Gangguan berpunca dari salah sendiri

Hai semua dan assalamualaikum…

Terima kasih untuk admin kalau approve cerita ni. Nama aku Mi, aku perempuan. Aku nak cerita pengalaman dekat asrama masa aku sekolah menengah dulu. Gangguan yang jadi kat asrama dulu semuanya berpunca dari salah diri sendiri. Aku start tinggal dekat asrama masa aku tingkatan 2. Lepas beberapa bulan, bangunan baru untuk dijadikan asrama perempuan dah siap dibina. Kitorang pun pindah situ.

Asrama baru tu ada 3 tingkat. Tapi warden tempatkan student di dorm tingkat bawah, tingkat 1 dan tingkat 2 je. Dorm tingkat 3 warden biarkan kosong dan dia jadikan tempat simpan tilam, bantal dan locker berlebih dan rosak. Kalau diikutkan kat tingkat 3 tu ada lagi 4 dorm. Dorm aku tingkat 1, tapi aku selalu lepak kat dorm kawan aku kat tingkat 2 sebab aku tak rapat dengan roomate aku. Nama kawan aku tu Jay. Tapi aku tak berkenan betul dengan dorm sebelah dorm Jay. Kitorang panggil dorm tu Dorm Hujung sebab dorm tu paling jauh.

Masa awal bulan, asrama tu tak ada apa pelik berlaku. Semuanya bermula dengan budak-budak Dorm Hujung suka sangat mengusik orang. Dorang pakai telekung, pastu berdiri kaku kat hujung koridor. Kadang dorang berdiri kat pintu dorm dorang tu. Bila orang lain terkejut, dorang tergelak mengilai, lawak sangat tengok orang terkejut. Tapi student lain tak berani nak report kat warden sebab geng tu macam geng taiko la. Ala-ala gengster gitu.

Macam trend plak ada yang mengikut. Ada sorang budak dorm bawah pun buat perangai macam tu. Pakai telekung, sakat budak-budak baru balik surau dari sembahyang jemaah isyak dan maghrib. Budak bilik dia cerita, sampaikan orang dalam toilet pun dia sergah. Dia siap pura-pura histeria lagi.

Nak dijadikan cerita, hari tu aku lepak kat dorm Jay sampai pukul 1 pagi. Yang lain dah tidur belaka. Aku dengan Jay duk borak lagi. Tengah ralit borak tetiba ada macam kelibat lalu kat tingkap sebelah katil tempat kitorang lepak. Kitorang nampak dari sisi mata tapi jelas sangat kelibat tu bergerak bukan macam manusia. Benda tu jalan straight je, lepas tu aku nampak bayang kelibat tu kat part bawah pintu dorm Jay. Benda tu bergerak ke arah Dorm Hujung. Beberapa saat tu “BAMM!!”. Bunyi macam orang hempas pintu Dorm Hujung.

Terdiam aku dengan Jay. Aku pandang dia, dia pandang aku, terus menggelupur kitorang capai selimut, then terus tidur. Esoknya kecoh orang bercerita pasal Dorm Hujung. Dorang cakap ada sorang budak bilik tu terjaga pagi tadi, lepas tu ternampak ada lembaga hitam atas locker tengah tenung dia.

Aku pergi bilik dia, aku tanyalah siapa yang hempas pintu malam tadi. Dorang jawab dorang tak dengar apa-apa pun. Aku cerita pasal malam tadi, lepas tu kitorang ramai-ramai baca yassin kat dorm dia. Dorang pun dah berhenti buat perangai usik orang. Insaf dah masing-masing.

Yang budak tingkat bawah yang mengusik orang tu pulak dia kena histeria. Mula-mula orang ingat dia main-main je. Bila budak tu dah menjerit lain macam baru panggil warden. Budak bilik dia pulak kena marah pasal panggil warden lambat sangat. Warden dia cakap sampai lebam tangan budak tu, tak tahu kena apa sebab dia histeria dalam bilik air. Warden panggil ustaz, ustaz cakap hantar dia balik rumah sebab dia macam tak berhenti meracau. Warden aku cerita masa kat rumah dia, dia lagi teruk meracau. Berapa hari tu dia balik asrama semula. Tapi kena lagi histeria. Lepas tu dia keluar asrama.

Lepas keadaan kembali normal, dah tak ada cerita pasal histeria dan nampak kelibat, roomate Jay cerita kat kitorang pasal game Spirit of the Coin. Pija namanya. Pija ni sekelas jugak dengan aku dan Jay. Cerita Pija, game tu kita boleh bercakap dengan orang mati. Pija ajak kitorang main game tu kat tasik kat tepi sekolah. Walaupun masing-masing takut tapi nak jugak tengok macam mana rupanya game tu.

Lepas asar, aku, Jay, Pija dengan 4 lagi kawan sekelas pergi tasik. Pija lukis bulat-bulat guna duit 20 sen atas kertas. Dalam bulat-bulat tu ada ABC, 123, perkataan YES, NO, BYE. Pija cakap lagi afdhal guna syiling 20 sen yang lama. Lagi lama lagi bagus. Time ni Pija sorang je letak jari atas syiling tu. Masing-masing first time tengok orang main game tu. Pija pun baca “spirit.. Spirit… please come to the coin”. Dia duk ulang je ayat tu, tapi macam tak ada apa jadi. Lama jugak la dia baca ayat tu, aku pun dah mula bosan. Masa tu aku dah terfikir dia menipu kitorang.

Tak lama tu aku nampak syiling tu macam terkeluar dari bulatan yang Pija lukis kat tengah. Aku pun tolak semula syiling tu bagi masuk balik dalam bulatan tu sebab aku ingat jari Pija dah lenguh, so dia tak sengaja tergerak syiling tu. Lepas tu Pija marah aku. Dia cakap jangan buat apa-apa kalau syiling tu bergerak. Kena tunggu sampai syiling tu pergi kat ‘BYE’ baru boleh angkat jari. Kalau tak nanti roh tu ikut balik. Dengan kawan-kawan aku yang lain sekali pakat marah aku jugak. Mana la aku tahu. First time aku tengok game tu.

Pija sambung balik baca ayat tu. Sekejap je syiling tu dah bergerak. Aku tak ingat sangat apa dorang borak. Yang aku ingat roh tu cakap dia perempuan, dia tinggal kat tasik tu.

Esoknya kantoi dengan budak laki kelas kitorang. Budak laki kelas kitorang ni geng-geng surau, alim la jugak. Dorang marah kitorang. Dorang cakap apa kitorang buat tu syirik, berdosa besar, kalau buat lagi dorang nak report kat warden. Kitorang pun tak buat dah, tapi ada lagi main game tu, dorang main senyap-senyap. Dorang stop main tu pasal ada beberapa kawan kitorang yang ikut main game tu dulu macam kena ganggu. Terasa ada benda ikut. Nampak orang solat dalam bilik dorang, tapi orang solat tu membelakangkan kiblat.

Ada satu hari tu, aku nampak Pija duduk kat tangga part bawah yang menghala ke tingkat 3. Aku pun pergi duduk sebelah Pija. Aku tanya Pija, kenapa duduk situ sebabnya jarang orang lepak kat tangga tu. Pija senyap je. Tak lama tu Pija cakap, “dia pandang kau sebab kau duduk dekat dengan rambut dia”. Pija bagitahu ‘dia’ tu perempuan rambut panjang. Pija tunjuk rambutnya panjang sampai betul-betul sebelah tempat aku duduk. Aku rasa kalau aku mengengsot sikit dah terduduk atas rambut ‘dia’ agaknya.

Masa tu Tuhan je tahu betapa dupdapnya jantung aku pasal bukan ada orang pun kat tempat Pija tunjuk perempuan tu duduk. Mujur masa tu ada akak senior, kak Ima, lalu dekat kitorang. Aku pun panggil dia. Masa kak Ima berjalan ke arah aku dengan Pija, tiba-tiba Pija bingkas bangun berlari naik ke tingkat 3. Kak Ima terus kejar Pija sambil tarik aku sekali. Aku dengan lembik lutut tu cemas nak tersungkur kat tangga. Aku ni jenis penakut sebenarnya.

Nasib Pija tak lari jauh. Kak Ima cepat-cepat capai tangan Pija. Sampai tingkat 3, mata Pija melilau sambil dia tunjuk kat koridor yang ada banyak locker. Masa tu aku tengok pintu-pintu locker terbuka tertutup sendiri macam ada orang main. Kak Ima cepat-cepat tarik Pija dan hantar balik ke dorm dia. Aku terpaksa cerita kat Kak Ima pasal kitorang main game Spirit tu. Sebab aku rasa kitorang kena ganggu ada kaitan dengan main game tu. Kak Ima marah sangat. Dia panggil warden, panggil ustaz suruh pagar asrama. Lepas dari tu, kena marah tu tak payah cakap lah, sampai bernanah telinga kena bebel. Tapi salah kitorang jugak.

Lepas tu masing-masing dah tak ada kena ganggu. Pija pun dah tak nampak perempuan tu. Pija cerita sebenarnya dia dah banyak kali nampak perempuan tu lepas dari main game Spirit tu. Cuma hari yang kat tangga tu perempuan tu macam ajak Pija ikut dia. Mujur tak ada benda buruk jadi.

Aku tak pandai sangat bercerita, tapi aku harap cerita aku ni jadi pengajaran. Berdosa besar menyekutukan Tuhan. Pantau adik-adik tinggal kat asrama. Kat asrama macam-macam orang boleh jumpa. Orang ajak buat benda baik, benda jahat, benda nakal. Umur sedang sekolah menengah, macam-macam nak cuba. Biasalah tu. Cuma jangan sampai terpesong iman.

Sekian…

Leave a Reply

10 Comments on "Gangguan berpunca dari salah sendiri"

Notify of
avatar
Sort by:   newest | oldest | most voted
Cikgu Bahasa

‘Asrama baru tu ada 3 tingkat. Tapi warden tempatkan student di dorm tingkat bawah, tingkat 1 dan tingkat 2 je. Dorm tingkat 3 warden biarkan kosong’

Klu ada tingkat bawah, 1, 2 & 3…tu maknanya 4 tingkat, bukan 3 tingkat!

Empat

Betul la dia tulis tu..dorm bahagian bawah..ade “koma” kan situ..pudui

Lima

Betul la cikgu bahasa cakap. Ada 4 tingkat

Efsi

Maksud dia ” tingkat bawah=tingkat 1 dan 2″@ 2tingkat paling bawah..huhu

Cikgu Bahasa dan MT

Betul3.
Ada 4 tingkat. Tingkat 1,2,3 dan 4.
Sebenarnya dia nak cakap Aras tu… Aras bawah, Aras1, Aras2, Aras3. Hahah

sha

“Gangguan berpunca dari salah sendiri.”

patutnya;

“Gangguan berpunca daripada salah sendiri.”

dari = diguna untuk menunjukan tempat = saya datang dari….
daripada = diguna untuk menunjukkan perbuatan = tapak kasut saya dibuat daripada getah

Empat

Tak mencacatkan cerita pun..dia sekolah mesti dah belajar..kamonnn..

Lima

Orang tegur tu terima jela

Empat

Eh biarla kita nak backup..terima lah jugak…huhu

6467

Ni mesti cikgu bm x pon bm mesti power

wpDiscuz