Setiap orang yang mampu melihat alam ghaib pasti ada sebabnya – sama ada disebabkan sakit, buatan orang, atau memang dikurniakan deria keenam. Aku tidak terkecuali dan aku mempunyai deria keenam, namun aku tidak selalu melihat mereka. Tetapi bila aku nampak… “dia” muncul betul-betul di depan mata.
Berdasarkan kisah sebenar yang aku olah sedikit, dan inilah cerita aku.
Sepuluh tahun yang lalu, aku bekerja dengan sebuah syarikat swasta yang memerlukan aku untuk turun ke tapak-tapak syarikat di sekitar Putrajaya, Cyberjaya, hingga ke Kampung Sungai Choh, Rawang. Salah satu syarikat yang perlu aku lawati hanya boleh dimasuki selepas waktu kerja. Aku mula bertugas pada pukul 8.30 malam dan selesaikan tugasan itu bersama seorang rakan.
Sejak awal lagi, aku sudah merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Perasaan itu bagaikan ada yang memerhati dari dalam kegelapan. Namun, aku pendamkan sahaja perasaan itu, tidak mahu menakutkan rakan sekerja. Sambil bekerja, aku berzikir dalam hati. Tapi semakin lama, rasa seram itu semakin mencengkam.
Tetap jua aku gagahkan diri dan selesai tugas sekitar pukul 3.30 pagi, aku berbincang dengan rakanku untuk berhenti dan bersiap untuk pulang. Aku perlu lebih berhati-hati kerana aku hanya menaiki motor waktu itu. Dengan lafaz Bismillah dan tawakal, aku meninggalkan kawasan itu menuju ke rumahku di Gombak. Semakin jauh aku meninggalkan kawasan tersebut, semakin sunyi dan gelap jalan yang aku lalui. Udara malam terasa dingin mencengkam tulang, dan bulu romaku meremang tanpa sebab yang jelas.
Ketika tiba di kawasan Taman Eko Rimba Kanching by Tourism Selangor, tanpa diduga, aku merasakan ada sesuatu yang mengikut dari belakang. Bukan angin, bukan bayangan biasa. Suara halus berbisik perlahan di telingaku, “Sufiiiiiiiii…” Jantungku seakan terhenti, secara spontan, aku menoleh ke belakang. Kosong! Hanya kegelapan pekat dan jalan lengang.
Aku cuba menenangkan diri, namun semakin aku memulas minyak, semakin kuat perasaan seram itu. Dan di situ, aku melihatnya – Hantu Galah! Ya, Hantu Galah!! Bayangan itu berdiri tinggi, melangkah perlahan dari kanan ke kiri di hadapan aku. Kakinya panjang, tubuhnya kurus, wajahnya samar-samar, tetapi matanya… matanya tajam menikam jiwa!
Aku hampir kehilangan kawalan dan motor terhuyung-hayang. Dalam kepanikan, aku beristighfar berkali-kali sambil mengawal motor. Hantu Galah itu tidak bergerak setelah melintas, hanya berdiri tegak, memerhatikanku. Rasa sejuk menjalar ke seluruh tubuh, seperti ada sesuatu yang mencengkam jiwaku. Aku tidak berani berhenti dan dengan nafas terhirup pendek, aku teruskan perjalanan tanpa menoleh lagi. Namun, sesuatu yang lebih mengerikan berlaku kerana aku dapat merasakan ada sesuatu yang menumpang di belakang!
Jantungku berdegup kencang saat aku mula sedar sesuatu yang aneh. Otak aku seperti perlahan memproses dan barulah aku sedar, motor ini bukan sahaja terasa lebih berat, tetapi seperti dipegang oleh sesuatu yang tidak kelihatan. Motor terasa terbeban dan dari cermin sisi, aku nampak bayangan yang menumpang dan motor aku seperti tak bergerak, walaupun aku rasa aku sudah memulas minyak sepenuhnya.
Aduh! Kaki aku menggigil, tangan semakin lemah, tambahan pula nafas terasa semakin sukar dan bulu romaku tegak. Tekak semakin perit, peluh membasahi bajuku. Angin malam terasa berat, dan suara halus tadi kedengaran lagi, kali ini lebih dekat di telingaku, “Jangan… tengok… belakang…”
Tiba-tiba, aku terasa sesuatu menyentuh tengkukku—dingin, licin, berdenyut perlahan. Seolah-olah ada hembusan nafas di belakangku. Buat sekalian kalinya aku menggigil lagi, tidak berani menoleh walaupun rasa ingin tahu membuak-buak. Masih berani dalam takut, tetapi badan basah dek peluh dan tubuh terasa dingin dalam masa yang sama. Aku berkedip seketika, mengharapkan ini hanya ilusi. Namun, apabila aku membuka mata, bayangan itu semakin jelas di cermin sisi—sosok hitam dengan wajah yang tidak berwajah, hanya dua mata merah menyala yang menatapku tajam.
Aku cuba mengabaikan suara itu, tetapi semakin aku memecut, semakin kuat cengkaman yang terasa di belakangku. Terasa kuku tajam mencengkam bahuku perlahan-lahan, hampir membuatkan aku sekali lagi kehilangan kawalan. Aku menahan nafas, namun suara bisikan itu semakin kuat, berdesir di cuping telinga, “Aku… di sini…”
Aku hampir menjerit, tetapi dalam kepanikan, aku melajukan motor, membaca ayat suci dengan suara yang bergetar, dan aku yakin bacaan itu berterabur kerana ketakutan yang menguasai. Benar! Aku tak jangka perkara ini akan berlaku.
“Aku… di sini…” suara itu berbisik lagi, kali ini lebih jelas dan lebih dekat. Cengkaman itu semakin kuat, seolah-olah ingin menarikku ke belakang. Aku memaksa diri untuk tidak berhenti, tidak menoleh, hanya fokus ke hadapan.
Aku menahan nafas dan peluh semakin lebat, jari semakin kebas. Aku tahu, jika aku menoleh, aku mungkin tidak akan sampai ke rumah, dan hanya jasadku yang akan dijumpai di tepi jalan esok pagi. Dengan sisa tenaga yang ada, aku terus membaca ayat suci, bibirku bergetar hebat. Bayangan di cermin sisi mula menghilang sedikit demi sedikit, tetapi suara itu masih berbisik perlahan, “Aku… masih… di sini…”
Setelah begitu lama aku merasakan, akhirnya aku tiba di Selayang dan cahaya jalan mula muncul. Jalan sekitar Pasar Borong Selayang mula tidak begitu sunyi. Motor aku terasa ringan kembali. Angin kembali normal, dan aku dapat bergerak lebih lancar. Aku terus memecut tanpa menoleh lagi, tanpa berhenti, walaupun lututku terasa semakin lemah.
Biasanya perjalanan ini hanya memakan masa kurang dari satu jam dari Kampung Sungai Choh ke rumah, namun aku baru sampai rumah sekitar 5.30 pagi. Baru aku sedar, kejadian itu betul-betul lama, dan aku bersyukur kerana Allah memanjangkan umurku. Aku mengambil masa sebentar sebelum masuk ke rumah kerana aku ada isteri dan anak kecil yang masih berumur kurang dari satu tahun pada waktu itu. Walaupun takut, aku tetap memerhatikan sekeliling, takut-takut “si dia” mengikut.
Pagi itu aku tidak tidur, dan setiap kali aku cuba memejamkan mata, wajah Hantu Galah itu muncul dalam ingatanku, memandang dengan mata merah kosong yang menikam.
Keesokan harinya, rakan-rakan di pejabat bertanya kenapa wajahku pucat lesi. Aku hanya tersenyum kelat dan berkata, “Tak ada apa-apa…” Tapi dalam hati, aku tahu… pengalaman itu akan menghantuiku selama-lamanya.
Ia (Iblis) berkata, “Tuhanku, oleh karena Engkau telah memutuskan bahwa aku sesat, aku pasti akan jadikan (kejahatan) tampak indah bagi mereka di bumi, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya, (Al Hijr 15:39).
Langkah Sufi
1 Februari 2025 (Sabtu)
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit