ISTERIKU DAN MEREKA

Selamat sejahtera dan selamat menunaikan ibadah puasa kepada yang beragama Islam. Sudah sekian lama rasanya aku tidak berkongsi kisah mistik/seram di Fiksyen Shasha yang semakin meningkat naik pengikutnya. Tahniah admins! Aku Selena, 27, Kristian dan masih bujang.

Perkongsian kali ini merupakan kisah kawan aku Sam dan isterinya Badiah yang mempunya 2 anak lelaki yang lincah dan comel. Dulunya Badiah bekerja tetapi bila Sam merasakan dia mampu untuk menyara keluarganya maka mereka berbincang supaya Badiah meletak jawatan dan sejumlah wang diberikan oleh Sam supaya isterinya boleh memulakan perniagaan kecil-kecilan. Watak lainnya pula adalah Siti (BFF Badiah), Mimi dan Rahman (Suami Isteri), Amjad (Kawan Sam), Mummy (Mak Badiah).

Kisah yang akan diceritakan selanjutnya ada tambahan untuk melancarkan jalan cerita. Aku adalah SAM dalam kisah di bawah. Semoga penyampaian aku difahami semua dan bagilah ulasan yang membina andai dipaparkan. 

[GADUH – GADUH, SAYANG]
Sudah menjadi lumrah bagi pasangan berkahwin untuk bertelingkah andai tidak sependapat. Begitu juga aku dengan Badiah. 14 tahun berkahwin, aku cukup kenal dengan perangai isteriku, begitu juga dia. Tetapi kenapa pertelingkahan kali ini aku merasakan sedikit pelik kerana merajuk isteriku sungguh lama. Bila dipeluk, dikeraskan tubuhnya, bila dicium, ditutup mulutnya. “Ahh, sudah”, detik hatiku. Merajuk lagi nampaknya. Aku pun beransur ke tempat kerja. Minggu berganti minggu, makin parah pula. Bercakap tidak, apatah lagi mahu bermesra. Masih aku diamkan. Bila dimesej juga begitu, 10 yang dihantar, beruntung sekiranya Badiah akan membalas, itupun dengan “K”.

Aku memujuk dengan pelbagai cara, tetap tidak berjaya. Bila aku perasan yang Badiah selalu melarikan diri dari aku, aku tahu ada yang tak kena tapi aku belum tahu apakah sebabnya. Adanya CCTV di rumah memberi aku sedikit kelapangan hati supaya aku boleh memerhatikan gerak gerinya. Sedihnya, setibanya aku di rumah, dia melolos keluar, seolah – oleh enggan bersemuka atau berada dekat dengan aku.

[KAWAN TAPI MESRA]
“Lambat pulak harini”, getus hati Siti. Siti tengah menunggu Rahman untuk menemani mereka di Café Badiah. “Untung Badiah ada suami penyayang dan mampu mengeluarkan duit untuk perniagaan Café kecil – kecilan ini” katanya pada dirinya. Berbeza sungguh dari suaminya yang merupakan pekerja buruh biasa. Siti sendiri tahu yang dia masih mempunyai rupa meski sudah berusia 30an. Dan dia juga sedia maklum lelaki mahupun bujang atau yang sudah berkahwin hanya mendampinginya kerana rupanya. “Jauh termenung, ingatkan siapa tu sayang”, gurau Rahman. “Lambatnya sampai, lama tau kita tunggu”, balas Siti dengan nada merajuk manjanya. Suasana itu terhenti tatkala Badiah menegur, “Baru sampai ke Man?” Man mengangguk lantas menjawab “Haa’ah, layan marah Mimi sekejap tadi. Entah apa yang dimarahnya”. Sam juga kenal dengan Siti dan Rahman. Siti merupakan kawan karib Badiah manakala Rahman pula temannya di Gym.

[SABAR]
Bulan ganti bulan, hubungan Sam dengan Badiah semakin dingin. Mereka sehingga bergaduh di depan anak-anak. Mummy pula hanya mampu menangis mendengar anak dan menantunya bertelingkah. Sejujurnya Mummy kurang setuju dengan pernikahan Sam dan Badiah kerana berbeza negeri. Tetapi kini dia pasti Sam lah yang terbaik untuk Badiah. Caturan Tuhan itu lebih indah kerana Mummy sakit beberapa bulan selepas pernikahan Sam dan Badiah dan Sam, menantu yang dibantahnya itulah yang menjaganya saat dia sakit dan kini pun dia tinggal bersama anak menantunya setelah bercerai dengan suaminya lama dahulu. “DHUUUMMM”! Kedengaran pintu bilik dihempas kuat. Kedengaran tapak kaki Sam menuruni tangga dengan rasa marahnya. Duduk terjelepuk dia meletakkan kepala ke atas paha Mummy. “Sam dah tak tahan Mummy. Apa salah Sam? Sam jaga dia, Sam sayang dia”, luah Sam teresak-esak. Mummy hanya mampu mengusap lembut rambut menantunya dan berdoa agar anak perempuannya dilembutkan hati. Juga semoga perkahwinan ini diberkati dan diberikan kesabaran serta jalan keluar.

[CURANGKAH SUAMIKU]
“Aku tahu kau curang”, jerit Mimi kepada Rahman. “Awak jangan tuduh yang bukan-bukan tau, saya ni suami awak”, tengking Rahman semula. Selama perkahwinan ini, Mimi lah yang menanggung segalanya kerana jawatan pegawai yang disandangnya. Sejujurnya dia teramat menyayangi Rahman. Bertahun sudah berumahtangga, anak-anak pun sudah dewasa. Cuma baru-baru ini dia dapat merasakan yang Rahman punya hubungan di luar. Mana taknya, dirinya tak dipedulikan. Balik ke rumah selepas pukul12 tengah malam. Telefon bimbit juga tak lekang dari tangan. Mimi tahu akan naluri isterinya tetapi dia tidak mempunya bukti. Yang dia tahu, Rahman selalu berada di Café Badiah. Dah menurut Rahman, Sam yang menyuruhnya tolong tengokkan Café itu kerana tiada lelaki dewasa di situ. Mimi tahu yang tak mungkin Badiah mempunyai hubungan dengan Rahman kerana dia mengenali wanita itu. Apatah lagi suami Badiah sungguh sayang akan Badiah. “Tetapi jika bukan Badiah, siapa”? soal Mimi sendiri.

[PETANDA APAKAH INI]
Kebanyakan masanya Mummy tinggal seorang di rumah kerana Sam kerja manakala Badiah sibuk dengan Café. Stroke telah meninggalkan kesan kepada dirinya terutama dari segi percakapan. Suatu pagi, seusai membersihkan diri di bilik air yang terletak di tingkat atas, tiba – tiba Mummy terlihat kesan tapak tangan pada cermin. Yang peliknya, tapak tangan itu kelihatan berlumpur. Tanpa berfikir panjang, Mummy mengelap tapak tangan itu dan turun ke bawah. Pada tengah hari itu, dia naik ke bilik dan sekali lagi dia ternampak kesan tapak tangan yang berlumpur. Meremang bulu roma satu badan. Mana taknya, dia seorang sahaja di rumah dah dia pasti tiada orang yang keluar masuk rumah itu kerana dia dalam rumah dan rumah dah diketatkan keselamatan dengan memasang Security System. Kali ini Mummy sengaja meninggalkan kesan tapak tangan itu untuk ditunjukkan kepada anak dan menantunya. Rasa kurang senang mulai timbul bila kesan tapak tangan itu hilang ketika Sam dan Badiah pulang petang hari itu. Dia hanya menceritakan kisah itu kepada Sam dan Sam mengangguk tanda memahami.

Tengah hari keesokannya, Mummy ingin melelapkan mata kerana letih. Puas mencari posisi yang sesuai untuk lelap tetapi gagal. Tiba-tiba dia terpandang susuk yang mengenakan kain putih yang lusuh. Mukanya tidak kelihatan kerana ditutupi rambut. Mummy tahu apakah entiti itu dan dia cuba kuatkan iman dan dirinya. Syukur, sebentar sahaja kelibat itu menunjukkan diri. Kalau tak, entah apa yang akan terjadi kepada Mummy. Setelah mengalami semua itu, Sam pun setuju supaya Mummy yang menjaga anak-anaknya setelah mereka balik dari sekolah supaya Mummy tidak bersendirian. Sebelum ini anak-anak dihantar ke rumah pengasuh kerana kasihankan Mummy, takut tak larat pula.

[SYAK, SIAPA PATUT AKU PERCAYA]
Dengan semua yang terjadi, Sam tahu ada yang dengki dan ingin memusnahkannya. Tapi siapa? Urusan Café tak pernah dia campuri kerana Badiah dingin. Tiba-tiba dikejutkan cerita yang Siti mempunyai hubungan dengan ramai lelaki. Tak terkecuali kawan-kawannya sendiri. Sam kesal dengan sikap kawan-kawannya yang kalah dengan nafsu syaitan. Tapi dia juga tahu perangai Siti bagaimana. “Lantaklah, bukan bini aku”, gomol Sam dalam hati. “Kita kena hati-hati Ti, dia dah pergi Café. Nasib baik dah report polis”, kedengaran Badiah tengah bercakap dalam telefon, semestinya dengan Siti.
“Ada apa hal sampai report polis?”, tanya Sam kepada isterinya. Badiah diam. Lalu Badiah memulakan bicara yang Mimi telah datang ke Café dan mengamuk kerana ketahuan tentang Siti dan Rahman. “Kenapa tak call I bagitau”. “I can handle it”, jawab Badiah. Membara marah Sam. “Jadi you tahu pasal Siti dan Rahman?”. Badiah mengangguk. Sam merasakan amarahnya perlu dilepas. Dia berang. “Jadi you setuju dengan perbuatan mereka tu? Masing-masing dah kahwin, pastu nak buat perangai”, sedikit tinggi suara Sam kerana geram. “Biarlah, itu urusan dorang”, balas Badiah. “Memang itu urusan dorang, tapi sekarang sudah melibatkan kita sebab Mimi dah serang ke Café”, Sam masih enggan mengalah. Badiah meninggalkan bilik dah Sam terduduk. Rasa marah, geram, sedih, benci. Tetapi dia tak mampu untuk melakukan apa-apa.

[KAWAN]
Aku stress sebenarnya di rumah. Badiah enggan berkomunikasi. Aku rasa seperti aku kehilangan isteriku tapi tiada daya untuk berbuat apa. Syukur masih ada kawan-kawan sepejabat yang sudi mendengar luahan hati aku dan mereka menasihatiku untuk pergi berubat. Ditemani Mohd, kami pergi menemui Ustaz yang disyorkan. Ustaz mengatakan ada yang ingin aku m**i kerana iri dengan kejayaan aku. Tetapi mungkin amalan seperti solat tidak pernah ku tinggal lalu tertempias ke Badiah. Sungguh busuk bila adanya hasad dengki dan iri hati. Padahal aku juga hanya makan gaji. Perniagaan yang ada tidak lah lumayan tetapi aku memang suka berniaga. Betul lah kata orang, hati manusia tidak semuanya elok. Sesudah aku tahu yang semua yang terjadi adalah permainan sihir yang datangnya dari hasad dengki, aku cuba berubat merata. Baiknya perubatan Islam atau sebaliknya. Sebab aku hanya inginkan keluarga aku semula. Aku rindu dengan isteriku. Ada masanya keadaan seperti pulih seketika tapi tidak lama. Aku semakin buntu.

[ISTERIKU PSIKO]
Rahman pulang ke rumah tepat jam 12 tengah malam. Gelap. “Mana pula dia ni”, tanyanya dalam hati dan menuju ke bilik di tingkat atas untuk membersihkan diri. Setelah kantoi dengan Mimi perihal dia dengan Siti, mereka berdua semakin teruk. Tapi Rahman tetap pulang ke rumah. Kelibat isterinya Mimi tidak kelihatan. Tapi dia yakin yang Mimi berada di rumah kerana keretanya ada di parkir. Tiba-tiba dia terdengar bunyi dari tingkat bawah. Pabila dia ingin turun, lampu pula terpadam. Dengan berhati-hati Rahman menuruni tangga. Sesampainya dia di bawah, lampu terbuka tetapi malap sungguh. Kelihatan isterinya, Mimi sedang rakus meratah isi daging yang berupa bayi baru lahir. Manakala di hadapannya, seekor kelibat yang amat besar, berbulu lebat dan hitam gelap sedang menghisap ibu jari kaki Mimi. Rahman kaget, dia tidak tahu apa hendak dilakukannya. Ingin dia menjerit dia seolah-olah kaku. Mimi pula seakan tidak menyedari adanya Rahman di situ. Selepas itu, Rahman tidak ingat lagi apa yang berlaku dan keesokannya dia elok sahaja terbaring atas katil.

[SITI, MIMI ATAU RAHMAN? ATAU BADIAH]
Aku terkejut bila Mimi mula mencari aku. Seakan-akan aku dijadikan tempat meluah. Aku pun beri nasihat yang sewajarnya dan tidak pernah berlebih-lebih. Tidak lama kemudian, Badiah mengajak aku bertemu dengan Siti dan Rahman kerana ada perkara penting untuk dibincangkan. Lalu Rahman membuka cerita bahawa semua ini angkara Mimi setelah mengetahui tentang dia dah Siti. Mimi bersumpah sekiranya Rahman masih meneruskan hubungannya dengan Siti maka dia akan mengenakan Sam. Rahman juga memberitahu mereka bahawa Mimi psiko dan selalu mengurung serta mencederakannya. Luka di lutut Rahman ditunjukkannya kepada yang lain. Aku mempercayai Rahman pada masa itu dan kami bersetuju akan berikthiar dan pergi berubat.

Tetapi hari berganti minggu, semuanya seakan dilupakan. Bila ku tanyakan pada Badiah, dia hanya membisu. Aku marah kerana aku mangsa keadaan. Semua ini berlaku bukan atas kesalahan yang aku lakukan tetapi disebabkan oleh perbuatan orang lain. Aku semakin ragu-ragu andai aku perlu mempercayai Rahman. Bagaimana jika Rahman dan Siti yang menjadi dalang semuanya kerana hubungan mereka? Adakah Mimi penjahat sebenarnya? Atau adakah Badiah, isteri yang aku sayangi sepenuh hati sudah pudar kasihnya kepada aku? Bagaimana jika tingkah laku Badiah bukan akibat tempias sihir tetapi dia tidak lagi sayangi aku? Sudah hampir setahun aku dengan Badiah dingin. 3 hari lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Tiket untuk balik ke kampungku sudah aku beli tapi aku tidak pasti andai Badiah akan mengikut. Aku masih berubat, aku masih berusaha, aku tidak akan berputus asa untuk mendapatkan isteriku kembali supaya keluargaku kembali normal.

Apakah pengakhiran kisah Sam? Jujur aku tak dapat ulaskan di sini kerana dia masih berubat dan setiap hari ada sahaja kisahnya tentang semua ini. Kini Café Badiah pun tutup. Sam terpaksa berbuat demikian walaupun perlu bertengkar dengan Badiah kerana merasakan semuanya untuk keselamatan isterinya.

Yang akan kecam aku masuk campur urusan rumahtangga dan bersembang dengan suami orang, Sam menceritakan semua ini kepada kami beberapa orang yang berada di pejabat ye. Sistur tak kacau suami orang, hahaha. Aku masih menantikan cerita dari Sam kerana Sam tidak lagi sepejabat dengan aku akibat apa yang berlaku. Dia tidak boleh memberi perhatian kepada kerjanya. Kita sama-sama doakan yang terbaik buat Sam dan semoga semuanya dipermudahkan dan terbongkar.

Thank you.

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 5]

7 thoughts on “ISTERIKU DAN MEREKA”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.