Gurauan bibir

Assalamualaikum kepada semua pembaca Fikshen Shasha. Sudah lama aku mengikuti perkongsian cerita di ruangan ini namun baru kali ini ku kerah kudrat jemari dan fikiranku untuk menghasilkan penulisan berdasarkan pengalamanku. Cukup dikenali sebagai jaja, aku merupakan seorang pelatih di salah sebuah kolej kesihatan di negeri semenanjung. Kisah yang aku ingin kongsikan ini berlaku pada awal tahun lepas (2020). Ini perkongsianku.

Sebagai pelatih kolej di bawah kerajaan, aku dan rakan rakanku wajib menetap di asrama yang disediakan. Setiap bilik dikongsi dua pelatih, dan setiap dua bilik bercantum dengan satu tandas dan bilik air. Jadi aku mempunyai seorang roomate (Shasha bukan nama sebenar) dan dua orang toiletmate (Ika dan Bilah bukan nama sebenar). Ini perlu aku terangkan untuk memberikan gambaran yang jelas untuk kisah yang diceritakan nanti. Aku, shasha, ika dan bilah memang rapat kerana berada dalam kos yang sama.

Kejadian yang akan aku ceritakan ini menjadi pengajaran untuk aku menjaga butir bicara ku. Ini kerana aku sering bergurau dengan kawan seolah-olah aku ada peneman. Antara contoh gurauanku adalah seperti ” tak payah takut nanti aku sruh kawan aku tolong tengokkan”, ” eh jangan cakap macam tu kawan aku sebelah kau tu tengah marah “, ” kawan aku nak ikut kau pergi kafe dia lapar “, “takpe kerja belum siap pun nanti kawan aku tolong siapkan” dan seangkatan dengannya. Gurauanku sebegini bermula apabila mereka suka menakut-nakutkan ku, dan aku membalas balik dengan cara begini dan menjadi gurauan kepada mereka. Mereka menerima dan melayan sahaja gurauanku ini.

Kejadian ini berlaku dalam minggu yang sama aku berterusan bergurau seperti itu. Pada satu malam, aku dan Shasha tidur di katil masing-masing. Katil kami dipisahkan dengan dua loker. Katilku berhadapan dengan pintu tandas manakala katil shasha berhadapan dengan pintu masuk. Semasa aku sedang nyenyak tidur, Shasha ditindih oleh sesuatu. Semasa ditindih, Shasha melihat aku membuka pintu utama dan keluar, dia cuba memanggil namaku tetapi suaranya tersekat. Seketika kemudian dia melihat aku kembali masuk ke dalam bilik. Dengan membacakan beberapa ayat suci dia dapat melepaskan diri dari ditindih. Shasha kemudiannya terus bangkit dan mengintaiku yang sedang lena tidur. Keesokan harinya shasha menceritakan kepadaku tapi kutidak ambil serius tentangnya kerana kuanggap ianya biasa biasa saja.

Keesokan hari pula, selepas maghrib aku bersiap-siap untuk keluar makan bersama kawanku dari kelas yang lain. Roomate ku Shasha dan toiletmate ku Bilah tidak ada pada waktu itu hanya tinggal ika di biliknya. Usai bersiap, aku kunci pintu bilikku dari dalam dan pergi kebilik sebelah melalui pintu tandas. Menjadi kebiasaanku sebelum keluar untuk menyapa toiletmate ku dahulu. Selepas menyapa aku keluar melalui biliknya dan berlalu pergi. Aku keluar selepas maghrib sekitar pukul 7.30 dan pulang sekitar 9.30. Setelah mengambil kira bilikku yang masih berkunci, aku mengambil keputusan untuk masuk melalui bilik ika kerana lebih cepat. Ika memandangku dengan perasaan bersahaja ketika aku terkial kial membuka tali sandalku dan bertanyakan aku dari mana. Aku hanya menjawab “dari kedai makanlah, mana lagi”. Dia masih tidak berpuas hati ” iyelaa lepas tu kau keluar balik tu pegi mana? “. Aku sekali lagi menjawab dengan nada sedikit hairan ” mana ada, kan keluar tadi ni baru balik nii ” sambil menyambung perbuatanku yang terhenti tadi. Belum sempat kubuka sandal, ika meluru ke arahku dan menarikku sedikit jauh dari bilik kami. Dia kemudiannya bertanya lagi untuk mendapatkan kepastian.
Ika : seriusla kau pergi mana tadi ?
Aku menyakinkannya bahawa aku baru sahaja pulang.
Ika : tapi tadi kau dah balik lepastu keluar balik
Aku : bila ni? Kau nampak betol ke?
Ika : tadi dalam pukul 8, aku dengar kau buka pintu bilik kau then masuk tandas
Aku : kau nampak ke? Kau duk kat mana masa tu
Ika : nampak la, masa tu ak lipat baju dekat katil aku, pintu tandas tu kan terbuka. Aku nampak kau masuk tandas then betulkan tudung lepastu masuk bilik kau keluar balik.
Aku semakin cuak. sekali lagi aku menyoal ika untuk memastikan kebenaran kata-katanya.
Aku : kau ada tegur tak?
Ika : tak de pulak, aku tgok mcm tu je lepas tu aku sambung lipat baju
Aku : hmm, yang kau nampak aku tu msa tu ada tengok kau tak?
Ika : takde pun, kau tgok cermin je lepastu blah.
Aku : betol-betol macam aku ke? Dia pakai baju macam mana?
Ika : betol betol laa ni, pakai baju yang kau tengah pakai sekarang ni la !
Yang terlintas di benakku waktu itu hanyalah kemungkinan kenapa perkara itu terjadi. Apakah mungkin kerana keterlanjuranku dalam bergurau?

Malam itu hanya aku di bilik kerana Shasha menginap di bilik rakannya. Tidak menjadi masalah untukku kerana sudah biasa tidur berseorangan di bilik itu. Usai membaca ayat qursi dan doa tidur, ku cuba melelapkan mata. Seberapa ketika kurasa mengantuk yang amat.
Mengantuk yang membuatkan aku rasa tidak sedap hati. Mengantuk yang kebiasaanya membawa kepada situasiku ditindih. Ya itulah yang kurasakan waktu itu. Kucuba melawannya, mulut dan pergerakanku ku sudah terkunci, hanya bola mataku yang masih boleh bergerak meliar memerhati sekeliling. Setelah beberapa ketika melawan akhirnya aku terlepas. Aku beristighfar panjang sebelum mengambil bantal dan selimutku kebilik sebelah dan tidur bersama Bilah di katilnya. Aku sudah biasa ditindih, tapi pada malam itu aku berasa tidak betah untuk kembali tidur berseorangan kerana semasa ditindih kudengar ada suara garau yang menyebut namaku ditambah lagi apa yang baru berlaku kepada ika tadi.

Sejak itu, aku berhenti bergurau seperti itu. Mungkin ini berlaku untuk menyedarkan dan memberi peringatan kepada aku supaya tidak sesuka hati menjadikan perkara itu sebagai gurauan. Ini saja perkongsian aku setakat ini, maaf jika kisahku kurang seram atau penceritaan yang kurang menarik. jika ada peluang, akan kukongsikan lagi pengalaman aku yang lain.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 3 Average: 5]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.