‘Kelibat’ di rumah tumpangan

Assalamualaikum semua pembaca. Terima kasih pada FS kerana membenarkan entri kedua dariku. Bagi yang ingin membaca entri pertama ku, boleh klik d link ini https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=471290596546831&id=210245742651319

Aku perkenalkan diri sebagai Althea. Pengalamanku ini adalah yang pertama aku hadapi di alam kita. Dan pengalaman ini berlaku di sebuah bilik di rumah tumpangan yang aku sewa lebih kurang lima tahun yang lalu. Aku merupakan seorang perunding IT di mana kerjaku memerlukan aku sentiasa mengembara kerana pelanggan-pelanggan syarikat aku bekerja berada di seluruh Malaysia. Dan walaupun kami bekerja secara berpasukan, namun dalam pasukan aku, hanya aku yang sering dihantar ke tempat pelanggan-pelanggan.

Kali ini, aku dihantar ke Penang Island bagi menjelaskan bahagian teknikal program syarikatku kepada prospek-prospek baru. Aku tiba di Penang hari Isnin dan dijangka akan berada di sana sehingga Jumaat. Segala urusan penginapan sudah diuruskan oleh syarikat, aku cuma perlu ‘check in’ bila habis kerja petang Isnin tu. Aku pergi ke rumah tumpangan tu dah hampir pukul 7 petang, walaupun tak jauh sebenarnya dari pejabat tu. Sebenarnya dari awal sebelum sampai ke Penang, aku memang agak keberatan terpaksa outstation kali ini. Sudahlah short notice, kemudian aku rasa tak selesa asyik pergi bersendirian. Tapi hadapkan juga, sudah namanya kerja.

Sambung balik pada ceritaku. Sampai sahaja di rumah tumpangan tu, agak terkejut sikit. Sebab memang rumah betul rupanya. Selama aku bekerja sekian lama, tak pernah menghadap yang bukan hotel atau motel. Ianya adalah rumah dua tingkat ‘corner lot’. Receptionist ‘rumah’ ini adalah orang lelaki dari Bangladesh. Di kawasan laman sebelum masuk rumah, ada seorang lelaki duduk di luar. Dengan berpakaian singlet, beg silang, rantai emas besar-besar di leher. Lebih kurang gaya ‘Ah long’. Wallahualam.

Memang agak seram nak melangkah masuk, sebab rasa tak selesa kan dengan suasana kita perempuan bersendirian tempat yang agak ‘mencurigakan’. Tapi gagahkan jugak la melangkah masuk. Selesai urusan ‘check in’, aku ditunjukkan ke bilik yang sudah syarikat uruskan. Aku dapat bilik tingkat bawah, jadi konon-konon rasa selamat la sikit. Sebelum masuk, nampaklah ada dua tiga bilik lain di tingkat bawah tu. Bilik air pulak kongsi di bahagian belakang tepi dapur. Semua kelengkapan masak cukup, walaupun aku tak terbayang nak masak sebab berkongsi-kongsi dengan penghuni lain.

Masuk je bilik, aku standby nak bersiap mandi sebab nak masuk maghrib dah masa tu. Keluar je dari bilik aku, terserempak dengan penghuni depan bilik aku. Seorang wanita seksi dengan pasangannya. Aku senyum sahaja padanya. Selesai maghrib, aku fikir baik aku cari makan malam sebelum lewat sangat. Jadi masa aku balik dari beli makan, masa nak masuk rumah ada la dua tiga orang lelaki duduk di kawasan ruang tamu depan, tengah bersembang dengan ‘Ah Long’ tadi. Aku lajukan berjalan sebab aku tak suka aura di keliling diorang ni.

Tapi dalam bilik pun, aku rasa serba tak kena je. Macam berat sangat rasa. Aku habiskan masa dengan memandang laptop kerjaku sambil makan. Tapi nak memandang laptop pun tak tahan lama, berat je mata nak tutup. Jadi sambil mata nak tutup, aku memang tidur menyenget sebab katil tu katil king sized. Aku memang tak suka ada kawasan kosong keliling aku kalau aku tidur. Konon macam tidur menyilanglah. Rasanya dalam pukul 4.30 pagi, aku macam terjaga. Dalam keadaan mengiring dan menyilang, mataku terbuka. Tapi, aku tak buat apa-apa. Aku cuma terkaku saja. Aku baring menghadap ke kanan dan entah kenapa mataku asyik tertumpu kepada dinding kanan tu. Kosong sahaja, tapi mataku asyik fokus ke situ. Semakin lama, dadaku berdebar. Tiba-tiba muncul satu objek seperti kain/asap hitam terbang keluar dari dinding kanan tu ke arah dinding kiri.

Aku cuma terkejut dan tidak bergerak untuk pusing ke arah kiri dinding. Mungkin aku terkaku. Tapi disebabkan aku dah tak nampak objek hitam tu, perasaan berdebar tu semakin bertambah. Biasalah kan, yang tidak diketahui selalu buat kita takut. Mulanya aku nak panik, tapi suara hati mengingatkan aku, saat ini aku perlu baca ayat Qursi. Malangnya aku tak boleh bersuara saat ini. Wallahualam kenapa. Tapi, aku tahu aku sekarang berdepan dengan situasi ‘mistik’ jadi aku teruskan membaca dalam hati. Aku rasa inilah yang dikatakan kelibat. Dan sekali lagi objek hitam tu berterbangan dengan laju dan aktif di keliling bilik sewa tu. Dengan keadaan aku yang tak boleh bergerak, dan tak boleh bersuara, jantungku semakin berdebar-debar. Nasibla tak ada lemah jantung. Tanpa henti, aku membaca ayat Qursi dan sedikit ayat benteng empat penjuru yang aku belajar sebelum ini.

Saat penghujung, objek itu perlahan-lahan mendekati aku tetapi tidak menghadap aku. Dia sebaliknya, berterbangan ke atas aku dan seperti duduk di belakang kepalaku. Dan aku rasa seperti aku berada di riba’nya’. Masa ini, aku rasa mata aku terbeliak betul. Aku percepatkan ayat Qursi dan aku palu-palu dalam hati bahawa aku tak boleh takut. Aku ulang-ulang juga dalam hati, hasbunallah wa ni’mal wakeel. Tiba-tiba, aku rasa seperti pipiku disentuh dengan jari-jari halus tiada kuku yang panjang meruncing. Ya Allah, sejuknya pipi aku. Seperti beku di sebelah pipi kiriku. Sampai ke mataku terasa sejuknya. Keadaan aku macam seorang anak di riba ibunya. Saat ini, ‘objek’ itu tak berhenti di situ sahaja. Boleh pulak ‘dia’ menundukkan badan mendekatkan diri ke muka dan telingaku. Walaupun aku tidak nampak berdepan, tapi aku nampak dari kerlingku. Seperti bayang hitam kurus tinggi dan tidak berupa. Dan ‘dia’ cuma gelak halus seperti mengejekku sambil ‘tangannya’ mengusap aku. Nafasnya sejuk sangat. Nasibla aku tak terbau apa-apa.

Aku cuma berharap sangat-sangat cepatlah siang. Dan Allah bantu aku, suara azan Subuh dari program handphoneku berbunyi. Perlahan-lahan ‘objek’ itu pergi dan hilang ke arah siling atasku. Habis sahaja azan, badanku perlahan-lahan mula boleh bergerak. Aku terduduk memikirkan kejadian yang baru terjadi. Dalam hati aku berasa, aku tak boleh terus tinggal situ sepanjang minggu tu. Aku cepat-cepat ambil wuduk untuk kerjakan Subuh. Keluar bilik, aku tengok ada dua tiga orang lagi perempuan-perempuan seksi. Dan ada lagi dua tiga lelaki lain di ruang tamu. Gaya-gaya macam menunggu ‘giliran’. Firasat aku mengatakan rumah tumpangan ini juga diuruskan oleh bapa ayam, sebagai pendapatan sampingan.

Selesai Subuh, aku cepat-cepat kemas beg. Aku dah nekad, masuk kerja nanti aku nak telefon bos aku untuk uruskan tempat sewa yang lain. Alhamdulillah hari-hari seterusnya tidak ada apa-apa yang berlaku di hotel yang lain dan nasib aku tidak trauma dengan kejadian itu. Tapi sehingga kini, aku boleh bayangkan rasa sejuk ‘tangannya’ itu. Jika ditakdirkan ‘berjumpa’ lagi, aku berharap aku lebih kuat dan bersedia menghadapi apa-apa kemungkinan. Agak-agak pembaca semua, benda apa ye?

Sekian ceritaku kali ini. Sedikit pesanan buat semua. Sentiasalah berzikir supaya Allah sentiasa di hati. Jangan tinggalkan walau sesaat dan Allah sebaik-baik pelindung. InsyaaAllah apa sahaja pun mampu kita harungi.

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 4]
Althea

3 thoughts on “‘Kelibat’ di rumah tumpangan”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.