Halusinasi

Saya suka sangat baca kisah-kisah seram kat page ni. So kali ni saya pun nak share cerita, tapi bukan cerita saya. Saya just copy dari group yang saya tubuhkan di facebook. Selamat membaca!

“Hihihi, kelakarlah awak ni!”, ketawa seorang budak perempuan sambil mewarna sesuatu di atas kertas dengan warna krayonnya yang sama panjang dengan jari kelingkingnya.

“Alia! Tengah buat apa tu?” kedengaran suara seorang perempuan dari dapur.

“Ni ha…tengah colour gambar yang Alia lukis ni dengan kawan Alia”.

Ibu Alia, Sofia yang tengah memasak rasa seperti hendak pitam mendengar kata-kata anak tunggalnya itu. Setahunya, hanya mereka berdua saja yang ada di rumah ketika itu.

“Kawan? Kawan Alia yang mana satu?”, teriak Sofia dari dapur.

“Ni. Tengah duduk sebelah Alia ni. Dia kata nama dia Mary”, jawab Alia.

“Tapi Alia peliklah ma, Mary ni tak banyak cakap. Muka dia pun pucat. Alia kesian tengok dia”, kata Alia lagi.

Terasa hendak luruh jantung Sofia mendengar kata-kata anaknya yang petah bercakap itu walaupun baru berumur 8 tahun. Dia pun menjenguk anaknya yang berada di ruang tamu dari dapur. Kelihatan anaknya ketawa sendirian seolah-olah sedang bermain dengan orang lain. Sesekali kelihatan Alia bercakap sendirian sambil menunjuk-nunjuk gambar yang diwarnanya pada ‘kawan’nya itu sedangkan di mata Sofia hanya Alia seorang saja yang berada di ruang tamu ketika itu.

Pada malam itu, Sofia duduk di sofa ruang tamu sambil menonton berita bersama suaminya, Azman. Sofia teringat akan kejadian siang tadi. Dengan nada risau, dia pun menceritakan pada suaminya itu.

“Bang, saya risaulah dengan Alia tu. Hari-hari dia asyik cakap pasal kawan khayalan dia. Tadi pagi Alia cakap pasal kawan dia tu. Dia cakap nama kawan dia Mary. Seram sejuk saya dibuatnya, bang…” Sofia memulakan perbualan.

“Alah…biasalah tu. Dulu masa abang kecil pun abang ada teman khayalan. Lama-lama, benda tu hilanglah. Jangan risaulah, kalau dia dah besar nanti, takda dah benda tu…”, kata Azman dengan tenang. Matanya masih tertumpu pada kaca televisyen yang menayangkan laporan berita sukan Olimpik Rio yang bakal bermula 6 Ogos nanti.

Mendengar kenyataan suaminya itu, Sofia pun berfikir seketika. Ada benar juga apa yang dikatakan suaminya itu. Mengikut kepercayaan masyarakat tradisional, setiap anak yang baru lahir mempunyai teman khayalan yang hanya mampu dilihat oleh mereka sahaja. Dalam masyarakat Sabah, benda ini digelar sebagai tembuni. Sebab itulah, kita kadang-kadang dapat melihat bayi yang baru lahir tersenyum dan kadang-kadang seperti menangis semasa mereka tidur.

Pada keesokan hari, Sofia terbangun kira-kira pukul 8 pagi. Dia cemas seketika kerana Alia sudah lambat ke sekolah.

“Eh, hari ni kan hari minggu? Nyanyuk betullah aku ni”, gumam Sofia sendirian setelah sedar dari mamai.

Sofia pun ke tandas untuk membersihkan diri. Sepanjang dia mandi, otaknya tidak henti-henti memikirkan tentang Alia. Setelah berfikir masak-masak, Sofia nekad hendak membawa anak tunggalnya itu berjumpa bomoh petang itu juga. Kebetulan, dia juga mengenali Pawang Budianto, seorang bomoh yang handal dalam menangani kes-kes sebegini.

Petang itu, kelihatan kereta Proton Preve meluncur masuk ke halaman rumah kayu berbumbung nipah yang kelihatan uzur. Struktur rumah itu agak senget kerana ada tiangnya yang sudah dimakan anai-anai. Kedudukan rumah itu yang jauh terperuk ke dalam hutan boleh menaikkan bulu roma sesiapa pun yang berkunjung ke sana. Sesekali kedengaran bunyi ungka bersahutan seolah-olah memberi petanda supaya segera pergi dari tempat ini.

Sofia muncul dari dalam kereta. Sofia membuka pintu belakang dan menyuruh Alia keluar. Dia memimpin Alia ke arah rumah yang kelihatan seperti rumah yang sering muncul dalam rancangan Misteri Nusantara itu. Ideanya membawa Alia berjumpa bomoh ini tidak diberitahu kepada Azman kerana dia tahu suaminya itu pasti tidak akan bersetuju. Lebih-lebih lagi, suaminya itu seorang yang kuat agama dan tidak mempercayai perkara tahyul sebegini.

“Assalamualaikum. Ada orang tak?” Sofia memberi salam.

Pintu rumah itu terbuka sendiri seperti dibuka oleh satu kuasa ghaib. Perlahan-lahan, Sofia masuk ke dalam rumah itu sambil tangannya erat memegang tangan Alia.

Sofia menjenguk ke dalam rumah. Seorang lelaki berusia 80-an duduk bersila seperti bertafakur di tengah-tengah ruang dalam rumah yang tiada perabot itu.

“Tok, saya datang ni sebab ada hajat…” Sofia berbasa-basi.

“Kau tak payah cakap, aku dah tahu. Sebab aku nampak ada benda ikut anak kau tu!” kata Pawang Budianto dengan wajah serius.

“Kau jangan risau. Benda ini aku boleh buang. Kau boleh balik sekarang,” kata bomoh itu lagi.

“Bagaimana dengan pengerasnya, tok?” tanya Sofia.

Pawang Budianto hanya menggeleng. Sofia agak pelik dengan perangai bomoh itu. Buang tabiat agaknya orang tua ni, fikir Sofia dalam hati. Sofia pun membawa Alia keluar dari rumah itu dan mereka pun pulang. Sepanjang perjalanan balik, otaknya tidak berhenti-henti memikir tentang Pawang Budianto yang baru dijumpanya itu.

Malam itu, Sofia hanya mendiamkan diri semasa makan bersama Azman dan anaknya. Fikirannya diasak dengan pelbagai pertanyaan, adakah benda yang mendampingi Alia itu sudah dibuang? Benarkah ada benda jahat yang mendampingi Alia dan mahu merosakkan hidupnya? Jikalau benda itu masih ada, nyawa Alia mungkin dalam bahaya. Akibat terlalu memikirkan benda itu, Sofia hilang selera. Setelah mencuci mulut, dia terus ke bilik tidur. Dia cuma ingin tidur sekarang, melupakan segala perkara yang menjadikan fikirannya semakin tertekan.

Tepat jam 3 pagi, Sofia terbangkit dari tidurnya setelah terdengar bunyi seperti pintu dibuka dan ditutup. Bunyi tapak kaki berlari memenuhi ruang rumah. Sofia semakin tidak sedap hati. Suaminya, Azman kelihatan nyenyak tidur di sebelah seolah-olah tidak mendengar bunyi yang baru didengarnya itu. Teringat akan Alia, dia pun segera ke bilik anak tunggalnya itu. Sofia yakin, pendamping anaknya itu pasti sudah marah setelah mendapat tahu dia dibuang. Nyawa Alia sudah menjadi taruhan.

Sofia meluru masuk ke bilik Alia sambil menjerit memanggil nama anaknya. Di wajahnya terpapar kerisauan, pintu bilik dihempasnya saja semasa masuk. Sofia terpaku melihat apa yang ada di depannya sekarang. Sekujur tubuh budak perempuan berlumuran d***h terlentang di atas lantai. Perutnya pula seperti dibelah, habis segala usus dan isi perut terburai keluar. Berhampiran mayat Alia, kelihatan tubuh bersaiz kecil seperti toyol duduk mencangkung sambil meratah dengan rakus jantung Alia yang besarnya seperti satu penumbuk.

Apa lagi, Sofia pun menjerit seperti orang kesurupan. Tidak lama kemudian, Azman tiba dengan tergesa-gesa. Dia risau melihat keadaan Alia yang nampak serabut, dengan keadaan rambutnya yang berserabai akibat ditarik olehnya sendiri.

“BANG!! ANAK KITA BANG!! ANAK KITA DAH M**I!! ADA BENDA DALAM BILIK TU B***H ANAK KITA, BANG!!” Sofia kelihatan seperti orang yang tidak siuman.

“Sofia, cukup! Saya tak tahan dengan perangai awak lagi. Anak kita dah lama meninggal. Awak tak ingat? Anak kita meninggal masa kita accident kat Highway Karak dulu. Selama ni, saya layan je perangai awak. Awak asyik cerita pasal anak kita dengan teman khayalan dia tu. Kali ni saya dah tak tahan dah!” Azman cuba menyedarkan Sofia sambil menggegar-gegar badannya.

Sofia seperti baru tersedar dari tidur yang lena. Dilihatnya ke arah bilik, mayat Alia dan makhluk pelik yang baru dilihatnya tadi sudah hilang dari pandangan. Sofia terdiam, air matanya bercucuran di pipi. Kakinya semakin lemah, dan dia pun jatuh terjelepok di atas lantai. Di atas lantai, Sofia sekali lagi meraung seperti tidak dapat menerima kenyataan. Tidak sanggup melihat keadaan Sofia, Azman pun segera memeluk isterinya itu sambil membisikkan kata-kata semangat agar jiwa Sofia beransur tenang dan dapat menerima kenyataan.

Keesokan paginya…

Pagi itu, Azman membawa Sofia berjumpa Doktor Maniam, seorang doktor penyakit mental dan mempunyai kepakaran dalam bidang neurologi. Azman sudah tidak tahan melihat derita isterinya yang seperti tidak berkesudahan itu.

“Bagaimana doktor? Bagaimana dengan keadaan isteri saya?” tanya Azman setelah Doktor Maniam memeriksa laporan kesihatan di atas mejanya.

“Azman…” Doktor Maniam seperti sukar hendak meneruskan percakapannya.

“Dalam 1 minggu ni, dah masuk 3 kali kamu jumpa saya. Setiap kali kamu datang, kamu datang dengan masalah yang sama,” sambung Doktor Maniam.

“Apa boleh buat, doktor. Isteri saya ni ada masalah. Dia selalu berhalusinasi, selalu terbayangkan anak kami padahal anak kami sudah lama meninggalkan kami,” Azman cuba menerangkan masalah Sofia.

“Azman. Saya mahu kamu dengar sini baik-baik. Isteri dan anak kamu sudah lama meninggal, bukan anak kamu saja. Kamu tak ingat? Kamu seorang saja yang terselamat dalam kemalangan dekat Karak tu, kan?”.

“Lepas kemalangan tu, kamu dimasukkan ke Tanjung Rambutan. Saya sendiri yang merawat kamu sehinggalah kamu sembuh. Lepas kamu sembuh, kamu dikeluarkan tapi kamu masih berhubung dengan saya sehingga sekarang. Saya tak tahu bagaimana penyakit kamu boleh datang kembali kebelakangan ini,” dengan tenang Doktor Maniam melafazkan tutur katanya satu per satu.

Mendengar kata-kata doktor India itu, Azman tersentak seperti baru terkena renjatan elektrik. Dilihatnya bangku di sebelah, isterinya yang tadi ada di situ sudah tiada. Ternyata bukan isterinya yang bermasalah, tetapi dia sendiri! Walaupun sudah lama kemalangan penuh tragis itu berlaku, ianya masih tidak dapat terpadam dari ingatan Azman. Peristiwa berdarah itu telah meragut dua nyawa yang dia sayang. Rasa rindu yang sering datang berkunjung membuatkan dia berhalusinasi.

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 1]
The Hannibal FK

9 thoughts on “Halusinasi”

  1. Setelah beberapa minit, doktor maniam seakan akan tersentak dari lamunan setelah bahunya ditepuk oleh rakannya di bilik sakit mental. Rupa-rupanya doktor maniam merupakan pesakit mental di tanjung rambutan yg selama ini asyik berhalusinasi dgn watak sofia, alia, mary dan azman. Doktor maniam disahkan menjadi pesakit mental setelah peristiwa yg tidak dapat dilupakan semasa beliau menjadi doktor pakar dlm bidang neurologi pada tahun 90an dahulu. Huhuhuhu sadisnyaaaaa

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.