Terima kasih Fiksyen Shasha terbitkan cerita pertama ku, dan para pembaca yang masih baca lagi, boleh rujuk cerita “Aku..Masih.. Di Sini..” Cerita ini juga pertama kali aku tulis dan hantar pada Fiksyen Shasha, jadi maafkan jika ada kesalahan atau terbelit sedikit. Berikan aku masa untuk menjadikan lebih bagus. Kali ini, cerita apa pula? Jom! Sama- sama baca cerita dibawah.
Berdasarkan kisah sebenar yang aku olah sedikit, dan inilah cerita aku.
Pada tengahari di hujung minggu, seperti biasa, aku sukar untuk tidur walaupun sudah diberi amaran oleh Umie dan Umie selalu berpesan supaya tidur sebentar sebelum petang untuk “simpan tenaga” bermain nanti. Ah!, terkenang pula zaman 90-an yang penuh dengan kenakalan dan keseronokan.
Hari itu, cuaca agak aneh, hujan panas turun membasahi bumi, dan aku sedikit kecewa kerana merasakan petang nanti aku tidak akan dapat bermain, tetapi setelah beberapa jam, mentari kembali menegak! Aku girang bukan kepalang. Tanpa mempedulikan waktu, aku terus mencapai basikal dan bersiap sedia untuk bermain, walaupun jam belum pun menunjukkan pukul 5 petang.
“Mahu ke mana tu? Belum masa lagi! Kau kayuh lagi basikal tu, biar kena usik dengan hantu!” Suara Umie sedikit tinggi memberi amaran.
Aku buat tak tahu dan kaki tetap mengayuh, dan aku tahu nanti pasti ada “upah” menanti dari Umie. Aku tak peduli kerana merasakan kebebasan di luar rumah lebih menggoda.
Aku bercerita serba sedikit kawasan perumahan aku ni. Perumahan aku ni dinamnakan Kuaters. Kuarters tempat aku tinggal ini hanya ada empat rumah sahaja, sedikit kecil dan sunyi. Di sebelah kiri rumah, ada hutan tebal yang belum diterokai. Kuarters ini terletak di atas bukit, dan di bawahnya ada sebuah pejabat kecil tempat Papa bekerja. Pagar besar menjadi pemisah antara kawasan kuarters, pejabat, dan jalan utama. Dahulu, kawasan ini seperti terasing, dipenuhi hutan dan gaung kecil. Ada lagenda katanya tempat pembuangan hantu hantu dan entah betul atau tidak. Namun dengan peredaran masa, kini kawasan yang dahulunya hutan bertukar menjadi maju dengan perumahan dan kedai-kedai.
Berbalik pada cerita aku.
Aku terus mengayuh basikal menuruni bukit, bersiap sedia untuk mengambil selekoh dengan penuh gaya! Angkat tayar depan, lepas tangan – fuh! Terasa seperti pelumba profesional! Namun, entah mengapa, di sebalik keseronokan itu, mataku menangkap sesuatu. Bayangan samar di tepi hutan.
Jantungku berdegup kencang seketika. Aku cuba mengabaikannya. tetapi, semakin aku kayuh, semakin jelas bayangan itu. Mata tertumpu dengan sosok itu, melihat seperti seorang budak kecil sedang berdiri di pinggir hutan. Aku berhenti.
“Kot-kot ada budak lain yang curi-curi keluar macam aku?” fikirku.
Namun, bila aku perhatikan betul-betul, jantungku hampir luruh. Budak itu berkulit putih pucat, seolah-olah tiada da**h mengalir di tubuhnya dan yang lebih menyeramkan… Dia tidak memakai seurat benang pun! Dan hidungnya… panjang! Tidak normal seperti bukan manusia.
Aku terkaku di atas basikal dan mata kami bertemu. Budak itu menyeringai. Aku ingin menjerit, tetapi suara tersekat di kerongkong. Dalam sekelip mata, budak itu bergerak – bukan berjalan, bukan berlari – tetapi meluncur ke arahku dengan gerakan yang mustahil bagi manusia biasa!
Aku menekan pedal sekuat hati dan mengayuh seperti orang gila. Angin terasa berat, seolah-olah ada sesuatu mengejarku. Aku dapat mendengar bunyi bisikan di telingaku. “Jangan balik… jangan balik…”
Aku hampir terbabas di selekoh sebelum sempat meluru ke arah pagar besar. Tanpa menoleh, aku lompat turun dari basikal dan berlari masuk ke dalam rumah, menutup pintu sekuat mungkin.
“Kenapa ni?!” Umie terkejut melihat aku terketar-ketar.
Aku tidak mampu bersuara. Nafasku tercungap-cungap. Umie hanya menggeleng kepala.
“Dah cakap, jangan keluar awal… Kau dah jumpa dia, kan?” teguran kali ini agak keras dan masa yang sama, seolah kesian dengan keadaan aku..
Aku terkedu. Umie tahu? Siapa ‘dia’ yang Umie maksudkan?
Umie tidak menjawab. Dia hanya menarik nafas panjang dan berjalan ke tingkap, menjenguk ke luar dengan wajah serius.
“Dia dah lama di sini,” bisik Umie perlahan. “Sejak sebelum kita tinggal di sini lagi.”
Darahku berderau. “Apa maksud Umie?” Aku tanya lebih lanjut kerana sebelum ini sama ada Umie atau Papa tidak pernah membuka cerita ini.
Umie menghela nafas berat sebelum menoleh ke arahku dengan wajah penuh rahsia. “Masa kau kecil, kau pernah hilang di hutan tu selama beberapa jam. Tapi bila Papa jumpa kau, kau tak ingat apa-apa. Cuma… sejak hari tu, setiap kali kau main dekat kawasan itu, dia selalu ada.”
Aku menggigit bibir dan sukar untuk percaya, tapi memori samar muncul dalam kepalaku – perasaan berada dalam kegelapan, suara bisikan halus, dan sepasang mata yang memerhatikanku dari balik dedaunan dan dia berbisik kecil “jangan balik”
Dan malam itu… di luar rumah, di sebalik rembulan, aku dapat melihatnya. Dia masih di sana dan berdiri tegak sambil tersenyum. Hidungnya yang panjang bergoyang-goyang ditiup angin malam.
Aku terkunci di dalam ketakutan.
Ya Allah aku memohon kepada-Mu keselamatan di dunia dan akhirat”.
(Riwayat Abu Daud (5074) -Menurut Syeikh Syuaib al-Arna’outh sanad hadith ini adalah sahih
Langkah Sufi
18 Februari 2025
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit