#Izul – Banglo Peninggalan Arwah (Part 3)

“Ya Allah, ampunilah segala dosaku dan juga dosa kedua-dua ibu bapaku serta kasihanilah mereka seperti mereka memelihara dan mendidikku sewaktu kecil.”

Amin Ya Rabbal Alamin.

Lebih satu jam aku meluangkan masa di pusara Umi dan Abi. Aku bergerak ke rumah Atok dengan menunggang motorsikal Acai yang dibawa pulang oleh aku semalam. Atok sedang menyapu halaman hadapan rumahnya ketika aku tiba.

“Assalamualaikum Atok. Awal menyapu hari ini,” berbasa-basi aku menegur Atok sebagai pembuka bicara.

“Wa’alaikumussalam Izul. Ini jer la keje yang Atok mampu buat pagi-pagi begini. Nak harapkan budak Acai tu, pukul 8.30 pagi dah ni tapi membuta lagi. Jemput naik Izul. Jangan kamu mengada-ngada nak duduk depan rumah. Mak Cik Sal ade masak nasi lemak sambal udang pagi ni. Rezeki kamu la tu,” Atok meletakkan penyapu yang dipegangnya di tepi rumah dan menjemput aku untuk naik ke atas. Aku mengekori Atok naik ke ruang tamu rumahnya.

“Kacak betul kamu pagi ni siap berbaju melayu. Kalau Atok sebaya dengan kamu, dah lama Atok mengorat. Kamu ni dari mana?” ketawa besar aku dengan keletah Atok. Pandai Atok berlawak menghiburkan hati.

“Saya dari pusara Umi dan Abi, Atok. Dah lama sangat saya tak ziarah pusara mereka,” aku menjawab soalan Atok sambil menghirup teh’o panas yang dihidangkan oleh Mak Cik Sal. Aku tidak nampak pula ayah Acai di ruang tamu. Mungkin sudah keluar ke kebun.

Atok menganggukkan kepala dan melemparkan senyuman ke arah aku.

“Macam mana kamu di rumah tu? Atok tengok kamu macam orang tak cukup tidur jer. Ada ‘tetamu’ ke semalam?” soalan Atok ibarat pucuk dicita ulam mendatang. Aku punya hajat yang besar bertandang ke rumah Atok dan soalan yang Atok ajukan ini cukup membuatkan aku senang untuk bercerita dan mencungkil seberapa banyak maklumat yang Atok tahu.

Aku menceritakan kepada Atok segala kejadian yang berlaku di rumahku semalam termasuk kemunculan Tok Uda yang telah lama meninggal dunia.
Atok mengucap panjang mendengar cerita yang aku sampaikan dan jelas riak wajah risau terpancar dari air muka Atok.

“Kenapa bomoh Tok Uda marah dan katakan yang tanah rumah saya itu adalah tanahnya sedangkan satu kampung tahu Umi dan Abi saya beli tanah tersebut dengan hasil titik peluh sendiri. Saya perlu tahu cerita mengenai asal usul tanah saya itu Atok. Saya yakin Tok Uda akan muncul lagi. Selagi apa yang dia mahu saya tidak turuti, selagi itulah dia akan datang mengganggu,” dengan penuh mengharap aku memandang Atok.

Cerita yang disimpan rapi selama ini aku cukup yakin Atok akan kongsikan dengan aku. Aku berhak untuk tahu dan memperbetulkan segala apa yang berlaku supaya dendam ini tidak berpanjangan lagi. Bagi Atok, dia tidak mahu kejadian yang lebih buruk menimpa aku yang kini sebatang kara dan dengan berat hati Atok memulakan cerita.

Menurut cerita Atok, tanah rumah aku itu dimiliki oleh pak cik Aril dan tidak diduduki oleh sesiapa kerana penuh dengan semak samun. Umi dan Abi dahulu hanyalah menyewa di sebelah rumah Atok. Sehinggalah pada 20 tahun yang lepas, Abi membuat keputusan untuk membeli tanah tersebut yang tidak berapa jauh dari rumah sewanya dan ingin membina rumah yang selesa untuk kami sekeluarga daripada terus menyewa di tanah orang. Pak cik Aril ketika itu tinggal di Sabah dan tidak pernah menjenguk serta mengambil tahu berkenaan tanah yang hendak dijual. Abi hanya berurusan dengan peguam yang dilantik oleh pak cik Aril dan Alhamdulillah semua urusan jual beli berjalan dengan lancar.

Umi dan Abi mula giat membersihkan kawasan tanah yang penuh semak samun itu dan mengupah beberapa orang pekerja untuk sama-sama membantu bagi mempercepatkan proses pembinaan rumah. Atok datang menjenguk dan menyediakan sarapan pagi untuk Umi dan Abi. Sedang proses pembersihan dilakukan, Umi terjumpa barang-barang yang digunakan bagi tujuan pemujaan. Kain kuning dililit di tiga pokok di situ beserta piring yang masih mempunyai sisa-sisa d***h beserta bau hanyir yang sangat kuat. Tidak cukup dengan itu, tulang temulang yang kurang pasti milik manusia atau pun haiwan turut dijumpai. Umi terus menjerit memanggil Abi dan tangan Umi kelihatan menggigil ketakutan. Pemujaan roh dan perbuatan syirik ini tidak harus dipandang ringan.

Umi yang sememangnya lemah semangat sejak dari kecil berasa kurang senang untuk terus berada di situ. Terasa seperti diperhatikan, Umi meminta izin Abi untuk berehat sahaja di rumah. Abi mengambil barang-barang pemujaan tersebut dan berjalan menuju ke masjid berdekatan lalu menyerahkan semua barang pemujaan beserta kain kuning itu kepada Ustaz Wadi, Imam Masjid Kampung Sungai Papan. Ustaz Wadi membaca ayat-ayat Ruqyah dan membakar kesemua barangan pemujaan supaya perkara syirik ini tidak lagi berleluasa.

Secara senyap dan rahsia, Abi dan Ustaz Wadi menyiasat gerangan siapakah yang sanggup mensyirikkan Allah dan menempah tiket ke neraka jahanam. Menurut dari cerita orang kampung sebelum ini, Tok Uda ada mengamalkan ilmu hitam untuk kekal cantik dan bagi membalas dendam kepada sesiapa sahaja yang berani menyentuh hal perihal peribadinya. Namun, Abi dan Ustaz Wadi tidak mahu menuduh sehingga menimbulkan fitnah yang mana fitnah itu tergolong di dalam dosa-dosa besar. Oleh itu, Abi dan Ustaz Wadi putuskan untuk menyiasat sendiri. Pada malam itu, Abi dan Ustaz Wadi bersembunyi di sebalik pokok di kawasan tanah pemujaan tersebut.

Tok Uda dilihat datang bersama anaknya Mariam yang ketika itu berumur 35 tahun untuk meneruskan aktiviti pemujaannya. Alangkah terkejutnya Tok Uda apabila barang-barang pemujaannya telah hilang dan kain kuning yang dililit pada tiga batang pokok juga telah ditanggalkan. Dalam keadaan Tok Uda dan Mariam yang sedang terkejut dan marah itu, Ustaz Wadi muncul dan memarahi mereka berdua.Tok Uda dan Mariam diberi amaran supaya insaf dan kembali ke pangkal jalan. Namun, seperti mencurahkan air ke daun keladi, amaran tersebut tidak sedikit pun di ambil pusing oleh mereka berdua. Hati kalau dah hitam, bukan mudah untuk dibasuh dan dibersihkan. Abi mengarahkan mereka berdua untuk keluar dari tanah Abi dan jangan sesekali kembali untuk melakukan perbuatan terkutuk itu lagi. Ustaz Wadi pantas memagar di sekeliling kawasan tanah itu supaya ilmu hitam Tok Uda tidak dapat menguasai tempat itu lagi.

Tok Uda berjanji akan membalas dendam ke atas semua keturunan Abi dan Ustaz Wadi akan dihapuskan kerana membakar barang-barangnya. Tok Uda pulang dalam keadaan marah kerana pemujaan nya pada malam itu diganggu dan impiannya untuk menurunkan segala ilmu-ilmu hitam kepada anaknya Mariam ketika bulan mengambang juga terpaksa ditangguhkan. Bagi Tok Uda, tiada siapa berhak membeli dan mengambil tanah tersebut. Manusia apabila dipengaruhi oleh iblis dan syaitan, mereka akan hilang pertimbangan. Hak orang dikatakan haknya.

Pada malam itu, Abi melihat Umi tidak tentu arah. Peluh membasahi dahi Umi dan Umi dari tadi mundar-mandir di bahagian ruang tamu rumah sewa mereka. Aku ketika ini berusia 6 tahun dan masih mentah untuk membaca apa yang berlaku di dalam isi rumah itu. Abi mengangkat aku yang telah lelap dari kerusi ruang tamu ke bilik tidur dan apabila Abi keluar semula, Umi sudah tiada di situ. Abi ingatkan Umi berada di dapur seperti kebiasaannya, mungkin sedang menyediakan air kopi untuknya tapi sangkaan Abi meleset. Umi tiada di dapur dan juga tidak kelihatan di mana-mana di dalam rumah. Abi yang panik terus berlari ke rumah Atok meninggalkan aku keseorangan di rumah dan seperti dijangka, Umi tiada juga di sana.

Abi meminta bantuan Atok dan Mak Cik Sal untuk menjaga aku sementara Abi pergi ke rumah Ustaz Wadi. Abi tiba di rumah Ustaz Wadi lebih kurang pukul 10.20 malam dan menceritakan apa yang berlaku dalam keadaan tergesa-gesa. Ustaz Wadi meminta bantuan orang-orang kampung bagi mempercepatkan usaha mencari Umi memandangkan hari sudah jauh malam.Keadaan Kampung Sungai Papan menjadi gempar pada malam itu dengan kehilangan Umi.

Sudah puas Abi, Ustaz Wadi dan orang-orang kampung mencari di serata kampung namun tidak ketemu. Mereka sudah pergi mencari Umi di tanah pemujaan tapi Umi tiada di situ. Sudah hampir dua jam usaha mencari Umi namun tidak menunjukkan sebarang hasil. Jam sudah menunjukkan pukul 12.15 tengah malam dan agak mustahil untuk terus mencari di dalam keadaan kampung yang sudah semakin gelap beserta lampu jalan yang agak kurang di kawasan perkampungan. Ustaz Wadi lalu mencadangkan agar bacaan Yasin diadakan di rumah Abi dan beberapa orang kampung turut ikut serta.

Surah Yasin dan ayat-ayat Ruqyah dibacakan sebanyak tiga kali di rumah Abi oleh Ustaz Wadi dan orang-orang kampung yang hadir. Aku ditinggalkan di rumah Atok. Tiba-tiba, terdengar suara tangisan beserta hilaian tawa yang menggerunkan bagi sesiapa yang mendengar dari dalam bilik Umi dan Abi.

“Hii~Hii~Hii~Hii~” hilaian itu sah datangnya daripada Umi. Tiba-tiba sahaja Umi muncul di situ dengan mata yang merah bak biji saga, rambut yang tidak terurus dengan kaki yang mempunyai kesan calar-balar seperti sudah seharian Umi berjalan tanpa memakai selipar. Abi sedih melihatkan keadaan fizikal Umi yang begitu dan cuba untuk mendekati Umi namun dihalang oleh Ustaz Wadi.

“Itu bukan isteri kau. Aku yakin Tok Uda sudah menghantar hantunya untuk membalas dendam. Kita harus teruskan membaca ayat-ayat Ruqyah dan kau ambil biji lada hitam tu, kau campakkan ke arah isteri kau tanpa henti!” Ustaz Wadi memberikan arahan dalam nada yang tegas.

Abi dan orang-orang kampung yang hadir menurut apa yang disuruh. Raungan dan rintihan Umi kedengaran jelas di seluruh pelusuk kampung.
Abi memandang sayu wajah Umi yang kesakitan. Ujian berat bagi Umi dan Abi atas tindakan manusia yang berpaksikan syaitan sebagai tuhannya.
Pertarungan antara Ustaz Wadi dan Umi berlanjutan sehingga ke jam 3.30 pagi. Hantu yang dihantar oleh Tok Uda sudah keluar sepenuhnya dan Umi yang ketika itu tidak mampu untuk berdiri telah dipapah oleh Abi ke bilik tidur. Ustaz memberikan air tawar untuk memulihkan semula semangat Umi.

Keadaan Ustaz Wadi pun agak teruk sehingga berdarah hidung dan telinga beliau menahan kuasa jahat Tok Uda. Ustaz Wadi telah menghantar kembali gangguan-gangguan di situ kepada tuannya iaitu Tok Uda dan Mariam. Sebulan Tok Uda dan Mariam terlantar sakit atas perbuatan khianat mereka sendiri.

Setelah kesihatan Umi kembali pulih lebih kurang dua minggu selepas kejadian , orang-orang kampung telah membuat keputusan untuk menghalau Tok Uda dan Mariam dari Kampung Sungai Papan. Namun, mereka berdegil untuk terus tinggal di situ. Mariam yang ketika itu mempunyai anak perempuan kecil sebaya aku, telah melembutkan hati Umi untuk memaafkan mereka. Abi tidak dapat membangkang keputusan Umi dan bersetuju untuk membenarkan mereka terus tinggal di situ dengan syarat mereka berubah dan tidak lagi menduakan Allah. Orang-orang kampung yakin selagi Ustaz Wadi ada bersama mereka, Tok Uda dan Mariam tidak akan berani untuk melakukan apa-apa kerana ilmu yang dimiliki oleh Ustaz Wadi mampu melawan kuasa jahat Tok Uda.

Tanah yang dibeli oleh Abi telah dibersihkan dan diteruskan dengan pembinaan rumah seperti yang dirancang. Bagi Abi, tidak perlu gentar jika kita berada di jalan Allah. Tiga bulan selepas itu, rumah banglo yang dibina telah siap dan keluarga aku pun berpindah ke rumah baru.
Percaturan Allah itu lebih hebat. Ditakdirkan Ustaz Wadi meninggal dunia lebih kurang setahun selepas Umi dan Abi berpindah. Punca kematian Ustaz Wadi menjadi tanda tanya penduduk kampung kerana sehari sebelum kematian beliau, Ustaz Wadi baik-baik sahaja meneruskan kerja hariannya. Apabila sudah sampai ajal, tidak akan lambat mahu pun cepat walaupun sesaat.

Selesai upacara pengebumian jenazah Ustaz Wadi, hari yang cerah tiba-tiba bertukar mendung. Seolah-olah memberi isyarat sesuatu yang buruk bakal berlaku.
Berdasarkan cerita Atok, empat tahun Umi menderita penyakit misteri yang tidak dapat diubati dan dikesan penyakitnya oleh mana-mana doktor. Pelbagai rawatan telah dicuba baik perubatan moden mahu pun perubatan tradisional namun keadaan Umi masih tidak berubah.

Pada suatu petang, ketika Umi dan Abi baru sahaja pulang dari pusat rawatan islam, mereka dikejutkan berita mengenai Tok Uda yang baru sahaja meninggal dunia.
Ya, sekebal mana pun Tok Uda jika Allah telah tetapkan saat itu adalah ajalnya, Tok Uda tidak akan dapat lari dari ketentuan Allah.
Ahli jawatankuasa masjid telah menguruskan jenazah Tok Uda namun pelbagai masalah yang timbul dalam menguruskan jenazah beliau. Jenazah menjadi terlampau berat untuk diangkat dan tanah kubur yang digali menjadi terlalu sempit untuk memasukkan jenazah beliau. Perkara ini sangat membingungkan penduduk kampung dan dalam waktu yang sama menimbulkan keinsafan mengenai balasan Allah kepada hambanya yang kufur. Tanah seolah-olah tidak mahu menerima jasad Tok Uda. Selepas hampir 5 jam menguruskan jenazah Tok Uda, akhirnya jenazah tersebut selamat disemadikan.

Selepas kematian Tok Uda, penyakit misteri yang dialami oleh Umi secara tiba-tiba hilang. Umi yang sebelum ini tidak mampu untuk memasak dan berjalan dengan sendiri secara tiba-tiba sahaja sihat seperti tidak punya sebarang penyakit. Umi dan Abi melahirkan rasa syukur dengan nikmat kesihatan ini namun panas yang diharapkan hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

Dua minggu selepas kematian Tok Uda, keadaan Umi yang sihat kembali kepada sakit lama malah lebih teruk berbanding sebelum ini. Serangan terhadap Umi muncul lagi.
Bukan sahaja Umi, Abi juga turut mengalami penyakit yang sama. Ada hari Umi dan Abi akan sihat seperti biasa tetapi ada hari mereka akan jatuh sakit yang teruk sehingga tidak mampu bangun dengan sendiri. Aku yang ketika itu masih bersekolah rendah dihantar ke rumah mak cik aku di KL supaya aku tidak menjadi mangsa seterusnya dan dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pembelajaran sekolah.
Keluarga Acai banyak membantu Umi dan Abi dalam menjalani proses rawatan tradisional. Mereka tahu semua ini adalah angkara Mariam, waris kepada Tok Uda.
Pelbagai cara dilakukan oleh orang kampung ke atas Mariam tetapi tiada satu pun yang berjaya melawan kuasa jahatnya.

“Allahuakbar Allahuakbar..,” Azan Zuhur mengejutkan aku yang sedang khusyuk mendengar cerita Atok. Atok memandang aku dengan penuh kesayuan. Aku adalah anak yang dibesarkan tanpa dapat merasa kasih sayang ibu bapa yang sebenar.
Setelah mendengar cerita Atok, hati aku menangis mengenangkan penderitaan yang ditanggung oleh Umi dan Abi. Mereka banyak berkorban demi melindungi aku dan jasa Atok kepada mereka juga tidak akan aku lupakan sehingga ke akhir hayatku. Umi dan Abi mangsa kerakusan manusia yang tidak takut dengan kekuasaan Allah.

Mariam kini mungkin sudah berumur lebih kurang 55 tahun dan ingin mewariskan ilmu hitam beliau kepada anaknya pula.
Aku tertanya-tanya mengenai Mariam yang mempunyai seorang anak perempuan sebaya aku. Siapakah anak Mariam? Disebabkan azan Zuhur sudah berkumandang, aku pendamkan dahulu tanda tanya tersebut. Aku harus merancang dengan bijak sebelum pertarungan aku dan Mariam bermula. Tunggu aku Mariam, aku datang!

Nota Penulis : Seterusnya sila nantikan, #Izul – Banglo Peninggalan Arwah (Part 4, Akhir)

Kongsi kisah anda:Ā http://fiksyenshasha.com/submit

Izul

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 4 Average: 3.8]

22 thoughts on “#Izul – Banglo Peninggalan Arwah (Part 3)”

    • Cerita ini hanyalah rekaan seperti dinyatakan di Part 1 dan bukan berkisar dari kehidupan saya.
      Diharap cerita ini dapat memberikan pengajaran juga hiburan kepada semua pembaca.
      -Izul-

      Reply
  1. Kalau penamat nya macam tok uda juga,dah biasa sangat..dah boleh di jangka..kisah terakhir ini,dengan penamat nya yang berbeza sikit.

    Reply
  2. Yfiksyen yg best..sebenaq nya banyak fiksyen yg best yg ditulis oleh penulis yg lain tp agaknya x dak modai ataupun x dak masa..minta penulis yg lain boleh konsikan fiksyen anda

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.