Jiran

Aisyah dan keluarganya baru berpindah ke rumah baru itu dalam masa dua minggu. Hanya beberapa orang jiran sahaja yang berada di kawasan rumah teres itu. Bilangan jirannya tidak begitu ramai. Pasti suasananya agak lebih sunyi. Tiga sederet di sebelah kiri rumahnya memang tidak berpenghuni. Ada juga diletakkan tanda harga untuk dijual. Persekitaran rumah-rumah kosong kelihatan semak, cermin tingkap pula ada yang pecah. Nampak menyeramkan bila dilihat, lebih-lebih pada waktu malam.

Di sebelah kanan pula, kemungkinan ada jiran. Aisyah tidak pasti. Semenjak dia berpindah ke situ, belum sekali pun dia nampak jirannya keluar dari rumah. Tetapi, yang pasti, dia mendengar suara orang bercakap. Suara orang ketawa. Suara orang menangis. Pernah juga dia mendengar bising seperti suara orang sedang bergaduh.

“Kalau awak dah tak suka duduk dalam rumah ni, awak boleh berambus! Tapi, jangan harap, saya benarkan awak bawa anak-anak!“

“Awak ni dah gila ke apa? Saya keluar bukannya pergi berseronok. Saya cari duit, tahu tak?! Untuk awak dengan anak-anak juga.”

“Jangan tipu saya! Saya dah tengok mesej awak dengan perempuan tu!”

“Apa awak cakap ni? Bila masa saya mesej dengan…”

“Dah! Dah! Awak berambus!“

“Pang!”

Telinga Aisyah menangkap bunyi pukul-memukul dan kaca terhempas ke lantai.

“Kamu intai apa tu, Aisyah?” Ibu menegurnya dari belakang.

Aisyah terkejut.

“Aisyah dengar macam ada orang bergaduh tadi, ibu.” Beritahu Aisyah, yang masih lengkap berbaju sekolah cuba mengintai dari tembok sebelah.

“Hish, kamu ni. Ibu tak dengar apa-apa pun. Dah, pergi masuk dalam dan tukar baju tu.” Kata ibu.

Gelagat Aisyah yang sudah menginjak usia empat belas tahun, adakalanya memeningkan kepalanya. Suka sangat menyibuk hal jiran sebelah.

Seperti biasa, bila pulang dari sekolah, Aisyah akan berhenti seketika di hadapan pagar rumah jirannya. Buat pertama kali, dia melihat anak-anak jirannya. Kanak-kanak perempuan kembar seiras dalam lingkungan umur empat tahun. Pasangan kembar seiras itu kelihatan sedang asyik bermain-main dengan anak patung masing-masing.

“Hai!“ Sapa Aisyah.

Serentak itu juga pasangan kembar itu menoleh ke arahnya.

“Nama siapa?“ Tanya Aisyah sambil tersenyum.

Kanak-kanak perempuan itu seperti takut melihatnya. Kedua-duanya tidak menjawab. Hanya sekadar memandang Aisyah.

“Kamu berdua buat apa dekat luar ni? Masuk dalam cepat!“ Wanita yang baru sahaja keluar dari rumah itu mengarahkan pasangan kembar itu masuk ke dalam rumah. Kemudian, dia menjeling Aisyah sambil menghempas pintu dengan kuat.

Aisyah tersentak dengan tindakan jirannya. Dia yakin wanita itu adalah ibu kepada pasangan kembar itu.

“Aisyah…” Panggil ayah Aisyah.

Aisyah segera menoleh ke arah ayahnya yang berada di dalam kereta, baru pulang dari kerja.

“Ayah, awal ayah balik kerja hari ni?” Kata Aisyah kepada ayahnya.

“Haa, hari ni ayah balik awal. Mari masuk rumah. Ayah ada beli ayam golek ni, makanan kegemaran Aisyah.” Kata ayahnya sambil tersenyum.

Aisyah menuruti kata ayahnya. Malam itu, hujan turun dengan begitu lebat. Kilat dan petir berdentam-dentum. Aisyah, ibu dan ayahnya sedang duduk di sofa sambil berbual-bual.

“Aisyah, dengar cakap ayah, ya? Lepas ni, bila balik dari sekolah, jangan berhenti depan pagar rumah sebelah lagi. Ibu cakap, Aisyah selalu macam tu. Intai-intai, tengok-tengok dekat rumah jiran sebelah.”

“Tapi,Aisyah cuma nak kenal dengan jiran kita, ayah.”

“Tak payah lah. Mungkin dia tak suka Aisyah buat macam tu. Macam tadi.”

Aisyah diam. Rupa-rupanya, ayahnya nampak apa yang berlaku siang tadi. Hujan masih lagi lebat. Selepas menyiapkan kerja sekolah, Aisyah terus masuk tidur.

Tidak sampai pun lima saat memejamkan mata, Aisyah terasa selimutnya ditarik. Dia membuka mata dan membetulkan selimutnya. Matanya dipejam semula.

“Aisyah…” Satu suara memanggil namanya.

“Ada apa, ibu?” Aisyah tidak membuka matanya.

Memang dia sangat mengantuk ketika ini. Sudahlah hujan lebat. Sejuk pula tu. Memang seronoklah kalau dapat tidur.

“Aisyah, bangun…” Suara itu memanggilnya

Aisyah membuka matanya. Aisyah pelik. Dia sangkakan ibunya tadi. Bila dia lihat sekeliling, tiada sesiapa pun di dalam biliknya. Oleh kerana terlalu mengantuk, dia kembali melelapkan mata.

***************

“Ibu, malam tadi ada tak ibu masuk bilik Aisyah? ” Soal Aisyah ketika dia dan ibunya sedang bersarapan pagi itu.

“Tak ada. Kenapa?” Soal ibu Aisyah.

“Tak ada apa. Saja tanya.” Jawab Aisyah sambil tersenyum.

Hari ini hari Sabtu. Aisyah tidak ke sekolah. Dia banyak menghabiskan masa membuat kerja sekolah dan membantu ibunya membuat kerja rumah. Jam sudah hampir pukul 6.30 petang. Aisyah ke halaman rumahnya. Seperti biasa, dia akan membantu ibunya menyiram pokok-pokok bunga.

Aisyah berhenti seketika. Dia menutup paip apabila mendengar suara kanak-kanak ketawa di sebelah. Perlahan-lahan Aisyah memanjat kerusi dan mengintai dari tembok untuk melihat ke sebelah. Dia tersenyum bila melihat pasangan kembar yang berbaju gaun putih itu sedang bermain masak-masak.

“Hai!“ Aisyah menegur sambil tersenyum.

Kedua-duanya menoleh. Aisyah mematikan senyuman. Pelik melihat wajah kedua-dua mereka yang kelihatan pucat. Tiba-tiba, kedua-dua mereka terus berlari masuk ke dalam rumah.

Aisyah terpandang kain baju di ampaian jirannya. Dia garu-garukan kepalanya. Rasanya, sudah empat hari kain baju yang sama tersidai di situ. Kemudian, matanya terpandang cadar yang tersidai di situ. Berkibar-kibar ditiup angin.Di sebalik cadar yang tersidai, Aisyah ternampak sepasang kaki yang pucat tanpa memakai selipar. Kaki itu mula bergerak. Aisyah mahu melihat wajah di sebalik kain cadar itu.

“Aisyah!“

Aisyah terkejut. Cepat-cepat Aisyah turun daripada kerusi apabila terdengar suara ibunya memanggil.

” Ya, ibu.” Aisyah terus segera masuk ke dalam rumah.

**************

Pukul 9.00 malam, Aisyah bersama ibu dan ayahnya keluar daripada rumah untuk melihat ke sebelah. Suasana agak riuh. Ada tangisan dan wajah-wajah panik. Turut kelihatan ambulans dan kereta polis. Ayah Aisyah bertanya apa yang sedang berlaku kepada mereka yang berada di situ.

Ada tiga kematian. Seorang ibu dan dua orang anak kembarnya. Diklasifikasikan sebagai m**i mengejut. Punca kematian mereka kerana meminum racun.

Kelihatan seorang lelaki yang sedang menangis teresak-esak. Itu adalah suami wanita itu dan bapa kepada pasangan kembar itu. Lelaki itu dikatakan tidak pulang ke rumah selama empat hari. Pasangan itu juga dikatakan sering bergaduh. Tetapi, jiran-jiran tidak ambil tahu kerana mereka juga tidak mesra. Selalu mengelak apabila ada yang menegur. Aisyah, ibu dan ayahnya masuk semula ke dalam rumah. Aisyah mula berasa seram apabila memikirkan pasangan kembar dan kaki pucat di sebalik cadar yang dilihatnya petang tadi.

Tetapi dia memang tidak menyangka jirannya sanggup melakukan perbuatan keji sebegitu. Kasihan pada anak-anak kecil yang tidak berdosa itu.

“Aisyah, kamu tengok apa tu?” Tanya ibu Aisyah apabila Aisyah kembali menjenguk ke rumah jiran sebelahnya.

“Tak ada apa, ibu.” Jawab Aisyah.

Namun, matanya terpaku tiba-tiba apabila terlihat kelibat kanak-kanak kembar itu memegang tangan kiri dan kanan ibu mereka sambil berdiri di hadapan rumah mereka. Dengan wajah yang pucat, mereka bertiga melemparkan senyuman sambil melambai-lambai tangan ke arah Aisyah.

“Ibu!” Jerit Aisyah lalu berlari masuk ke dalam rumah semula.

-TAMAT

by – Shazlina Md Shaat

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 47 Average: 3.7]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.