Hantu Pengantin Charles Fort

#UrbanLegend

Salam perkenalan untuk semua readers FS. Aku Ieda. Susah untuk aku dapatkan pengalaman angker di perantauan ni, so untuk merasakan remang-remang bulu tengkok, aku memang akan baca cerita-cerita di FS tiap hari. Puas sudah aku baca kisah-kisah tempatan yang dianggap angker di sini, tapi tak mampu untuk menandingi kehebatan keseraman kisah dari tanah air kita!

Aku menetap di Ireland. Memandangkan aku tiada pengalaman seram sendiri, aku ingin kongsikan satu “urban legend”, kiranya antara yang terangker seantero pulau ni huhu. Tajuknya “The White Lady of Charles Fort”. Aku telah melawat Charles Fort ni beberapa kali, ia adalah kubu benteng tinggi di tepi laut sepanjang beberapa ratus kilometer, memang sangat memukau pemandangannya. Aku translatekan ke Bahasa Melayu dan bubuh perencah secukup rasa untuk bacaan semua 😉

Kisahnya begini… Susuk tubuh tinggi lampai itu sering kelihatan menyusuri benteng Kubu Charles ketika di ambang senja, berpakaian comot seakan-akan gaun pengantin berwarna putih yang telah kotor dan lusuh. Wanita bergaun pengantin itu terawang-awangan perlahan seolah-olah sedang menanti sesuatu atau seseorang di sepanjang benteng kubu. Penampakan wanita bergaun pengantin itu bukan lagi satu kengerian kepada penduduk tempatan Kinsale, County Cork, kerana kisah misteri wanita bergaun pengantin ini telah menjadi buah mulut semenjak zaman pemerintahan Charles II pada kurun ke 17 hingga ke hari ini dan kerana itu, Kinsale telah terkenal sebagai bandar berhantu.

Menurut lagenda, bapa wanita itu adalah Komander Kubu Charles yang mengetuai pasukan tentera yang mengawal keselamatan daripada serangan musuh yang datang dari arah laut. Hidup sebagai anak seorang komander tentera diselubungi kesunyian kerana sering ditinggalkan oleh ayahnya disebabkan tuntutan tugas yang tidak mengira masa. Sehinggalah wanita itu meningkat dewasa dan menjadi seorang wanita yang cantik rupa parasnya, ditakdirkan pada suatu hari, dia telah bertemu dengan seorang pegawai tentera kacak yang datang melawat Kinsale. Ia adalah cinta pandang pertama dan mereka telah dikahwinkan di dalam satu majlis ringkas.

Hari hampir senja, pasangan bahagia itu berjalan berpimpinan tangan menyusuri benteng Kubu Charles sambil menikmati pemandangan laut luas yang amat indah di ketika matahari hampir tenggelam di ufuk barat. Ketika itulah wanita berkenaan telah ternampak sekuntum bunga ros putih tunggal yang tumbuh di dalam belukar jauh di bawah dinding kubu di lereng tembok batu yang tinggi itu. Seorang pengawal tentera yang sedang bertugas berhampiran mereka telah terdengar permintaan wanita itu untuk memiliki bunga ros putih berkenaan, telah menawarkan diri untuk mengambilnya di lereng tembok itu. Andai tersilap langkah, maut akan menantinya kerana laut menadah luas di bawah tembok kubu itu dengan longgokan batu-batu besar dan ombak yang menghempas kuat. Suami wanita itu telah mengambil tugas sebagai pengawal sementara pengawal tadi menuruni tembok kubu untuk mendapatkan bunga ros putih tunggal itu.

Masa berlalu, senja bertukar malam, keadaan sekeliling gelap pekat. Pasangan pengantin tadi masih menunggu di dalam pondok pengawal menantikan kembalinya pengawal tentera tadi yang tidak muncul-muncul. Kerana kasihankan isterinya yang kesejukan, si suami menasihati isterinya supaya kembali ke bilik kediaman mereka sementara dia akan menunggu sedikit waktu lagi di pondok pengawal tadi. Akibat terlalu lama menunggu, pegawai itu telah terlelap sambil duduk menyandar pada senapang pengawal yang dipegangnya. Semasa dia terlena, bapa mertuanya (Komander Kubu Charles) itu sedang melakukan rondaan pemeriksaan untuk melihat semua pengawal tentera yang sedang bertugas di pos sentri mereka. Ketika Komander itu hampir dekat dengan pos pengawal menantunya, dari jauh dia telah ternampak yang pengawal itu telah tidur ketika bertugas.

Dia tidak menyedari yang berada di dalam pondok pengawal itu adalah menantunya, sangkanya itu adalah pengawal bertugas. Berdasarkan kod ketenteraan pada zaman itu, Komander tentera mempunyai kuasa untuk menembak mati pegawainya yang didapati tidur ketika menjalankan tugas. Lalu Komander berkenaan dengan tidak melengahkan masa telah menarik picu senapangnya dan menembak mati pengawal yang disangkanya sedang bertugas. Apabila didekati tubuh yang telah rebah itu, barulah disedarinya yang dia telah menembak lelaki yang baru sahaja mengahwini anaknya pada siang hari tadi. Tidak dapat menerima kenyataan kesilapan maut yang telah dilakukannya, Komander itu telah memanjat tembok benteng kubu dan terjun ke dalam laut.

Tidak lama selepas itu, dengan masih memakai gaun pengantin, wanita malang yang tidak menyedari apa yang bakal dihadapi, telah keluar dari bilik penginapannya untuk mendapatkan suaminya di pondok pengawal. Hari bahagianya bertukar menjadi hari yang paling malang di dalam hidupnya. Dia telah menemui suaminya di dalam pondok pengawal, berlumuran darah, sudah tidak bernyawa lagi. Pengantin malang itu meraung kesedihan meratapi kematian lelaki yang baru dikahwininya. Bunyi tembakan tadi telah didengari oleh anggota tentera lain dan selepas operasi pencarian dibuat, mereka telah menemui sekujur tubuh yang terdampar kaku di atas sebiji batu besar di dalam laut di bawah tembok kubu di mana Komander tadi terjun membunuh diri kerana penyesalannya.

Tidak dapat menerima hakikat kematian kedua-dua insan kesayangan pada hari bahagianya, wanita itu juga telah mengambil keputusan untuk menamatkan hayatnya dengan menerjuni tembok benteng Kubu Charles ke dalam laut luas pada malam yang sama. Semenjak itu, bayangan wanita bergaun pengantin sering kelihatan menyusuri sepanjang tembok Kubu Charles bersama bunyi rintihan sayu yang menyeramkan sesiapa yang mendengarnya. Bayangannya sering disedari oleh kanak-kanak yang berada berdekatan tembok kubu itu. Malahan ada juga cerita daripada beberapa orang kapten tentera yang telah ditolak jatuh dari atas anak tangga oleh entiti yang tidak kelihatan. Manakala tiada sebarang cerita direkodkan tentang pengawal yang turun mendapatkan bunga ros putih itu.

Kubu Charles sekarang adalah tapak bersejarah dan diisytiharkan sebagai salah satu Tugu Kebangsaan Ireland pada tahun 1973. Ia juga menjadi satu tarikan pelancong yang datang melawat Pelabuhan Kinsale. Namun bayangan wanita bergaun pengantin itu masih lagi sesekali dilihat menyusuri tembok Kubu Charles dan lorong-lorong di Kinsale, kampung halamannya, sambil merintih sayu dalam penantian…

Begitulah kisah hantu pengantin Charles Fort yang amat terkenal di sini. Thanks a million kepada semua yang sudi membaca! Salam dari kejauhan…

Ieda

Sila tinggalkan komen yang berkaitan dengan cerita :)

8 Comments on "Hantu Pengantin Charles Fort"

avatar
makcik gemok

Suami dan ayah dia x jadi hantu pulak?

hantu_kubur

depa tak sempat nak jadi hantu makcik oiiii hahaha

Kak Yulie

Suami ngan ayah tu klu jd hantu x dramatik sgt sbb pki baju tentera…
Klu pompuan tu ade gaya sket, ngan gaun pengantin putih berkibai2 kena tiup angin jln ats tembok…
Heheheheh…

AnneNazri

cerita yg menarik…. 🙂

rozzy

kenapa eh kebanyakan hantu2 omputih tak sehodoh hantu2 melayu….huuuu

Cik Puan Mira

Hantu omputih buat pembedahan plastik kot..

Penmerah

atas mindset masing2 tu..kita dari kecik dh diceritakan hantu tu hodoh,hantu ni hodoh last2 dia jelma pon hodoh laa.huhu. (hanya pandangan)

trackback

[…] wbt dan salam sejahtera. Terima kasih kepada FS kerana telah menyiarkan urban legend Ireland “Hantu Pengantin Charles Fort”. Aku […]

wpDiscuz