Ibu Ni Siapa Sebenarnya

Salam and hi.
Terima kasih sebab sudi izinkan confession aku untuk menetap di FS.

Kejadian ni berlaku masa aku kecil dan tak faham apa-apa. Kami sekeluarga bersama saudara mara bertolak ke Terengganu pada 10 tahun yang lepas untuk melawat seorang ibu tunggal yang aku rasakan ada bau-bau bacang dengan ipar mama atau papa aku.

Perjalanan ke sana dari Kuala Lumpur, biasalah ambil masa yang sangat panjang. Sampai saja ke rumah yang aku gelarkan Ibu, sudah senja waktu itu. Terus kami semua masuk rumah dan persiapkan diri untuk waktu maghrib yang hampir menjengah. Tandas di rumah ibu ada 2, satu dalam dan satu lagi di luar rumah. Jadi yang lelaki kebanyakannya ke luar sebab nak jimat masa.

Habis saja solat dan makan malam, kami berehat sehinggalah jam 9.30 malam. Ibu ada tanya pada semua, bila nak tidur? Tak penat ke? Bagi kami yang dari KL, 9.30 masih awal dan masih nak melayan drama di tv. Tapi pakcik-pakcik yang drive semua sudah mengantuk dan beransur tidur. Setengah jam kemudian tepat pukul 10 malam, tiba-tiba “plak!” semua lampun dalam rumah tertutup. Kami yang masih berjaga terkejut! Tv pun tertutup. Langsung tiada cahaya dari dalam rumah. Kemudian dengar suara Ibu, “Tidur ya semua. Mesti penat kan? Kalau ada sesiapa takut ke tandas kejut ibu. Jangan main buka lampu ya..”. Sejurus itu, Ibu terus masuk ke biliknya.

Kami terpinga. Takpalah, cuba saja tidur awal. Mana tahu boleh tidur lagi-lagi tengah kepenatan kan. Tapi sangkaan kami meleset, sedang kami cuba tidur, kami dapat rasa seperti ada bulu atau rambut tak pasti seperti menyapu muka kami yang tidur di ruang tamu beramai-ramai. Dia macam ikut urutan sampailah yang tidur di hujung. Semua diam.

Lepas tu aku dah tertidur. Tapi, cousin aku ada cerita yang masa tu, tak tahulah pukul berapa dia dengar dari bilik ibu bising-bising macam orang gaduh. Dia je dengar, orang lain lena tidur dia kata. Or else, yang lain takut nak bukak mata.

Tepat pukul 12 malam aku rasa, sebab bunyi jam besar lama yang akan bunyi DUMM bila tepat jam 12. Masa tu aku tersedar, aku nampak cousin aku sebelah-sebelah tengah borak bertiga. Yang aku dengar bisik-bisik, “Aku tak boleh tidur” “Takutlah” “Teman aku”. Masa tu juga kilat sabung-menyabung and hujan lebat di kampung tu. Dahlah aku takut hujan. Menggigil aku. Tapi tak semena-mena masa cahaya kilat singgah masuk ke rumah, kami semua yang tersedar ni menjerit sesama sendiri! MAAAAK!

Depan kami nampak jelas sekali, ada lembaga merangkak kat area ruang tamu tu. Nampak macam perempuan tua pakai baju kedah dan kain batik sedang merangkak. Menggigil serius! Terkencing cousin aku terus. Lepas tu kami kejut semua yang ada kat ruang tamu. Masa tengah kami kejut tu, kami tengok dekat tempat tadi benda tu dah takda. Lega…

“Alia..” (Bukan nama aku sebenar)

Aku terdengar cousin aku bisik panggil aku. Aku dengan cousin yang lagi satu (Gelarkan: Aina) toleh belakang, cousin yang panggil aku tu (Gelarkan: Maisara) tunjuk guna ibu jari dia kat arah belakang dia dan.. lembaga tu ada belakang dia! Kami bertiga jerit semahu-mahunya malam tu. Dah tak larat sebab terlalu takut!

Bila dengar saja kami jerit, tak tahu siapa pergi bukak suis lampu dekat rumah tu. Bila rumah terang-benderang, semua mata kat ruang tamu tertumpu pada darah yang kelihatan menitik di sekitar ruang tamu dan serentak itu juga kedengaran sayup-sayup suara wanita menangis. Tsk tsk tsk..

Dari dalam bilik ibu, dengar macam suara mendengus kuat. Terus terhempas kuat pintu bilik ibu, dan ibu pun keluar sambil sarungkan anak tudung dia. “Kenapa ni tak boleh tidur ke?” Itulah ayat yang keluar dari mulut ibu. Aku pelik, dia tak dengar ke kami terjerit-jerit kat ruang tamu. Darah menitik masih ada di lantai. Ibu melihat darah tu dan hanya pergi ke dapur dan ambil mop untuk bersihkan. Lepas tu dia ada kata, “Takpalah kalau takut tidur, buka saja lampu. Kalau dengar bunyi bising, buat tak tahu saja. Orang kampung memang suka kerja malam-malam.”

Aku dan 2 orang cousin aku pandang semua orang kat ruang tamu dengan buat muka sedih. Tolonglah faham kami tengah takut. Mustahil nak tidur. Maksu aku, volunteer kata tak nak tidur teman kami sampai tertidur. Okay lah tinggal kami berempat borak sambil menangis sisa-sisa ketakutan tadi. Huhu tapi tak berakhir macam tu je.

Sedang kami tengah cuba nak tidur sebab dah lega, tiba-tiba dengar ada orang ketuk pintu macam kelam-kabut dan laju, bertubi-tubi. Dia menjerit, “Askooooom, bukak lah pintu aku nak masuk!!” Aku keliru suara dia perempuan atau lelaki. Sangat serak macam kepenatan. Berulang banyak kali sampai maksu aku kata tidur je jangan kisah langsung. Kami pun tidur sambil teresak-esak menangis dan berpelukan. Malam tu paling pelik sebab selain kami, semua orang tidur sangat lena. Padahal kami rasa benda tu terjadi sangat kuat and boleh ganggu orang tidur.

Sampailah esok pagi, semua tersedar dan buat macam biasa. Alhamdulillah aku seronok sangat sebab plan asal memang nak tidur semalam je sebab nak holiday kat resort lain pula. Im so happy sebab tak nak terseksa dah. Long story short, rupanya ibu memang membela dan setiap malam pukul 10 tu dah kena bergelap 1 rumah. Sebab benda tu nak berkeliaran cari makan. Memang satu cahaya pun takda! Ibu pun sebenarnya tak galakkan sesiapa tidur rumah dia kalau lembik. Uish, tak nak dah.

– hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

One comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *