Iskandar menarik nafas panjang. Udara nyaman yang menyegarkan. Suasana aman damai di Kampung Tinggal sangat di luar jangkaannya. Jauh lebih indah daripada yang dia sangkakan. Imej bayangan yang dia lihat sebelum ini, tidak sehebat berdiri sendiri di kawasan perkampungan itu. Di samping Salafus Luqman, dia berjalan menuju ke balairong istana, tempat pertemuan penting diraja bersama-sama pembesar-pembesar sekalian. Namun, hari itu lengang. Tiada seorang pun kelihatan di situ. Tiang panji di luar hanya terbentang bendera hitam, bertebaran ditiup angin sepoi bahasa.
Iskandar, tanpa dijemput, masuk lalu duduk di kerusi raja di dalam balairong istana. Tindakan itu tidak ditegah oleh Salafus Luqman. Lambat laun, pemandangan sebegini yang akan dibiasakan oleh rakyat jelata di kampung itu. Iskandar duduk dengan megahnya, kembali melihat kepada Salafus Luqman. Hanya memandang kosong. Senyuman kepuasan dapat dilihat. Sesuatu yang baru, sesuatu yang mutlak miliknya kini di hadapan mata. Dia berasakan usaha yang dilakukan oleh ibunya untuk melindunginya daripada alam ini, sia-sia belaka. Menjadi pewaris raja, bagaikan pucuk dicita ulam mendatang. Salafus Luqman hanya memerhati, cuba menilai kewibawaan bakal raja tersebut.
Iskandar memulakan bicara,”Di mana permaisuri kamu?” Dengan penuh merendah diri, Salafus Luqman menjawab,” Yang Mulia Permaisuri masih di dalam tempoh berkabung, Tuan Iskandar. Genap 40 hari, insyaAllah, Yang Mulia Permaisuri akan datang menghadap. Buat masa sekarang, hanya istiadat ringkas akan dilakukan. Tuan Iskandar akan ditabalkan sebagai pemangku raja, esok hari, sehinggalah Yang Mulia Permaisuri tamat berkabung. Tempoh 40 hari ini hendaklah digunakan untuk mengenali bakal tampuk pemerintahan tuan. Saya akan sentiasa di sisi tuan, untuk tujuan itu.” Iskandar mengangguk. Masih ada perkara yang lebih penting yang perlu diuruskan. Dia berdiri, lalu ke hadapan Salafus Luqman. Ternyata, Iskandar mahukan sesuatu.
“Aku perintahkan kamu untuk memanggil semua pembesar segera pada malam ini, Salafus Luqman. Katakan kepada mereka, bakal raja telah tiba. Ingin diadakan sedikit jamuan, sebagai tanda perkenalan mereka dengan aku. Boleh kamu aturkan untuk aku, Salafus Luqman?” Dengan kata-kata tanpa nada, Salafus Luqman menjawab,” Maafkan saya, Tuan Iskandar. Dalam protokol diraja kami, sesiapa yang masih belum ditabalkan sebagai raja, tidak mempunyai kuasa untuk mengumpulkan orang-orang tua yang berjawatan rapat dengan raja sebelumnya. Ini untuk mengelakkan persengketaan awal, bagi mana-mana keluarga yang enggan taat setia. Juga, untuk mengelakkan proses melobi daripada mana-mana cabang keluarga untuk mendapatkan jawatan dan kuasa paling tinggi dalam kerajaan baru.”
Iskandar berang, namun ditahan di dalam hati. Dia menjawab,”Jadi, untuk apa aku ke sini? Hanya melihat kebanggaan seni reka dan bangunan-bangunan di sini sahaja? Beromong kosong dengan kamu seorang di sini? Amalan kalian semua seharusnya diubah. Aku tiada kepentingan untuk menerima mana-mana lobi daripada mana-mana cabang keluarga.”
Salafus Luqman memandang tepat pada mata Iskandar, lalu berkata,”Percayalah, Tuan Iskandar. Masih ada perkara yang lebih penting yang perlu kita lakukan. Perang di tanah asing, masih berjalan. Sekiranya Tuan Iskandar masuk campur dalam urusan perang tersebut, dan berjaya, nescaya kepercayaan rakyat jelata akan lebih kukuh. Mereka akan taat setia kepada tuan, dengan izin Allah hendaknya.”
Iskandar kembali duduk ke atas singgahsana. Difikirkan sesuatu. Niat dan matlamat Iskandar, masih tidak jelas bagi Salafus Luqman. Juga tidak jelas adakah benar bakal raja di hadapannya itu, akan betul-betul berdiam di sini, dan menerima takhta sebagai mana yang diinginkan oleh Adam, dan juga dirinya sendiri. Iskandar, bangsawan penuh misteri.
“Berapa ramai pahlawan yang turut serta dalam perang di sana, Salafus Luqman?” “50 orang pahlawan tinggi, Tuan Iskandar. Mereka semua terdiri daripada cabang keluarga yang taat setia kepada laungan suara Adam, tangan kanan diraja.” Iskandar mengangguk, lalu bertanya lagi,” Aku ingin lebih tahu lagi tentang cabang-cabang keluarga yang ada di sini. Sudi menerangkan untuk aku?” Salafus Luqman mengangguk, lalu mula menerangkannya.
“Keluarga di Kampung Tinggal asalnya terdiri daripada tujuh keluarga besar, Tuan Iskandar. Semenjak kemangkatan Raja Mikraj, raja berdarah bunian yang tulen, iaitu raja sebelum Raja Muzaffar, enam daripada tujuh keluarga yang mengangkat sumpah setia kepada baginda. Keluarga susur galur Tun Masyhoor yang tertua dipanggil cabang Mustafa, diikut cabang kedua terkuat, cabang Lestari, kemudian cabang Angsana, cabang Raksara, cabang Perpatih, dan cabang Unjuran.”
“Bagaimana dengan cabang terakhir yang enggan taat setia itu,” “Semuanya dihukum b***h oleh Almarhum Raja Mikraj, iaitu cabang Pertapa. Ketika itu, ketua cabang itu adalah ayah kepada Adam, Tun Maliki. Adam memohon dikecualikan daripada hukuman, dan sumpah taat setia dengan membuang susur galur keluarga sendiri.”
“Jadi, dia diangkat menjadi tangan kanan raja atas dasar itu?” ” Tidak, Tuan Iskandar. Dengan tangannya sendiri, Adam m******h Tun Maliki, ayahnya. Kepala Tun Maliki dipersembahkan sebagai sumpah setianya kepada raja. Dia kemudiannya dihukum penjara seumur hidup, atas hukuman m******h dengan niat. Sehinggalah kisah Adam diketahui oleh Almarhum Raja Muzaffar, dia diberi pengampunan, dan diangkat sebagai tangan kanan diraja atas keberanian dan taat setianya.” “Malang bagi pak long, ketaatan yang tercela. M******h raja yang mengangkatnya tinggi. Sungguh benar bahaya si Adam ini,” getus hati Iskandar.
“Kamu. Kamu dari cabang keluarga mana?” “Saya dari susur galur keluarga Mustafa, Tuan Iskandar. Sekarang di bawah naungan Tok Batin kami, Tun Masyhoor, datuk kami. Saya adalah anak kedua daripada susur galur yang layak sebagai galang ganti kepada Tok Batin, jika dia jatuh sakit. Abang saya, Salafus Salleh, pemegang utama tembok keluarga kami.”
“Di mana dia? Kenapa aku tidak pernah berjumpa dengannya?” “Tok Batin menghantarnya untuk turut serta di dalam perang tersebut, Tuan Iskandar.” “Jadi kamu. Kamu di pihak mana? Adakah semua memihak kepada kebangkitan Adam untuk menuntut bela terhadap manusia bernama Shahrin itu?”
“Saya tidak memihak kepada mana-mana pihak, Tuan Iskandar. Saya hanya rakyat biasa, yang menanti dengan sabar kedatangan raja baru untuk kedamaian kampung ini. Saya melaksanakan tugas atas dasar kepentingan kita bersama.”
“Jadi, meletakkan aku sebagai pemangku raja, adalah kepentingan bersama kamu?” Salafus Luqman mengangguk. “Itu hanyalah wayang, kamu dipermain-mainkan oleh Adam, pembelot terbesar di dunia kamu,” Iskandar hanya beromong di dalam hatinya. Dia tahu, kata-kata perlu ditutur secara berhati-hati di sini. Iskandar sedar, dia perlu bersabar dengan agendanya. Ternyata, dia memang mahukan takhta raja di Kampung Tinggal ini.
***
Tumbang. Mangsa ke-30 dari kalangan bala tentera bunian. Dengan izin Allah, lebih daripada separuh sudah jatuh, tewas di tangan Munsyi dan Ren. Namun, di situlah hadnya. Ren hanya mampu berdiri dengan memacakkan pedang ‘ciptaan’nya sebagai tongkat. Tidak lagi bermaya. Bermuntah d***h, kesan pertarungan yang maha hebat. Kawasan tandus ini menjadi semakin panas, angin kuat tidak mengubah apa-apa.
Munsyi juga sudah duduk melutut. Penuh berlumuran d***h di dahi. Dia cedera akibat serangan bertalu-talu daripada kaum bunian yang dahagakan dendam. Meskipun begitu, hammer miliknya juga tidak lekang dengan d***h lawannya. Kini, mereka benar-benar pasrah. Jika terus digempur oleh musuh, nescaya tamat riwayat mereka.
Di pihak sana, pahlawan sekalian juga sudah m**i akal. Ramai rakan seperjuangan bertaburan di tanah pasir tandus itu. Mereka sudah hilang kekuatan mental. Apa lagi yang boleh dibuat untuk memusnahkan dua manusia di hadapan mereka. Sangat utuh, bak bertarung dengan segerombolan manusia dalam peperangan. Cukup hanya berdua.
“Inilah masanya. Hahahaha!” Busroq membuka hud kepala jubahnya. Tertonjol rupa ularnya, dengan leher berlubang dek kerana kayu cemeti sakti Adam. Tangan berkuku hitam juga tidak lagi disorok. Sudah tiba masanya untuk dia turun padang. Lawan sudah lemah, inilah peluang terbaik. Dia lantas menjerit,”Hai ketua bunian, Si Adam. Turunlah. Jangan jadi pengecut. Kita tamatkan semua ini dengan segera. Mangsa sudah cukup terseksa di sana. HAHAHA!~”
Lalu, turunlah Adam, betul-betul di hadapan Ren dan Munsyi. Sekilas pandang sahaja yang dapat mereka berikan kepada Adam. Adam benar-benar berubah. Bukan lagi Adam yang mereka kenal dahulu. Bukan lagi Adam yang menjadi tunjang menewaskan Busroq pada pertarungan yang lalu. Bukan lagi Adam yang ikhlas membantu Natrah, sebaliknya kini dialah dalang kepada persengketaan di tanah gersang ini.
“Adam…..aku tidak sangka pengakhiran ini yang kau mahukan….” Ren berkata-kata lemah. Tiada lagi kudrat yang boleh digunakan untuk bertarung. Hanya kata-kata sebagai cubaan meleraikan persengketaan mereka.
“Semua ini tidak akan berlaku, Shahrin. Jika kamu tidak membangkang urusan aku untuk mengangkat kamu menjadi raja kami.” Munsyi memandang ke arah Ren. Ini adalah sesuatu yang baru baginya. Tidak hairanlah Adam sentiasa dahulukan Ren, meskipun isterinya dalam bahaya suatu ketika dahulu.
“Aku bukanlah salah seorang daripada kamu. Kenapa perlu hambakan diri kepada matlamat kamu, sedangkan masih ada jalan lain untuk penyelesaian. Ini sampaikan anak yang tidak berdosa menjadi mangsa. Kami hanya mahukan hak kami. Pulangkan Raykal, anak Munsyi sekarang.”
“HAHAHAHA, HAHAAHAH! Tidak aku sangka, persengketaan kamu berdua rupanya kerana takhta. Kau, Shahrin. Hidup senang lenang sebagai raja yang kamu tidak mahukan? Bodoh!”
Busroq cuba membuat provokasi murahan, supaya kehangatan peperangan itu dapat ditingkatkan kembali. Hambar jadinya jika dua makhluk lemah di hadapannya, m**i dengan sejurus sahaja. Tatkala mereka bertentang mata berempat, pahlawan bunian lain hanya memerhati dengan penuh ingin tahu. Apakah kesudahan kepada semua ini?
***
Di sebalik kekecohan itu, Salafus Salleh memandang dengan tenang dari kejauhan. Kehadirannya di tanah tandus itu tidak disedari oleh sesiapapun. Dia kagum dengan keutuhan dan semangat Munsyi dan Ren. Meskipun berhadapan dengan pahlawan hebat dari keturunannya sendiri, dia akui dua makhluk di hadapannya itu cukup kuat dan wajar dipuji. Tidak hairanlah bangsa manusia diangkat tinggi oleh Yang Esa. Mereka kuat kepada pegangan hati, tidak runtuh hanya kerana halangan di hadapan mereka. Mereka dua pahlawan yang dilindungi, yakini hati Salafus Salleh.
Adam mula mengorak langkah. Diangkat tangannya tinggi tinggi ke atas. Lantas, Ren dan Munsyi juga turut sama terbang ke awangan. Dirapatkan kedua-dua belah tangannya, lantas Ren dan Munsyi berlanggar antara satu sama lain di udara. Dua tiga kali pertembungan dilakukan oleh Adam. Mangsanya semakin layu.
Namun, dilihat kedua-duanya masih utuh memegang senjata. Kejap di tangan masing-masing, tanda tidak mengaku kalah. Adam berang, dibalingnya kedua-duanya jauh ke belakang. Terjelepuk ke padang pasir. Erangan kesakitan disusuli kemudiannya. Salafus Salleh hendak sahaja masuk campur, namun disabarkan hatinya. Masih belum tiba masanya. Hanya doa dan harapan ditanam kepada kedua-dua pemuda itu, agar dapat terus bertahan.
Busroq melangkah ke hadapan. Kewujudannya kini disedari oleh kaum bunian yang lain. Barulah mereka sedar, Adam bersekongkol dengan makhluk jijik untuk kepentingan mereka berdua sahaja. Baru mereka sedar, tumpasnya rakan-rakan seperjuangan adalah untuk perjuangan yang sia-sia. Dendam tidak akan tamat begitu sahaja. Jika Shahrin m**i, hanya itu sahaja yang mereka dapat. Kematian di atas kematian semata-mata. Busroq, bukanlah dalam jangkauan pengetahuan mereka. Dalang kepada semua ini.
Tidak lama kemudian, Ren bangun perlahan-lahan, bertongkatkan pedangnya. Adam mengeluarkan kayu cemeti di sisi pinggangnya, sedia untuk bertarung. Busroq terbang ke tepi Ren, lalu berbisik sesuatu,” Mahu terima tawaran aku, manusia hingusan? Aku boleh bantu kamu. HEHEHEHE~”
Bak bisikan syaitan di telinga anak-anak Adam, manusia di muka bumi. Ren tidak perlukan semua itu. Dia kembali memfokuskan hati dan akal ke arah pedangnya. Untuk libasan terakhir. Busroq, dengan cara bermain-mainnya, menjilat-jilat kesan d***h di muka Ren. Ren tidak membalas, dia hanya terus fokus dalam ‘tafakur’nya.
“Terimalah tawaran aku. Mari kita bekerjasama, hai manusia….HEHEHE!” Sekali lagi gangguan berbisik daripada Busroq. Kehadirannya di situ bukanlah untuk bertarung, tetapi sekadar menjadi batu api kepada kedua-dua pihak.”
“Berambus kau, Busroq! Jika kau enggan bersama aku, baik kau ke tepi sahaja!”Adam menempelak Busroq. Kehadirannya mengganggu ketegangan pertarungan di situ. Busroq hanya ketawa besar. Dia suka. Inilah yang dia mahukan. Pertelagahan antara pihak-pihak yang telah menggagalkan perjanjian dia dengan Suri. Pertelagahan pihak-pihak yang memaksa tangannya mencabut nyawa bekas tuannya sendiri. Harga d***h, dibayar d***h!
Ren melaungkan nama suci Allah. Allahuakbar! Seraya mengangkat tinggi pedang saktinya. Dengan cebisan kudrat yang berbaki, dia lantas meluru ke hadapan. Menuju ke arah Adam dengan niat yang satu. Menamatkan semua ini. Semua tertumpu hanya pada satu jurus. Satu jurus yang akan menentukan kesudahan pertarungan ini. Adamkah pemenang, si bunian dengan penuh tenaga? Ataupun, Ren, pemuda yang sentiasa terlibat dengan pertarungan yang tidak melibatkan kepentingan sendiri?
Adam cuba menghayunkan kayu cemeti di tangan kanannya. Urusan mudah biar dihabiskan sahaja. Namun, dia berasa aneh. Sesuatu menghalang pergerakannya. Dicuba menoleh ke kanan. Kejap dan kemas pelukan Salafus Salleh di lengan kanannya. Inilah yang ditunggu-tunggu oleh Salafus Salleh. Cuba menolak. Gagal. Salafus Salleh juga ampuh ilmu pertarungannya. Separuh badannya kaku. Lalu, dicuba untuk menggerakkan tangan kiri untuk menghadapi serangan Ren.
Juga kaku. Ditoleh pula ke arah kirinya. Dibalas dengan senyuman menyeringai. Busroq! Busroq memeluk rapat bahagian kiri badannya. Tidak disangka-sangka. Dalam ramai-ramai orang di situ, makhluk jijik itu yang menjadi penghalangnya.
“Sialan, kau pembelot! Celakalah kam…..” Sejurus belahan pedang tepat di bahu kiri Adam. Menghunuh panjang membelah ke bawah, dari kiri ke pinggang kanannya. Hayunan disusuli d***h si bunian pembelot itu. Dia masih memandang ke arah Busroq. Senyuman, disusuli pula dengan hilaian ketawa Busroq semakin sayup kedengaran. Sungguh tidak Adam sangkakan, dia disabotaj oleh makhluk jijik yang bekerjasama dengannya, juga disabotaj ahli bunian setaraf dengannya. Adam rebah bersama rancangannya. Terbaring di tanah pasir tandus, menutup mata. Hilang.
***
“HAHAHAHAAH! HAHAHAHA!” Puas. Rancangan berjaya. Busroq menepuk-nepuk tangannya. Jatuh rebah Adam, lelaki dalam kepada peperangan tandus itu. Ren dengan sisa baki tenaga telah digunakan, rebah. Pedang terbang ditiup angin. Hanya sayup-sayup melihat kegembiraan Busroq. Dia juga turut berasa pelik. Mengapa sangat gembira makhluk bajingan itu.
Tidak penting lagi. Pejamkan mata, fikirkan yang indah sahaja. Semua akan baik-baik sahaja.
***
Tiupan angin kuat membentuk pusaran di tengah-tengah. Bukan sahaja pedang Ren hilang jasadnya, Ren dan Munsyi juga semakin hilang ditelan ribut di tengah-tengah kekalutan itu. Makhluk manusia biasa itu hilang ditelan pusaran. Pergi begitu sahaja, meninggalkan yang lain di tanah gersang itu.
Salafus Salleh menukar sasaran. Dia mengeluarkan senjata miliknya, keris salju. Aura kesejukan kelihatan sebaik sahaja dia menghunus keluar keris itu. Busroq lantas terbang pergi, bertenggek di atas pohon kurma. Ketawa hilaian makin kuat kedengara di pelosok kawasan itu. Puas. Dia puas. Barulah tahu, kenapa dia lakukan semua ini. Bukanlah untuk mengganggu Munsyi. Bukanlah untuk mendapatkan pembalasan daripada suami Natrah itu. Sebaliknya, dendam Busroq tertumpu kepada Adam, dan Raja Muzaffar. Dua tonggak perosak rancangannya. Ren dan Munsyi, serta anaknya, hanyalah mangsa keadaan. Batu loncatan untuk helah tertinggi milik makhluk ular berjubah hitam itu.
“Hai kaum bunian di sana. Tanamlah rasa bersyukur atas semua yang berlaku di sini. Jadikan pengajaran. Jangan ditanam benci kepadaku. Aku hanya makhluk seruan dengki, jadi wujudnya aku atas hasad dengki kamu semua. Akan kubisikkan kejahatan sebagai api kepada hasad dengki kamu. Sepertimana yang kamu lihat di sini. Adam, orang besar kamu, mendengki keberadaan makhluk hingusan tadi. Matlamatnya, aku tiupkan segala api dengki, marak! Membakar diri. Contohilah dia, akan aku dampingi kalian. Ingat! Aku adalah kamu, kamu bukanlah aku! HAHAHAHAHA!”
Busroq berlalu pergi. Meninggalkan kaum bunian terpinga-pinga dengan apa yang telah berlaku. Busroq sudah selesai tugasan dendamnya, menjadikan semua ini kucar kacir. Salafus Salleh, berkata di dalam hati,”Aku adalah nafsumu, kamu bukanlah aku.” Itulah maksud utama Busroq, kata-kata keramat yang menjadi ucapan tersirat dalam kata-katanya selama ini. Salafus Salleh beristighfar, lalu melaungkan azan.
“Wahai pahlawan-pahlawan sekalian, jadikan semua ini pengajaran. Inilah akibat menyekutukan perpaduan kaum kita! Lihatlah apa yang berlaku kepada orang kuat kita. Terjerumus ke lembah hina. Dihukum atas dengki dan iri hati. Menghukum manusia bernama Shahrin bukanlah isu kita. Kita perlu bangkit, dan berharap adanya raja yang mampu mengembalikan kegemilangan kita. Ayuh, bantulah aku. Kita bawa pulang jasad-jasad sahabat kita. Pulanglah dengan keinsafan, kalian!”
Salafus Salleh tunduk melihat jasad Adam. Masih bernyawakah dia? Diangkatnya ke bahu. Lelehan d***h dari dada Adam yang terbelah tidak diendahkan. Perang sudah tamat. Mereka harus pulang, pulang meninggalkan memori hitam dalam sejarah hidup kaum mereka ini. Terperdaya dengan hasutan anak didik ifrit.
***
Iskandar sah sebagai pemangku raja di Kampung Tinggal. Upacara istiadat kecil-kecilan diadakan, dengan dihadiri oleh keenam-enam ketua cabang keluarga, dan ahli-ahli keluarga tertinggi mereka. Adinda puteri diraja, dua adik Permaisuri Seroja, turut hadir sebagai wakil Permaisuri Seroja yang masih berkabung. Iskandar kini digelar Raja Iskandar, dan masih belum menerima angkat sumpah setia daripada kesemua cabang keluarga bunian. Semua itu akan dilakukan selepas tamatnya tempoh berkabung. Iskandar juga bebas memilih kerajaan baru, berdasarkan kepada kecenderungannya terhadap cabang keluarga mana yang dikehendakinya. Dia juga bebas untuk mengambil tindakan kepada mana-mana cabang yang enggan taat setia. Sudah tertakluk dalam kuasanya nanti. Namun, dia yakin tidak akan ada bangkangan. Contoh penghapusan cabang susur galur keluarga Adam menjadi bukti pembalasan, jika murkanya raja kelak.
Perkara utama menjadi urusan penting dalam pentadbiran baru Iskandar, penerimaan pulang pahlawan-pahlawan yang bertempur pada peperangan tempoh hari. Mereka baru pulang. Jumlah terkorban, 27 orang. Pahlawan yang cedera diberi rawatan. Adam? Diberi rawatan sewajarnya. Dia tidak terkorban. Libasan pedang hanya mencederakannya, tidak mencabut nyawa. Ternyata, makhluk 300 tahun itu masih utuh, meskipun dicederakan sebegitu rupa.
Tempoh 3 hari diberikan kepada pahlawan-pahlawan itu untuk beristirahat. Mereka akan diarah menghadap raja baru, Raja Iskandar untuk mengetahui nasib mereka. Pulang didendang, atau menghadap murka sebagai balasan. Adam masih tidak sedarkan diri. Rawatan diberi, dengan harapan dia dapat bangun menjawab segala tohmahan terhadap dirinya, dan terhadap adik Iskandar, Shahrin. Menjadi tanda tanya, di manakah Iskandar akan berpihak. Kaum barunya, atau adiknya sendiri?
***
Pahlawan-pahlawan yang pulang tunduk menghadap. Adam dibawa bersama, di pembaringan. Dia sudah sedar, dan hanya terdiam tenang. Menanti penghakiman di balairong istana Kampung Tinggal. Di hadapan mereka, Raja Iskandar duduk tenang, memerhati setiap wajah pahlawan di hadapannya.
“Selamat pulang, perwira sekalian. Tahniah kerana membuktikan taat setia kalian terhadap raja yang mangkat. Beta tertanya-tanya, adakah kalian akan bertindak sama seperti itu, jika beta yang menjadi mangsa.”
“Sumpah setia kami kepada raja, tuanku. Takkan berpaling daripada kepentingan diraja. Kami hanya mahu menuntut bela atas kematian Almarhum Mulia Raja Muzaffar,” terang salah seorang pahlawan di situ.
Iskandar tersenyum. Lalu, berkata,”Puaskah kalian? Bertarung, namun gagal. Tahniah, bertindak tanpa mendapatkan perkenan beta. Puaskah kalian!?” Terdiam semuanya. Raja Iskandar bukan main-main. Dia menganggap pahlawan-pahlawan itu telah berpaling daripada titah sebenar diraja.
“Tun Masyhoor.” “Ya, tuanku.” “Apakah hukuman setimpal untuk mereka yang engkar dengan raja di sini?”
“Bersesuaianlah, tuanku, jika mereka disembelih satu persatu, dengan rela hati. Perbuatan memalukan ini tidak sepatutnya terjadi. Mereka lebih mendengar kepada satu pihak, yang ternyata berdusta, tuanku.”
Raja Iskandar berpaling kepada Adam.”Hai orang kanan diraja. Ada hujah untuk mempertahankan tindakan kamu?” Adam memandang tinggi, tepat ke mata Raja Iskandar. Dia hanya memandang kosong, tiada hujah yang bernas untuk tindakannya. Jauh di sudut hati, dia menyumpah-nyumpah Busroq, dalang kepada semua ini. Kesannya, hanya dia bakal menjadi mangsa.
“Apa kata kamu!?” Lantas, Adam berkata,” Patik menerima apa sahaja hukuman, tuanku. Patik bertanggungjawab terhadap setiap pahlawan yang berdiri di belakang patik, menuntut bela atas kematian Yang Mulia.”
“Jadi, kamu masih tetap dengan pendirian kamu, bahawa Shahrin, pembunuh Raja Muzaffar?” “Ya, tuanku. Permaisuri Seroja tahu segalanya.”
Datanglah seorang gundik, mendulang sesuatu dan dibawa kepada Raja Iskandar. Raja Iskandar kemudiannya bertitah,” Wahai Salafus Salleh, ke mari kamu menghadap. Sentuh, peganglah keris ini. Adakah benar tulah menimpa.”
“Ampun, tuanku. Dengan izin.” Lalu, Salafus Salleh datang ke atas pentas singgahsana, mengambil keris yang telah menjadi senjata m******h Raja Muzaffar. Dibuka pembalut, dihunus keluar dari sarungnya. Lalu, dikucup seadanya. Tiada apa-apa yang berlaku. Terdiam hadirin di situ. Adam tertunduk. Tembelangnya pecah.
“Lihatlah. Keris ini hanyalah keris. Tulah hanyalah omongan diraja. Agar tiada berlaku pemilikan harta diraja di kalangan ahli-ahli biasa. Dengan penipuan ini, terbukti kamu, Adam, telah berkomplot dengan kuasa luar yang jahanam, untuk menjatuhkan kerajaan terdahulu!”
Raja Iskandar menambah dalam titahnya,”Salafus Salleh, aku halalkan tengkuk semua pahlawan di sini. Jadikan pengajaran kepada semua. Inilah murka raja kalian! Tinggalkan Adam untuk yang terakhir.” Dengan pantas, Salafus Salleh mara ke hadapan, menyembelih satu persatu leher pahlawan-pahlawan di hadapannya. Tumbang, bagaikan lembu korban di Aidiladha. Tangisan ahli keluarga lain kedengaran, sedih mengenang pemergian anak bangsa masing-masing. Dek kerana pendek akal, mengikut revolusi tanpa arah Adam. Tinggallah Adam seorang, menunggu nasibnya. Hanya berserah.
“Wahai Salafus Salleh, aku angkat darjatmu, menjadi orang kanan diraja bagi beta, menggantikan pembelot di hadapan ini!” “Menjunjung titah, tuanku.” “Kerah tenaga sekalian ahli, korek dalam-dalam penjara paling hujung di bawah tanah itu. Isikan dengan air panas, rendamlah kamu selama-lamanya di dalamnya, Adam si pembelot!” Hukuman dijatuhkan. Dari penjara datangnya taat setia Adam, berakhirnya di penjara juga tempatnya. Penghinaan terbesar bagi orang kanan diraja. Hina sehinanya.
***
Munsyi dan Ren semakin pulih. Pertarungan itu ditamatkan, atas bantuan Haji Jalal. Haji Jalal menyeru roh mereka pulang tepat pada masanya. Roh kembali pulang ke jasad, dan terus tidur dua hari lamanya. Kepenatan, kesakitan jiwa. Natrah setia di sisi, meneman suami dan rakannya, sehinggalah mereka sedar. Kegusaran belum tamat. Raykal Danish masih tidak dijumpai.
Pagi itu, usai Subuh, Haji Jalal kembali bertafakur. Mencari-cari semangat yang hilang. Terbang mencari jalan pulang untuk Raykal, nyawa yang dirindukan. Penuh air mata Natrah, kesedihan tanpa punca. Mencari anaknya yang hilang, masih belum diketahui nasib permata hatinya itu. Di pembaringan, Munsyi mengurut-urut tangan isterinya. Cubaan memujuk.
“Sabarlah, sayang. Banyakkan berdoa. InsyaAllah, ada jalannya. Kami tidak jumpa Kal di situ. Dia disorok di tempat lain. Kita ikhtiar lagi ya, sayang. Tak baik untuk dalam perut tu. Jangan sedih-sedih.”
Ren hanya mendengar, sambil berpura-pura tidur. Dalam perut? Satu lagi zuriat yang akan datang. Mereka akan mendapat cahaya mata baharu. Ren, jauh di sudut hati, cuba untuk menumpang gembira. Namun, tawar hatinya. Kengganan untuk menyunting hati Natrah, dikesalinya. Dia enggan bukan kerana tidak mahu, tetapi bimbang kehilangan yang tersayang dek kerana ancaman bunian durjana seperti Adam dan pak longnya. Apapun, dia terpaksa berserah dan pasrah. Inilah jalan yang dia pilih, dan inilah yang perlu dihadapinya. Dia hanya berdoa, Munsyi dan Natrah dapat mencari anak mereka semula, dan mencapai kebahagiaan sebagai sebuah keluarga. Tanpa Ren, Natrah mampu berdiri. Dia percaya Munsyi cukup untuk Natrah.
***
Wasir memimpin tangan Raykal Danish. Berjalan tanpa hala tuju. Tidak tahu di mana mereka ditinggalkan. Salafus Salleh sekadar ‘menghantar’, tetapi tidak menunjukkan jalan. Jalan sunyi sepi, ditambah gerunnya malam gelap gelita. Angin menemani dingin kedua-dua manusia itu. Raykal Danish, seperti mamai. Seolah-olah baru bangun daripada mimpi ngeri yang panjang. Kini, dia bersama orang tua yang tidak dikenalinya. Namun, dia tidak melatah. Itu sahaja peneman yang ada. Dalam hati, mahu sahaja dijerit nama papa mamanya yang tidak di sampingnya sekarang. Namun, dia perlu kuat. Dia mahu kuat. Dia tahu apa itu erti bersendirian. Kerana, dia sudah ‘tidur’ lama.
“Nak, berapa tahun kamu semasa kamu ‘tidur’?” “Lima tahun, tok.” Wasir berkata lagi,” Kamu ingat ya. Sekarang, kamu sudah 10 tahun. Kamu baru bangun tidur yang panjang. Kita sudah pulang.”
Benar. Raykal Danish seolah-olah hilang dalam memori. Dia kini sudah kembali. 4 tahun kehilangan di dunia bunian. Kini kembali. Cuma perlu mencari jalan pulang.
***
Adam terbangun dari tidur. Air panas yang tidak menyelesakan tubuh badannya. Dari sayup kejauhan, kedengaran hilai tawa yang dikenalinya. Seolah olah mengejek. Busroq bermain di kepala. Rupa menyeringainya masih segar di dalam memori. Gelak tawa menghinanya masih jelas kedengaran. Mengejek nasib Adam. Terperap jauh ke dalam penjara. Penuh pengawasan.
Adam membuka matanya. Dilihat pada parut luka di dada. Memandang tajam ke luar penjara.
“Akulah Adam. Akulah insan tidur. Aku masih belum tamat. Akan kutagih dendam ini. Busroq! Munsyi! Shahrin! Matilah kalian suatu hari nanti. Akan bertemu lagi kita suatu masa, dengan izinNya. Ingat,akulah ADAM! Mimpi ngeri yang takkan berpisah daripada kamu!”
Nota kaki: Kisah ini hanyalah fiksyen. Tiada kena mengena dengan yang hidup atau m**i. Sekadar karya nukilan untuk hiburan kalian, pembaca setia sekalian. Tanpa kalian, tiadalah Ren, Munsyi, Natrah, dan lain-lain. Maka, #DendamSuri dan #TuntutanBerdarah tamat di sini. Jika ada sumur di ladang, boleh kita menumpang mandi, jika ada umur yang panjang, boleh kita bertemu lagi.
Bergantunglah pada tali YANG SATU. Hanya ALLAH tempat bergantung. Jauhi sihir, pemusnah anak adam di muka bumi ini. InsyaAllah, ada jalannya.
-끝- -Tamat-
Kongsi kisah anda: http://fiksyenshasha.com/submit
Follow Whatsapp FS KLIK SINI
kisah yang amat menarik mr gongpal..kalau ada kisah2 laen teruskanlah menulis ye..saya peminat dari kisah2 mr gongpal..dan saya akan terus menunggu…….
ala..dh abih ke…si Adam berdendam lagi tu..mcm x puas hati
Habis dh ke.. apa jadi kt adam n dendam die.. btw harap2 ada sambungan.. #hidupgongpal…
Sequel pliss mr.Gongpal…
(Tak kesian ke dekat Rayqal..4tahun xberjumpa dgn ibu dia..sobs..sobs)
**sekarang ni kiranya Adam dah jadi geng ifrit la ek??huhuhu
aku nak lagi.. tak kira..
Bagila chance kita rehat kejap???
Wife skrg bila2 masa je due ni. So, kena hiatus kejap. Harap maklum ya.
Terima kasih atas minat dan sokongan berterusan.
aduhhh.. takpelah encik gongpal.. sebab aku pon seorang wife yg pernah melalui zaman peknen aku izinkan ko tumpu kat wife ko dulu.. sambil2 tu cari idea banyak2.. tahniah nak dapat baby !! semoga semuanya selamat .. ameen…
maaf bertanya… apa jadi dekat adik pada salafus salleh 2 ye sbb dia pengikut adam gak an..?
kne b***h sekali ke, atau xdibunuh sbb org xth dia pengikut adam kan..?
Orang tak tahu.so dia selamat. Tgklah kalau ada rezeki, adalah siri baru sekuel. Belum ada plan untuk sambungan.
cerita memang terbaik.. sentiasa tunggu kalau ade cerita dari gongpal…
sy mmg suke layan novel cite antu… ni mcm lg best dr buku2 yg sy bc…
terima kasih sebab layan kisah ni. InsyaAllah, ada rezeki, adalah cerita baru. sambungan atau tidak, wallahuaklam.
Teruskan membaca di FS. banyak lagi karya yang best2 untuk tatapan kita~
Bergantunglah pada tali YANG SATU. Hanya ALLAH tempat bergantung. Jauhi sihir, pemusnah anak adam di muka bumi ini. InsyaAllah, ada jalannya.
-끝- -Tamat-
satu je masalah aku kat sini..bro perkataan Tamat tu mcm x bole d terima la..
kena sambung lagi bro..aku baca post yg ini rasa macam rollercoaster da jalan sampai hujung tapi kita masih x nak turun..haha
Ala bagi can la sinkong & keju. turun rollercoaster tu please.hahaha
aku malas nak panjangkan siri. nanti kat fb ada org bising plk. wan SC dapat promote 1 post untuk buku pn dah org PM admin cakap x suka. macam2 jenis pembaca sekarang. SO kita tamatkan dulu kat sini. Kasi rehat enjin berfikir.haha
Tqvm bro apa2 pun. pembaca setia camni yang kita mau.cayalah~
haha.. x pa bro aku duk sini je dulu..kot2 ada harapan dpt baca sekuel tuk story ni..
congrats in advance bro tuk ahli baru.
okay la dah tamat.
Mohon ada story baru.
Tak sabar.
Good luck??????
tahniahhhhhh…..cerita best
Best ~ nanti sambung lg ye #Gongpal
Semoga dpermudahkn isteri yg akan bersalin,aamiiinn ~
InsyaAllah ameen! terima kasih atas sokongan ya.
Doa-doakan yang terbaik untuk kami, kelahiran kedua ni. Terima kasih
tak habis Adam ni dengan dendam dia ye. hehe
Apa apa pun tahniah kepada penulis #Gongpal sbb berjaya karang citer best2 camni 🙂
Kalau ad sambungan ke atau citer baru harap jangan perap2 ye, publish dekat sini. hehehe
oooo baru faham maksud busroq…
ending yang terbaik..
tp nk tnyer anak munsyi masih belum balik lah??
p.s harap ada smbungan bila2 pun x per.. hihi..
p.p.s selamat menyambut cahaya mata baru..
masih mencari jalan pulang, dengan tok wazir tu. kena cmpak balik ke dunia entah mana hala.hahaa
Terima kasih follow #DendamSuri dan #TuntutanBerdarah ya. InsyaAllah, jika diizinkan ada idea mencurah-curah, adalah lagi nnt nukilan saya di sini.
Sekian,
in shaa Allah jumpa jalan pulang sbb guna “wazir” selalunya tak sesat.. hehehe..
oooo ok ok paham..
now tunggu smbungan nya ajer..hihi
Adehh. Tamat dah ke? Tak puas bro #gongpal baca kisah ni. Masih ada persoalan, contoh kenapa Iskandar pilih utk jadi raja? Apa jadi dgn Kal & Wazir selepas tempoh 4 tahun hilang? Anyway, cerita yg sgt menarik utk dibaca. Pedulikan org yg tak minat baca kisah bersiri sbb ramai lagi yg suka. Congrats in advance for your newborn bro. We will always wait for your next masterpiece! Thumbs up!
setuju bro.Thumbs up untuk #Gongpal
Kal ngan Wazir kena tendang keluar alam bunian lepas tu. Penjara hujung tu kena renovate jadi tempat kurung Adam. Tapi dorg lmbat dilepaskan. saja2 jer kena perap lama kat alam bunian.
Iskandar memang suka hidup senang. dtg rumah Ren pun kan kerek2 suam suku jer.haha. kita tiba2 dapat tau boleh jadi raja, hado nak tolak? aku pun nak hoii~hahah
Terima kasih atas sokongan dan follow nukilan saya. InsyaAllah, ada masa lagi kita jmpa lagi di FS ya!
Haha terbaik bro Gongpal. Kalau ada karya terbaru please do let us know ya!
thats right.
Terbaik..
best…x puas dengan ending nya…
harap ada lagi sambungan utk cerita ni..hehehe
selamat menyambut kelahiran cahayamata kedua…
semoga selamat semuanya..amiinnn
terima kasih atas doa ya~ insyaAllah adalah nanti rezeki kalau nak buka cerita baru. saya inform kalau dah ada nnt ya. Selamat2~~
Terbaiklah cerita ni. Lain dari yang lain ??
Iskandar tahu tak ayah dia dalam penjara tu? Kan dia berdendam dengan ayah dia.
tu cerita belakang tabir lah tu. sebab tu kena tendang keluar alam bunian dilepaskan camtu jer. walaupun x jumpa ayah sendiri sejak lahir.
Raja lain dah p*****l buang dah.hihi
TQ Munsyi.. eh salah pulak, TQ Gongpal 🙂
Gongpal ni Munsyi ke? Sebab Munsyi pun nak dapat baby baru. Hahahaha.
*Gurau jeee~
Anyway, congrats for u n ur wife. Semoga dipermudahkan urusan bersalin nanti.
And please buat sequel. Serious tak puas hati ada perkataan “Tamat” kat situ. Cerita ni la yang buat aku ketagih balik baca FS.
Thank you Gongpal buat cerita yang menarik. Teruskan berkarya.
Kaya betul En gongpal ni dgn idea.. tahniah.. very good story.. elok la tu rehat sekejap sementara nak sambut org baru.. semoga semuanya selamat dan bjalan dgn lancar ye.. dah settle semua nnt, boleh la start karang citer baru pulak?
terima kasih. actually da abes idea, tu yang abes dah baru siri 5 pun.hehehe
InsyaAllah ada update saya info ya
Hai gongpal.ni 1st time sye komen n habiskan cerita bersiri dkt fs.kalau boleh smbg la lg.x sbr ?
aduuhh… cerita lama dah tamat.. tp mcm tertunggu plak sequel cerita baru.. adoiiiii…….
terbaiklah munsyi!
Tumpang tanya bro..bila nak submit setori baru? hahaha
Tak submit sini, tapi dah ada sambungan di fb Gongpal Topek. Page seram yang lain daripada fiksyen shasha. Gongpal risau hntar sini, x publish. takut admin dah marah.haha
TAHNIAH GONGPAL for your newborn baby dan utk tamat cerita yg best ni serta berjaya buat reader happy.
Terima kasih. Sebenarnya, cerita ni tak tamat lagi. ada sambungan sekuel yang telah siap. mungkin boleh cari di fb, bertajuk Tiga Penjuru. search fb Gongpal Topek untuk maklumat lanjut.