Gangguan Makmal Sains

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat pembaca semua. Seronok membaca Fiksyen Shasha ni membuatkan saya terpanggil untuk berkongsi. Maaf jika tidak menyeramkan. Tapi inilah pengalaman benar yang saya alami pada 2015.

Kisah bermula di sebuah sekolah di negeri Selangor. Sekolah agama yang baru selesai dibina pada 2013. Saya dan beberapa orang guru lelaki yang lain diberi kebenaran oleh guru besar untuk menghuni makmal tingkat 2 blok c memandangkan kami tinggal jauh dan makmal tersebut masih belum berfungsi.

Malam itu saya dan 2 lagi sahabat berborak-borak usai solat maghrib. Selepas itu (sekitar jam 8 malam) mereka minta izin keluar bermain futsal. Saya tidak ikut sama memandangkan terlalu banyak kerja yang perlu diselesaikan. Jam menunjukkan pukul 8.30 malam. Saya bercadang menunaikan solat Isyak terlebih dahulu. Semasa menunaikan solat isyak, tiba-tiba seterika yang ada di atas meja yang tak pernah jatuh, tak semena-mena jatuh. Sepatutnya ia tak jatuh sebab tingkap dan pintu semua tertutup rapat. Hendak katakan angin, memang sangat mustahil. Kucing?? Apatah lagi. Mana mungkin pula kawan-kawan. Sebab saya dah pastikan mereka membonceng motor terus keluar. Pintu bilik dikunci dari luar dan hanya saya seorang yang ada kunci tersebut. Saya abaikan. Saya meneruskan solat sehingga selesai.

Usai itu saya terus mengambil peralatan bekerja. Laptop dan buku-buku yang perlu diselesaikan semuanya berada di atas meja. Meja yang saya gunakan berada pada sudut paling hadapan sekali. Untuk menghilangkan kebosanan, saya membuka muzik. Mula-mula tiada apa yang berlaku. Tetapi selepas hampir separuh lagu dipasang, bunyi burung mula mengiringi muzik yang saya dengar. Saya tekan butang ‘pause’. Bunyi burung berhenti. Namun apabila saya memainkan semula lagu tersebut, bunyi burung mengganggu semula. Selepas 4-5 kali diganggu dengan bunyi burung tersebut, saya padamkan lagu tersebut untuk menumpukan kepada kerja. Saya mula menyelak helaian kertas di atas meja. Sambil saya menyelak, ada ‘makhluk’ lain turut menyemak kertas di belakang. Bunyinya tersangat kuat. Saya berhenti menyelak dan menoleh ke belakang. Kosong. Hanya meja-meja dan deretan kerusi tak berpenghuni yang ada. Saya abaikan. Saya mula menulis.

Makhluk misteri juga menulis di belakang. Bunyinya sangat kuat seperti ingin menyatakan kehadirannya kepada saya. Saya buat tak endah. Mungkin sebab itu ‘dia’ mula memberikan bunyi yang lebih hebat. Terdengar dari belakang bunyi kerusi diseret. Sebagaimana saya telah menyeret kerusi. Saya toleh ke belakang. Saya bingkas bangun dan mengemas peralatan. Rasa terganggu yang amat sangat. Saya mencapai kunci kereta. Turun ke parkir. Buka pintu kereta. Terus menekan minyak kereta. Saya melalui pintu pengawal keselamatan.

Pegawai keselamatan bertanyakan kepada saya ke mana saya ingin pergi. Saya berkata bahawa tidak ke mana-mana. Berasakan saya perlu berkongsi cerita, saya bertanyakan pengawal tersebut adakah dua orang sahabat saya tadi pulang semula ke sekolah. Pengawal menyatakan, “mana de orang masuk. Kita dua je kat sekolah tadi.”

Saya memulakan cerita. Satu persatu saya ceritakan. Pengawal hanya mendengar dan berkata, “tu biasa je cikgu. Saya ada cerita lagi hebat.”

**Kisah pengawal keselamatan**

Beliau bercerita satu persatu. Cuma saya ingin kongsikan satu kisah yang paling seram dalam kalangan kumpulan cerita beliau.

Katanya, setiap hari jam 2 pagi, pintu bilik pengawal pasti akan diketuk orang. Dia pasti terbangun. Risau ada sesuatu yang buruk berlaku. Beliau mengenyeh mata dan membuka pintu. Tiada sesiapa. Tapi usai pintu ditutup, lembaga berbaju putih akan menampakkan dirinya di hadapan tingkap.

Untuk pengetahuan semua pembaca, pengawal keselamatan yang ada berganti seramai 3 orang. Mereka tidak mengenali antara satu sama lain. Sepanjang berganti itu saya pasti akan bertanya kisah seram yan mereka alami. Jujur semua pengawal akan memberitahu kisah yang sama. Waktu dan makhluk yang sama.

**Kisah pengawal dua**

Jam menunjukkan pukul 12 tengah malam. Tiada apa-apa berlaku. Hanya sesekali bunyi kereta menyelusuri jalan dan bunyi-bunyi unggas. Suasana sangat tenang ketika itu. Matanya mula mengantuk. Dia cuba memerhati sekeliling. Memastikan kawasan sekolah selamat. Setelah berpuas hati, dia masuk ke bilik pengawal dan mula melelapkan mata. Niatnya cuma sebentar sahaja. Tiba-tiba terdenga bunyi riuh rendah hiruk pikuk gelagat manusia. Fikirnya hari sudah siang dan murid-murid sudah tiba di sekolah.

Tapi sangkaannya meleset. Dia batu terlelap sekitar 10 minit. Dia bingkas bangun. Takut sesuatu terjadi. Dia mencapai lampu suluh dan berjalan ke kawasan bangunan sekolah. Sunyi. Dia terus ke padang sekolah yang terletak di kawasan paling belakang. Alangkah terkejutnya dia apabila terdapat ‘pasar malam’ dengan deretan gerai-gerai dan ratusan pengunjung. Masing-masing bising menjual dan membeli makanan dan jualan di situ. Dia menggenyeh mata. Betul-betul tak percaya. Setahunya mana ada orang berniaga di padang sekolah. Tambahan pula jam sudah menunjukkan pukul 12.15 malam. Mana ada orang berniaga sekitar jam itu??

Dia memberanikan diri menghampiri kawasan pasar malam tersebut. Baru sahaja dia melangkah, semua pengunjung dan penjual memandang ke arahnya. Dia mula terketar. Mana tidaknya. Wajah-wajah yang memandang ke arahnya kosong. Wajah yang kosong. Tanpa ada mata hidung dan mulut. Masya Allah. Dia membaca ayat kursi dan berlari ketakutan ke arah bilik pengawal dalam keadaan menggigil.

Sekian kisah dari saya. Terima kasih kerana membaca.

Zik

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 3 Average: 4.7]

2 thoughts on “Gangguan Makmal Sains”

  1. Ya Allah kalau aku pon menggigil kalau dah benda tu pakat-2 pandang. Time lari tu mesti dok terbayang benda-2 tu kejar ?

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.