Hantu Raya Quarters Guru

Hantu raya quarters guru
(correction)

Assalamualaikum warga fs. Saya baru seminggu mengikuti cerita² di fs. Tertarik dengan cerita² yang dikongsikan, jadi saya pun marathon lah setakat yang mampu. Banyak jugak dah khatam. Lebih gemar pada cerita yang sebenar berbanding rekaan. Memandangkan ini adalah nukilan pertama saya di fs, maaf jika intro pun sudah melalut dan panjang apatah lagi ceritanya. Sekiranya ada kesalahan dalam penggunaan kata, harap dimaafkan.

Tergerak pula hati saya nak bercerita tentang pengalaman seram sewaktu saya kecil dahulu (diceritakan keluarga), tetapi saya kena minta izin mak dulu untuk menceritakan kisah ini sebab mak saya adalah sasaran ‘benda’ yang dihantar itu. Takut takut benda itu datang balik kalau kantoi. Ekceli ni kali ketiga saya submit cerita ni tapi tak publish lagi. Kenapa? Tanya admin. Hahah. Tertunggu tunggu saya dibuatnya. Tapi tak mengapa, sebab saya sempat untuk betulkan tatabahasa yang tunggang terbalik.

Mak pun dah izinkan untuk saya berkongsi kisah seram kami ini. Jadi saya mulakan.

Kisah ini berlaku ketika saya berumur 11 atau 12 tahun. Tahun dan lokasi dirahsiakan atas sebab risau identiti terbongkar dan melarat. Kita tak tahu hati budi orang macam mana kan.

Ceritanya begini.
Mak saya pernah disihir oleh rakan sekolahnya kerana dengki. Iri hati dengan apa yang mak saya ada (zaman mak sekolah) sedangkan mak saya seorang yang sangat peramah dan tak berdendam apatah lagi dengki dengan orang lain. Mak tak pernah berburuk sangka pada orang lain. Kata mak juga mereka tak pernah bergaduh sewaktu di zaman persekolahan dulu.

Dipendekkan cerita, suatu hari itu rakan mak datang melawat kami sekeluarga di rumah quarters guru secara tiba tiba. Sedangkan mak dan rakannya tidak pernah berhubung sejak dulu. Pelik kan? Rakan mak itu datang bersama keluarganya. Berapa orang kesemuanya juga saya rahsiakan.

Sebelum itu, biar saya ceritakan sedikit tentang kami sekeluarga. Ayah saya seorang cikgu, mak suri rumah. Dalam rumah kami ada 7 orang kesemuanya. Tapi watak penting yang terlibat dalam cerita ini adalah mak, rakan mak, pakcik yang merawat, kak uda dan makcik saya.

Malam itu mereka bermalam di rumah kami. Sepanjang kami menerima tetamu, tak pernah sekalipun kami sekeluarga membenarkan tetamu tidur di bilik mak dan ayah saya yang penuh dengan barang peribadi kami. Entah mengapa waktu itu kami membenarkan mereka sekeluarga tidur di bilik tersebut. Mereka juga turut menutup pintu seakan tidak membenarkan kami melihat ke dalam bilik. Lampu bilik juga awal awal lagi sudah dimatikan. Malam itu tiada benda pelik atau seram yang berlaku.

Keesokan harinya, mak dipelawa untuk diurutkan oleh rakannya. Mak tak menolak. Pada awalnya, tiada apa apa yang terjadi sehinggalah rakan mak itu pulang. Bahagian badan mak yang diurut itu mula menampakkan kesan lebam. Mak mengadu sakit dan badannya terasa berat dan lemah. Kerap kali mak mimpi ular dan kala jengking. Ahli keluarga kami juga sering kali rasa ditindih. Keadaan di rumah pula mula nampak suram dan seram walaupun sentiasa kemas dan terjaga. Perkara itu berlarutan agak lama sehingga mak meminta untuk berubat.
Beberapa hari sebelum pergi berubat, makcik kami ada datang melawat kami seperti biasa. Makcik memang rapat dengan mak sebab mak adalah anak sulung dan makcik adalah anak bongsu. Segala masalah mereka akan kongsi bersama.

Pada malam itu, makcik tidur di ruang tamu bersama kak uda dan abang (kalau tak silap). Mereka terlelap dek kerana menonton tv sehingga larut malam dengan beralaskan toto narita yang berwarna biru bercorak bunga merah jambu. Ayah, mak, kak long dan saya seperti biasa tidur di bilik masing masing.

Makcik, memang seorang yang mudah merasa kehadiran ‘benda’, begitu juga dengan mak dan kak uda. Meskipun mata mereka tidak nampak kelibat, tapi mereka dapat rasakan ada sepasang mata yang memerhati.

Jam menunjukkan 3.30 pagi. Makcik terjaga. Dalam keadaan mamai, makcik tertoleh ke belakang ketika ingin mengubah posisi tidurnya. Dalam keadaan sunyi dan sejuk, dan samar samar cahaya lampu tengah, terlihatnya satu susuk tubuh. Tubuh dan wajah yang mirip seperti mak, sedang duduk dalam jarak satu meter antara mereka. Bersimpuh sambil memerhatikan mereka tidur. Wajahnya tidak senyum, tidak pula marah. Pakaiannya juga sama seperti pakaian yang dipakai oleh mak pada malam itu. Baju kelawar berwarna krim yang agak cerah.

Makcik tanpa perasaan curiga dek penat yang disimpan dari pagi dan dalam keadaan mamai menegur, “kak long kenapa tak tidur lagi tu? Dah pukul berapa dah ni.”
tiada jawapan yang diberikan. Tiada gerak geri mahupun isyarat untuk membalas pertanyaan itu. Mata susuk itu tidak berkelip. Hanya memberikan pandangan yang menaikkan bulu roma makcik.

Perasaan takut dan curiga mula dirasakannya. Suasana sejuk rumah papan menambahkan lagi rasa seram yang mencanak. Otak kanan dan kirinya mula berhubung berfikiran logik. Tetapi matanya masih terpaku melihat susuk itu. Kemudian seakan ada angin yang meniup mukanya. Tersedar daripada mamai,
“ni bukan kak long!”, bicaranya di dalam hati.
Mujur saja fizikalnya tidak terkunci. Makcik memejamkan matanya dan baring semula, cuba untuk tidur dengan berselubungkan selimut hingga ke kepala. Dibacakan ayat qursi dalam hatinya untuk menjauhkan dirinya daripada terus diganggu.

Waktu hampir subuh. Seperti biasa akan kedengaran suara anjing menyalak dari jauh. Makcik berjaya tidur sehingga paginya.

Selesai sarapan, satu soalan ditujukan kepada mak,
“semalam kak long ada duduk dekat depan tu ke (ruang tamu), tengok kitorang tidur?”
persoalan yang timbul daripada waktu pagi tadi memerlukan penjelasan. Sekurang kurangnya dapat meringankan beban otaknya yang sentiasa berfikir mencari jawapan sendiri.
“mana ada akak bangun pergi depan semalam.” kata mak sambil membuat muka terkejut.
“ah sudah!”, hatinya berbisik.
Mak mula faham apa yang dialami oleh makcik. Makcik pun membuka cerita pengalaman seramnya pagi tadi. Mak turut memberitahu makcik apa yang kami telah alami sebelum ini. Segala bentuk gangguan diceritakan oleh mak. Kelibat dan bunyi bunyi yang menakutkan, yang sentiasa menghantui kami. Mak juga menerangkan mungkin ada kaitan dengan kesan kesan lebam pada badan mak.

Pengalaman seram makcik tidak berhenti di situ. Perkara yang lebih seram dan menakutkan makcik alami pada hari lainnya.

*hari lain minggu sama*
sedang asyik dibuai mimpi malam, seperti hari sebelumnya, makcik terjaga. Cuba bertukar posisi tidur, daripada mengiring ke kanan lalu memalingkan dirinya ke kiri, menghala ke meja bulat kecil di sudut ruang tamu rumah. Terbuka sedikit matanya. Alangkah terkejutnya makcik apabila terpandang makhluk yang sangat hodoh. Bertenggek betul betul di atas meja bulat itu. Mukanya menghadap kak uda yang sedang tidur di sebelah kanan makcik.

Mengeluh panjang, lafaz “astaghfirullahal azim”, keluar dari mulutnya sebaik sahaja melihat kejadian aneh itu. Makhluk yang sangat hodoh. Mata kirinya seakan akan tersembul keluar daripada soket mata tengkoraknya. Merah, seperti ada d***h mengalir. Mata kanan pula ditutupi dengan rambut panjang yang kusut dan terurai. Muka yang berlubang lubang dan berulat. Ada juga yang keluar masuk daripada mulutnya yang sedikit terbuka dan menampakkan taring. Lidahnya terjelir sedikit. Pakaian hitam yang lusuh dan buruk, koyak.

Dengan perlahan makhluk itu memalingkan mukanya ke arah makcik. Tidak sanggup memandang ke dalam anak mata yang menakutkan itu, makcik memalingkan badannya ke kanan semula sambil memejamkan mata dan menarik selimut untuk menutup kepalanya. Membelakangkan makhluk yang sangat hodoh itu. Bulu romanya masih berdiri tegak. Macam macam yang berlegar legar di dalam kepalanya. Apakah akan dicekik, dicakar. Apakah akan direntap selimut itu yang menjadi ‘perisainya’ lalu dipaksa menatap wajah hodoh itu. Makcik hanya bertawakal, membaca doa doa dan ayat qursi, memohon perlindungan allah dari gangguan syaitan dan jin yang sentiasa mencuba untuk menyesatkan anak adam.

Masih dalam keadaan berselubung, tetapi rasa sejuk masih kuat dirasakannya sehingga mencucuk tulang. Walaupun lagaknya agak kasar bagi seorang perempuan, berhadapan dengan situasi sebegini amat menyeramkan sehingga membuatkannya menangis ketakutan. Terketar di balik selimut. Siapa yang tidak takut jika hijab dibuka dan melihat wajah seburuk itu? Makcik tertidur dalam ketakutan.

Paginya seperti biasa. Tetapi wajah pucat makcik jelas kelihatan. Raut wajahnya risau. Mujur makcik seorang yang kuat. Tidak meracau. Tidak demam. Makcik memberanikan diri bersuara, menceritakan pengalaman pahitnya pada mak. Perlahan suaranya seakan lemah dan tak berdaya.

Makin tidak keruan kami sekeluarga dibuatnya. Akhirnya makcik meminta diri untuk pulang ke kolejnya pada hari itu juga kerana cutinya sudah habis. Dia juga turut memesan supaya kami mendapatkan bantuan. Dengan perasaan risau kami melepaskannya berangkat pergi dengan motor 125 biru miliknya sambil melambai tangan.

Beberapa hari kemudian kami meminta khidmat bantuan seorang pengamal perubatan tradisional atas dua sebab. Pertama, merawat badan mak yang lebam lebam selepas diurut rakannya. Keduanya, ‘membersihkan’ rumah kami daripada gangguan sebegini. Rumahnya terletak agak jauh daripada kampung kami. Kami sekeluarga menaiki kereta berjumpa dengannya.

Emak dirawat oleh sepasang suami isteri yang agak berumur. Mereka memang terkenal dengan kepakaran dalam bidang sebegini. Sambil dirawat, si suami memberitahu kami apa puncanya. Ya, mak saya disihir. Dan katanya, itu adalah kerja hantu raya yang dihantar. Tak lain dan tak bukan adalah daripada rakan mak saya itu sendiri. Sedikit sebanyak mak menceritakan apa yang terjadi.

Urusan pada hari itu berjalan dengan lancar. Hati kami sedikit lega. Kami juga meminta mereka untuk ‘bersihkan’ rumah kami kerana acap kali diganggu. Kelibat, bunyi cakaran, guli, orang berlari, dan ketukan di siling serta tingkap seringkali didengari oleh mak dan kak uda yang mudah merasa kewujudan makhluk lain. Mujur saya ketika itu masih kecil dan tidak mengalami gangguan gangguan seperti itu. Kalau adapun tidak saya ingati. Lagi pula saya seorang yang tak kisah dan mudah terlupa. Bunyi bunyi itu saya abaikan. Kelibat kelibat tidak saya lihat. Tapi perasaan diperhatikan itu memang ada.

Berbalik kepada cerita, hari demi hari lebam mak berkurangan dan semakin pulih. Selang beberapa hari selepas berubat, ayah menjemput pakcik yang merawat mak itu ke rumah kami. Lupa pula siapa namanya. Katakan saja “tok yan”.

Dipendekkan cerita lagi, selepas sesi ‘pembersihan’ selesai (mungkin separuh selesai), tok yan meminta bantuan ayah untuk memindahkan ‘benda’ itu ke tempat lain. Ada betina dan jantan. Yang jantan katanya berkenan pada kak uda. Kak uda ada beritahu kami dia kerap kali rasa diperhatikan dan ditindih. Mereka pergi berdua menaiki kereta ayah, dan ditumpangkan makhluk makhluk tu di seat belakang. Lokasi pemindahan itu dirahsiakan. Hanya mereka berdua yang tahu.

Ayah dan tok yan sampai ke rumah semula pada waktu senja. Sebelum ayah menghantar tok yan pulang ke rumahnya semula, tok yan menasihati kami agar berhati hati dan jaga perlakuan. Kerana dia hanya mampu memindahkan makhluk yang dihantar oleh rakan mak. Mungkin kerana kereta ayah hanya mampu memuatkan ‘mereka’. Katanya juga itu yang paling bahaya. Jadi di rumah kami masih ada yang menumpang. Cumanya rumah kami itu kini sudah ‘berpagar’. Jadi tidak hairanlah jika kisah di bawah ini terjadi.

Malam itu, kami semua tidur beramai ramai di ruang tamu atas arahan tok yan. Ruang rumah kami penuh dengan sejenis kacang/lada hitam dan garam (tak pasti). Saya tidur awal malam itu. Hanya mak dan kak uda yang masih berjaga sehingga lewat malam.

Masih ada perkara seram yang terjadi pada malam itu. Mak dan kak uda kata, mereka dengar suara tangisan di kawasan pokok rambutan sebelah rumah kami. Mungkin sedih kerana tidak dapat ‘bersama’ kami. Mereka berdua juga terdengar seakan akan ada orang berjalan di luar rumah. Dari dapur, ke ruang tamu. Dan ulang alik, berulang kali.
“tuk tuk tuk…srett srett…krchh… “, bunyi ketukan, cakaran dan seretan selipar di luar menaikkan bulu roma mereka. Diselang seli dengan bunyi tangisan yang seram dan agak dekat. Mak dan kak uda membiarkan sahaja suara dan bunyi tu. Agak lama. Kemudian suasana sunyi seketika. Hanya bunyi cengkerik dan kipas di ruang tamu yang menemani.

Entah kenapa, kak uda bangun dari tempat tidurnya. Tangannya pula gatal hendak melihat ke luar tingkap yang menghadap pokok rambutan. Matanya melilau melihat sekeliling kawasan rumah. Mungkin memang sengaja mencari penyakit, ataupun tidak sengaja kerana ingin membetulkan langsir yang ditiup angin sehingga menampakkan luar rumah. Lagipun suasana agak sejuk dan berangin malam itu. Tiba tiba lirik matanya terhenti di bahagian buaian yang selalu kami gunakan di pokok rambutan luar rumah itu. Diikat pada paip besi yang melintang. Terselit antara dahan dahan pada dua pokok rambutan. Antara percaya dan tidak percaya. Antara takut dan berani. Fikiran kak uda meminta untuk mengamati betul betul apa yang dilihatnya.

Terkejut beruk kak uda apabila ternampak ada kelibat putih berambut panjang sedang bertenggek di atas dahan pokok yang berhampiran dengan buaian. Malam yang gelap tidak menampakkan wajah makhluk yang dilihatnya itu. Tapi cahaya terang ruang tamu jelas menggambarkan susuk berpakaian putih itu sedang menunduk, tersengguk sengguk seakan orang menangis. Mak pula pada awalnya memang sudah terasa seperti ada yang memerhatikan kami daripada tadi. Bulu roma kak uda berdiri. Mak seolah olah faham apabila kak uda menutup tingkap dengan kuat dan pantas, serta menutup langsir dengan mukanya pucat berlari ke arah mak. Abang yang tidur di hujung itu sedikit tersentak tetapi tidak terjaga. Nasibnya baik.

“hmm… Hmmm….hmmmm…”, suara tangisan itu kembali semula. Kali ini makin mendayu dan kuat. Seram. Lalu mak menyuruh kak uda membaca ayat qursi dan terus masuk tidur sambil menenangkannya. Mak juga turut cuba untuk tidur meskipun telinganya ligat mendengar bunyi menyeramkan itu. Mak memang seorang yang senang terjaga apabila terdengar bunyi yang boleh mengganggu tidurnya. Berbeza dengan ayah dan aku. Tidak lena tidur mak malam itu sehinggalah azan subuh berkumandang.

Keesokan harinya, mak dan kak uda menceritakan kepada kak long. Saya hanya mencuri dengar memasang telinga sambil menonton cerita kartun pingu. Rupanya kak long juga turut mendengar kejadian aneh semalam. Mujur dia mampu tidur semula meskipun dalam keadaan takut. Berbeza dengan mak.

Hari demi hari berlalu. Gangguan semakin berkurangan. Dan semuanya kembali ‘normal’. Mak juga sudah sangat jarang mendapat mimpi yang menakutkan berbanding sebelum ini. Makcik saya ada juga bermalam di rumah kami selepas peristiwa itu. Dan katanya, tidak ada lagi gangguan mahupun kelibat. Cuma rasa seram sejuk itu tetap ada. Almaklumlah, ada yang baik, ada yang jahat. Ada yang islam, ada yang kafir. Ada yang putih, ada yang hitam. Betina dan jantan. Pakcik yang merawat mak itu tidak dapat menguruskan kesemuanya. Hanya melalui sedikit perjanjian dan ‘pagar’ antara mereka dan kami. Perjanjian yang tidak diceritakan kepada saya. Mungkin itu juga adalah salah satu pantangnya…

Sekarang kami tidak lagi tinggal di sana dan ayah pun sudah bertukar tempat kerja. Tetapi rumah itu masih tetap seram sehingga ke hari ini. Lagi menyeramkan kerana lalang yang sudah meninggi di tepi dan bawah rumah kerana tiada yang menguruskan kawasan itu. Tambahan pula bilik saya dengan abang ada ‘hasil seni’ yang agak menakutkan yang kami tinggalkan sebelum berpindah. Maklumlah, kami masih kecil dan naif ketika itu.

Inilah kisah yang sedikit sebanyak menghantui kami sekeluarga sehingga ke hari ini. Ini adalah cerita benar yang kami alami. Tidak dinafikan, semasa mengarang kisah ini pun terasa seram sejuk saya dibuatnya seakan ada yang memerhati. Saya juga merupakan seorang yang berimaginasi tinggi. Mudah untuk membayangkan perkara perkara yang diceritakan. Hanya 3% tambahan/modification bagi melancarkan jalan cerita dan menerbitkan rasa seram. Memandangkan ini adalah coretan pertama saya, maaf jika kisah ini panjang dan kurang seram pada perspektif para pembaca fs.

Jika ada kelapangan, saya akan kongsikan pula cerita tentang kak uda saya yang diberi holy water oleh rakan sekerjanya. Cerita yang juga seram pada pandangan saya.

Terima kasih kerana sudi membaca kisah ini. Terima kasih juga kepada admin kerana publish cerita ini.
-cap-

cap

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 4]

3 thoughts on “Hantu Raya Quarters Guru”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.