Jangan Tidur Seorang-Seorang di Luar

Memandangkan syawal dah nak berakhir, teringat aku kepada satu kisah berlaku 7 tahun lepas pada malam raya kelima. Ketika itu aku berumur 19 tahun.

Jam menunjukkan sudah pukul 11.20 malam. Memandangkan mata ni masih tidak mengantuk, jadi aku macam biasa sibuk bersms sambil menonton tv di ruang tamu depan rumah atuk. Sebab memikirkan yang aku boleh tengok tv sampai lewat malam, aku mengambil keputusan untuk bermalam di ruang depan itu.

Apabila atuk dengar yang aku mahu tidur di ruang depan, katanya

” eh, takkan kau nak tidur sorang2 dekat depan? X payahlah sha “.

Aku yang mata sedang segar bugar ni lantas membalas,

” takpelah tok, mata ni pun tak nantuk lagi. Lagipun boleh tengok tv dkt depan ni ha “.

Dengan muka yang masih kurang puas hati, atuk aku berkata

” Dah, dah, jangan tidur sorang2 dekat depan. Lagipun mak kau, semua orang tidur dalam”.

Sambil menggaru dahiku, aku memberitahu pada atukku yang aku tetap mahu tidur di depan. Mak aku kemudian masuk dalam perbualan dan beritahu atukku, “biarlah dia mak, dia nak tidur depan tu. Nak tidur lewat la tu”. Maka atukku pun mengiyakan dan mereka yang lain-lain pun masuk tidur.

Sedang asyik aku menaip sms, sesekali aku pandang ke arah tv. Malangnya, rancangan pada malam tu semuanya tidak menarik. Tapi apakah daya, aku biarkan sahaja lah tv tu on.

Jam menunjukkan pukul 11.50 malam. Aku, macam biasa sibuk bersms. Dan di satu waktu tu, aku memandang ke arah tv sambil memikir apa yang nak dibalas pada temanku. Dan ketika itu lah, mataku terpandang ke luar jendela, yang betul-betul terletak di belakang tv itu. Apa yang aku nampak buat aku betul-betul tergamam.

Apa yang aku nampak?

Iaitu satu lembaga berambut panjang, mukanya sangat buruk warna kehitaman bagai dibakar. Dan yang aku tidak akan lupakan, adalah mulutnya yang berjahit. Ya. Di situ, berdiri di luar rumah atukku memandang ke arahku.

Akibat terlalu terkejut, aku lompat dari sofa tempatku baring tadi dan berlari pecut masuk ke dalam, melepasi mereka yang sudah tidur dan terus pecut ke dapur. Di dapur, aku termenung dan memikirkan apa yang aku baru sahaja nampak. Meremang. Dan selepas seketika, aku mengambil keputusan untuk tidur. Tidur di sebelah mak aku. Taubat.

“Moral of the story” kata-kata atau pesanan orang tua, janganlah diabaikan. Kerana kadang-kadang ada maksudnya lah tu. Lebih-lebih lagi, kalau kita duduk di rumah dia atau kawasan dia.

submit kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *