Kembalikan

Episod Empat, Lima dan Enam

“Eh, mak! Ida memang nak jumpa mak.” Terkejut Zuraida apabila tiba-tiba Sanah muncul di kedai.

“Mak nak minum apa? Ida buatkan.”Sanah menarik kerusi lalu duduk. Sudah tiada pelanggan, lauk pauk juga sudah habis dijual.

“Tak payahlah. Shahril ada?”Zuraida tidak jadi ke dapur untuk membancuh air. Dia kembali dan duduk berhadapan Sanah.

“Abang dah balik. Dia kerja petang ni. Kenapa mak datang sini?”

“Kau dah beri Sayang makan?”Sanah bertanya dengan nada tegas.

“Ida lupa mak. Semalam tertidur, sedar-sedar dah nak subuh.”

“Sayang cari aku. Habis dicakarnya lengan dan leher aku ni.”

Sanah menurunkan selendang dan menunjukkan kesan cakaran di lehernya. Lukanya sedikit dalam. Dia turut menyelak lengan baju kebaya pendeknya. Terdapat kesan cakaran yang darahnya telah mengering.

“Ya Allah! Teruk juga luka mak ni.”Zuraida bersimpati dengan apa yang terjadi kepada Sanah.

“Jangan kau sebut nama Allah. Nak berpura-pura tunjuk kau beriman pula.” Marah Sanah kepada Zuraida.

“Ida minta maaf. Mak janganlah marah Ida.”Pujuk Zuraida sambil mengusap tangan Sanah.

“Kau patut minta maaf kat Sayang. Kau kena buat jamuan besar untuk dia.”

“Jamuan besar tu macam mana?”

“Sediakan seekor ayam, pulut kuning, bertih dan tujuh biji telur ayam kampung. Ayam tu jangan d******g. Seru Sayang nanti. Lepas tu beri dia hisap ibu jari kaki kau tiga kali.”

“Bila Ida nak kena buat?”

“Secepat yang boleh. Kalau kau tangguhkan lagi, nanti kau tengoklah sendiri apa yang akan terjadi.” Sanah memberi amaran kepada Zuraida. Dia tidak mahu timbul masalah.

Zuraida sudah bersedia dengan hidangan lengkap untuk menjamu Sayang. Dia memasang lilin untuk menerangi ruang dapur yang besarnya cuma 10 kaki lebar dan 8 kaki panjang. Setalam penuh makanan telah diletakkan di atas lantai.

Zuraida menyeru Sayang sebanyak tiga kali dan Sayang muncul di hadapannya. Dia merangkak perlahan menuju ke arah Zuraida, kepalanya ditundukkan dan Zuraida seolah-olah faham akan kehendak Sayang. Kakinya dilunjurkan. Pantas Sayang menerkam dan membenamkan giginya di ibu jari kanan Zuraida.

Terasa seperti dagingnya dihiris pisau. Sayang menghisap d***h Zuraida dengan rakus. Setelah itu dia makan hidangan tersebut dengan lahap. Zuraida memegang ibu jari kakinya, terasa pedih dan menyucuk.

Esoknya, Zuraida memeriksa tong beras. Hampir lima ribu ringgit wang yang diletakkan oleh Sayang. Sejak Sayang hadir dalam hidupnya, kehidupan Zuraida berubah sepenuhnya.

Zuraida sudah mampu memenuhi keperluan dan kehendak keluarganya. Tidak perlu mencatu perbelanjaan dan tidak perlu lagi menunggu gaji Shahril untuk berbelanja. Jualan kedai makannya juga bertambah laris dan Zuraida sudah menggaji tiga orang pekerja.

“Abang, kita pindah rumah mak nak tak? Kasihan dengan mak, sorang-sorang kat rumah tu.”Cadang Zuraida. Shahril buat-buat tidak mendengar. Dia sibuk menyimpan sayuran yang dibelinya di pasar borong pagi tadi.

“Abang dengar tak? Mak tu sunyi, mak selalu merungut dengan Ida. Anak-anak tak pedulikan dia. Nak harap abang Shahir dan Kak Salina payahlah. Mereka duduk jauh.”

Zuraida berusaha memujuk Shahril. Dia pernah cadangkan supaya mereka berpindah ke rumah yang lebih besar. Shahril menolak, katanya membazir. Sewanya mahal.

“Dengar.”Jawab Shahril sepatah. Tangannya ligat membasuh pinggan mangkuk yang menimbun di dalam sinki.

“Dah tu, kenapa diam?”Soal Zuraida tidak berpuas hati.

“Abang tak suka awak rapat dengan mak.”Jawapan Shahril membuatkan jantung Zuraida berdegup kencang.

“Kenapa pula?”

“Awak dah berubah. Solat pun jarang-jarang sekarang. Baju-baju yang awak pakai semuanya tak senonoh. Tudung tu, dah makin singkat.”Zuraida mencebik bibir.

“Apa yang tak senonohnya? Ida pakai baju kurunglah. Tudung Ida masih paras dada, tutup dada kan. Mak tak ada ubah Ida pun.”Zuraida membela Sanah.

“Tudung awak tu singkat. Baju kurung awak tu fesyen apa? Ketat dekat p******g. Memanglah tutup dada, tapi sebelah tepi tu tak menutup. Setakat tutup buah dada je! Abang tak suka Ida pakai macam ni. Hari tu abang dah tegurkan?”

“Eh abang ni. Ida ajak abang pindah rumah. Kenapa nak tukar topik bab pakaian Ida. Ida taulah Ida bukan cinta hati abangkan. Tapi Amirah, Amirah yang lemah lembut. Amirah yang baik, Amirah yang cantik. Semuanya Amirah kan!” Zuraida meninggikan suaranya dan membuatkan Shahril sedikit terkejut.

“Apa yang awak merepek ni?”

“Ida tak merepek. Ida cakap perkara yang benar. Amirah tu dah balik sini kan? Ingat orang tak tau, abang pernah jumpa Amirah tu. Lagi satu Ida beli baju dan tudung tu semua pakai duit Ida sendiri. Nak harapkan abang, memang tak bergantilah baju Ida. Ida malas nak cakap dengan abang.” Jawab Zuraida panjang. Dia terus keluar dari rumah. Dia tidak tahu mahu menuju ke mana.

Shahril terdiam, terasa egonya sebagai lelaki tecabar. Dia akui yang dia pernah berjumpa dengan Amirah dua tiga hari lepas. Wanita itu sudah berubah, tidak lagi kurus keding seperti 13 tahun yang lalu. Cerita Amirah, dia menghilang dari Kampung Gunung Sali kerana mahu berubat. Dia telah disihirkan dengan sihir pemisah. Tujuannya supaya dia melupakan Sharil.

Orang kampung mula bercakap-cakap tentang Zuraida yang dikatakan menuntut ilmu yang tidak elok daripada Sanah. Shahril perasan, semenjak Zuraida diberikan loket permata hijau oleh Sanah. Segalanya berubah. Jualan kedai makan mereka memang laris, tapi tak kanlah jumlah keuntungannya hinga berpuluh ribu sebulan.

Shahril pernah terlihat jumlah wang dalam akaun Zuraida sewaktu isterinya mencetak penyata akaun. Hampir lima puluh ribu ringgit. Zuraida semakin garang dan tegas dengannya. Mudah marah dan mengamuk tentang hal-hal kecil. Anak-anak menjadi takut dengannya setiap kali Zuraida naik hantu.

“Masuklah Ida. Kenapa tercegat kat luar tu?”Laung Sanah dari dalam rumah. Zuraida menapak masuk ke ruang tamu. Terdapat dua set sofa mewah yang menghiasi tengah rumah.

“Mak, Ida penatlah.” Zuraida melabuhkan punggungnya di atas sofa. Empuk dan sangat selesa.

“Dah pakai pekerja pun masih lagi penat?”Soalan Sanah dijawabnya dengan gelengan kepala.

” Bukan sebab tu, tapi abang tu. Dia kata Ida berubah, makin seksi. Macam-macamlah. Dia jumpa Amirah. Entah-entah cinta kembali berputik.” Sanah ketawa kecil mendengar kata-kata Zuraida.

“Kau kan dah jampi si Shahril tu. Apa yang kau nak takut lagi?”

“Memanglah, tapi abang tu marah-marah Ida. Tak seronoklah mak. Ida nak abang jadi macam arwah abah. Dengar je cakap mak, sikit pun tak melawan.”Sanah memandang Zuraida, mata mereka bertembung.

“Itu kena buat cara lain. Kau nak bodohkan Shahril?”

“Taklah sampai bodoh Tapi nak dia dengar cakap Ida.”Zuraida tersenyum sinis memandang wajah ibu mentuanya.

Dia sedar yang arwah ayah mentuanya telah disihirkan Sanah. Lelaki itu tidak berani bertentang mata dengan Sanah dan hanya mengikut apa sahaja suruhan isterinya. Bagi Zuraida, alang-alang mahu Shahril hanya pandang akan dirinya lebih baik ditambahkan sekali agar Shahril tidak membantah cakapnya.

Zuraida tahu ada orang kampung yang bercakap tentangnya dan mula menghasut Shahril supaya menegurnya.

Aku tak curang dengan suami aku. Kenapa orang kampung yang nak menyibuk ambil tahu hal rumahtangga aku? Ah! Macam netizen Malaysia, semua benda nak menyibuk dan komen. Tak diminta pandangan pun tapi menyibuk nak beri pendapat. Fikir diri sendiri sahaja pandai. Samalah dengan orang kampung, duduk melepak di kedai makan tapi asyik bercakap hal orang. Tak sedar mengumpat dan memfitnah jadi makanan.

Itulah manusia. Salah sendiri tetapi menunding jari ke arah orang lain. Di hadapan, manis senyum wajahnya tapi di belakang segala sisi buruk yang ada dan yang tidak pernah wujud diadakan.

————————————————–

Lama Shahril terdiam selepas mendengar kata-kata Yusof. Jika benar dakwaannya. Shahril harus bertindak segera. Ini soal akidah.

“Aku nampak dengan mata kepala aku sendiri. Ida dan mak kau keluar dari rumah Tok Man Janggut. Orang yang pergi situ tujuannya cuma satu. Sihir!” Ulang Yusof penuh yakin.

Semua orang kampung Gunung Sali tahu yang Sanah ada ilmu memakai. Tidak dimamah usia. Anak-anak Sanah sahaja yang menafikannya. Mustahil awet muda, umur sudah 70 an mana mungkin tiada sebarang kedutan.

“Aku bukan nak masuk campur urusan keluarga kau. Aku tak nak kau terkena macam arwah bapa kau. Diperbodohkan oleh isteri sendiri.”Kata-kata Yusof bagai menikam hati Shahril. Dia menatap Yusof tajam.

Arwah abah tak banyak cakap terutamanya dengan mak. Apa sahaja yang diperintahkan oleh mak, arwah abah menurut kesemuanya. Semua hasil kebun dan sawah diserahkan bulat-bulat kepada mak. Arwah abah nak beli gula-gula sebiji pun kena minta dengan anak-anak.

Tak kan Zuraida mahu bodohkan aku? Mustahil Zuraida sekejam itu.

“Aku minta maaflah. Terpulanglah, kau nak percaya atau tak.”Ujar Yusof sambil menepuk bahu Shahril. Tiada sebaris kata yang keluar daripada mulut Shahril. Sungguh! Dia sangat terkejut.

Malam ini Shahril menukar giliran kerja dengan Yusuf. Dia mahu pulang awal. Tidak sabar untuk bersemuka dengan Zuraida. Wanita yang lemah lembut suatu ketika dahulu sudah berubah sikap. Semakin sombong dengan Shahril. Tidak lagi mengharapkan wang daripadanya.

Kelihatan cahaya lampu dapur masih menerangi rumah tiga bilik itu. Shahril sengaja mematikan enjin motosikalnya. Dia tidak mahu Zuraida perasan akan kehadirannya. Dia menghela motosikalnya perlahan-lahan rapat ke dinding rumah.

“Malam ini aku buat jamuan besar untuk kau. Tapi ada syaratnya.” Sayup-sayup Shahril mendengar suara Zuraida. Dia mengintai melalui celah tingkap nako.

Zuraida sedang duduk menghadap setalam makanan. Seekor ayam golek. pulut kuning dan beberapa biji telur. Shahril terdengar suara dengusan. Hidungnya menangkap bau busuk hanyir.

Dia mengurut dada berulang kali sambil menahan nafas apabila di hadapan Zuraida tiba-tiba muncul dua lembaga. Salah satunya berbulu seperti beruk. Hitam legam warnanya. Tangannya panjang hingga hampir mencecah lutut. Manakala satu lagi berambut panjang dan Shahril perasan mata lembaga tersebut merah dan sebesar bola ping pong.

Dia beristighfar berulang kali diselang seli membaca ayat al-Quran yang dihafalnya sebagai pendinding diri. Hancur hatinya melihat peristiwa tersebut. Zuraida sudah terlajak jauh menyimpang dan menuju ke jalan Syaitan.

Air matanya mengalir perlahan jatuh ke pipi. Ya Allah! Sampai hati Zuraida melakukan semua ini. Sedang asyik melayan perasaannya dan tanpa sedar ada yang memerhati Shahril. Terasa hembusan nafas dan dengusan suara yang pelik di belakangnya.

Shahril segera menoleh dan hidungnya hampir bersentuhan dengan mulut makhluk pelik di hadapannya. Jantung Shahril berdegup kencang. Shahril menjauhkan wajahnya dan dia hampir rebah. Mujurlah tangannya sempat berpaut di jeriji tingkap.

Lembaga tersebut berdiri dan dengan tiba-tiba menerkam Shahril. Tubuhnya terasa dihempap beban yang sangat berat. Shahril dapat merasakan lidah lembaga tersebut yang terkena pada pipinya. Busuk seperti daging yang sudah berulat. Shahril sukar untuk bernafas.

Allah!

Itu perkataan terakhir Shahril sebelum dia tidak sedarkan diri.

Zuraida terkejut apabila melihat Shahril terbaring di hadapan pintu dapur. Berulang kali dia mengejutkan Shahril. Namun suaminya itu tidak memberikan sebarang reaksi. Digagahkan juga mengangkat tubuh sasa Shahril dengan dibantu anak-anaknya. Shahril dibaringkan di tengah ruang tamu.

Sudah hampir dua jam Shahril pengsan. Tiada tanda-tanda mahu sedar. Zuraida terpaksa memanggil Sanah dan memohon bantuan jiran-jirannya. Dia bimbang jika Sharil terkena serangan jantung atau mungkin diserang angin ahmar.

“Abang, abang dah sedar.”

Shahril membuka mata perlahan-lahan. Dia memandang sekeliling. Kelihatan Sanah, Zuraida dan beberapa orang jiran mereka sedang duduk mengelilinginya. Shahril cuba untuk bangun. Kepalanya terasa pening.

“Dah lama abang pengsan?”Soal Shahril setelah jiran-jirannya pulang.

“Dekat tiga jam abang terbaring kat sini. Semalamkan abang kerja. Macam mana abang boleh balik rumah?”

“Yusof tukar shift dengan abang.”Jawapan pendek Shahril membuatkan dada Zuraida berdebar laju. Dia menelan air liurnya sambil memandang wajah Sanah yang duduk berhadapan dengannya.

” Ida, pergi siapkan makanan. Mesti Shahril lapar sangat tu.”Sanah seolah-olah tahu isi hati Zuraida. Dia mengubah topik perbualan demi menyelamatkan menantunya.

“Abang teringin roti jala kari daging. Belikan abang air barli panas sekali.” Zuraida menjeling memandang Sanah seakan memohon sesuatu.

“Makanlah apa yang dah ada. Kenapa nak pergi beli pula? Kasihan Ida, dah penat memasak.” Ujar Sanah bagaikan menghalang Zuraida menunaikan permintaan Shahril.

“Ida, tolong belikan abang roti jala dan air barli.”Zuraida terpaksa menurut. Shahril tidak mempedulikan kata-kata ibunya.

Zuraida menghidupkan enjin motosikal. Otaknya masih tertanya-tanya penyebab Shahril pengsan. Apakah kerana Sayang atau kerana jin pengasih yang baharu diambilnya daripada Tok Man Janggut.

“Mak, kembalikan isteri saya.”Kata-kata Shahril membuatkan Sanah menatap wajah anak bongsunya itu.

“Apa yang kau mengarut ni? Bini kau tu ada kan. Dia pergi beli roti jala. Tadi kau yang suruh!”Sanah sedikit geram dengan permintaan Shahril yang dianggapnya mengarut.

“Mak! Kembalikan isteri saya yang dulu.”Shahril meraih tangan Sanah. Air mata bergenang di kelopak matanya.

“Apa yang kau mengarut ni!”Sanah merentap tangan Shahril. Tetapi Shahril mengenggamnya erat.

“Tolonglah mak. Kembalikan Ida yang dulu. Cukuplah dengan apa yang mak dah buat sebelum ni. Kami adik beradik tahu, mak guna-gunakan abah.”Shahril menangis sungguh-sungguh. Bahunya berhinggut menahan sebak.

Sanah terkejut melihat perlakuan Shahril sedemikian rupa. Dia mengeraskan hatinya. Dia tidak pernah memaksa Zuraida untuk menerima Sayang. Itu semua kehendaknya sendiri.

“Ida tu dah berubah mak. Dia dah tak solat macam dulu. Dia buat benda syirik. Tolonglah mak, kembalikan isteri saya semula. Ya Allah! Kembalikanlah iman isteriku. Tolonglah mak. Saya merayu dengan mak. Jangan libatkan isteri saya.” Shahril melutut di hadapan Sanah. Dia memegang kaki ibunya.

“Aku tak pernah paksa dia untuk buat semua ni. Dia yang mahu. Hidup dengan kau melarat.”Ujar Sanah, sombong.

“Kenapa mak turunkan semua ni pada Ida? Mak tak kasihankan Ril ke? Ril ikut semua cakap mak. Cukuplah dengan dosa mak pada abah. Mak bodohkan abah”.

Ucapan Shahril mendatangkan amarah Sanah. Dia menolak Shahril kuat. Hampir terlentang Shahril ke lantai.

“Diam kau! Jantan itu memang patut dibodohkan. Dia patut d*****h. Kau tak pernah tahu apa yang abah kau buat. Dia main betina. Gilakan perempuan joget. Dia pukul aku dan anak-anak aku. Dia seksa jiwa dan raga aku.”Jerit Sanah.

“Tapi mak, apa salah Ril? Mak sanggup nak guna-gunakan Ril macam abah.”

“Itu kau kena tanya Ida. Dia yang mahu bodohkan kau dan bukannya aku.”Suara Sanah kembali mendatar.

“Mak, kembalikan Ida. Ril tak nak Ida dan mak berpaling akidah. Ini semua syirik.”

“Hei! Jangan cakap soal syirik dengan aku. Duit yang syaitan ni bagilah aku besarkan kau. Kau nak ajar aku tentang agama. Bini yang kau nikah tu, dia tu yang sihirkan Amirah.”

Shahril beristighfar berulang kali. Dia terduduk mendengar kata-kata Sanah. Ya Allah! Kembalikanlah iman isteri dan ibuku.

Sanah mencapai beg tangannya dan terus keluar. Hatinya sangat sakit mendengar kata-kata Shahril yang berulang kali mahu dia kembalikan Zuraida.

Shahril bagaikan orang gila yang kerasukan. Dia menuju ke dalam bilik dan digeledahnya almari baju. Dia tidak menjumpai apa-apa. Kemudian Shahril memunggah almari anak-anaknya. Habis semua cerok rumah digeledahnya. Perbuatan Zuraida dan Sanah sangat melampau. Dayus dirinya sebagai suami jika membiarkan Zuraida melakukan perbuatan maksiat dalam rumahnya.

Ikutkan rasa geram, mahu sahaja dia mentalakkan Zuraida. Namun itu bukan jalan penyelesaiannya. Shahril akan mempertahankan rumah tangganya sehabis mungkin dan dia perlu bertindak menghapuskan segala khurafat.

Ketika harta menjadi agenda. Manusia tidak lagi percaya rezeki adalah milikNya. Mereka berlumba-lumba mahukan dunia yang bersifat pendusta dan sementara. Makin dikejar semakin jauh berlari.

————————————–

“Abang! Apa abang buat ni?”Shahril terus mengeluarkan wang kertas berpuluh keping dari dalam tong beras. Diselongkarnya ke dasar bekas tersebut. Tangannya mencapai sesuatu.

Zuraida menghalang Shahril dengan mendorong tubuh Shahril. Namun tidak berganjak.

“Ini apa?”Soal Shahril sambil menunjukkan kotak kayu. Pantas dia membuka dan mengeluarkan isinya.

“Pulangkan semula. Kembalikan balik.”Zuraida cuba mencapai kotak tersebut.

“Ini rupanya yang Ida cuba sembunyikan. Sampai hati Ida!”Shahril mengertap bibir menahan nafsu marah yang membuak-buak.

“Kembalikanlah semula.”Shahril tidak mempedulikan permintaan Zuraida.

“Abang tahu, Ida nak guna-gunakan abang kan? Ida pergi rumah Tok Man Janggut. Buat apa kat sana?”Shahril cuba bertenang. Sangat sukar untuk mengawal perasaannya.

Zuraida tidak menjawab. Dia hanya tunduk memandang lantai.

“Kenapa Ida sanggup nak bodohkan abang?”Soal Shahril lagi.

“Ida bukan nak bodohkan abang. Ida cuma nak abang tetap cintakan Ida dan setia dengan Ida.”Perlahan suara Zuraida namun dapat didengari Shahril.

“Ya Allah! Abang memang cintakan Ida dan tak pernah terfikir pun nak curang. Semua perbuatan Ida ni berdosa. Syirik tau tak? Menduakan Allah. Khianat dengan Allah. Selama ni apa yang abang bagi tak cukup ke?”

Zuraida mendongak dan memandang Shahril. Pertama kali Zuraida melihat Shahril meruntuhkan egonya. Dia menangis.

“Memang tak cukup. Semua benda yang Ida nak, abang akan cakap sabar. Nanti abang belikan, nanti, nanti! Sampai m**i pun Ida tak akan merasa mewah hidup dengan abang. Ida kahwin dengan abang, ingatkan boleh menumpang senang. Tapi bawa bala.”Kata-kata Zuraida menghiris hati Shahril.

Zuraida merenung tajam memandang Shahril. Hari ini dia akan lepaskan semuanya yang terbuku di hati. Dia sudah penat berpura-pura bahagia.

“Ida tahan semua keinginan. Ida tak pernah minta apa-apa. Tapi abang tetap macam tu juga. Tak berusaha sungguh-sungguh untuk senangkan Ida dan anak-anak. Cukup dengan apa yang ada. Berbelas tahun kita kahwin masih lagi sama. Nak ke mana-mana kena sewa kereta, naik bas.”

“Peti ais ni dah buruk. Orang lain semua guna peti ais dua pintu. Ida dah penat hidup miskin. Abang hanya fikirkan diri abang saja. Cukup bagi abang tapi tidak pada Ida dan anak-anak. Ida ajak abang pindah tinggal dengan mak, abang tak nak. Abang rasa ego abang tercalar. Menumpang kesenangan mak. Tapi abang sampai hati biarkan Ida dan anak-anak susah. Ida penatlah!”

“Hari cuti abang sibuk pergi menjala ikan. Sibuk mesin rumput sana sini. Tak pernah nak bawa Ida dan anak-anak pergi jalan-jalan. Ida bosan asyik memerap kat rumah. Anak-anak Ida yang urus, siang malam Ida buat kerja rumah. Abang tu setakat tolong basuh pinggan dan buang sampah je. Abang langsung tak pernah tanya Ida apa yang Ida nak. Tak hargai segala pengorbanan Ida. Ida buat semua ni untuk kesenangan kita. Ida nak juga ada barang kemas seurat dua.”

Shahril membiarkan Zuraida meluahkan isi hatinya. Walaupun hampir kesemua tuduhan Zuraida tidak benar. Shahril mengaku dia tidak mampu memberi kesenangan kepada Zuraida. Tetapi dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga.

“Abang minta maaf atas semua kekurangan abang. Abang nak Ida bertaubat. Berhenti buat perkara khurafat.”

“Ida tak akan berhenti macam tu je. Ida buat semua ni sebab abang.”Zuraida tidak berpuas hati mendengar kata-kata Shahril.

“Cukuplah dengan apa yang Ida dah buat pada Amirah. Abang tahu Ida sihirkan dia.”Zuraida menjeling tajam ke arah Shahril.

“Berani abang sebut nama betina tu. Abang ada hubungan dengan dia kan?”Zuraida bangun dan menarik lengan baju Shahril.

“Ish apa ni. Abang nak Ida minta maaf dengan Amirah. Minta ampun dengan Allah. Abang akan buang benda ni.”Shahril menepis pegangan Zuraida.

Shahril cepat-cepat keluar dari rumah. Zuraida mengekorinya dari belakang dan cuba menarik leher bajunya. Cepat-cepat Shahril menghidupkan enjin motosikal dan memulas minyak. Shahir dapat mendengar jeritan Zuraida.

“Abang! Pulangkan semula kotak tu.”Zuraida cuba mengejar Shahril tetapi dia rebah di tepi jalan. Zuraida menangis teresak-esak. Dia sudah tidak peduli pandangan orang sekeliling kawasan rumahnya yang mungkin sedang memerhati.

Waktu ini dia hanya memikirkan Sayang. Bagaimana caranya untuk mendapatkan sayang kembali. Zuraida bangun dan membetulkan kain batiknya. Dia menyarungkan kembali selipar dan mengikat kemas rambutnya. Laju dia mengatur langkahnya. Aku mesti jumpa mak.

Sanah sedang menantikan kehadiran Zuraida. Dia yakin Zuraida pasti mencarinya. Sanah tersenyum lebar apabila Zuraida terpacul di hadapan rumahnya. Wajah Zuraida sugul tanpa garis senyum seperti selalu.

“Mak!”Zuraida menerpa ke arah Sanah. Tubuh langsing Sanah dipeluk erat oleh Zuraida.

“Kenapa ni?”Soal Sanah buat-buat tidak tahu apa yang telah terjadi.

“Abang bawa lari Sayang. Ida tak tahu abang pergi mana.”Adu Zuraida kepada Sanah.

“Macam mana ni mak? Ida nak Sayang kembali.”Rayu Zuraida kepada Sanah.

“Kau bertenang dulu. Shahril tu tak ke mana-mana. Dia bukannya berani sangat nak tinggalkan kau. Pergi balik dulu. Uruskan anak-anak. Tentang Shahril, serah pada mak.” Zuraida sedikit tenang mendengar kata-kata Sanah.

Shahril menunggang motosikal menyusuri jalan raya. Dia hanya mengikut kata hati. Menunggang tanpa ada arah tujuan. Tiada siapa lagi yang boleh diharapkannya melainkan Allah. Mahu diadu kepada Yusof, rasa malu menebal di dada. Dia gagal mendidik isterinya dan bercerita kepada orang luar hanya akan membuka aib Zuraida dan Sanah.

Sepanjang perjalanan Shahril berdoa supaya Allah tetapkan imannya dan ampunkan segala dosa-dosanya. Dia terfikir apakah hikmahnya di sebalik semua ini. Shahril tidak pernah menyangka Zuraida tergamak menyihirkan Amirah.

Shahril berhenti berehat sekejap di sebuah masjid. Kotak kayu dalam raga motosikal disembunyikan di bawah baju hujan. Dia benar-benar buntu. Shahril menghubungi majikannya meminta cuti sebanyak tiga hari. Syukur majikannya meluluskan cuti tanpa banyak soal. Yusof juga setuju untuk menggantikannya sepanjang ketiadaan Shahril.

Allah mempermudah segala urusan Shahril. Air matanya kembali mengalir laju. Dia tahu bukan daya upayanya untuk memulihkan Zuraida dan ibunya. Mereka sudah diracuni dengan ketamakan harta.

Manusia megah dengan kecantikan dan kekayaan. Mereka merasa sempurna apabila segala keinginan dan kehendak dapat dipenuhi. Semuanya berlumba-lumba untuk mengejar nama, pangkat dan wang. Sehingga terlupa untuk memenuhi kehendak iman yang perlu sentiasa di pertingkatkan selalu.

Shahril sedar dia juga bersalah dalam mengemudi rumahtangganya. Dia mengabaikan tanggungjawab mendidik Zuraida dan anak-anak. Hanya disuruh solat, puasa dan menutup aurat. Shahril tidak pernah menekankan betapa pentingnya pegangan tauhid. Mengenal Allah itu wajib, belajar tentang sifat-sifatNya dan nama-namaNya.

Semuanya diserahkan bulat-bulat kepada Zuraida soal pendidikan anak-anaknya. Shahril sibuk mencari duit dan dia tidak pernah terfikir Zuraida bosan tinggal di rumah. Hari cuti pun Shahril masih lagi bekerja.

Sebenarnya Shahril juga sama seperti Sanah dalam hal mengejar harta. Baginya kebahagiaan bermaksud kekayaan. Sedangkan kebahagiaan sebenar adalah keredaan Allah. Apa guna kaya jika hidup sering keluh kesah? Apa guna mewah jika hidup terasa sesak? Apa guna kaya jika tidak dapat mencuri masa untuk bersama dengan orang yang disayangi?

Hidup hanya sekadar hidup tanpa ada keberkatan. Hidup bukan untuk berlumba. Hidup tanpa iman dan hidup tanpa cahaya kebenaran hanyalah sia-sia.

Siti Shukriah Md Isa

Aku menulis bukan kerana nama.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 31 Average: 4.8]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.