HILANGNYA ABANG TAM (PART2)

ENCIK K – HILANGNYA ABANG TAM (2)
Assalamualaikum semua. Encik K di sini. Sorry lama sangat menyepi. Maklum lah tengah sibuk persediaan nak kahwin. Hehe. Terima kasih untuk feedback yang sangat positif untuk dua kisah aku iaitu “Bahana Mulut Celupar” dan hilangnya Abang Tam. Kenapa lama sangat nak siapkan kisah Abang Tam? Sebenarnya kisah tu dah lama dah siap lepas dua ke tiga hari cerita tu FS publish. Tapi malangnya, lupa aku save kat mana dalam PC. So, kena taip balik lah.
Untuk followers baru, aku attach balik kisah Abang Tam ni dari awal.

Kisah seterusnya, pasal BUNIAN. Cerita kali ini memang sangat panjang, dan ambik masa yang agak lama. Digalakkan untuk baca sebelum tidur. Kalau boring boleh tidur terus. Awal-awal aku nak tekankan yang INI BUKANLAH CERITA SERAM TETAPI UNIK. Tetapi kali ini bukanlah pengalaman aku tetapi pengalaman sepupu aku sendiri.

Aku gelarkan sepupu aku sebagai Abang Tam, anak kepada Mak Long aku. Ketika kejadian dalam tahun 2005, Abang Tam berumur dalam lingkungan 25 tahun. Kebetulan ada cuti Hari Malaysia kalau tak silap, kitorang dah lama plan nak pergi mandi Kolam Air Panas Ulu Legong, Baling.
Tiba hari yang dinantikan, dalam pukul 8 malam kami semua dalam 4 orang dah bersiap nak bertolak dari rumah, tiba-tiba Abang Tam cakap dia akan pergi lambat sikit sebab nak hantar kawan dia pergi airport.

Abang Tam janji apa yang jadi, dia janji akan pergi jugak. Disebabkan Abang Tam ni seorang yang boleh dipercayai, kami pun gerak lah dahulu dan Abang Tam pula akan menyusul dalam sejam kemudian sorang-sorang.

Dua jam kemudian kami, kami pun tiba di Kolam Air Panas Ulu Legong, orang pun boleh tahan ramai. Selesai parking, bayar entrance fee terus kami mandi. Maklum lah, dah tiga tahun tak datang situ. Dah lebih sejam mandi, tiba-tiba baru aku teringat kat Abang Tam. Terus aku telefon Abang Tam. Telefon dijawab dan Abang Tam cakap dalam 20 minit lagi dia sampai dan terus telefon diletak. Malangnya aku lupa nak tanya lokasi Abang Tam ketika itu.

Malangnya, dah lebih sejam Abang Tam tak kunjung tiba. Sekali lagi aku telefon Abang Tam malangnya kali ni tidak dijawab. Masuk kali ketujuh dan seterusnya, terus telefon dimatikan. Kami pun dah mula risau. Dah pukul 3 pagi, kami buat keputusan untuk balik mana tahu akan jumpa Abang Tam di sepanjang jalan.

Kalau ada kemalangan ke apa, minta dijauhkan. Kalau ada pun kami harap kami jumpa jugak Abang Tam. Sepanjang jalan pulang, kami tak jumpa langsung Abang Tam dan kereta Saga Aerobacknya tu sehinggalah sampai ke rumah pada jam 5 pagi. Telefon Abang Tam pun dah ‘di luar kawasan’. Kami yang kepenatan terus tidur sampai lah tengahari.

Bangun esoknya, Mak Long terus Tanya mana Abang Tam sebab Mak Long tahu kitorang pergi sekali. Kami pun bagitahu semuanya. Mak Long dah mula risau sebab Mak Long telefon pun tak dapat. ABANG TAM HILANG !! Maka, sekali lagi kami terpaksa pergi ke Kolam Air Panas untuk cari dan tinjau Abang Tam.

Sampai di sekitar lokasi, mata kami ligat memandang kiri kanan mana tahu ada kelibat dan bayang Abang Tam. Dapat jumpa kereta dia pun dah bersyukur. Akhirnya, kami buat keputusan untuk pergi ke balai polis untuk periksa kalau-kalau semalam ada kemalangan melibatkan Abang Tam.
Namun hampa bila pegawai polis beritahu yang tiada kemalangan melibatkan kereta semalam. Yang ada cuma kemalangan motorsikal.

Sampai lah ke malam, selepas selesai buat laporan polis, kami pun pulang ke rumah menantikan keajaiban Abang Tam ada di rumah. Sekali lagi kami dikecewakan kerana Abang Tam tidak muncul tiba.

Genap 36 jam kehilangan Abang Tam dan masih tiada berita lagi dari pihak polis dan rakan-rakan kami di sekitar kawasan tersebut yang kami dah maklumkan untuk minta pertolongan. Mak Long dan Pak Long aku pula berikhtiar jumpa Imam Hashim yang terkenal untuk cari barang-barang hilang. Imam Hashim jugak yang tolong aku cari motor aku yang hilang dulu yang akhirnya dijumpai barai dibuang dalam sungai.

Menurut Imam Hashim, Abang Tam selamat cuma ‘DISEMBUNYIKAN’. Kami pun hairan apa maksud disembunyikan tu. Imam Hashim cuma cakap jangan risau, Abang Tam tetap akan pulang. Dia minta kami bersabar dan tunggu sahaja.

Setelah BEBERAPA HARI, kami dapat panggilan daripada pihak polis. Pihak polis minta pengesahan kereta Saga Aeroback KB* **90 ni milik ahli keluarga kami atau tidak. SAH! Itu kereta Abang Tam. Terus kami ke lokasi yang dimaklumkan oleh pihak polis. Tiba di lokasi, rupanya kereta Abang Tam ada dalam kebun kelapa sawit.

Barang milik Abang Tam seperti baju mandi, baju persalinan, malah duit dalam dompet pun tidak terusik. Kereta masih elok, cuma berdebu dan kotor akibat terkena air hujan dan panas. Maka gerakan mencari Abang Tam pun dimulakan disertai Polis Unit K9, Bomba, JPAM, RELA dan orang kampung.

Sudah dua hari Abang Tam masih gagal ditemui. Akhirnya, sekali lagi kami minta bantuan Imam Hashim. Imam Hashim yang datang seperti sudah mengesan sesuatu bila meninjau dalam hutan kelapa sawit tersebut. Beliau minta semua yang ada di kawasan tersebut berkumpul sahaja di pusat kawalan di tepi jalan dan dia akan masuk berseorangan dalam hutan tersebut. Cuma bila dipanggil baru semua anggota boleh masuk.

Menjelang maghrib iaitu dalam dua jam selepas Imam Hashim masuk, tiba-tiba kami dengar jeritan Imam Hashim yang mengatakan “MASUK, MASUK, MASUK” sebanyak 7 kali. Terus kami berkejar ke lokasi Imam Hashim berteriak. Akhirnya, Abang Tam ditemui. Keadaan Abang Tam ketika itu cukup elok. Elok di sini bermaksud Abang Tam segak berkemeja putih, cuma berkain pelikat, rambut seperti baru d******g, bersih dan wangi.

Tapi Abang Tam masih dalam kebingungan tak bercakap sepatah pun. Ketika Abang Tam nak dibawa pulang masuk dalam kereta, Abang Tam pandang lama kat kawasan kebun kelapa sawit tersebut seolah-olah tak nak balik. Akhirnya kami pun berjaya membawa pulang Abang Tam.
Selepas tiga hari dan Abang Tam dah dipulihkan oleh Imam Hashim, barulah Abang Tam membuka mulut, dan menceritakan apa yang terjadi.

Menurut Abang Tam, dia pergi ke situ hanya 2 hari dan dia terjumpa dengan ‘keluarga baru’. Rupanya, 2 hari bagi Abang Tam itu sebenarnya TIGA MINGGU BAGI KAMI! Tiga minggu kami kehilangan Abang Tam!

Setelah Abang Tam pulih sepenuhnya, barulah dia ceritakan apa yang terjadi.

**
Dalam perjalanan untuk join kami, dalam 20 kilometer sebelum tiba di Kolam Air Panas Ulu Legong tersebut, keretanya tiba-tiba enjin m**i. Tempat tu memang gelap, sangat-sangat gelap. Ditambah pula dengan kereta yang hanya mungkin sejam sekali lalu, makin menggusarkan Abang Tam. Terus dicapainya telefon bimbit untuk meminta bantuan. Malangnya tiada liputan di kawasan tersebut.

Tiba-tiba Abang Tam disapa oleh seorang lelaki tua, berbaju melayu labuh ke paras lutut dan berkopiah putih. Walaupun terkejut dengan kedatangan lelaki tersebut secara tiba-tiba, tetapi melihatkan lelaki tersebut seperti orang baik-baik Abang Tam pun menceritakan keadaan keretanya yang tiba-tiba rosak dan enjin tidak dapat dihidupkan. Setelah diperkenalkan dirinya sebagai Pak Cik Omar, dia meminta agar kereta tersebut ditolak dahulu ke satu kawasan lapang di tepi jalan.

Setelah selesai, Pak Cik Omar mengajak Abang Tam untuk ke rumahnya memandangkan malam tersangatlah gelap dan agak bahaya untuk berseorangan di kawasan tersebut. Hampir sepuluh minit berjalan dan diselangi dengan borak-borak kosong, akhirnya mereka pun tiba di sebuah perkampungan.

**
“Kampung Melayu Raya”. Terpampang tulisan jawi di pintu gerbang utama kampung tersebut, yang diperbuat daripada batang pokok pinang dan dihiasi dengan daun-daun pinang dan kelapa serta disinari dengan cahaya pelita.

Walaupun jam menunjukkan hampir pukul 1 pagi, tetapi suasananya sangat-sangat meriah. Seakan-akan ada pesta keramaian, persis sambutan malam raya Aidilfitri. Yang wanita duduk bersimpuh di pangkin bawah pepohon berbual kosong dan bersantapan, yang lelaki pula bermain sepak raga. Ada yang duduk bersahaja, ada juga yang bergurau senda. Menurut Abang Tam, kebanyakan dari mereka berpakaian serba putih dan kelabu dan muka juga kelihatan hampir sama, mungkin adik beradik dan saudara-mara.

Yang lebih menghairankan, ke mana sahaja Pak Cik Omar pergi, penduduk di situ akan menunduk hormat kepada beliau dan tidak lekang dengan senyuman. Pada pandangan Abang Tam, mungkin Pak Cik Omar adalah penghulu di situ. Tidak lama kemudian, mereka pun sampai di rumah Pak Cik Omar yang terletak paling hujung kawasan tersebut.

Apa yang lebih mengujakan Abang Tam, walaupun rumah Pak Cik Omar sederhana besar tetapi seni binaan kayunya cukup indah, persis istana lama. Ukiran yang tersusun, dikelilingi rumput yang sangat-sangat lembut, pepohon rendang yang memukau dan terdapat juga aliran anak sungai di sekeliling rumah. Belum pernah lagi dia melihat rumah yang sedemikian rupa.

Melihatkan Abang Tam yang sedikit lelah, barangkali kepenatan akibat berjalan Pak Cik Omar meminta Abang Tam untuk mandi terlebih dahulu dan kemudiannya memakai persalinan yang bakal disediakan. Tidak lama kemudian, selesai sahaja mandi Abang Tam pun menyarung kain pelikat berserta kemeja putih yang digosok rapi.

Tiba-tiba Abang Tam berselisih dengan seorang wanita yang cukup manis wajahnya, berselendang putih, berkulit putih cerah, langsing tubuhnya dan bermata coklat.

Kemudian, Pak Cik Omar memperkenalkan isterinya, Mak Cik Arfah dan anak-anaknya, Sufiah dan Sulaiman. Sufiah, gadis yang berselisih dengan Abang Tam tadi, seperti 20-an usianya manakala Sulaiman masih lagi kanak-kanak. Setelah diperkenalkan, mereka pun bersila sambil menikmati hidangan yang telah disediakan. Walaupun hanya dihidangkan kuih-muih, ianya sudah cukup untuk menambat selera Abang Tam.

Apa yang lebih mengujakan ialah, air yang dihidangkan cuma air kosong tetapi rasanya sangat manis, diselangi dengan rasa herba-herba mungkin.

Menurut Pak Cik Omar, sebenarnya penduduk kampung tersebut sedang menyambut Pesta Kelahiran, iaitu meraikan kelahiran anak salah seorang pembesar yang agak dihormati di Kampung Melayu Raya, dan akan disambut selama tujuh hari tujuh malam dan malam tersebut adalah malam yang ketiga. Menurutnya lagi, Abang Tam ‘sangat bertuah’ untuk menyaksikan berlangsungnya pesta tersebut kerana tidak semua orang berpeluang menyaksikan keraian tersebut.

Melihat di luar, masih lagi meriah dengan orang kampung yang berjual-jual. Ada yang menjual makanan, bunga api bercahaya buatan sendiri, alat permainan serta pelbagai lagi yang tidak pernah dilihat oleh Abang Tam. Menjelang lewat malam, setelah kedengaran seakan-akan bunyi gong dipalu dengan kuat, maka penduduk kampung pun mula beransur pulang ke rumah masing-masing, menantikan sambungnya keraian pada esok hari.

Melihatkan Abang Tam yang agak kepenatan dan cuba untuk menahan diri dari menguap, Pak Cik Omar meminta Sulaiman untuk menemani Abang Tam ke kamar tidur. Abang Tam yang terus terlupa perihal keretanya yang rosak serta sepupu-sepupunya yang sedang menunggu terus tertidur.

Keesokan harinya, setelah bangun dari tidur yang panjang, itu pun selepas dikejutkan oleh Sulaiman untuk mengikutnya ke suatu tempat. Tanpa mandi dan mempersiapkan diri, Abang Tam mengikut sahaja langkah Sulaiman. Kelihatan kawan-kawan sebaya Sulaiman tiga orang sudah menunggu. Masing-masing berbekalkan busur dan bekas untuk mengisi hasil buruan. ‘Hendak memburu mungkin’, fikir Abang Tam.

Kemudian mereka melangkah ke suatu kawasan hutan renek di hujung perkampungan. Walaupun hutan, tetapi masih dilitupi oleh pepohon hijau dan keperangan, yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini.

Tiba-tiba pandangan Abang Tam terkejut apabila anak panah melintas seinci sahaja dari pandangan matanya. Ya, betul-betul seinci daripada mukanya! Terus anak panah tersebut terkena seekor rusa keemasan dan berbintik putih di sebalik pokok. Walapun masih kanak-kanak yang hanya dalam lingkungan 11 tahun, mereka sangat handal membuat panahan. Terus sahaja anak panah tersebut mengenai sasaran walaupun hampir terkena muka Abang Tam tadi.

Melihatkan mereka berjaya memburu seekor rusa, mereka terus bersorak keriangan. Abang Tam yang teruja melihatkan kecekapan Sulaiman dan kawan-kawannya. Setelah berjaya mendapatkan seekor rusa, mereka pun bersama-sama mengangkat rusa tersebut untuk dibawa pulang. Dalam perjalanan untuk pulang ke rumah Pak Cik Omar……….

**
Tiba-tiba terdengar satu laungan.
“Mohamad Hafizal bin Rohana” sebanyak tiga kali. Itu adalah nama sebenar Abang Tam. Yang peliknya kenapa namanya dipanggil ber bin kan ibunya? Sulaiman dan kawan-kawannya juga tiba-tiba sahaja menghilangkan diri, meninggalkan dia berseorangan. Hutan yang tadinya cantik kehijauan terus bertukar hutan kelapa sawit. Terus mindanya kosong.

Abang Tam bertemu pula dengan seorang lelaki tua yang tidak dikenali, memanggil namanya berulang kali, sambil mukanya ditepuk-tepuk. Tidak lama kemudian, terus Abang Tam dikelilingi oleh ramai orang, yang tidak pun dikenalinya. Sekali lagi mindanya terus kosong, antara sedar dan tidak apa yang berlaku. Begitulah berakhirnya kisah Abang Tam di alam sana.

**
Selepas kejadian tersebut, Abang Tam masih lagi merindukan Pak Cik Omar, Sulaiman, Mak Cik Arfah dan juga Sufiah serta Kampung Melayu Raya. Ada beberapa ketika Abang Tam pergi ke kawasan tersebut untuk meninjau-ninjau, malangnya kesemuanya hanya berakhir dengan tangan kosong. Hanya hutan kelapa sawit sahaja yang ditemuinya.

Sebenarnya ada banyak lagi kisah dan pengalaman Abang Tam di sana, tetapi dia mengelak untuk menceritakan beberapa perkara. Alasannya mudah, ‘TIDAK INGAT’. Masakan tidak ingat kerana hampir tiga minggu Abang Tam berada di sana. Menurut Abang Tam, memadai dia menceritakan beberapa perkara sahaja. Sebagai tambahan, kisah Abang Tam ni pernah disiarkan dalam Utusan Melayu dan majalah Mastika. Sekian, sampai jumpa lagi!
-ENCIK K-

::Hantar kisah anda di fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 12 Average: 5]

5 thoughts on “HILANGNYA ABANG TAM (PART2)”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.