Karak

Di dalam sebuah filem berjudul KARAK, kita telah disajikan satu adegan kisah benar di permulaan cerita. Di mana sepasang suami isteri telah diganggu kedatangan langsuir yang mengekori mereka. Diceritakan kisah itu berlaku sekitar awal 1980an dan telah tular dari mulut ke mulut.

Tahukah anda, lain pula yang saya dengar dan kisah yang saya dengari lebih realistik berbanding apa yang kita tonton di pawagam. Kenapa saya berkata realistik, ada sebabnya.

Versi filem dikatakan langsuir telah m******h dan memakan mangsa. Tak ada bukti sahih mengatakan makhluk itu m******h manusia demi kelangsungan perutnya yang kosong. Tapi pernah la jugak orang kampung mak saya cerita makhluk itu selalu berada di sungai memburu ikan dan katak. Wallahualam entah betul entahkan tidak. Oh ya kampung arwah mak saya di Raub, Pahang.

Kisah Karak yang saya dengar amat berbeza, bukan seorang yang bercerita tetapi ramai, dan setiap cerita mereka semua serupa dan kalau lari pun sikit ajelah. Mungkin dialog, mungkin jenis kereta atau mungkin suasananya.

Cerita yang dikisahkan di dalam filem apabila sebuah kereta rosak dan tersadai di tubir jalan. Namun sebenarnya kereta mangsa kehabisan minyak.

Kereta mangsa (tidak dapat dipastikan jenisnya) telah kehabisan minyak dalam perjalanan menuju ke satu lokasi yang tidak dapat dipastikan arah destinasinya.

Kereta itu telah tersadai di tubir jalan. Sang suami keluar bersama tong minyak petrol dengan niat mahu berjalan mencari stesen minyak atau mungkin meminta bantuan jika kenderaan lain ada lalu di kawasan itu.

Walaupun dilarang isterinya agar jangan keluar meninggalkan dia dan anak kecilnya di dalam kereta tanpa teman, sang suaminya tetap berdegil mahu keluar mencari stesen minyak yang berdekatan. Walhal kawasan tempat kereta mereka tersadai itu amat jauh dengan kawasan penempatan awam, dan kawasan bandar.

Setelah dipujuk dan meyakinkan isterinya sang suami akhirnya nekad keluar berjalan kaki mencari stesen minyak yang berdekatan.

Maka tinggallah si isteri dan anak kecilnya diam-diam di dalam kereta mereka sehingga suaminya pulang mendapatkan minyak atau mungkin bantuan. Kiri kanan mereka adalah hutan, di kawasan itu juga mempunyai bentuk muka bumi yang curam lurah dan gaung yang dalam. Memang tiada penempatan orang tempatan ada di sekitar kawasan itu.

Ketika di dalam kereta yang telah dikunci dan dirapatkan cerminnya, si isteri telah mendengar pelbagai bunyi-bunyi aneh. Termasuk bunyi suara seperti ada binatang buas di kiri kanan hutan.

Si suaminya, Kasim (bukan nama sebenar) telah meninggalkan pesan kepada isterinya agar diam di dalam kereta dan memasang kaset bacaan al Quran agar dapat menenangkan perasaannya. Si isteri menuruti pesanan suaminya dan memutarkan kaset alunan bacaan al Quran.

Setelah hampir setengah jam Kasim meninggalkan isteri dan anaknya, secara tiba-tiba radio kereta yang sedang memutarkan kaset bacaan al Quran terhenti secara tiba-tiba.

Dan serentak dengan itu si isteri telah mendengar di kiri dan kanan pokok yang berdekatan dengan keretanya sedang bergoyang dengan kuat, seperti ada makhluk yang sedang bergayutan. Mustahil angin kencang, kerana pokok di kawasan yang lebih jauh langsung tidak bergerak, hanya pokok yang berhampiran dengan keretanya sahaja yang bergoncangan.

Bunyi2 aneh itu kedengaran lagi membuatkan si isteri panik dan anak kecilnya menangis tidak henti-henti. Tangisan anak kecilnya itu kemudiannya terhenti secara tiba-tiba. Membuatkan ibunya berasa hairan dan bimbang akan keadaan bayinya. Rasa khuatir itu reda sejenak apabila hadir sebuah peronda polis memberi hon berkali-kali.

Wanita yang berada di dalam kereta itu berasa hairan apabila pihak peronda itu mengeluarkan satu amaran agar si wanita itu jangan panik dan terus kekal di dalam kenderaan sehingga diberitahu kelak.

Wanita malang itu berasa semakin hairan dengan apa yang diarahkan oleh pihak peronda polis. Sehinggalah dia dikejutkan bunyi hentakan kuat di atas bumbung keretanya, seperti ada sesuatu yang telah jatuh. Sangkaannya mungkin dahan pokok yang reput, tetapi sangkaannya itu meleset sama sekali apabila telah mengalir satu cecair pekat seperti d***h di cermin hadapan keretanya.

Pada awalnya dia masih dapat mengawal perasaannya, tetapi wanita itu menjerit kuat apabila tiba-tiba tergolek jatuh di hadapan keretanya kepala manusia dengan terbeliak matanya dan dipenuhi dengan d***h!

Kerana panik dia telah melanggar arahan pihak polis dengan keluar dari perut kereta dan melihat apakah yang telah terjadi. Dia seperti tidak percaya kepala yang tergeletak di atas hud depan keretanya itu adalah kepala suaminya.

Ketika di luar kenderaan, wanita itu telah menyaksikan sesuatu yang amat tragis. Bulat matanya kala dia melihat seekor beruk gergasi dengan saiznya lebih besar berbanding tubuh manusia biasa sedang meratah daging tubuh suaminya yang sudah tidak berkepala. Makhluk itu sedang duduk seperti mencangkung di atas bumbung kereta tanpa menghiraukan persekitaran termasuk jeritan wanita malang itu.

Pihak polis dengan segera menarik wanita itu ke belakang dan salah seorang daripada mereka telah melepaskan tembakan ke arah sosok seperti beruk gergasi itu beberapa das.

Tembakan demi tembakan dilepaskan membuatkan beruk itu mengaum marah. Dek kerana diasak dengan tembakan daripada pihak polis, beruk itu diceritakan telah mengambil beberapa cebisan daging Kasim, mungkin organ dalaman atau mungkin anggota badan Kasim dan melompat ke pokok-pokok berdekatan melarikan dirinya. Bergoncangan pokok-pokok tempat makhluk itu bergayutan.

Hanya kerana kereta kehabisan minyak, nyawa menjadi taruhannya. Menurut kisah yang diceritakan dari mulut ke mulut itu makhluk itu adalah sejenis binatang yang digelar Hantu Si Jarang Gigi. Ada juga yang menggelarnya Orang Mawas. Mungkin kedua-dua makhluk ini berbeza mungkin juga jenis yang sama.

Sebagai rujukan, saya telah bertanya dengan seorang pawang di Pekan, Pahang tentang perihal ini dan juga pernah menonton satu rencana tentang kewujudan makhluk itu ,(lupa rencana apa)

Diceritakan makhluk itu amat sukar ditemui, kecuali mereka yang sering masuk hutan dan tinggal di kawasan hutan yang berbukit bukau. Kaum asli antara yang amat kerap menjumpai sosok berbulu lebat ini. Kaum asli mengatakan makhluk itu ada dua jenisnya, berbulu merah dan berbulu hitam. Salah satu daripada makhluk itu memang pemakan daging. Atau di barat mereka menggelarnya sebagai ‘Bigfoot’ (Wallahualam)

Ya, wallahualam… Saya hanya menympaikan semula apa yang saya dengar dan lihat dalam rujukan saya.

Namun kisah Karak itu disampaikan dari mulut ke mulut dan sudah tentu akan ada perubahan sedikit demi sedikit gaya dan olahan ceritanya.

Mungkin ada versi yang lain pula? Mana tau, kot kot ada yang dengar dari mulut ke mulut jugak, dan versinya mungkin berbeza. Jikalau anda rasa anda ada mendengar kisah yang sama seperti yang saya ceritakan, boleh komen di bawah utk bacaan rakan-rakan. Selamat malam semua dan semoga terhibur dengan coretan ikhlas daripada saya, #Saideenorazam penulis novel seram dan pelukis cat air.

Mungkin kisah ini kisah benar, mungkin juga tidak. Jika benar jadikan tauladan, jika tidak berhati-hatilah ketika berada di kawasan asing. Ingatlah… mereka semua ada, tetap ada.

SIRI SERAM SNA

(Karak!)

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 55 Average: 4.5]

3 thoughts on “Karak”

  1. aku kat office baca story ni. Terbantut nak buat kerja. Best doe. Faham sedetail-detail ayat. Terus dapat catch up gambaran situasi tu! Hope dapat lagi story dari author ni. 🙂

    Reply
  2. sebenarnya kisah ni adalah kawan kakak sy….yg jalan cerita nya…suami dia dh pesan kt isteri dia,klau dengar apa-apa jgn kluar..sblm polis dtg tu,isteri dia dgar benda jatuh ats kereta & kereta bergoyang-goyang,lpas tu baru peronda polis dtg bhenti depan kreta dia,polis tu kluar & mengarahkan isteri dia kluar dr kreta sambil mengacukan pistol,polis tu cakap kluar dari kreta & jgn pandang belakang.Isteri dia kluar sambil peluk erat anak nya & masa nak spai dekat polis tu isteri dia terus pandang belakang,terkejut bila dia tgk ‘beruk’ tu tgh siat & mkn husband dia.polis terus lepaskan tembakan…

    Reply
  3. Jangan pecaya cerita ngarut ni terutaman citer Karak dari pelem KRU bangang ni. Mungkin penah terjadi di mesia tapi bukan di Karak. Aku membesar di Bentong dan ramai kenalan dan sedare di Balai Polis Bentong. Mereka pon takde rekod tentang kejadian pelik ni. Kawasan mana yang ada gaung di Karak? Kalau di Bukit Tinggi adalah. Marah orang Karak sebabkan cerita bangang ni. Busuk nama kampung dorang. So stop sebarkan cite bodo ni.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.