Kembalikan!

Episod Satu, Dua dan Tiga

“Abang, mintalah loket permata tu kat mak. Mesti mak bagi”. Pujuk Zuraida sambil mengusap lembut lengan Shahril.

“Ish, awak ni. Loket tu kan mak pakai. Tak naklah abang. Kalau awak nak sangat, pandailah minta sendiri.” Shahril menolak permintaan isterinya. Zuraida menarik muka, bibirnya dimuncungkan sepanjang yang boleh.

“Esok, aku akan minta sendiri dengan mak. Mesti mak bagi.” Bisik Zuraida dalam hati.

Awal paginya Zuraida sudah tercegat di hadapan rumah Sanah, ibu kepada Shahril. Setelah memberi salam, Zuraida terus masuk ke dalam rumah dua tingkat yang terletak di tepi Gunung Sali. Rumah besar enam bilik itu masih lagi kukuh walaupun usianya sudah hampir 100 tahun.

“Awal Ida ke mari pagi ni. Bawak apa tu?”Soal Sanah yang sedang membancuh kopi. Kemudian dibawanya secawan kopi dan dihidangkannya kepada Zuraida.

“Pengat pisang. Mak sukakan?” Sanah mengangguk lalu tersenyum.

Zuraida memerhatikan wajah Sanah. Tiada sebarang kedutan dan wanita itu nampak muda dari usianya. Menurut Shahril umur ibunya hampir 73 tahun. Tetapi wajah wanita itu seakan baru berusia lewat 30 an. Tubuhnya masih langsing.

“Ida tengok Mak sampai berkelip mata. Kenapa?” Tegur Sanah.

Zuraida tersenyum.

“Ida tengok loket mak tu. Cantik sangat.”Ujar Zuraida sambil matanya memerhati loket permata berwarna hijau yang tergantung di dada Sanah.

“Ida mahu?” Pantas Zuraida menggangguk berulang kali bagaikan burung berlatuk. Sanah menanggalkan rantai belut dari lehernya. Dia meletakkan di atas meja makan.

Zuraida mencapai rantai dan loket. Kemudian dibeleknya berulang kali. Tiba-tiba bulu romanya meremang dan terasa bagaikan ada yang menghembus nafas di telinganya. Cepat-cepat Sanah mengenggam tangan Zuraida.

“Kalau betul Ida nak rantai dan loket ni, mak boleh beri. Tapi ada syaratnya. Ida sanggup?”

“Ida sanggup mak. Apapun syaratnya Ida sanggup.”Jawapan Zuraida membuatkan Sanah tersenyum lebar.

“Jom ikut mak. Mak nak tunjukkan sesuatu.”

Zuraida mengekori langkah ibu mentuanya masuk ke dalam bilik di sebelah dapur. Ini pertama kali Zuraida masuk ke dalam bilik itu. Terdapat sebuah katil bujang. Dinding bilik ditutupi kain kuning.

“Ida duduk situ dulu. Mak nak keluarkan barang.”

Zuraida melabuhkan p******g di atas katil. Sementara Sanah sedang membuka pintu sebuah almari kecil di hujung bilik tersebut. Sanah membawa sebuah bungkusan berwarna merah. Diletakkannya di atas katil.

“Kalau Ida mahukan loket dan rantai tu, Ida kena terima benda ni sekali.”

Sanah membuka bungkusan tersebut. Zuraida membuntangkan matanya, apa benda tu? Bisik hatinya.

“Ini belaan mak. Kuncinya ada pada loket ni. Ida wajib beri makan setiap malam Isnin. Ida akan nampak perubahan dalam hidup Ida. Ida nak ada banyak duit macam mak tak?”

Zuraida jadi takut. Shahril pasti marah jika tahu dia buat semua ini.

Sanah seperti dapat membaca fikiran Zuraida.

“Ida jangan takut. Kalau Ida nak kaya cepat dan nampak cantik macam mak. Inilah caranya. Ida tak perlu habiskan duit pun. Sayang ni cuma hisap d***h ibu jari kaki je. Itu pun dalam dua tiga titik saja.”

Zuraida diam, tidak tahu untuk memberi reaksi. Direnungnya patung kecil yang berambut panjang hingga ke paras lutut itu. Warnanya berwarna coklat keperangan. Patung itu tingginya hanya 10 cm.

Dibeleknya patung tersebut. Wajahnya seakan-akan kera cuma tidak berbulu dan tiada kening.

“Mak, benda ni hidup ke? Dia macam m**i je.” Sanah tersenyum melihat gelagat Zuraida.

“Namanya Sayang. Dia hidup, nak menghidupkannya kena ada cara.”

Sanah mengambil cucuk sanggulnya yang berada di atas kepala. Dia meletakkan loket permata hijau itu di atas kain merah. Kemudian dia mencucukkan cucuk sanggul tersebut ke jarinya. Dititiknya d***h ke atas loket.

Zuraida sedikit terkejut apabila Sayang tiba-tiba menjelma di hadapan mereka. Zuraida memerhatikan wajah Sayang. Namun terlindung di balik rambutnya yang hitam.

Sayang duduk sambil melutut. Kedua tangannya ditadahkan ke arah Sanah seperti seorang hamba memberi sembah kepada raja.

Jari jemari Sayang berkedut dan terdapat sedikit bulu berwarna hitam.

Tangannya juga berkedut bagaikan tangan seorang tua yang berusia hampir ratusan tahun. Kukunya tirus-tirus. Hanya kedengaran dengusan nafas Sayang yang turun naik.

“Aku mahu duit lagi. Dapatkan sekarang”. Sanah memberi arahan kepada Sayang.

Sepantas kilat Sayang menghilang. Zuraida terpegun melihat situasi tersebut. Tidak sampai 10 minit, Sayang kembali semula. Dicampakkan wang kertas berpuluh keping ke kaki Sanah. Wanita itu mengutip wang kertas tersebut. Dikiranya wang itu, RM 1470. Sanah tersenyum puas.

“Nah, ini untuk Ida. Mak hadiahkan buat menantu kesayangan mak ni. Mak tau, Shahril tak beri kau duit sebanyak ini kan?”

Ya. Shahril hanya beri aku RM 100 sebulan. Namun, segala keperluan anak-anak dan kelengkapan barang dapur Shahril sudah cukupkan.

“Ida dah buat keputusan? Ida tak nak hidup mewah macam mak. Ida terima Sayang dan loket ni, hidup Ida akan berubah. Ida akan bertambah cantik dan Ida tak perlu harapkan Shahril lagi.”

Kata-kata Sanah buat Zuraida hilang pertimbangan. Zuraida mula mencongak dalam kepalanya. Kalau seminggu seribu, sebulan dah empat ribu. Wah, hidup aku sudah mewah.

“Tapi mak, Shahril mesti akan perasan kalau tiba-tiba Ida ada banyak duit. Dia pasti hairan nanti.”

“Jangan risau, ambil duit ini. Gunakan sebagai modal. Kedai mak yang kat depan simpang tu kan kosong. Ida berniaga di situ. Ida kan pandai masak. Shahril tak akan perasan. Ida kenalah pujuk Shahril supaya izinkan Ida berniaga.”

Zuraida tersenyum mengerti. Rantai dan loket telah berubah tangan. Zuraida membungkus Sayang dengan baik. Dia akan simpan Sayang baik-baik.

Tentang Shahril, Zuraida telah merancang beberapa cerita supaya Shahril akan setuju dengan ideanya. Biar pecah di perut dan jangan pecah di mulut.

Sanah tersenyum puas. Akhirnya dia sudah bebas dari belenggu yang diciptakannya sendiri. Hatinya melonjak gembira kerana Sayang sudah berjumpa dengan tuan baru.

————————————————–

“Cantik tak?”Zuraida menayangkan rantai leher dan loket permata hijau kepada Shahril.

“Mak bagi awak?”Soal Shahril kehairanan.

Setahu Shahril, ibunya sangat menyayangi loket tersebut. Pernah sekali abang sulungnya Shahir mahu meminjam loket berkenaan untuk digadaikan. Mengamuk sakan Sanah, habis dimaki hamun Shahir sekeluarga.

“Ya, mak bagi Ida. Mak suruh Ida buka kedai makan kat kedai lama mak. Apa pandangan abang?”Shahril mengerutkan dahinya seperti tidak berkenan dengan cadangan Sanah.

“Tak payahlah. Modal banyak tu. Lagi pun abang masih mampu bekerja sara Ida dan anak-anak.”Zuraida merapatkan bahunya ke bahu Shahril. Tangan Shahril diraihnya.

“Memanglah abang mampu sara kami. Tapi, cukup-cukup makan saja. Ida nak hantar anak-anak pergi tusyen luar. Kasihan anak-anak, nak beli seluar baru pun kena berjimat. Zafira tu, kasut sekolah dia dah berapa kali Ida jahitkan.”

“Pasal modal abang jangan risau. Kerusi meja, dapur, periuk belanga, bekas makanan semua dah ada. Mak simpan elok. Kos awal ni, mak ada bagi Ida duit untuk buat beli barang-barang. Buat masa sekarang, Ida masaklah sendiri dulu. Nanti dah makin maju, boleh ambil pekerja.”

Zuraida berusaha memujuk Shahril. Dia mahu ubah hidup mereka.

“Ish, nantilah abang fikir dulu. Abang lebih suka awak duduk rumah. Jaga makan minum abang.” Zuraida melentokkan kepalanya di bahu Shahril. Dia mengusap-ngusap lengan sasa suaminya.

“Alah, Ida masih lagi masak. Bezanya sebelum ni Ida masak untuk abang dan anak-anak. Tapi kali ni, Ida masak untuk orang ramai. Bolehlah bang, Ida boleh bantu abang. Duit Ida nanti boleh simpan dan buat beli keperluan anak-anak. Ida penatlah hidup macam sekarang, makan pun nak kena catu.”

Shahril menarik nafas dalam-dalam dan melepaskannya perlahan. Apa yang dikatakan Zuraida semuanya benar belaka. Gajinya sebagai pengawal keselamatan hanya cukup-cukup sahaja. Dia beruntung kerana tinggal di rumah milik Sanah. Ibunya beberapa kali mahu dia berpindah ke rumah pusaka mereka. Tetapi Shahril menolak, dia mahu berdikari.

“Hmm, okeylah. Abang izinkan. Bila awak nak mula berniaga?” Zuraida tersenyum gembira. Dia mencium pipi Shahril tanda seronok.

“Hari Ahad depan. Nanti abang tolong Ida kemaskan kedai tau. Mak abang tu baik sangat. Sewa pun dia tak nak ambil. Betul tak Ida cakap yang mak sayangkan Ida sangat-sangat.”

Shahril tidak menjawab. Zuraida pilihan utama Sanah walaupun ketika itu Shahril sedang berkawan dengan Amirah rakan sekolahnya. Mereka saling menyintai. Namun, hubungan mereka terputus. Amirah tiba-tiba jatuh sakit dan perasaan Shahril kepada Amirah berubah. Amirah bukan lagi cinta hatinya.

Zuraida menyuluh muka Shahril dengan telefon pintarnya. Dia pasti Shahril sudah diulit mimpi. Tidurnya nyenyak kerana sesekali kedengaran dengkuran kecil. Zuraida menuju ke dapur. Dibukanya tong berisi beras. Zuraida meraba-raba di dalamnya.

Hah, dah dapat.

Dikeluarkan Sayang dari dalam kotak kayu. Zuraida mengambil jarum peniti dan kemudian jarinya dicucuk. Zuraida menitikkan darahnya ke atas loket. Dia sudah bersedia untuk berhadapan dengan Sayang.

Zuraida cuba mengawal nafasnya yang naik dan turun dengan laju apabila Sayang tidab-tiba muncul. Kali ini, Zuraida jelas dapat melihat wajah Sayang. Telinganya kelihatan seperti telinga arnab namun sedikit besar. Sayang tiada bibir. Hanya kelihatan giginya yang kehitaman.

Sayang tidak memandang wajah Zuraida. Dia menundukkan kepalanya sedikit. Kedudukanny sedikit berbeza ketika dia berhadapan dengan Sanah. Sayang duduk bersila seperti mahu bertapa.

“Kau kenal aku?” Sayang gelengkan kepalanya.

“Aku tuan baru kau. Lepas ni kau kena ikut arahan aku saja. Kalau kau ingkar arahan aku, aku tak akan bagi kau makan. Faham?” Mendengar kata-kata Zuraida, Sayang mengangkat kepalanya. Dia merenung tajam, matanya besar bola ping pong. Sedikit terjojol dan dia menyeringai seolah-olah menunjukkan kemarahannya.

“Aku nak kau cakap. Kau bisu?”Soal Zuraida, segala ketakutannya sudah hilang. Sanah mengajarnya mentera ketika berhadapan dengan Sayang supaya segala ketakutan dan keresahan Zuraida akan hilang.

“Apa Siti mahu Ali buat?”Lembut suara Sayang. Peliknya gigi Sayang tertutup rapat.

“Esok, aku nak duit. Kau letak dalam tong beras ni. Faham?”

“Ali faham”. Jawab Sayang sebelum menghilangkan diri. Zuraida menyimpan kembali Sayang ke tempatnya.

“Awak bercakap dengan siapa?”Terkejut Zuraida apabila melihat Shahril di belakangnya.

“Mana ada sesiapa. Abang dengar apa? Kenapa bangun?”Soal Zuraida risau.

“Abang cuma dengar orang bercakap. Abang terjaga. Tengok awak tak ada, itu abang cari awak. Awak buat apa lagi ni?”

“Ida nak rendam beras. Nak buat nasi lemak pagi esok.”

“Dahlah pergi tidur. Esok pagilah awak buat. Dah tengah malam ni.

Kenapa rantai awak ada atas meja ni?”

“Ida tanggal kejap tadi, rimas. Inikan kali pertama Ida pakai rantai seberat ni. Tak biasa.”

Zuraida menarik nafas lega kerana Shahril percayakannya. Jika Shahril tahu perbuatannya pasti akan perang besar. Zuraida tak sabar mahu buka tong beras esok pagi. Dia mahu kira duit yang Sayang cari untuknya.

Ramai yang menjadi buta kerana mahukan dunia tanpa mereka sedar mereka telah terperangkap dengan tipu daya.

—————————————————

Zuraida teruja apabila melihat berpuluh keping wang kertas not RM 50 dan RM 10 di dalam tong beras. Terasa mahu menjerit riang tetapi ditahannya. Dia tidak mahu rahsianya pecah. Setelah memastikan Shahril telah keluar bekerja. Zuraida mula mengira wang dengan pantas. Semuanya RM 2730.

Wah, banyaknya. Berlipat kali ganda hasil kali ini. Zuraida tidak sabar mahu beritahu Sanah.

“Mak, ini hasil pagi ni. Hampir tiga ribu.” Zuraida tersenyum gembira. Sanah turut senyum, seronok.

“Ida bawa tak pen dan kertas. Mak nak bagi jampi untuk Ida kekal cantik di mata semua orang.” Zuraida mengangguk dan dia sudah bersedia untuk menulis.

“Dengan nama Tuhan yang Maha mencantikkan.

Asamku silumbi manis

Manis aku dipandang orang

Gelaga yang manis

Manis aku dipandang orang segala

Daripada madu segunung yang manis

Berkat doa lailahaillallah

Berkat doa Muhammad Rasullullah.

Aku berseri bak puteri,

yang lalu pasti terhenti,

yang duduk wajib berdiri,

yang berjalan tak mampu berlari,

tak kira siapa asalkan lelaki.

Siapa tak sayang alamatnya m**i,

Kalau tak m**i derita akan pasti,

Gilakan aku malam ke pagi,

kerana aku ratu duniawi.

” Panjangnya mak. Jenuh nak menghafal pula.”Rungut Zuraida.

“Nak cantik kenalah buat. Baca semua ni masa kau depan cermin. Dah habis baca semua ni, kau ambil loket tu sapukan di wajah kau.”

“Mak, kenapa mak beri loket ni pada Ida. Masa Abang Shahir minta dulu, mak tak bagi.”Soal Zuraida ingin tahu.

“Ida dah lupa apa jadi pada Amirah dan Shahril? Bukan Ida pun terlibat sama?”

Soalan-soalan Sanah membuatkan Zuraida terdiam. Ya, dia terlibat dalam urusan menyihirkan Amirah dan Shahril 13 tahun yang lalu. Ketika itu, dia berfikir Shahril banyak duit. Maklumlah anak bongsu pasti akan tinggal dengan Sanah di rumah besar tersebut. Tetapi, Shahril degil. Dia tidak mahu mengharapkan Sanah. Dia rela hidup susah daripada meminta-minta.

“Malam Isnin ni, abang kerja?”Zuraida mengangkat pinggan mangkuk lalu dimasukkan ke dalam sinki.

“Tak kot. Kenapa? Nak pergi mana-mana?”

“Taklah. Kalau abang kerja, Ida nak pergi tidur rumah mak. Mak ajak teman dia. Abang tukarlah shif dengan kawan abang.”Zuraida mencari alasan.

“Siang tu kan awak nak buka kedai. Jadi abang nak tolong apa yang patut. Kalau malam kerja, letihlah juga.”Zuraida mengangguk faham. Dia menghentikan perbualan. Jika dia terus mendesak Shahril pasti lelaki itu akan syak sesuatu.

Zuraida sibuk memasak pelbagai jenis lauk. Zafirah turut membantu ibunya. Walaupun baru berusia 12 tahun, Zafirah sangat cekap dalam menyediakan bahan-bahan masakan. Sekejap dia memotong sayur, sekejap membasuh ayam dan sekejap pula menyiang ikan dan memotong bawang.

Zahirul, anak kedua Zuraida membantu mengelap meja dan menyusun kerusi. Shahril pun turut membantu. Hari pertama buka kedai, ramai yang datang makan dan membeli lauk pauk. Semua orang memuji masakan Zuraida. Semuanya sedap dan cukup rasa.

Hari pertama sangat meletihkan tetapi menyeronokkan. Tiga jam sahaja, semua lauk pauk sudah habis. Zuraida tersenyum puas. Badannya terasa sangat letih. Selepas solat Isyak dia terus tertidur.

“Ida, bangun. Dengar sesuatu tak?” Shahril mengejutkan Zuraida. Zuraida memusingkan tubuhnya.

“Dengar apa?”Soalnya sambil menenyeh mata.

“Tadi, abang dengar macam ada benda jatuh kat dapur. Lepas tu macam ada orang ketuk tong beras. Abang pergi tengok, tapi tak ada apa-apa.”Kata-kata Shahril membuatkan dia teringatkan sesuatu, Sayang! Malam ini sepatutnya dia menjamu Sayang.

“Sekarang pukul berapa?” Sharil mengambil telefon dan melihat jam.

“Dah nak masuk Subuh, 15 minit lagi dah Subuh. Bangunlah. Abang nak mandi.” Zuraida duduk di birai katil. Hatinya terasa resah. Apa akan jadi nanti?”

Zuraida berdiri di hadapan cermin. Dia mengoleskan lipstik di bibirnya. Kemudian dia membaca mantera yang telah diajarkan oleh Sanah.

“Ida!”. Cepat-cepat Zuraida keluar apabila terdengar suara Shahril memanggilnya dari luar. Dia menjenguk di balik pintu. Kelihatan Shahril memegang sesuatu.

“Kenapa bang?” Sharil tidak menjawab dan menunjukkan bulu Moli.

Zuraida menekup mulutnya kerana terkejut.

“Binatang apa yang makan Moli ni? Dia hisap d***h Moli. Kalau anjing, mesti akan makan sekali daging.” Ujar Shahril sebak. Moli ialah salah seekor arnab peliharaannya.

“Musang kot.” Jawab Zuraida ringkas.

“Tak mungkin. Ini kalau Zahirul tahu, mesti meraung budak tu. Awak nak terus ke kedai?”

“Ya, abang kerja petangkan? Pagi ni abang tolong Ida dulu ya.” Zuraida cuba sedaya upaya mengawal nada suaranya. Dia sebenarnya takut dan bimbang. Apakah ini perbuatan Sayang?

Sepanjang perjalanan ke kedai. Zuraida mendiamkan diri, otaknya ligat berfikir. Ikutkan hatinya dia mahu ke rumah Sanah. Dia tidak boleh terburu-buru nanti Shahril akan tahu segala rahsianya. Menarik rambut dalam tepung harus berhati-hati. Jangan sampai tepung berselerak.

Bersambung

Shukriah Md Isa

Aku menulis bukan kerana nama..

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 28 Average: 5]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.