Kembalikan “episod akhir

EPISOD AKHIR

Penglihatan Sanah terbatas kerana dihalang oleh cahaya api yang menyala-nyala marak membakar. Bunyi bakaran api menggerunkan hati Sanah.

Bahang kepanasan terasa membakar kulit Sanah yang berkedut.Bara api berterbangan dan hinggap di tubuhnya yang kurus kering.

Semakin ditepis semakin banyak bara api yang datang. Sanah berlari menjauh tetapi kakinya bagaikan terpaku di atas tanah pasir itu. Tekaknya terasa sangat kering.

“Air, aku mahu air.”

Mata Sanah melilau mencari sedikit air untuk diteguk bagi membasahi kerongkongnya. Sanah memerhati ke arah timur, dari jauh kelihatan bayang seorang lelaki yang membawa segelas air.

Lelaki yang berpakaian serba putih itu tersenyum memandang Sanah. Di sebelah barat, ada seorang lelaki yang berpakaian serba hitam membawa bara api di tangannya. Dia memandang Sanah tanpa sebarang reaksi.

Sanah sedikit binggung. Siapa mereka? Kenapa mereka di sini? Pandangannya beralih ke sebelah timur dan kemudian beralih pula ke sebelah barat. Begitulah bersilih ganti.

Sanah menggamit memanggil lelaki yang berpakaian serba putih yang membawa air.

“Dia pasti akan dapat menghilangkan rasa dahaga aku. Aku mahu air.”Lelaki itu tersenyum lagi dan senyumannya sangat menawan hati Sanah.

“Mak!”Suara Shahril menyebabkan Sanah berhenti menggamit.

“Ingat Allah, sebut Allah.”Lembut pesanan Shahril.

Sanah mengamati suara yang didengarinya, ayat al-Quran. Surah ar-Ra’d. Dahulu dia sering membaca surah ini.

Kedua lelaki itu berjalan mendekati Sanah. Mereka seperti tidak terkesan dengan bahang nyalaan api yang menjulang tinggi. Keduanya menghulurkan tangan kepada Sanah. Seorang memegang segelas air dan seorang lagi memegang seketul bara api. Sanah seperti diminta untuk memilih.

Tekaknya sangat kering dan dia sangat dahaga. Air itu pasti dapat menghilangkan dahaganya. Tetapi kenapa lelaki berpakaian serba hitam itu sungguh-sungguh mahu Sanah memilihnya. Sanah memandang mereka bersilih ganti.

“Pilihlah aku. Aku akan membawa kau ke syurga. Akan aku hilangkan dahaga kau, ikutlah aku.”Ucap lelaki yang berpakaian serba putih.

“Ikutlah aku.Aku tak menjanjikan apa-apa kerana aku tiada apa-apa.”Kata lelaki berpakaian serba hitam.

Sanah kelihatan binggung. Dia berfikir sejenak, kanan atau kiri. Bukankah pilihan kanan itu selalunya baik dan pilihan kiri itu kerap kali jahat. Sanah teringatkan suatu nama yang pernah diagungkannya suatu ketika dahulu.

“Allah”.

Air mata Sanah berderai. Penyesalannya sudah tiada berguna ketika ini. Pasti Allah tidak akan mengampunkan dosa-dosanya yang sangat banyak. Sanah sedar dirinya sangat keji, sangat hina dan sangat jahil. Dia menzalimi diri sendiri dan memuja dunia sehingga menggadaikan akhirat.

Imam Muhammad membacakan ayat-ayat al-Quran dan ditiupkan pada segelas air. Dihulurkannya kepada Shahril untuk disapukan ke muka Sanah. Shahril merenjis-renjis air tersebut sebelum menyapu lembut ke wajah Sanah.

Dia membisikkan kalimah Allah di telinga Sanah. Dada Sanah berombak kencang dan nafasnya tercungap-cungap seperti kepenatan. Air mata Sanah mengalir deras menuruni pipinya yang cengkung.

Shahril memandang wajah Imam Muhammad. Seolah faham akan gelojak hati Shahril, Imam Muhammad meletakkan tangannya di atas kepala Sanah yang ditutupi dengan tudung . Dia membaca al-fatihah sebanyak tiga kali.

“Ke marilah ikut aku. Akan aku bawa kau ke syurga. Aku akan menyembuhkan dan menghilangkan dahaga kau.Percaya pada aku dan aku akan beri kau harapan.”Pujuk lelaki yang berpakaian serba putih di sebelah kanan Sanah.

“Pilihlah aku. Aku tiada apa-apa untuk berikan kepada kau kerana aku hanya hamba”. Pujuk pula lelaki di sebelah kiri.

“Mak, Allah. Allah. Allah.”Suara Shahril bergema lagi dan seakan merentap jantung Sanah. Ya, Allah!

“Aku akan pilih Allah.”Ucap Sanah lantang.

“Pilih aku. Aku bawa kau kepada Allah.”Lelaki berbaju putih sekali lagi cuba memujuk Sanah.

“Aku juga akan bawa kau kepada Allah. Aku hambaNya.”Pujuk pula lelaki berbaju hitam.

Sanah duduk melutut. Dia menadah tangan ke atas.

“Aku pilih engkau wahai Allah. Aku tahu tindakan aku ini hanya sia-sia. Aku mungkin seperti Firaun yang sangat terlambat untuk memilih Engkau. Aku salah ya Allah. Aku sangat berdosa kepadaMu. Aku membelakangkan Kau dalam semua urusanku. Aku mengkhianati janjiku sebagai hambaMu.”

Sanah menangis teresak-esak hingga hampir tersembam ke tanah.

“Marilah pilih salah seorang daripada kami. Akan kami bawa kau kepada Tuhanmu.”Ucap lelaki yang berwajah dingin di sebelah kiri Sanah.

“Tidak! Aku hanya akan pilih Allah. Aku tidak tahu apakah kalian ini orang yang benar atau sesat seperti aku. Aku hanya akan pilih Allah. Hanya Allah yang menjadi pengharapanku. Bukan lagi makhluk seperti kalian. Pergi!”Ucap Sanah sambil menangis.

Kedua lelaki tadi berterbangan bagaikan debu dan bertukar menjadi bara api. Sanah sudah tidak peduli akan bahang panasnya api yang menyala dan rasa dahaga yang memeritkan kerongkongnya.

Di benaknya hanya ada nama Allah.

Shahril menepuk perlahan lengan Sanah berulang kali. Ibunya mengongoi sehingga kedengaran suaranya.

“Mak, mak. Sebut Allah.”

“Sapukan air ni.”Imam Muhammad menghulurkan segelas air kepada Shahril untuk disapukan di muka Sanah.

Perlahan-lahan Sanah membuka matanya. Dipandangnya wajah Shahril dan Zuraida. Dia mengangkat tangan mahu menyentuh wajah Zuraida dan menantunya itu menyambut tangan Sanah.

“Allaaahh. Allaaaah. Aku hidup.”Sanah kembali menangis.

Zuraida dan Shahril turut menangis tanda bersyukur kerana Allah memanjangkan usia ibu mereka.

“Biarkan ibu kamu berehat dulu. Dia dah solat isyak?”Soal Imam Muhammad.

“Belum lagi Imam.”Cepat-cepat Zuraida menjawab.

“Wudukkan dia. Bimbing dia solat. Walau pun terlantar macam ini, solat tetap wajib. Tidak boleh tinggal.”

Zuraida tunduk ketika mendengar hujah Imam Muhammad. Terasa seperti kata-kata itu ditujukan untuknya.

Shahril mengikut Imam Muhammad dan Nik bergerak ke ruang tamu. Mereka membiarkan Zuraida menguruskan Sanah di dalam bilik.

“Alhamdulillah. Mak dah sedar. Macam mana bang, perlu dibawa ke hospital?”Soal Shahril kepada Nik yang sedang duduk di atas sofa. Haji Idrus juga ada bersamanya.

“Kalau tengok tu, nampak macam luka ringan saja. Mungkin esok boleh bawa ke klinik saya dulu. Kita buat pemeriksaan lengkap.”Ujar Nik.

“Masih ada jin dalam badan mak saya?”Tanya Shahril terus terang.

“Setakat yang kami lihat, alhamdulilah sudah tiada gangguan.Cuma mungkin masih ada bisa yang tertinggal. Nanti cari daun bidara, ramaskan dan campur dalam air. Bacakan tiga qul dan ayat kursi. Mandikan mak dan isteri kamu. Moga Allah menyembuhkan.”Kata Haji Idrus.

“Jin tu boleh datang semula ke mari?”Soal Shahril mahukan kepastian.

“Dia dah lemah. Dia tak boleh masuk ke dalam rumah. Haji Idrus telah memagar kawasan luar dan dalam rumah. Sentiasa bacakan ayat-ayat yang telah Haji berikan. Cuma mungkin ibu kamu tak akan seperti dulu.”

Shahril membulatkan matanya memandang Imam Muhammad, dia tidak mengerti.

“Maksud Imam?”

“Pak cik pun tak pasti macam mana. Masih terlalu awal nak ramal apa-apa.”Ujar Imam Muhammad.

“Shahril bawa mak ke klinik abang dulu esok. Kita buat pemeriksaan menyeluruh.”.”Sampuk Nik.

Sudah hampir sebulan peristiwa hitam itu berlaku. Keadaan Sanah tidak banyak berubah. Dia tidak mampu berjalan melenggang seperti dahulu lagi. Kakikya tidak lagi kuat dan kadang kala sangat lemah sehingga mahu berdiri

Sanah perlukan bantuan orang lain.

Kulitnya dipenuhi kesan melepuh seperti terbakar dan apabila terkena air akan terasa pedih dan perit. Wajah tua Sanah tidak lagi secantik dahulu.

“Agaknya Allah akan terima tak taubat saya? Saya ni terlalu banyak dosa. Saya berdosa pada arwah suami saya, berdosa pada anak-anak saya dan pada orang yang saya aniaya.”

Soal Sanah pada Haji Idrus sewaktu kali terakhir mereka berjumpa kira-kira tiga hari lalu.

“Saya tak tahu Allah terima atau tak taubat Kak Nah. Cuma saya boleh beritahu apa yang Allah cakapkan dalam al-Quran.”

“Allah berfirman dalam surah az-Zumar ayat 53. Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, sesunguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semua. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Air mata Sanah bergenang. Zuraida yang mendengar ucapan Haji Idrus turut sebak.

“Firman Allah dalam ayat 110 surah an-Nisa’. Dan barangsiapa yang melakukan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian ia memohon ampun daripada Allah, nescaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

“Jangan putus asa dengan rahmat Allah. Ini ujian untuk kak sekeluarga dan pengajaran juga untuk saya. Sentiasalah melazimi taubat. Kita ni kena rasa bersalah sentiasa dengan Allah. Sifat kita sangat lemah sebagai hamba.”

Bibir Sanah tidak lekang daripada beristighfar memohon keampunan kepada Allah. Loket permata hijau yang dahulunya menjadi kesayangan Sanah telah ditanam jauh di dalam hutan oleh Shahril dan Imam Muhammad.

Sanah sudah tidak lagi beriya mahukan dunia. Walaupun kulitnya tidak secantik dan secekang dahulu. Dia sangat bersyukur dengan peluang yang Allah berikan untuknya.

Allah telah kembalikan hidayah dan imannya. Allah telah kembalikan rasa cinta Sanah untuk terus sujud walaupun dalam keadaan sakit begini.

“Mak, kenapa termenung jauh ni?”

Zuraida memeluk belakang Sanah. Sanah menoleh memandang Zuraida sambil tersenyum.

“Mak ingatkan dosa-dosa mak. Mak berdosa kepada kau dan Shahril. Mak ajar kau yang bukan-bukan.”

Zuraida menarik kerusi roda ke belakang supaya menjauh daripada jendela. Zuraida duduk melutut di hadapan Sanah.

“Bukan salah mak. Salah Ida sendiri, mahu senang dan kaya cepat. Tak bersyukur dengan nikmat yang Allah beri.”Ujar Zuraida perlahan.

“Mak minta maaf Ida. Mak salah.”Sanah menyentuh lembut pipi Zuraida.

“Mak nak minta maaf pada Amirah. Ida, boleh bawakan Amirah ke rumah kita?”Zuraida menatap Sanah lalu mengangguk.

Sanah mahu minta maaf pada Amirah. Dosanya pada Amirah tidak terhitung banyak. Gadis itu telah dianayai oleh Sanah dan Zuraida.

Sanah telah memohon maaf kepada anak-anaknya pada dua minggu yang lalu ketika mereka pulang ke kampung. Sanah mengadakan kenduri doa selamat dengan menjemput orang kampung tetapi Amirah dan keluarganya tidak datang.

Sanah dan Zuraida dengan rendah diri memohon maaf kepada semua penduduk kampung atas sikap dan perbuatannya. Walaupun sangat malu dengan perbuatan mereka namun demi mengejar reda Allah, mereka sanggup mengorbankan rasa segan yang menebal.

Amirah tidak datang ke rumah Sanah walaupun Shahril dan Zuraida telah berulang kali ke rumahnya. Amirah tidak membuka pintu dan hanya menjenguk di balik jendela. Pasti Amirah sangat marahkannya dan Zuraida.

“Abang, pagi esok temankan Ida ke rumah Amirah.”Ujar Zuraida sewaktu dalam perjalanan pulang dari masjid. Mereka berjalan kaki bersama-sama.

“Kan kita dah pergi banyak kali sebelum ni. Amirah tu tak nak jumpa kita.”Ucap Shahril menolak permintaan Zuraida.

“Ida nak juga jumpa dia. Kali ni last Ida pergi jumpa dia, Ida janji. Kalau dia tak nak keluar dan tak nak buka pintu. Ida tak akan lagi ke sana.”Pujuk Zuraida manja.

Dia menunjukkan isyarat jari kelingking sebagai tanda janji dan Shahril menyambut jari Zuraida. Tangan mereka bertaut erat.

Malam itu Zuraida tidak dapat melelapkan matanya. Hatinya diasak bimbang dan dia memikirkan apa yang perlu dikatakan kepada Amirah. Apakah perlu dia melutut memohon kemaafan atau memeluk wanita itu erat sama seperti perlakuannya terhadap KaK Shuk.

Apakah Amirah mahu menerima dan memaafkannya sama seperti Kak Shuk?

Amirah yang pernah dikenalinya adalah wanita yang berpewatakan lemah lembut tidak seperti Kak Shuk yang sedikit kasar.

Percakapan Amirah sangat lembut dan tingkah lakunya sopan. Kak Shuk yang begitu kasar, tegas dan lantang boleh memaafkannya. Sudah tentu Amirah akan memaafkannya juga.

“Aku kena sangka baik dengan Amirah. Aku sangat yakin dengan ketentuan Allah”.Monolog Zuraida sendirian.

Zuraida membetulkan telekungnya. Takbir diangkat dan diniatkan solat taubatnya ini hanya untuk Allah. Selesai solat sunat taubat, Zuraida bangkit lagi. Dia mendirikan pula solat hajat dua belas rakaat.

Selesai solat hajat. Zuraida bangun lagi untuk solat. Dia mengqhadakan solat-solat fardu yang telah ditinggalkannya. Zuraida mengulanginya sehingga hampir masuknya waktu Subuh.

Dia menjenguk Sanah jika ibu mentuanya belum bangun. Ditolaknya pintu bilik perlahan. Sanah sedang berdoa dan Zuraida mendengar esakan Sanah yang menusuk hatinya.

Bilik Sanah lengkap dengan bilik air yang diubah suai bagi memudahkan pergerakan Sanah.

Zuraida menutup kembali pintu. Dia kembali ke biliknya dan duduk berteleku di atas sejadah. Shahril sudah bangun dan mengejutkan anak-anak untuk solat subuh. Kehidupan mereka berubah setelah kejadian yang menimpanya.

Jika dahulu, anak-anak dikejutkan hanya untuk ke sekolah dan dibiarkan tidur sehingga matahari meninggi pada waktu cuti. Tetapi sekarang, cuti sekolah atau tidak. Mereka wajib bangun pagi untuk solat Subuh.

Shahril juga berubah, semakin mengambil berat akan perihal Zuraida dan anak-anak. Mereka sudah berpindah ke rumah Sanah. Hubungan Shahril dan Sanah semakin rapat dan tidak dingin seperti sebelum ini.

Zuraida merasakan hidupnya semakin sempurna walau pun mereka tidak semewah dahulu. Dia kembali menjadi suri rumah dan menjaga Sanah sepenuh masa.

“Abang tunggu sini. Biar Ida masuk ke dalam.”Shahril mematikan enjin motosikalnya.

“Ish, abang ikut sekali lah.”Shahril menuruni motosikal dan mahu mengekori Zuraida.

“Tak payah. Abang tunggu saja kat sini. Ida nak bercakap dengan Amirah sendirian.Ida nak cakap hati ke hati.”Zuraida melemparkan senyuman kepada Shahril.

Setelah dua kali Zuraida memberi salam. Mak Ipah, ibu kepada Amirah membuka pintu dan mempelawa Zuraida masuk ke dalam rumah.

“Amirah ada di dapur. Ida duduk dulu, mak cik panggilkan dia.”Zuraida memegang tangan Mak Ipah untuk menghalangnya memanggil Amirah.

“Biar Ida yang pergi jumpa dia. Kalau Mak Ipah panggil, mesti dia tak akan datang ke sini. Benarkan Ida jumpa Amirah sendiri.”Mak Ipah terpaksa akur dengan permintaan Zuraida walau pun hatinya terasa berat.

“Baiklah. Kalau ada apa-apa. Panggil Mak Ipah.”Zuraida menggangguk dan berjalan menuju ke arah dapur.

Mak Ipah menjenguk Shahril di luar rumah. Shahril menolak pelawaan Mak Ipah dengan baik. Dia lebih selesa bersembang di luar rumah. Tengah rancak berbual tiba-tiba mereka mendengar suara jeritan Amirah yang sangat kuat.

Shahril tidak mempedulikan Mak Ipah yang berdiri di sebelahnya. Laju Shahril menapak berlari menuju ke dapur. Dia mengucap panjang melihat Zuraida yang sudah rebah di atas lantai.

D***h pekat mengalir deras memenuhi lantai marmar. Amirah sedang berdiri terpaku memegang dua bilah pisau di tangan kanan dan kirinya. Shahril mendapatkan Zuraida yang terbaring. Kepala Zuraida diampunya dan diletakkan di atas riba.

“Ida! Pandang abang, sayang. Abang kat sini.”Zuraida memandang ke atas tanpa berkelip.

“Allah, Allah, Allah. Ikut abang sayang. Allah, Allah, Allah.”

Dada Zuraida berombak menahan kesakitan. D***h membuak-buak keluar dari rusuk kiri Zuraida sehingga membasahi baju Shahril.

“Apa kau dah buat ni? Ya Allah!”Jerit Mak Ipah yang sangat terkejut dengan perbuatan Amirah.

“Ira dah b***h hantu.”Ucap Amirah bangga.

Shahril tidak mempedulikan Mak Ipah dan Amirah. Fokusnya hanya pada Zuraida.

“Allah, Allah, Allah. Laa ila ha illallah.” Ucap Shahril lanjut-lanjut.

Bibir Zuraida kelihatan bergerak dan matanya memandang ke atas. Dada Zuraida berombak kuat dan kemudian tangan Zuraida layu menyentuh lantai. Shahril menyembamkan wajahnya ke dada Zuraida. Dia menangis kesedihan.

Orang ramai mula memenuhi perkarangan rumah Amirah. Shahril duduk bersandar di dinding kabinet dapur. Dia tidak dibenarkan menyentuh tubuh Zuraida yang dicintainya.

Mak Ipah duduk di sebelah Amirah yang diam membatu. Pisau di tangannya telah diambil oleh pihak polis.

“Encik, nanti ikut kami.”Shahril menggangguk lemah.

Dia tidak mampu untuk memandang wajah pegawai polis yang bercakap dengannya. Jiwa Shahril bagai dibawa pergi dan semangatnya menghilang.

Dia tidak pernah menyangka yang pengakhiran Zuraida akan seperti ini.Bagaimana untuk dia menerima semua ini?

Shahril tidak pernah bersedia untuk kehilangan Zuraida secepat ini. Semuanya kelihatan kosong dan bagaikan buih-buih yang memenuhi ruang. Pandangannya semakin malap dan kelam. Semuanya hilang.

Malam ini genap seminggu Zuraida meninggalkan Shahril. Lena Shahril sering dinganggu oleh bayangan Zuraida. Senyuman Zuraida yang manis, tutur kata Zuraida dan semuanya tentang Zuraida. Shahril bagaikan hilang arah. Makannya tidak lagi teratur.

“Assalamualaikum anak.”Shahril mendongak memandang pemilik suara itu.

“Pak cik.”Shahril memeluk kaki Abdul Baqi dan dia menangis.

Setelah keadaan kembali tenang. Shahril duduk bersila di hadapan Abdul Baqi.

“Saya sangat sedih pak cik. Allah

uji saya dengan ujian yang sangat berat. Apa salah saya pak cik? Kadang-kadang saya tertanya kenapa ujian saya bertimpa-timpa macam ini? Saya pening nak uruskan anak-anak dan mak saya. Sebelum ini semua Zuraida yang buat.”

Abdul Baqi menepuk perlahan bahu Shahril seakan memberi semangat kepadanya.

“Anak, manusia yang paling malang apabila dia merasakan dia tidak berdosa dan dia terlupa akan dosa-dosa yang pernah dia lakukan. Sangat hina dirinya apabila dia tidak merasakan yang dia bersalah”.

Shahril terjaga daripada tidurnya. Dia bingkas bangun dan mencari-cari Abdul Baqi di segenap sudut rumah. Tetapi bayang lelaki itu tidak ada. Shahril memeriksa pintu rumah, berkunci. Dia memikirkan kata-kata Abdul Baqi kepadanya.

Terlupa akan dosa?

Akukah yang berdosa?

Mak Ipah menatap Shahril dan Sanah yang duduk di hadapannya. Dia mengumpul kekuatan untuk memulakan percakapan.

“Aku nak minta maaf banyak-banyak bagi pihak Amirah. Aku tak pernah sangka Amirah boleh bertindak sejauh itu. Amirah tu sakit.”

Shahril memandang Mak Ipah memohon pengertian.

“Amirah kemurungan selepas anaknya meninggal. Dia langsung tak nak makan, tak nak keluar berjumpa sesiapa. Menggurungkan diri dalam rumah. Pak Hashim kan meninggal akibat serangan jantung, sebabnya dia terkejut bila tahu Amirah mengandung.”

Peluh membasahi dahi Shahril. Tangannya menggeletar tiba-tiba. Nafasnya menjadi sesak.

“Amirah tu budak baik. Kau pun tahukan Shahril? Amirah sangat kecewa dengan kau, kau buntingkan dia. Kemudian kau lari, tak mahu bertanggungjawab. Aku jumpa sendiri dengan Tok Man Janggut. Dia beritahu aku, Sanah dan Zuraida minta dia sihirkan Amirah. Tapi, dia tak sanggup buat sebab Amirah tu anak kawan baik dia.”

Shahril menelan air liurnya. Peluhnya terasa dingin seperti ais.

“Kau lari tinggalkan Amirah. Kau biarkan dia tanggung seorang diri. Sembilan bulan Amirah bawa perut sampai kami sekeluarga terpaksa pindah jauh. Kau musnahkan masa hadapan Amirah. Kau yang patut d*****h!”

Sanah memandang Shahril . Dia sangat terkejut mendengar pengakuan Mak Ipah. Shahril menundukkan kepalanya memandang lantai rumah.

Dia hilang keberanian untuk berhadapan dengan Mak Ipah dan Sanah. Kata-kata Mak Ipah bagaikan pisau tajam yang menghiris hati Shahril.

Ini dosa yang aku lupakan. Aku yang nampak suci di mata manusia tetapi aku yang paling hina di sisi Allah. Aku merasakan yang aku tidak bersalah dan aku meletakkan kesemua kesalahan di atas bahu mak dan Ida. Maafkan abang, sayang.

Semua orang nampak baik dan bersih kerana aibnya ditutupi dan dilindungi Allah. Mereka merasakan mereka yang paling baik sedangkan ketika mereka bersendirian tanpa segan dan tanpa rasa takut. Mereka melakukan perkara keji.

Mereka lupa ada yang melihat dan iman yang ada terus tercabut keluar daripada hati yang kononnya bersih tetapi sangat hitam dan kotor.

Mereka melihat salah orang lain dan mereka terlupa akan dosa-dosa mereka.

Allah melupakan mereka untuk merasakan diri berdosa kerana Allah menjauhkan mereka daripada rahmatNya. Tanpa ada usaha daripada mereka untuk kembali kepada Allah.

Mereka memohon supaya Allah kembalikan iman dan kembalikan hidayah untuk orang lain.

Tetapi mereka tidak pernah memohon hidayah dan petunjuk untuk mereka sendiri.

Mereka menyalahkan suami, isteri, anak-anak dan orang lain kerana merasa tidak bahagia. Sedangkan mereka yang tidak bergerak dan berjalan mencari Allah.

Walau pun mereka tahu Allah itu sangat dekat dan Allah tidak pernah tidur. Allah memerhati setiap gerak langkah mereka dan Allah mengetahui apa yang mereka sembunyikan.

Mohonlah kepada Allah supaya kembalikan rasa cinta kepadaNya. Mohonlah kepada Allah supaya kembalikan hidayah dan petunjuk dalam hati ini.

Allah itu ada dan rasakanlah keberadaan Allah setiap masa. Bercakaplah dengan Dia ketika hati engkau direnggut rasa kecewa. Allah akan membalas cintamu dan tidak akan pernah meninggalkanmu walaupun ketika itu engkau dibenci seluruh manusia.

Ini endingnya. Moga semua menerimanya dengan baik. Terima kasih yang sentiasa membaca dan menunggu dengan sabar. Yang baik itu daripada Allah dan yang buruk itu adalah kelemahan dan kekurangan Kak Shuk.

Moga Kembalikan membawa manfaat buat semua.

Siti Shukriah Md Isa

Kembalikan

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 38 Average: 5]

3 thoughts on “Kembalikan “episod akhir”

  1. Ada part yg tertinggal ke? Sy baca dari part 1 ~ 6.. part 6 yg shahril naik moto smpi 1 masjid bawa kotak Sayang tu.. tiba² masuk ending Sanah dlm bara api pulak? Apa yg berlaku masa shahril bawa kotak Sayang tu? Apa berlaku pd Zuraidah? Sapa Imam Muhammad, Nik, Abd Baqi? Emmmm 🤔

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.