakim bergegas turun apabila mula melihat pontianak terapung menghampirinya.

Tiba di kaki bukit, Hakim cepat-cepat masuk ke kereta dan berlalu pergi. Sempat dia menoleh ke cermin. Manusia berkepala anjing di pintu pagar melambai-lambai.

Beberapa hari kemudian, Hakim tersenyum bangga, hatinya puas melihat Myra nyenyak tidur dalam pelukannya di atas katil. Hasratnya kini tercapai.

Malamnya, Hakim bergegas ke banglo atas bukit untuk bertemu tok sami. Sebaik sahaja tiba, Hakim berjalan laju, sempat melambai makhluk berkepala anjing yang menjadi pengawal lagaknya.

“Tok…tok sami!!” Sapa Hakim sebaik sahaja masuk ke dalam bilik.

“Ambo royak doh, demo mesti marii” tok sami tersenyum.

Maka bermulalah perjalanan penuh syirik dan khufur buat Hakim. Mata hatinya telah dibutakan dek nafsu serakah. Memilih jalan kelam dan hina.

Menjadi anak murid tok sami, bermacam ilmu karut Hakim belajar. Dengan ilmu itu Hakim mendapatkan kemasyuran, wanita, harta dan pangkat. Hidupnya semakin terpesong jauh.

Setiap bulan mengambang, ada saja ritual pelik dan pemujaan yang Hakim lakukan, baik secara sendirian atau dengan tok sami.

Namun berganti tahun, hubungan Hakim dan Myra mula membibitkan keretakan. Hakim sedikit hairan, kepada tok sami tempat dia mengadu.

“Demo tok payoh la harap ko tino tu lagi”

“Kenapa tok? Lubuk kemewahan saya tu”

“Demo key royak tino tu ngandung, demo b***h jah dio, ambil d***h dio, bawok mari…”

“Eh nak buat apa tok?”

“….lagi molek, demo bawok janin dio sekali hahahahaa”

Bergegar segenap ruang dengan hilai tawa dari tok sami.

********************

Zack dan Aini bergegas turun mendapatkan pak Omar.

“Pak Omar!!” Sapa Aini keletihan.

“Hah, kamu berdua, kenapa ni?” Soal pak Omar tenang.

“Abang Rosli..jasad dia kat atas..aa..err” Aini tergagap-gagap. Pak Omar mengerutkan muka tanda tak mengerti.

“Macam nak m**i!!” Ujar Zack menyambung kata-kata Aini.

Pak Omar bangun akibat terkejut. “Hah? ‘Dia’ ada dekat situ tak?”

Aini dan Zack menggeleng. “Dari pagi lagi abang Rosli keluar, sampai sekarang tak balik-balik”

Pak Omar terus bergegas naik ke wad. Zack dan Aini mengekori. Sebaik tiba di wad, pak Omar hanya memerhati dari pintu.

Doktor dan jururawat kebingungan melihat situasi tubuh Rosli. Sekejap-sekejap menunjukkan tanda riwayatnya habis dengan iringan bunyi bip panjang pada mesin hayatnya.

Namun selang seketika, kembali hidup dan menggelupur bagai ayam yang baru disembelih. Menggeletar dan menghentak-hentak. Mereka semakin penat dan hanya memandang sahaja.

Pak Omar menarik nafas dan menggelengkan kepala. “Kau buat apa laa ni Rosli”

Lalu pak Omar memejam mata, menggenggam tangan dan seperti membaca sesuatu. Zack dan Aini hanya memerhati.

Seketika, pak Omar membuka tapak tangan, dan meniup perlahan ke arah jasad Rosli di dalam wad.

*****************

Sayup dan jauh satu suara masuk ke telinganya. Matanya merasa berat. Badan terasa lemah.

“Awak..bangun!!”

Rosli terus bangun duduk dan tercungap-cungap seolah baru lepas kehabisan nafas. Keadaan sekeliling di tinjau.

“Aku kat mana ni?” Soal Rosli menyapu wajah.

“Kat condo saya…” Rosli baru perasan yang Myra mengejutkannya. Mereka kini di ruang tamu condo Myra.

“Mana ‘dorang’ ?? ” Rosli memegang tengkoknya.

“…tadi awak tak sedarkan diri, dorang bergegas bawak polis perempuan tu ke hospital. Lepas tu ramai sangat polis dekat condo ‘mak leha’ tu, saya bawa awak ke sini” panjang lebar Myra menerangkan. Rosli masih rasa ‘blurr’.

Dia merasa lain macam, mata di pejam, berkali-kali namun dia tetap di condo itu.

“Alamak, dah tak boleh ke, aku kena balik cari pak Omar ni” bebel Rosli sedikit panik.

“Awak ok ke?” Soal Myra pelik dengan tingkah laku Rosli.

“Arghh…arghh..hmm” Rosli cuba memejamkan mata lagi dengan harapan dia akan kembali ke wad jasad nya berada, namun gagal.

“Hei awak, kenapa ni?” Soal Myra seraya memegang Rosli.

Dan seketika mereka berdua menghilang. Ruang tamu condo menjadi kosong.

*******************

Ruang menunggu di wad kecemasan agak tenang, tak ramai orang di waktu ini.

Kamil dan Kunon duduk termenung menanti khabar, Salina di dalam berjuang untuk terus hidup.

Dia pada mulanya sudah terkulai layu dalam dakapan Kamil, namun tersedar di ‘hidup’ kan Rosli. Kebetulan skuad bantuan kecemasan tiba, Salina di bawa ke hospital segera.

“Aku masih tak percaya, apa yang sepupu aku dah buat. Tak masuk dek akal” Kamil berbicara memecah kesunyian.

Kunon menepuk bahu memberi semangat. “Orang, kalau dah termakan permainan syaitan ni, memang tak masuk akal Mil, aku yang kejar dia tadi, nampak dengan mata kepala aku sendiri, dia lari tak seperti manusia biasa”

Mereka sama-sama mengeluh panjang.

“Inspektor!!” Seorang pembantu perubatan keluar. Kamil dan Kunon bingkas bangun mendapatkannya.

“Semuanya ok, dia dah stabil”

Kamil dan Kunon mengurut dada lega.

Kakbeydahh

*cerita ini hanyalah rekaan sahaja, ianya mengarut dan tak masuk akal, kadangkala boring dan bosan, malah tidak seram langsung.

Semoga terhibur.

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 120 Average: 1.6]

7 thoughts on “DUKUN SIAM”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.