Kejam

Assalamualaikum warga FS. Sekadar kisah fiksyen untuk bacaan. Selamat membaca.
———————————————————
“Engkau ingat mak suka?” Saemah membentak anaknya, Amir. “Kalau bukan sebab engkau anak mak…” Saemah tidak menghabiskan bicaranya. Mata Saemah mencerlung ke arah Amir yang terpunduk di sudut dinding rumah. Tidak tahu, samada dia menyesal atas perbuatannya atau membatu tanpa perasaan.

Tidak jauh dari tempat Saemah berdiri, terbujur satu jasad wanita dalam keadaan separuh bogel. Jelas sekali wanita itu dalam keadaan mengandung, mungkin dalam tujuh bulan. Saemah memandang jasad itu dengan jijik dan kesal.

Kejam.

“Sekarang, engkau tolong mak. Engkau dengarkan ini baik-baik. Kita bungkus mayat Hani dengan kain lepas tu bungkus dengan tikar mengkuang. Engkau gali lubang dalam-dalam, muat-muat tubuh Hani di kebun. Tanam Hani di situ.”

Amir yang masih berat kepalanya, akibat alkohol berlebihan ditambah pengambilan dadah masih belum menghadam rancangan ibunya.

“Engkau dengar tak?” Saemah hilang sabar. ” Buat sekarang sebelum abang engkau balik subuh nanti.”

Maka, dalam gelap serta gerimis Saemah dan Amir melakukan perkara di luar sifat kemanusiaan. Saemah sanggup. Dia tidak mahu Amir ditangkap polis. Biarlah dia menanggung dosa, fikirnya singkat.

Hani tidak mungkin dibenarkan merampas kedua-dua anak lelakinya. Dulu, dengan separuh hati Saemah merelakan Aiman, anak sulungnya mengahwini Hani. Hani, anak yatim piatu, entah mana asal usulnya. Entah-entah dari keturunan lanun, benih tidak sah dan macam-macam lagi prasangka Saemah.

Bila Saemah mendapati Amir telah memperkosa dan mencekik Hani sehingga m**i, tidak mungkin dia membenarkan apa-apa terjadi kepada Amir. Wanita sundal ini, fikir Saemah sudah m**i pun ingin menyusahkan anak-anaknya.

Tanpa perasaan, dengan mata yang dingin Saemah turut mengambus jasad Hani.

Kejam.
——————————————————-

Sudah sebulan, Aiman bagaikan orang hilang akal. Termangu termenung di beranda rumah seharian semalam. Kadang-kadang keluar rumah entah ke mana sehingga berhari-hari. Tidak dipeduli lagi makan pakainya. Semenjak ibunya mengkhabarkan berita yang menyakitkan hati dan jiwanya, keadaan Aiman sudah tidak terurus.

“Hani, isterimu lari dengan jantan lain. Kain bajunya, barang kemasnya semua diangkut.” Saemah mereka cerita. “Malah anak dikandungnya juga bukan keturunanmu. Mak malu, Aiman. Binimu itu dengan berani berterus terang dengan mak. Jantan itu mengambilnya ke rumah. Mana maruah kita? Hani campak dan pijak macam kita ini orang hina.” Galak Saemah menyampaikan berita palsu itu.

Amir pula diarah oleh Saemah segera ke rumah kawannya sendiri. Seolah hanya berada di situ tidak ke mana-mana. Keadaan Amir kini tidak jauh beza dengan Aiman. Bezanya, Amir juga kuat meracau di dalam tidur. Menjerit ketakutan. Kadang-kadang kedengaran marah. Malah, beberapa kali menyebut nama Hani. Cuma, kebetulan waktu itu Aiman pula tiada di rumah.
———————————————————
Malam itu sudah seminggu Aiman bermalam di pondok kebun. Seperti malam sebelumnya, Aiman tertunggu-tunggu kemunculan Hani. Aiman, yang sudah sedia terganggu jiwanya tidak mampu berfikir dengan baik. Apa lagi bila digoda dengan panahan asmara Hani. Tidaklah dia mempersoalkan keberadaan Hani di kebun pada setiap malam. Yang ditahunya, diinginkannya, Hani akan bersama dia sepanjang malam.

Manakala Amir juga sering dikunjungi Hani. Amir yang sentiasa berada di bawah pengaruh dadah semakin buruk keadaannya. Sekarang, tidak mengira siang dan malam Amir menjerit ketakutan. Seringkali Hani muncul di mana saja dia berada. Di tepi katilnya, di sofa, bawah meja malah ketika dia tengah membuang kerana sakit perut juga Hani muncul dengan mukanya yang pucat.

“Maafkan aku, Hani! Maafkan aku!” Kini, ungkapan itu sering keluar dari mulut Amir. Kerana ketakutan bila berada di rumah, Amir ke rumah kawannya. Malang bagi Amir, Hani mengikuti Amir ke mana saja. Keadaan Amir semakin melarat. Dia berjalan sekeliling kampung, kadang-kadang berlari seperti dikejar. Nama Hani tidak lekang dari mulutnya.
———————————————————
Wajah Saemah pucat lesi. Kelihatan ketua kampung bersama beberapa anggota polis berada di hadapan pintu rumahnya. Keadaan Amir yang mencurigakan membuatkan orang kampung membuat aduan. Apa sebenarnya yang berlaku kepada Hani? Semua orang tertanya-tanya.

Akhirnya Saemah membuka mulut. Bersesak orang kampung ketika pihak penguasa menggali di tempat yang ditunjuk oleh Saemah. Tidak sampai 15 minit, kelihatan jasad yang dibalut tikar dan kain diangkut keluar dari lubang yang telah digali. Suasana menjadi gempar. Khabar angin dan desas desus tersebar dengan cepat.

Manakala, ketua kampung dan beberapa orang kampung menemui Aiman di pondok kebun dengan keadaan yang sangat kasihan.
———————————————————
“Aku tidak mahu pergi. Nanti Hani mencari aku.” Aiman bertahan tidak makan pujuk.

“Hani sudah tiada, Aiman. Ingat Allah banyak-banyak.” Pak imam pula memujuk.

“Hani ada, tok. Tiap-tiap malam dia datang.”

Ketua kampung dan Pak imam saling berpandangan. Berat pula masalah ini.

“Okay, kita sama-sama tunggu Hani datang. Lepas tu, kita balik bawa Hani sekali ya. Kalau Hani tak datang, Aiman yang kena pulang dulu. Kalau tak, Tok pasung Aiman. Nak?” Dalam memujuk ketua kampung mengugut.

Lama Aiman berdiam sebelum bersetuju. Malam itu, Aiman, ketua kampung dan Pak imam berada di pondok kebun. Orang kampung lainnya diarah balik ke rumah masing-masing. Ketua kampung dan Pak imam yakin Aiman akan setuju balik nanti.

Tepat jam 2 pagi, Aiman mengejutkan ketua kampung dan Pak imam.

“Bangun Tok, Pak imam. Hani datang.”

Sebaik saja ketua kampung dan Pak imam membuka mata, mereka lalu beristighfar. Di hadapan mereka, berdiri satu mahkluk berwajah hodoh. Rambutnya mengerbang, mengenakan pakaian labuh lusuh. Dan, tidak kelihatan kakinya mencecah lantai. Wajah hodoh itu kelihatan berang.

“Hani sayang.. Tok ketua dan Pak imam menjemput kita balik. Kita balik ya.”

Tersengih-sengih Aiman. Bahagia jiwanya melihat “Hani”. Pada pandangan matanya, mahkluk itu memang persis Hani. Hijabnya ditutup daripada melihat wajah sebenar mahkluk itu.

“Itu bukan Hani, Aiman. Itu mahkluk yang ingin menyesatkanmu.” Sahut Pak imam.

Mahkluk itu pula kelihatan bersedia untuk menyerang. Aiman pula berang mendengar bicara Pak imam. Sampai hati Pak imam memburukkan Hani.

Tanpa berlengah, Pak imam melaungkan azan. Disambung dengan beberapa ayat pelindung diri. Mahkluk itu kesamparan.

“Sudah.. cukup. Sakit..” Mahkluk itu merintih.

Aiman yang meronta pula dipeluk kemas oleh ketua kampung.

“Kenapa engkau ganggu dia?” Pak imam mula menyoal.

“Aku tidak ganggu dia. Aku.. aku kesian dengan dia.” Mahkluk itu cuba berdalih.

“Engkau jangan main-main dengan aku. Sakit engkau nanti!” Pak imam menggugut.

“Aku.. aku tengok dia di sini. Aku nak berkawan saja. Err, aku sayang dia.”

“Kamu tidak sekufu. Jangan ganggu anak cucu Nabi Adam. Pergi!” Pak imam bertegas. “Sekejap, baik engkau tunjukkan diri engkau yang sebenar dekat dia.”

Mahkluk itu kelihatan agak ragu-ragu.

“Hani… Hani…” Aiman merayu. “Pak, kenapa marah Hani? Apa salah dia?”

Ketua kampung dan Pak imam mendiamkan diri, menunggu tindakan mahkluk alam gelap itu.

“Abang, aku… aku bukan Hani.” Serta merta hijab Aiman terbuka. Nyaring jeritan Aiman kerana terkejut dan takut. Mahkluk itu pula terus melayang keluar diiringi esakan sayu mendayu.

Aiman longlai dalam dakapan ketua kampung. Pak imam menggelengkan kepala. Kasihan melihat keadaan Aiman.

Kejam sungguh Amir dan Saemah.

Ketua kampung dan Pak imam mengampu tubuh Aiman dan berjalan keluar dari pondok tersebut.

Tamat.

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 5 Average: 4.8]

7 thoughts on “Kejam”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.