HANTU RAYA MINTA DUIT RAYA

Diceritakan yang ada makhluk yang seekor ni adalah dari atuk sebelah emak Yus. Kalau diikutkan tujuannya adalah untuk dijadikan pembantu, tapi sekarang emak dan adik beradik emak Yus ada yang sakit yang agak teruk, jadi makhluk ni jadi antara yang berada dalam senarai suspek.

Isteri Yus ada kelebihan boleh nampak makhluk halus dan mudah juga terasuk. Kata isteri Yus, rupa makhluk tu seperti seekor beruk. Biasanya hantu raya yang mengambil rupa beruk, tapi Yus sendiri tak pasti apa jenis makhluk saka keturunannya itu.

Waktu jin beruk merasuk isterinya, Yus cuba menyakiti dengan niat menghalaunya keluar dan berhenti mengganggu keluarganya, tapi selalunya hanya akan reda sekejap, tak lama kemudian gangguan akan berulang. Pernah juga Yus cuba mengajak jin beruk masuk Islam, tapi dia tolak.

Ada masanya waktu Yus sedang cuba menyakiti jin beruk, isteri Yus yang hijab terbuka beritahu yang makhluk tu tiba-tiba jadi marah dan badannya membesar, jadi Yus berhenti dari menyakiti jin beruk kerana takut ia bertindak balas.

Hari yang sama sebelum saya tarik setan Melaka, saya tarik jin beruk yang mengganggu Yus dan keluarganya dulu.

7 Ogos 2023. 4:42 petang.

“Kau nak apa?”

“Kau tau ke Yus bercakap dengan aku tadi?”

“Entahlah, aku bukan bz body.”

Pandai pulak dia speaking.

“Kau spesis apa?”

“Kau spesis apa?”

Saya tanya dia, dia tanya saya balik soalan yang sama. Dah nampak bunga-bunga kuat loyar buruk dia ni.

“Aku oranglah.”

“Akupun oranglah.”

Dah mengajuk cakap saya pulak.

“Kau hantu raya kan? Hantu raya je yang rupa beruk.”

“Kalau kau dah cakap macam tu kau kena bagi duit raya.”

“Raya dah lama habislah.”

“Aku hari-hari raya.”

Logik jugak cakap dia ni, dah hantu raya, memang hari-hari la hari raya.

“Tu sebablah Yus bantai kau pun kau tahan ye, hantu raya kan kuat.”

“Tengok kakilah. Saiz 9.”

Jawapan saiz 9 tu memang saya tak jangka. Hahaha..

Saya saja jek dia supaya senang dia bekerjasama nanti. Nampak gaya memang menjadi, siap perasan lagi tu.

“Habis tu kau cedera sikit jelah sekarang ni?”

“Aah.”

“Patutlah dia bantai banyak kali pun kau tak lari. Kenapa kau rasa panas kalau dok dekat dia?”

Yus pernah beritahu yang hantu raya tu cakap dia rasa panas kalau berada dekat dengannya. Mungkin Yus ada amalan tertentu yang menyebabkan keadaan itu berlaku.

“Entah aku pun tak tau.”

“Dia ajak masuk Islam kenapa kau tak nak?”

“Sebab takde hadiah. Kalau ada nak jugak.”

Amboi amboi dia ni.

“Kalau aku bagi kau hadiah kau masuk Islam boleh ye?”

“Kau nak bagi hadiah apa?”

“Nanti kau akan dapat ramai kawan dan ada tempat tinggal. Hadiah paling besar adalah nikmat Islam dan iman. Kau mengucap sekarang boleh ye?”

“Takde makan-makan ke?”

Gelak dalam diam jelah saya dengar lawak spontan dia ni.

“InsyaAllah ada kat Mekah nanti. Asyhadu allaa ilaa ha illallah. Wa asyhadu anna muhammadar rasulullah. Nama kau Omar. Sempena nama sahabat nabi yang gagah. Kau pun gagah kan?”

“Gagahlah… dan hensem.”

Bagilah peluang kat dia.

“Aku dah agak dah. Kau pergi ke Mekah sekarang ye. Salam.”

“Sama-sama. Waalaikumussalam.”

Jin beruk a.k.a hantu raya a.k.a Omar adalah masalah utama yang menyebabkan gangguan dalam keluarga Yus. Bila Omar dah tiada, biasanya gangguan akan berkurang, tapi disebabkan dia dah lama berada di kalangan keluarga Yus, segala saki baki sarang dan bisanya akan menarik banyak setan-setan lain.

Dengan kekangan masa, kerja hakiki dan pelbagai komitmen yang ada, saya cuma mampu bantu membuang masalah gangguan terasnya sahaja.

Yus sendiri sudah ada ilmu untuk menghadapi gangguan yang mendatang. Walaupun masih dalam fasa cuba-jaya, dengan keyakinan bahawa semuanya adalah dengan izin dan kehendak-NYA jua, insyaAllah suatu hari Yus akan dapat menambah pengalaman dan keyakinannya dalam menghadapi serangan-serangan yang datang dari setan-setan yang mengganggu.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 18 Average: 4.1]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.