EKA, ALIF DAN SAKA

Bermula dari insiden gangguan di kedai, Eka mula faham sedikit demi sedikit tentang bagaimana gangguan makhluk halus boleh berlaku. Banyak persoalan Eka berkaitan perkara-perkara mistik yang saya jawab menjadikan minatnya semakin mendalam dalam hal-hal sebegini.

Alang-alang dah banyak tanya tu, saya tanya Eka sama ada dia berminat jika saya ingin berkongsi ilmu pengetahuan saya yang serba sedikit ini dengannya… dan Eka kata dia berminat.

Sebelum saya terangkan dengan lebih lanjut, saya perlu tau jika pada diri Eka sendiri ada sebarang gangguan atau tidak, jadi saya interview dia. Katanya dia tak ada apa-apa gangguan atau saka. Dia tak bermimpi hantu dan binatang berbisa, tak ada juga bermimpi jatuh tempat tinggi atau berada di tempat kotor atau sebarang mimpi yang pelik-pelik dan tak pernah nampak hantu atau kelibat.

Kalau ikut ceritanya macam tak ada apa-apa gangguan, tapi katanya pernah dua atau tiga kali dia terasa macam ada orang usap-usap dia, terutama pada waktu tengah malam sebelum tidur. Kejadian tu biasanya berlaku sekejap saja.

Mmm… susah saya nak agak, sebab jarang gangguan berlaku hanya dengan satu atau dua tanda sahaja. Biasanya akan ada beberapa tanda iringan seperti yang saya nyatakan seperti mimpi-mimpi buruk, nampak makhluk atau kelibat dan lain-lain sakit dan rasa tak selesa pada waktu-waktu tertentu.

Oleh sebab hanya ada satu tanda sahaja, saya tak dapat nak agak dari mana datangnya setan yang kacau Eka tu. Nak tak nak kena juga saya tarik setan tu, rupa-rupanya saka juga. Sepanjang terlibat dalam hal-hal mistik ni, pernah juga saya dengar ada sesetengah setan saka ni yang jenis low profile.

Maksudnya dia tak kacau banyak, cuma buat perkara-perkara tertentu sahaja, macam contoh kes Eka ni dia hanya usap-usap Eka sahaja. Sebelum kes Eka pun saya pernah jumpa kes saka low profile ni, tapi saya tak pasti untuk katakan yang kes Eka pun sama.

Setelah beberapa kali sesi perkongsian ilmu dengan Eka, suatu hari saya masuk ke kedai, tengok-tengok Eka tengah moody semacam. Dahinya berkerut-kerut. Biasanya Eka ni jenis peramah, mulut kecoh. Kalau dia gelak satu kedai boleh dengar.

Dah la gelak pun macam cik pon. Lepas letak barang-barang di meja kerja saya, saya pergi duduk atas kerusi berdepan dengan Eka dekat dengan kaunter. Saya nampak Eka tengah pegang perut. Bila Eka pandang saya, saya tanya dia…

“Sesungut ke?”

Eka angguk. Rupanya dia paham ‘sesungut’ yang saya maksudkan tu adalah ‘senggugut’… 😊

“Dah lama ke?” Tanya saya lagi.

“Sejak malam tadi. Dah makan ubat tadi tapi masih tak kurang.”

Masa tu dah dekat tengahari. Maknanya dah lama dia menahan sakit. Patutlah mood dia ke laut dalam. Saya tengok atas meja ada satu botol air mineral 1.5 liter, terus saya puh-puh kan air tu. Kemudian saya cakap kat Eka;

“Minum air ni… selawat dulu tiga kali.”

Eka angguk. Tak tunggu lama, dia terus tuang air dalam gelas plastik yang memang dah sedia ada atas meja dan minum air tu. Waktu tu Dya yang tadinya ada kat bahagian belakang kedai dah ada dekat dengan kaunter.

Sambil tunggu Eka tenangkan diri, saya borak-borak dengan Dya. Selang beberapa minit, nampak Eka mula mengukir senyum. Tadi monyok je macam ayam berak kapur, sekarang baru nampak diri Eka yang sebenar.

“Macamana? Dah hilang ke sesungut?” Tanya saya sambil senyum.

“Aah ya.” Eka pun senyum tak putus.

“Selalu ke berlaku sesungut ni?”

“Tiap-tiap bulan… tapi yang ni sakit sikit dari biasa.”

“Laa… apasal sebelum ni tak penah bagitau saya ponnn…”

“Lupa pulak.. hehe…”

“Sebenarnya sesungut ni pun salah satu tanda adanya benda tu.”

“Oo ye ke? Tak terfikir pulak saya sesungut pun ada kena mengena dengan benda tu.”

“Tak semestinya… tapi kebanyakan memang ada kaitan. Tak apa, nanti saya cuba siasat. Kalau yang kacau ni adalah setan yang sama dengan yang saya tarik hari tu, insyaAllah dah tak ada lah. Tapi kalau yang lain, maknanya ada lagi lah yang tengah menyorok kat Eka ni.”

Selang beberapa hari baru saya ada masa nak buat edisi siasat tentang masalah sesungut Eka. Rupanya setan lain punya kerja, dan bukannya setan yang usap-usap Eka sebelum ni.

“Pandai kau menyorok ye?”

“Pandailah.. kau nak belajar dengan aku ke?”

“Perasanlah kau.”

“Kau saka dia jugak ke?”

“Tak.”

“Mesti saka hari tu yang ajak kau duduk dengan dia kan? Dia mesti bosan dok sekor-sekor kat Eka.”

“Ya… ada la dia kawan borak.”

“Kau sekor je ke kawan dia?”

“Ya… sekor je.”

Tengah saya soal siasat si setan ni, teringat pula Eka penah tanya saya tentang boyfriend dia nama Alif. Katanya Alif kalau tidur selalu geser gigi. Bila saya tanya lanjut, Eka kata Alif tak ada pula mimpi-mimpi atau lain-lain tanda. Dah jadi macam Eka pula… setan jenis low profile jugak ke ni? Jadi saya terus tanya setan yang tengah saya interview ni, sebab sama-sama setan, dia memang boleh tau.

“Kat Alif tu ada setan jugak kan? Sebab dia tidur selalu geser gigi.”

“Ada…”

“Eka kan selalu call Alif, kau tak kawan ke dengan setan Alif tu?”

“Belum lagi, baru nak kenal-kenal la jugak ni.”

“Oo macam tu. Kau duduk tepi sekejap. Kau panggil setan Alif tu aku nak tanya.”

Datang je setan Alif tu, saya tanya dia;

“Kau dah lama ke kacau dia?”

“Baru je turun kat dia.”

“Kau dari ayah dia kan?”

“Ya…”

Saya boleh agak setan ni dari ayah Alif sebab Eka pernah cerita serba sedikit tentang latar belakang ayah Alif.

“Sebab baru la kau tak bagi mimpi ke atau kacau cara lain-lain lagi kan?”

“Ya.”

“Ayah dia kan hidup lagi, apasal kau dah turun kat dia?”

“Ayah dia dah tua, nanti dia buang jugak aku.”

“Oh.. pandai kau ye, buat persediaan awal.”

Dari jawapan dia tahu la juga saya sedikit sebanyak strategi si budak setan ni. Dah abis tanya semua yang saya nak tanya, saya suruh dia ajak setan sesungut tadi mengucap syahadah sama-sama, lepas tu saya suruh diaorang pergi.

Lepas dah buang setan-setan yang bersarang dalam tubuh, Eka dan Alif dah kosong. Bila dah kosong, banyak lah setan lain yang tengah berkeliaran yang akan buka mata dan akan cuba untuk isi kekosongan pada Eka dan Alif.

Biasanya perawat akan tutup laluan makhluk halus pada badan pesakit dan pagar pesakit selepas rawatan dibuat agar tiada setan lain boleh masuk dan mengganggu, tapi bergantung juga pada amalan diri individu dan izin-NYA, pagar yang dibuat oleh perawat jarang kekal lama dari ditembusi, apatah lagi jika individu tersebut dah lama mengalami gangguan dan laluan makhluk halus pada dirinya besar.

Ini adalah salah satu sebab sakit susah nak sembuh walaupun dah jumpa perawat, tapi dengan rawatan yang betul dan berterusan, insyaAllah lama-lama laluan itu boleh tertutup dan pesakit boleh sembuh dengan izin-NYA.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 13 Average: 3.4]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.