JANGAN CABAR MAHLUK DISITU (ONE HOTEL)

Pertama kali aku ingin berterima kasih kepada yang sudi membaca pengalaman aku dan rakan-rakan. Ini hanyalah sekadar perkongsian dan pengajaran bagi kita yang ingin merasai suasana membuat tugasan diluar kampus dan niat selebihnya untuk bersuka-ria. Aku Arfi (bukan nama sebenar). Cuma ingin berkongsi peristiwa aku dan rakan-rakan seramai 12 orang menginap disebuah hotel di Damai Santubong. Nama-nama yang aku gunakan bukan nama sebenar mereka. Aku mohon maaf jika penulisan aku ini tidak begitu baik dan terlalu panjang untuk dibaca oleh pengemar cerita seram FS.

Pada beberapa hari sebelum kejadian, kami telah merancang untuk membuat pengambaran video untuk projek kami di Kampung Budaya Sarawak dan bercadang untuk bermalam di mana-mana hotel yang tidak penuh dengan pengunjung kerana pada masa itu adalah masa cuti umum. Selepas itu, semua bersetuju untuk menempah hotel pada hari kami berangkat ke sana nanti.

Pada hari kejadian, setelah penat membuat pengambaran untuk tugasan yang diberikan. kami pun mula mencari mana-mana hotel yang masih kosong. Tetapi malangnya semua hotel di sekitar kawasan yang berdekatan dengan Kampung Budaya telah penuh dengan pengunjung. Seterusnya, kami bercadang untuk menginap disebuah hotel yang berjauhan sedikit dari situ. Pada masa itu, hanya One Hotel sahaja yang masih mempunyai banyak bilik yang kosong. Setelah itu, tanpa melenggahkan masa kami pun mengambil keputusan untuk menginap di situ.

Matahari masih lagi memancar bumi dengan terang, suasana di hotel sangat sunyi dan menenangkan fikiran untuk beristirehat setelah penat melakukan tugasan seharian. Setelah kami masuk ke bilik tersebut, aku dan seorang rakanku iaitu Nufa. Kami bercadang untuk membuat ‘photoshoot’ untuk dibuat menjadi kenangan ketika berada di situ. Aku dan Nufa pun bersiar-siar di sekitar kawasan hotel untuk mencari jalan tembus ke padang golf. Ya! Hotel tersebut mempunyai padang golf dan sekitar kawasannya cukup besar dan luas. Dalam perjalanan tersebut, kami berjalan sehingga ke hujung hotel. Suasananya semakin suram dan sunyi seperti tidak dijaga dengan rapi dan terbiar.

Aku dan Nufa pun melalui setiap bangunan hotel (entah berapa banyak bangunan sudah kami lalui). Tanpa aku sedar bulu roma aku berdiri dan merasakan sesuatu yang aneh apabila melimpasi setiap baris hotel yang kosong seperti ada yang sedang memerhatikan gelagat kami disitu. Tetapi aku mengendahkan perasaan tersebut. Ternyata bangunan disitu semuanya kosong kecuali bangunan hotel yang kami menginap.

Setelah penat berjalan dan mengambil beberapa gambar, kami balik semula ke bilik. Selepas itu kami bercadang untuk ke pantai. Suasananya sangat indah dengan dikelilingi pokok-pokok yang sangat cantik. Dalam beberapa minit kemudian terasa ada air yang turun dan membasahi bumi. Hujan turun sangat lebat. Kami pun bergegas balik ke bilit. Tetapi ada beberapa orang diantara kami pergi berenang di kolam mandi yang hotel sediakan. Aku dan yang lain-lain duduk di bilik sahaja. Kami memilih hanya untuk bersantai di dalam bilit sambil menonton televisyen.

Dalam tak sedar, ada terjadinya sesuatu yang aneh ketika kami menonton televisyen yang tiba-tiba beralih siaran sedangkan alat kawalan terletak diatas lantai tanpa disentuh sesiapapun (Ya! Pada masa itu hari masih lagi awal walaupun cahaya di luar sedikit gelap disebabkan dilitupi awan mendung). Aku dan salah seorang rakanku iaitu Rafi berpandangan dan berdiam diri tanpa memikirkan apa-apa yang pelik berlaku.

Pada malam tersebut, suasana sangat gelap dibangunan sebelah. Tiada cahaya lampu dipancarkan dari sana. kami ingatkan itu adalah malam yang sangat mengembirakan. Maklumlah dapat bercuti beramai-ramai dengan rakan-rakan. Suasana sangat bising dan riuh dengan suara kami. Di dalam bilik itu kami bergumpul seramai 12 orang. Biliknya sangat besar. Nufa dan aku membuat satu kerja yang tidak sepatutnya. Kami berdua bercadang untuk membuat video prank untuk menakutkan mereka yang akan keluar dari bilik mandi dan rakanku yang lain bermain satu (games) di koridor bilik yang berhadapan dengan bangunan kosong yang tidak berlampu. Suasana di malam itu sangat kecoh dengan jeritan dan gelak ketawa kami.

Setelah kami penat, suasana pun bertukar menjadi tenang dan sunyi. Masing-masing membuat kerja sendiri dan ada yang melepak di koridor luar. Tiba-tiba kami mendengar bunyi suara dari atas bilit kami. Mereka seperti bergaduh. Seorang perempuan dan seorang lagi adalah lelaki. Tetapi kami menghiraukan apa yang berlaku.(mungkin suami isteri yang bertengkar). Selepas bunyi pergaduhan itu reda seorang daripada rakanku iaitu Rafi tiba-tiba berlari masuk ke dalam dan menekup mukanya dengan bantal.

Melihat dari reaksi beliau, aku mula mengesyaki apa yang telah berlaku. Nufa pula keluar untuk memastikan apa yang telah berlaku diluar. Sejurus itu, Nufa masuk semula ke dalam dan terus memelukku dengan keadaan yang terketar-ketar dan aku mengarahkan mereka yang berada di koridor tersebut untuk masuk ke dalam bilik dan menutup ‘sliding door’ di koridor itu.

Tetapi terdapat dua orang dari rakan aku berdegil kerana mereka masih mahu mengambil udara dari luar dan tidak mengetahui apa yang telah berlaku sebentar tadi. Airi salah seorang dari rakan aku yang mempunyai tugasan yang sama untuk dilakukan disini turut berasa berang dan memarahi mereka berdua supaya masuk kedalam dan menutup ‘sliding door’ tersebut.

Aku mulai risau, kerana Nufa kelihatan begitu ketakutan dan tidak bermaya. Dia mula diganggu oleh bayangan yang dilihatnya. Sebelum kesini, aku pernah dipesan untuk membawa buku yasin. Aku terus mengeluarkannya bagi berjaga-jaga. Salah seorang dari rakanku iaitu Fatiha menghubungi sahabatnya yang mengetahui serba sedikit mengenai ilmu perubatan islam dan beliau menyatakan perkara yang telah berlaku. Faz dan Fatiha memanggilku untuk meminta cadangan supaya sahabat Fatiha boleh bercakap dengan Nufa tanpa mengetahui apa yang ingin dinyatakan beliau kepadanya.

Selepas itu, sahabat beliau meminta untuk bercakap dengan Nufa tetapi beliau meronta dan dalam keadaan marah menyatakan ‘aku tidak suka dan aku tidak akan menyebut apa yang kau minta (dalam keadaan matanya kemarahan dan berang dengan apa yang didengarinya’. Kami pun saling berpandangan dengan wajah yang terkejut. Pertama kali aku melihat situasi seperti ini. Aku dan Rafi memegang erat tangan Nufa supaya tidak terlalu agresif dan kami meminta beliau untuk bertahan dan melawan benda itu.

Pada ketika itulah bermulanya segala kejadian menyeramkan telah berlaku. Seorang demi seorang dari kami diganggu. Selepas Nufa, seorang lagi rakan aku iaitu Hana (beliau salah seorang mangsa yang aku dan Nufa kenakan pada beberapa jam yang lalu dan beliau menjerit dengan sekuat hatinya disebabkan terkejut melihat wajah Nufa seperti hantu ketika itu). Hana mula termuntah-muntah tanpa mengetahui apa sebabnya.

Pada ketika itu, Nufa dan Hana asyik berpandangan dengan wajah yang suram tanpa mengelip mata. Mulut aku mulai membaca apa-apa ayat yang terlintas difikiran dan aku terlintas untuk membaca ‘lahaulawala kuatailla aliyiladzim’ tanpa mengetahui maksudnya dan aku menghembus diubun-ubun kepala Nufa. Selepas itu, Nufa mula menunjukkan reaksi dengan matanya yang kemerahan dan menyatakan bahawa supaya aku berhenti membacanya kerana beliau tidak menyukai ayat-ayat tersebut. Aku terkejut dengan reaksi itu dan kami semua mula bimbang.

Jam sudah semakin lewat. Suasana di luar semakin gelap. Kami bernasib baik kerana sahabat kepada Faz iaitu Roza mengetahui serba sedikit mengenai perubatan Islam dan beliau cuba untuk membantu serba sedikit. (Kebetulan ketika itu Roza berjanji untuk berjumpa dengan Faz disitu dan beristirehat sebentar dibilik). Beliau membaca beberapa surah ke dalam air mineral bagi meredakan sedikit keadaan sementara menunggu pagi menjelma kerana beliau tidak ada ilmu yang lebih mengenai hal ini.

Selepas itu air tersebut diminum oleh kedua-duanya dan disapu ke ubun-ubun kepala hingga ke muka. Mereka berdua mulai senyap dan suasana menjadi tenang kembali. Kedua-duanya sudah mampu untuk bercakap dan kami pun meminta supaya mereka berdua baring dan tidur di katil yang berasingan dan yasin diletakkan diatas kepala mereka. Aku dan Rafi berasa sangat penat dan lemah pada tangan kanan kami selepas memegang tangan Nufa sebentar tadi tetapi kami berdua hanya berdiam diri sahaja sambil memicit tangan kami yang terasa penat tanpa mengetahui sebabnya.

Tetapi malangnya ketika itu Roza terpaksa bergegas balik kerumah kerana beliau tidak meminta izin ibunya untuk bermalam dengan kami dan beliau terpaksa balik kerana ibunya keseorangan dirumah.
Hampir 2 jam berlalu, aku dan rakan-rakan aku yang lain mulai mengantuk dan ingin tidur. Kami menutup lampu dan membiarkan hanya lampu di depan pintu bilik yang bersebelahan dengan bilik mandi sahaja dibuka. Ternyata sekali lagi kami diganggu pada malam itu.

Seorang lagi rakan aku iaitu Fifi menghidu bau yang amat busuk tanpa dihidu oleh aku mahupun yang lain dan suasana menjadi kelam kabut apabila Shaz salah seorang rakanku mula memarahi beliau dengan nada yang kasar dan agak tinggi kerana menegur apa yang telah dihidunya (orang tua-tua kan selalu pesan jika terhidu bau sesuatu yang aneh jangan ditegur nanti dia akan menganggu kita). Tanpa rasa bersalah Fifi meneruskan ayatnya dengan menyatakan bau itu seperti bau bangkai dan tersangat busuk. Dalam masa yang sama juga aku mendengar bunyi ketukan dari ‘sliding door’ dimana beliau membentangkan kerusi yang panjang untuk tidur sebentar tadi.

Nada merupakan salah seorang rakanku yang sukar untuk mengalirkan airmata tetapi pada malam tersebut beliau menanggis menyatakan beliau berasa sangat ketakutan. Itulah kali pertama aku melihatnya seperti itu. Siapa sangka seorang gadis yang sangat berani dan cekal mengeluarkan airmata dengan mudah. Aku mula resah dan risau begitu juga yang lain.

Pada masa itu juga, Nufa dan Hana mula meracau semula. Kami bernasib baik juga mereka berdua tidak mengganas pada malam itu. Apa yang aku bayangkan mereka melompat keluar dari situ dengan keadaan di luar yang sangat gelap tanpa diterangi cahaya.(tapi itu sekadar bayangan sahaja). Kami tidak mahu menghubungi ibu bapa kami kerana tidak mahu merisaukan mereka. Jam juga telah menunjukkan pukul 1 lebih. Tiada siapa yang boleh kami minta pertolongan. Kami semua bangun semula dan membuka semua lampu di bilik.

Kami memberi air yang telah Roza sediakan sebentar tadi kepada mereka berdua dan dengan ilmu yang sangat lemah dalam ilmu perubatan islam tersebut. kami mengambil air mineral yang belum dibuka dan meletakan speaker telefon bimbit ke mulut botol sambil memainkan ayat ruqyah yang memang aku letak dalam telefon bimbitku (ini memang sangat melucukan tetapi jika anda pada masa ini tiada apa yang mampu anda lakukan dengan berusaha dan berserah kepadaNya untuk memberikan segala pertolongan). Selepas itu, kami hanya bagi mereka minum dan disapukan ke muka.

Menjaga 2 orang rakan yang tidak begitu waras semalaman tanpa ada pengalaman memang sangat mencabar dan merisaukan aku dan yang lain kerana apa sahaja boleh berlaku pada masa itu. Pada ketika itu jugalah, aku merasakan perasaan takutku berasa hilang dalam diri. Masing-masing mempunyai pengalaman diganggu tanpa disedari sehingga kami keluar dari bilik itu pada esok paginya. Mereka berdua mulai waras seperti biasa.

Sebelum aku dan semua rakan aku mahu pergi semula ke Kampung Budaya untuk menyiapkan segala tugasan. Kami mengemas semua barang dan terus keluar dari sana. Dalam kami mengemas, seorang dari rakanku nampak seperti kehairanan dan kerisauan. Telefon bimbitnya yang mempunyai kod sekuriti yang tidak diketahui oleh sesiapapun antara kami telah dimuat nait satu status di akaun wechat nya yang menyatakan sesuatu dalam bahasa cina. Setelah diperiksa, ayat yang dinyatakan sangat pendek dan ringkas.

Kami mempunyai seorang rakan cina dan lansung bertanya kepada beliau apakah maksud perkataan tersebut. Selepas mengetahui maksudnya, rakanku itu terus memadam status tersebut dalam keadaan ketakutan. Ternyata ayat tersebut membawa maksud ‘kelaparan’.(apa yang dilaparkannya kami pun tidak tahu).

Setelah dicerita semula, semua mengalami perasaan yang sama seperti ada sesuatu yang memerhati kami di ‘sliding door’ dan aku dan rakan ku Shaz juga merasakan ada sesuatu yang memerhati kami mandi ketika kami mandi seorang diri. Setelah ditanya kepada Rafi dan Nufa apa yang mereka lihat pada malam itu. Mereka menceritakan segala apa yang dilihatnya. Rafi menyatakan beliau telah melihat seorang perempuan dengan seorang budak yang berpakaian lusuh manakala Nufa pula melihat sesuatu yang berbeza dari apa yang Rafi telah nampak.

Beliau telah melihat sesuatu yang berbungkus seperti mayat yang dikafankan dan seorang perempuan yang berambut panjang dengan pakaian yang lusuh. Apa yang mereka lihat itu semuanya berada di bangunan sebelah kami. Bangunan tersebut berhadapan dengan koridor dan ‘Sliding door’ bilik kami. Setelah dikaji mengenai kejadian, ternyata bagunan itu pernah terjadinya kes b***h diri tanpa kami ketahui pada awalnya dan akibat kes itu berlaku.

Selepas kejadian dan menyiapkan segala tugasan di sana. Kami balik ke hostel dengan hati yang lega. Aku menhantar mereka pulang ke hostel dan aku balik kerumah tanpa mengetahui kejadian yang di hostel. Rakan aku dan yang lainnya memerhati Nufa seperti begitu murung dan mereka memanggil usrah untuk membuat ruqyah tanpa diketahui oleh Nufa. Begitu juga dengan Hana, beliau di Ruqyah oleh pihak perubatan Islam di tempat tinggalnya.

Pengalaman tersebut banyak mengajar kami supaya tidak terlalu berhibur dan lupa tentang kewujudan maklukNya yang lain. Apa yang telah berlaku membuat aku berasa tidak akan membuat perkara yang tidak sepatutnya di tempat sebegitu. Aku berasa sangat bersyukur kerana tidak ada apa-apa yang teruk berlaku kepada kami. Segala apa yang berlaku perlulah menjadi iktibar kepada semua.

Setelah 2 tahun berlalu, hotel penginapan itu berkemungkinan ditutup ataupun dibaik pulih. Jalan menuju pintu masuk kesitu ditutup dengan pasu-pasu yang besar. Ramai pelanggan hotel tersebut berpandangan dan menyatakan bilit tersebut berbau busuk dan kotor. Tetapi pada hari penginapan kami itulah bilit yang sangat cantik,bersih dan sangat selesa. Tetapi tidak ramai dikunjungi orang. Mungkin itulah salah satu sebabnya.

MAY J

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 0 Average: 0]

9 thoughts on “JANGAN CABAR MAHLUK DISITU (ONE HOTEL)”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.