Gadis Gaun Putih

Dua sahabat, Jali dan Khasyaf dalam perjalanan menuju ke satu tempat untuk menghadiri majlis hari lahir rakan mereka. Majlis akan bermula pukul 9.00 malam hingga 11.00 malam. Jali yang memandu dalam kelajuan sederhana sejak tadi lantas ditegur Khasyaf.

“Boleh tak kau pandu laju sikit? Kita dah lambat ni!” Gesa Khasyaf.

Sebetulnya, dia mahu cepat sampai dan cepat pulang. Malas berlama-lama berada di dalam sesebuah majlis. Bukan disebabkan jemputan yang membuatkan dia terpaksa pergi. Tetapi kerana Jali yang beria-ia mengajaknya. Kalau tidak, memang dia tidak akan pergi.

“Kau gila, ke? Nanti kalau kena saman aku jugak yang nak kena bayar!” Tukas Jali. Inilah masalahnya bila pergi mana-mana dengan Khasyaf. Tahunya hendak cepat sahaja.

“Alah! Bukannya laju sangat. Laju sikit je.”

“Khasyaf, aku bukan tak nak bawa laju-laju. Tapi kalau exsiden nanti tak dapat aku nak ambil exam.”

“Yelah, yelah! Suka hati kau lah bro!”

************

Tidak berapa lama kemudian mereka sampai juga ke tempat yang dituju.

“Selamat hari lahir, Lan.” Ucap Jali.

“Terima kasih sebab korang berdua sudi datang. Masuklah.” Pelawa Eidlan.

Setelah berada di dalam jamuan tersebut kira-kira pukul 10.00 malam, Khasyaf dan Jali meminta diri untuk pulang. Memandangkan hari sudah lewat, Jali mengajak Khasyaf bermalam di rumahnya sahaja.

Tetapi dalam perjalanan pulang….

“Eh, Jali! Kau nampak tak depan sana tu? Warna putih macam tunggul kayu.”

Jali turut memandang kearah yang sama.

“Aku rasa tak sedap hatilah, Khasyaf. Mungkin benda tu….?”

“Apa? Hantu? Dahlah! Jangan nak merepek! Kita pastikan dulu.” Khasyaf tetap berdegil mahu melihatnya. Jali terpaksa memberhentikan kereta di tepi jalan.

Setelah menghampiri benda berwarna putih itu dengan lebih dekat, ternyata ianya adalah seorang gadis cantik bergaun putih. Rambutnya panjang hingga ke paras pinggang. Senyumannya cukup manis sekali. Haruman minyak wanginya begitu semerbak.

“Saudari nak ke mana?” Tanya Khasyaf dengan ramah.

“Saya nak pulang ke rumah. Dari tadi saya tahan kereta tapi sorang pun tak nak berhenti. Boleh tak tolong hantar saya ke simpang jalan depan sana?” Pinta gadis itu sambil menunjukkan ke arah jalan di hadapan yang agak gelap.

“Boleh, boleh! Kebetulan kami pun nak lalu situ.” Ujar Khasyaf sambil tersenyum. Tanpa memikirkan apa-apa lagi terus sahaja Khasyaf membawa gadis itu kearah kereta.

Wajah Jali tiba-tiba berubah pucat. Gerun! Dia ingin menghalang niat Khasyaf hendak membawa gadis itu masuk ke dalam kereta, apabila terlihat sesuatu yang aneh. Tetapi mulutnya bagai terkunci.

Ketika dalam perjalanan, gadis itu tidak berkata sepatah pun. Khasyaf berasa pelik. Walaupun dia bertanya, gadis itu langsung tidak menjawab. Jali pula sudah berpeluh-peluh. Tangannya yang memegang stereng turut menggigil. Khasyaf mula berasa seperti ada yang tidak kena. Dalam diam-diam dia cuba menghantar mesej whatsApp kepada Jali.

-Woi! Apasal perempuan ni senyap aje?

-Muka kau tu dah kenapa?

-Pucat semacam aje aku tengok?

Jali terus memberhentikan kereta. Mesej Khasyaf segera balas.

-Aku rasa dia bukan manusia.

-Tadi aku nampak kaki dia tak jejak tanah.

-Aku nak bagitahu kau, tapi aku tak berani.

-Hah???

-Kau biar betul?!

-Betullah!

Mereka saling berpandangan sekejap. Namun tetap terus menghantar mesej. Masing-masing tidak berani bersuara.

-Aduh!

-Habis tu kita nak buat apa sekarang?

-Takkan nak biarkan dia dalam kereta?

-Bacalah apa yang patut.

-Lepas tu aku akan cakap yang kereta ni rosak.

-Boleh guna ke idea tu?

-Kalau dia tak pergi juga macam mana?

-Kita cubalah dulu.

-Okeylah.

-Lutut aku dah menggigil ni!

Merinik peluh di dahi Khasyaf. Menyesal tu memang menyesal. Tapi dah terlambat untuk dia nak rasa menyesal sekarang. Dia sendiri yang menjemput makhluk itu masuk ke dalam kereta. Manalah dia tahu kan. Kalau Jali beritahu awal-awal tak adalah dia berani mempelawa makhluk itu menumpang kereta rakannya.

“Alamak. Macam mana ni? Kereta ni meragam pula. Khasyaf, kau pergi tengok kejap?”

“Oh, okey.” Khasyaf segera keluar daripada kereta. Pura-pura memeriksa bahagian enjin kereta. Kemudian dia kembali semula untuk memberitahu keadaan kereta.

“Nampaknya, enjin kereta ada problem sikit. Rasanya tak boleh nak jalan.” Beritahu Khasyaf. Wajahnya risau sekali. Bukan sebab kereta. Tetapi gadis yang duduk senyap di belakang itu.

Jali beranikan diri menoleh ke belakang.

“Kami mintak maaf. Kami tak dapat nak hantar saudari. Kami pun kena tumpang kenderaan lain ni.” Jali senyum terpaksa. Dalam hati terus berdoa agar makhluk itu segera keluar daripada keretanya.

“Tak apalah. Lagipun tak jauh lagi.” Kata gadis itu dengan sedikit senyuman. Dia lalu keluar dari tempat duduk belakang.

Khasyaf dan Jali terus terpaku melihat gadis tadi berjalan tanpa menjejakkan kaki di atas tanah. Tubuhnya seolah-olah ringan melayang diawang-awangan ditiup angin. Jali pantas mencuit bahu Khasyaf. Memberi isyarat agar mereka segera beredar.

“Cepat, Jali! Bawak laju sikit!” Jerit Khasyaf dalam ketakutan. Jali melajukan lagi pemanduannya.

“Khasyaf, aku rasa kita belum selamat lagi. Tengok depan tu!”

“Jali, elak Jali!!”

“Arghhh….!!!”

Kedua-duanya menjerit kerana Jali gagal mengelak makhluk yang berdiri di hadapan jalan dalam keadaan terapung itu.

Kereta yang dipandu Jali terbabas dan terbalik beberapa kali. Jali meninggal dunia di tempat kejadian. Sementara Khasyaf yang tidak sedarkan diri mengalami kecederaan di bahagian tubuhnya selain sebelah tangannya patah. Setelah dirawat Khasyaf sedar semula. Namun emosinya tidak stabil. Setiap kali dia teringat gadis berpakaian gaun putih itu, dia akan menjerit seperti orang terkena histeria. Seolah-olah makhluk itu masih berada di hadapannya. Berdiri dalam keadaan terapung sambil merenungnya.

Mengikut cerita, kawasan di situ sangat keras. Seorang gadis telah d*****h kejam oleh teman lelakinya sendiri. Motif, dikatakan cemburu kerana mengesyaki kekasihnya itu mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain. Setelah d*****h dengan cara menjerut leher mangsa, mayat gadis itu kemudiannya digantung pada sebatang pokok. Kononnya, kematiannya itu disebabkan b***h diri. Sampai sekarang tiada tangkapan dibuat. Pihak polis masih gagal menjejaki tempat persembunyian pembunuh gadis malang itu. Mungkin kerana itu roh si gadis tidak tenteram. Lalu muncul mengganggu sesiapa sahaja yang melalui kawasan tersebut.

Khasyaf duduk termenung di dalam biliknya. Masih dihurung kesedihan. Dia tidak menyangka Jali akan pergi seawal ini. Pemergian rakan baiknya terus menghantui hidupnya. Suara Jali juga sering terngiang-ngiang di fikirannya.

‘Khasyaf, aku bukan tak nak bawak laju-laju. Tapi kalau exsiden nanti tak dapat aku nak ambil exam.’

Kata-kata Jali itu tidak mampu Khasyaf lupakan hingga ke saat ini.

Wajah Jali yang dalam ketakutan di dalam kereta terus terbayang diruangan mata sebelum berlakunya tragedi ngeri yang telah meragut nyawa rakannya itu.

Air mata Khasyaf terus mengalir. Dia menangis semahu-mahunya. Gara-gara gangguan gadis bergaun putih itu, rakan baiknya telah pergi buat selamanya. Dia masih tidak boleh menerima dengan pemergian Jali.

“Jali jangan tinggalkan aku! Jali! Jali!!!”

-TAMAT

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 12 Average: 3.9]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.