Jaran Goyang (ilmu pengasih)

Namaku Nella berusia 20 tahun. Aku pekerja kilang sejak lepasan SPM. Disebabkan aku tak punya cita-cita yang tinggi,maka aku pilih untuk berkahwin di usia muda.

Mael suamiku bekerja sebagai pemandu bas kilang. Usianya 10 tahun lebih tua dari aku. Orang selalu panggil dia Mael Bujang. Disebabkan tiap hari Mael mengenyit mata mengajak aku nikah dan selalu mengayat aku dengan gurau manjanya,lama kelamaan cair juga hati ini. Aku terima pinangannya. Mak ayah pula lebih suka aku kahwin muda kerana mereka dah tak sabar nak menimang cucu.

Perkahwinan aku dan Mael baru genap setahun. Mak selalu bertanya bila dia dapat timang cucu. Sedangkan anak dia ni perangai nauzubillahminzalik..masih seperti remaja lain yang gemar keluar malam dengan rakan sekerja,menonton wayang,jalan-jalan cari makan dan berbelanja apa saje yang aku suka. Mael tak pernah melarang malah selalu beri duit untuk aku menikmati usia muda bersama rakan jahiliahku,Moy dan Cikin. Mael tak pernah kesah samada aku hamil atau tidak. Mungkin dia benar-benar memahami jiwa muda isterinya. Love you,Mael.

“Bie,malam ni baby tak balik ye? Moy ajak tidur rumah dia. Boleh ye,bie?” Sambil menukar siaran radio kereta aku memujuk Mael supaya beri lampu hijau.

“Boleh,baby. Tak balik terus pun tak apa. Bie tahu Baby memang nak enjoy puas-puas malam ni,” suara Mael agak ceria pula malam ni.

“Lain macam bie punya ceria,macam tak bagi baby balik je??” Memang dah selalu aku tidur di rumah Moy dan Cikin. Mael dah biasa tidur sendirian.

“Ehh,bukan macam tu. Malam ni kan malam minggu,balik lewat-lewat sangat bahaya Baby sorang-sorang. Tidurlah rumah Moy,”

“Ok bie sayang. I love you 3000,muah muahhhh!!” dah boleh agak Mael mesti bagi lampu hijau.

Malam ni aku dan Moy berdua dah menuju ke spa idaman para wanita. Treatment dari rambut sampai ke kaki. Kak Bella tuan punya spa dah reserved untuk kami sampai jam 10 malam.

Kereta Toyota Vios putih aku pandu santai-santai sebab jalan pun sesak. Tak perlu terkejar sangat sebab kak Bella akan tunggu kami sampai baru tutup spa.

Sambil melayan lagu,aku mencuri dengar perbualan Moy. Setahu aku panggilan tu dari Cikin sebab nama timangan untuk Cikin adalah Bedah.

“Oii,Bedah kau jangan nak buat lawak. Kau kan rabun,” Moy meninggikan suara sambil mengalihkan pandangan keluar tingkap.

“Tengok dekat,Bedah. Tak baik menfitnah orang,kawan kau bukan orang lain,” semakin serius nada suara Moy. Aku cuit peha Moy. Ingin tahu apa yang dia bualkan.

“Ya. Nanti call balik. Nel dah tanya ni apa aku nak jawab?” Aku pandang wajah Moy dari tepi. Kereta berhenti sejenak. Peluang baik untuk aku tanya apa yang mereka cakapkan. Moy tergagap-gagap bila aku tepuk lengan montoknya.

“Kenapa muka kau macam itik tercekik guli?”

“Ci..Cikin nampak..” sejak bila pulak gagap kawan aku ni!

“Cikin nampak apa?” Aku sergah dengan muka serius. Hampir biru muka Moy.

“Cikin nampak abang Mael bawa perempuan lain,a..ada anak kecik”

“Apa??!!” Moy menutup pipi kanannya dengan beg LV gred AA. Aku yang belanja sebab tu aku tahu gred apa.

“Ya..kau jangan lah marah-marah macam ni. Kecut perut aku,Nel..aduhhh,”

Ting. Nada dering pesanan whatsapp masuk. Aku nampak tertera nama Cikin. Aku pandu ke stesyen minyak. D***h mula meluap-luap sampai terasa panasnya kedua-dua telinga.

“Call kak Bella bagi tahu dia kita cancel. Duit kau aku ganti. Hati aku panas!” Moy membebel seorang diri sambil mengikut arahan aku.

Aku kalau dah marah memang Moy takut. Takut kena tinggal tepi jalan. Aku pernah buat macam tu masa Moy dengan Cikin membantah aku kahwin awal. Masa tu aku masih pakai kereta Kelisa abah. Laju aku park tepi jalan,dua-dua aku paksa turun kereta. Sampai sekarang mereka tak berani buat aku marah. Masing-masing tahu aku ni kepala angin.

Cikin menghantar lokasi dan juga video berdurasi 20 saat. Walau sesaat sekali pun aku tetap rasa mendidih hati ni. Belum lagi Mael ada depan mata. Moy merapatkan dirinya untuk tengok video kiriman Cikin. Aku ulang berkali-kali.

“Abang Mael lah,Nel. Apa yang dia buat?” Moy menutup mulutnya yang melopong. Nafas aku turun naik bagaikan baru lepas dikejar anjing.

Mael dengan jaket jean lamanya sedang menyuapkan makanan untuk budak dalam lingkungan 6 tahun. Lepas suapkan si anak disuapkan pula perempuan bertudung sarung. Lepas disuap makanan,perempuan tu menyuapkan Mael pula. Bukan main manja lagi Mael ni. Aku rasa nak hentak je muka Mael atas meja! Aihh,geram betul la. Sejak bila berlaku curang belakang aku ni?

“Rileks,Nel. Fikir dulu nak buat apa. Kau marah-marah macam ni apa dapat? Tengok laki kau dengan perempuan tu jugak yang bahagia,” betul juga nasihat Moy ni. Benda dah jadi ni kalau mengamuk pun tak guna. Perempuan tu sudah pun jadi sebahagian dari hidup suami aku. Aku cuma perlukan nasihat. Apa yang perlu aku buat?

Lama juga aku berhenti menenangkan hati di situ. Moy terima panggilan dari Cikin. Menunggu persetujuan aku untuk ke rumah seseorang yang boleh bantu aku. Aku fikir sejenak. Lantas aku angguk. Moy beritahu esok kena bertolak sebelum asar. Kerana orang yang nak jumpa aku tu tidak akan terima tetamu lepas maghrib.

Aku buat satu panggilan. Sekadar penyedap hati. Manalah tahu kalau Mael ada pelanduk dua serupa.

Aku : Hello,bie. Bie buat apa tu? Nak baby balik tak?

Mael : Ehh,tak payah la sayang. Bie baru siap makan ni

Aku : Makan apa? Kedai mana,bie? Baby nak ke sana lah.

Mael : Jangan datanggg…bie..bie dah bayar ni. Haa,baby makanlah dengan kawan. Nak bie transfer 500? Makan kenyang-kenyang,baby. Bie nak panaskan enjin bas ni. Bye,baby

Dalam video yang Cikin hantar terpampang nama Restoran Sinaran. Memang betul lah Mael baru lepas makan. Nak membodek punya pasal sanggup bagi duit lebih 500. Pandai kau,Mael. Kau tak kenal lagi kepala bini kau ni level puaka! Kau berani curang dengan perempuan lain,tunggu nasib kau!

“Sabarlah,Nel. Berani dia curang dengan kau. Kalau perempuan tu muda dan cantik aku tak pelik. Ini perempuan dah dekat sebaya mak kau tu yang dia makan bersuap-suap?!” Ya,aku pun pelik kenapa dia pilih perempuan tua macam tu. Apa kurangnya aku?? Aku muda,badan tiptop,cantik tak kalah sikit pun dari Emma Maembong. Kenapa yang tua juga jadi pilihan dia?

Keesokan paginya. Cikin datang membawa dua paperbag berisi barang-barang keperluan yang diminta kenalan abang Cikin. Aku serahkan bulat-bulat pada Cikin. Kepala ni dah tak mampu nak fikir lagi. Aku hanya menangis dan menangis memikirkan suamiku mengkhianati aku! Mereka berangkat ke satu perkampungan yang jauh dari kesibukan kota. Ada lelaki tua berkulit gelap sudah menunggu di atas tangga.

“Silakan masuk,” mungkin isterinya yang menyambut kedatangan kami. Ketika ini hatiku berdegup kencang. Apakah patut aku teruskan rancangan ini? Hati menjadi lemah dan kembali berfikir sejenak detik-detik kebahagiaan bersama Mael.

Satu panggilan masuk. Aku berhenti di beranda. Panggilan dari suamiku. Mungkin masih sempat untuk aku batalkan niat memabalas kecurangannya.

Mael : Baby. Lamanya baby senyap? Bie nak bagi tahu ni..bie tak balik malam ni. Kimie ajak mancing..baby enjoy lah dengan ka…..tut tut tut tut”

Aku campak handphone ke dalam beg. Pergi mampuslah kau!! Semalam dapat bermanja-manja dengan perempuan tua tu masih tak puas lagi?! Alasan memancing lah apa. Joran pun tak pernah pegang nak tipu aku konon!!

“Kalau sudah mulai, tidak boleh berundur. Jangan menyesali jalan yang kamu pilih. Aku hanya menurut apa yang kamu hajati,” Pak Shudi mula menyalakan bara api. Keadaan bilik yang gelap hanya diterangi dengan cahaya dua batang lilin.

“Saya nekad,pak” Moy dan Cikin diminta keluar. Tinggal aku dan Pak Shudi berdua.

“Sebelum memulakan upacara menyeru semangat,bapak mau tanya kamu..ilmu menunduk kasih ini amatlah tajam.Sekali sudah kau terima maka segala apa masalah bukan tanggungjawab bapak. Kerana kawan kamu sudah bagi tahu bapak,hidup kau sengsara dicurangi suami malah dizalimi suamimu…apa kau sanggup terima saranan bapak? Kita gunakan…” kata-katanya terputus di situ. Dia pandang wajahku yang dalam kegelisahan.

Cikin menambah cuka,garam,gula untuk menyedapkan cerita aku rupanya. Aku memandang wajah Pak Shudi. Terketar-ketar bibir.

“Gunakan apa,Pak?”

“JARAN GOYANG,ilmu pengasih paling tajam ku bawa dari Banyuwangi,Jawa Timur. Mantera-mantera yang bakal mengunci hati suami mu untuk tidak berpaling pada yang lain selain dari kamu. Kau harus oleskan barang yang aku berikan nanti. Dia akan menurut katamu. Jika perlu m******h,dia akan b***h. Semuanya terserah kamu,” wajah Pak Shudi kelihatan semakin gerun. Suaranya semakin bergema.

“Saya setuju,”

Bermacam-macam mentera dibaca Pak Shudi. Bukan aku faham pun. Bahasa Jawa kuno katanya. Kalau bahasa Jawa Moden pun aku cuma tahu WES MANGAN,NGOMBE,OPO IKI. Huhh,tak sempat nak fikir lain. Aku cuma terbayangkan Mael sedang bermesraan bersama perempuan lain. Dia harus terima balasan.Perempuan itu harus merasa penderitaan hidup sebelum ajalnya. Dan Mael akan ku jadikan hamba di telapak kaki ini. Memang patut diajar!!

Di depan aku dan Pak Shudi adalah setalam sajian untuk acara pemujaan. Berkepul-kepul asap kemenyan memenuhi ruang bilik. Pak Shudi buka botol kaca berwarna hitam di depannya. Dihembuskan dua kali ke dalam botol. Dihirup udara bercampur asap kemenyan dalam-dalam. Ditiup ke dalam botol buat kali ketiga.

“Tinggalkan wang pengerasku rm2000. Ambil botol ini. Jaga dengan rapi jangan kasi pecah. Jumpa suamimu. Ketika tidurnya bukakan botol ini,biarkan saja. Pengikutku akan jalankan tugasnya. Satu untuk suamimu,satu untuk perempuan itu,satu lagi untuk anaknya. Ada tiga kutitipkan dalam botol ini. Minyak ini pula kau oleskan pada suami mu. Belakang telinga,keningnya dan nadi di tangannya. Itu saja. Pulanglah,”

Selesai sudah? Aku ingin melonjak keriangan. Hajat hatiku bakal tertunai. Esok Mael balik akan ku lakukan suruhan Pak Shudi. Biar puas hati ini. Aku tinggalkan duit kertas RM2000 di dalam talam berisi pelbagai barang pemujaan.

“Ingat pesan bapak. Jaga baik-baik botol hitam itu,jika silap langkahmu maka sia-sia usahaku. Malah kau akan menyesal sampai M**I!”

Selepas menyambut botol hitam dan botol kecil berisi minyak,aku mengajak Moy dan Cikin balik. Tak sanggup tunggu lama di situ. Dalam kepala ini hanya terbayangkan wajah Mael yang bakal jadi anjing suruhanku,perempuan tua dan anaknya pula akan m**i. Itu janji aku pada diri sendiri. Kau tunggu aku balik,Mael.

Sepanjang perjalanan pulang aku banyak termenung. Cikin memandu kereta. Moy menemankan dia supaya tidak silap jalan. Aku peluk erat botol hitam. Kau bantulah aku. Kau penuhilah hajatku. Bisik hati ini.

“Ada kemalangan lah!” Moy menjerit. Aku lihat kereta-kereta mula bergerak perlahan. Kemalangan diantara van sekolah dan kereta Myvi. Aku bersandar semula. Malas ambil tahu. Tiba-tiba kereta berhenti. Cikin menurunkan cermin kereta. Ada seorang lelaki mendukung budak berpakaian seragam sekolah.

“Cik,anak ni asthma. Boleh tak cik bawa ke klinik paling dekat dengan tol susur keluar nanti? Kesian dia,ambulans tak sampai lagi ni,cik” pakcik van sekolah agaknya. Cikin memandang ke arah aku. Lemah betul dengan Cikin ni. Aku tepuk bahu Moy,suruh dia yang duduk belakang jagakan budak tu. Aku serabut.

Ketika keluar dari kereta. Aku lupa tentang botol hitam yang aku pegang tadi. Botol tu jatuh atas jalan tar. Bersepai!!

“Cik,maaf cik. Tak jadi ye. Ambulans dah sampai,” pakcik tadi terus berlari meninggalkan kami. Aku melihat botol hitam yang bersepai dengan hati yang berkecai. Cikin suruh aku naik dulu. Kereta belakang dah mulai membunyikan hon. Aku berlari masuk ke dalam kereta. Rasa panas membara.

“Cepat,Bedah. Aku panas. Kuatkan aircond. Panas sangat ni,fuhhhh….kenapa panas ni???!!!!”

Berita Menyayat Hati

====================

“Abang,janji pada Mah ye? Esok bawa Mah jumpa isteri muda abang tu. Mah sedia terima dia,bang. Abang yang patut minta maaf dengan Nella. Mah dah maafkan abang. Nella belum tentu boleh terima abang tipu dia selama ni,” Azimah memujuk Mael dengan lembut. Dia redha Mael telah memadukan dia. Dah lama dia tahu,cuma mereka belum bersedia nak beri tahu Nella hal sebenar.

“Ayah. Ada pakcik polis cari ayah,” berlari-lari anak Mael mendapatkan ayahnya. Mael tersedak kopi bila Azim beritahu ada polis datang mencarinya. Laju Mael berlari ke luar.

Dua anggota polis berdiri di luar pagar. Hampir biru muka Mael. Nak tangkap sebab saman tak bayar ke atau….

“Encik Ismail bin Bujang?

“Ya,saya”

“Nella Karisma isteri encik Ismail,betul?” Mael menganggukan kepala. Kenapa disebut nama isteri muda pulak?

“Isteri encik kemalangan bersama dua rakannya. Ketiga-tiganya meninggal di tempat kejadian….”

Mael jatuh terjelepuk di atas tanah. Azimah berlari mendapatkan suaminya. Mael tak dengar apa lagi yang polis ucapkan. Azimah menangis memeluk bahu Mael selepas mendengsr penjelasan abang-abang polis tersebut.

Tiada siapa pun tahu Nella,Moy dan Cikin telah m**i disebabkan terkejut melihat ada tiga makhluk bertanduk dan bertaring bersaiz bayi 5 bulan bertenggek dalam kereta. Akibat terkejut dan meronta-ronta bila dipeluk 3 iblis suruhan Pak Shudi,Cikin hilang kawalan…keretanya menghentam pokok di tepi jalan sebelum jatuh ke dalam gaung. Mungkin disebabkan botol pecah,maka iblis-iblis ni menampakkan bentuknya di depan 3 rakan jahiliah.

Satu pengakhiran yang sadis. Sesuangguhnya sebagai manusia biasa janganlah kita angkuh dan lupa kekuasaan Allah. Perancangan kita mungkin yang terbaik untuk kita. Tapi percayalah,perancangan Allah itu lebih indah untuk orang yang kita benci.

Sekadar cerita fiksyen. Terima kasih sudi baca sampai selesai. Panda belanja ❤ lagi.

#karyapanda

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 30 Average: 4.2]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.