Kena Tindih?

#W – Kena Tindih?

Assalamu’alaikum.

Initial nama aku W. Jadi aku kenalkan diri sebagai W je lah ya. Apa yang aku nak cerita ni berlaku kepada diri sendiri. Terima kasih in advance kepada admin kerana siarkan cerita aku.

Ayah aku dah pencen. Dulu kerja kerajaan. Dia pernah bagitau kat aku, “Ayah kerja angkat-angkat kotak je”. Mak aku pun dah pencen. Dulu dia kerja cikgu tadika. Dengan kami bukan main garang. Siap aku pernah cakap dengan ayah aku, aku nak mak lain, hahahahaaaa derhaka punya anak.

Aku 5 beradik. Antara 5 beradik ni, ada di antara kami yang jenis hijab terbuka. Mak aku tahu anak-anak dia yang hijab terbuka ni perangainya memang pelik-pelik. Mungkin korang tak tahu, kalau ada keluarga yang ilmu agama kuat ke, ada kelebihan bab harta di mana-mana ke, Allah biasanya beri ujian lebih sikit. Tak, bukan aku nak complain, ujian tu tandanya Allah sayang, supaya kita ni ingat, kita ni makhluk je. Dengan erti kata lain, hebat tara mana pun makhluk tu, Allah jua Maha Berkuasa.

Ayah aku dah tentulah nampak. Dia dulu pernahlah ubatkan orang (kalau aku rajin, aku ceritalah ya).
Mak aku jenis kuat deria keenam. Tak nampak mata kasar, tapi melalui ‘mata hati’ tu dia akan nampak bentuk dan rupa makhluk selain manusia. Adik aku dua orang ada kelebihan. Tapi nak membesarkan adik-adik ni macam aku katalah, ujian tu Allah beri lebih sikit. Aku memang kagum bahagian ni dengan mak dan ayah aku. Sabarrrr yang teramat. Aku ni, anak sepah-sepahkan rumah pun rasa macam dah serabut hehehee…

———

Ceritanya begini.

Sebab dulu ayah aku kan kerja kerajaan, kami pun duduk kuarters. Masa tu aku baruuuu je berkahwin. Rumah aku pun rumah kuarters, tapi apartment. Rumah ayah aku tu rumah teres. Disebabkan aku ni fussy berkenaan rumah, aku sanggup berulang-alik ke rumah mak ayah aku tu. Sebab apa? Ada satu perasaan yang tak dapat diterangkan. Aku pun tak pasti masa tu. Yang aku tau, rumah aku ada perasaan tak best. Rumah aku tu tingkat paling atas. Keluar lif, terus nampak bumbung. Level aku tu ada 4 buah rumah je. Bayangkan aku selalu balik malam seorang diri. Kerja banyak weh. Ingat suka-suka ke balik malam. Suami aku masa tu kerja jauh. Jarang ada di rumah.

Kebetulan hari tu, suami aku balik rumah. Aku ajak tidur di rumah mak. Adik-adik semua masih belajar jadi rumah tu ada satu bilik yang aku boleh lah nak tidur. Suami aku pun okey je. Kami pun lepak rumah mak malam tu.

Aku kepenatan, badan melekit semua, aku terlelap sebelum solat Isyak.

Aku mimpi aku duduk tengah-tengah ruang tamu rumah apartment aku dengan perasaan takut. Bila aku dongak, siling rumah aku berubah makin lama, makin menggelap dan hitam. Dan kehitaman tu makin turun memenuhi ruang tamu. Masa tu aku mengadap ke arah tingkap dan di sudut belah kanan ruang tamu tu aku nampak seorang budak perempuan, baju maxi warna putih separas bawah lutut, lingkungan 9-10 tahun. Muka tak jelas. Tapi aku nampak rambut dia lurus separas bahu. Dia mendepa tangan dan aku faham masa tu dia nak ikut aku.

Aku tak pasti kenapa aku rasa takut sangat, aku lari ke arah pintu rumah. Budak perempuan tu kejar aku. Aku lari terus tutup pintu rumah, lari sepanjang koridor. Dia kejar dan bila aku pusing, budak tu menerpa ke arah aku.

DUM!
Mata aku terus terbuka.
Aku terjaga dari tidur dalam keadaan sangat terkejut. Aku sedar badan aku mengiring ke kiri, suami aku di belakang. Aku cuba pusing.

BADAN AKU TAK BOLEH BERGERAK LANGSUNG.
Mata aku pulak terpaku kat lantai je. Tak boleh pusing kiri kanan. Berkelip je mampu.

Demmitttt.

(Seumur hidup aku tak pernah kena sleep paralysis ni. Walaupun masa sekolah asrama dulu selalu je kawan-kawan atau budak dorm cerita depa kena tindihlah apa lah. Aku tak pernah kena.)

Nak bukak mulut pun tak boleh. Yang aku boleh sebut masa tu, “Allahhhhh… Allahhhh…” je. Itupun tak keluar. Tak tahu berapa lama aku berkeadaan macam tu. Rasa macam lama gila. Sampai mengalir jugalah air mata aku ni sebab ingatkan dah nak m**i. Aku usahakan jugak sampailah sebut tu keluar suara, baru aku boleh bergerak.

Lepas berjaya bergerak tu, aku duduk sambil istighfar, terus turun cari mak aku. Ya, mak aku buat kerja malam-malam sebab dia cikgu tadika. Banyaklah dia nak siapkan itu ini. Aku terus tanya mak,

“Mak, mak ingat tak budak perempuan yang mak selalu cerita duduk kat bilik atas tu? Budak tu dalam umur berapa?”.

**Haaaa… part ni aku tak cerita lagi kenapa aku tanya mak aku pasal budak perempuan rumah mak aku tu hehehehee… nanti aku cerita lain kali. Kalau korang nak tau lah. Kesimpulannya rumah kuarters tu memang ada penghuni lain. Mak selalu cerita ada budak perempuan kat tangga menjenguk. Kalau mak aku tengok je, dia takde, tapi tepi ekor mata memang nampak dia.

“Kenapa?”, mak aku tanya.

Aku pun cerita dari A sampai Z apa yang aku mimpi. Mak aku cakap dari cerita aku tu memanglah macam rupa budak perempuan yang biasa dia nampak tu. Yang aku hairan tu dah kenapa dia pergi terkam aku?

Sempatlah kena bebel dengan mak kenapa tak solat Isyak lagi, aku pun solatlah. Selepas solat aku pun sambung borak dengan mak. Aku syak budak perempuan tu teruja nak tau aku duk mana. Jadi dia ikut. Sekali panik sebab aku tak balik sebab aku lebih suka tidur rumah mak bila suami aku takde. Dan dia tak tahu macam mana nak balik. Kebetulan aku balik singgah rumah hari tu ambil baju, dia pun ikut balik sekali.

Nampak tak? Aku tau agak hampeh kesimpulan aku tu. Tapi sepanjang kami duduk situ, budak perempuan dan penjaga dia tak pernah kacau kami. Depa ni menghuni master bedroom kat atas. Sebab mak aku pernah kemas-kemas bilik, dalam samar-samar tu nampak seorang lelaki berusia dan seorang budak perempuan, sebijikkkk macam yang aku cerita. Tak silap aku budak perempuan tu ada abang. Remaja lah. Mak aku jarang cerita pasal si abang sebab jarang munculkan diri. Sebab aku tak pernah nampak sendiri, maka aku pun tak ambil tahu sangat pasal depa anak-beranak.

Kalau rumah mak aku ramai orang datang ke, ada open house ke, budak perempuan tu akan jenguk kat tangga. Ye lah, macam budak-budak normal, teruja nak tau siapa datang rumah kan?

Cerita aku habis di situ. Maka buat pertama kalinya aku tahu perasaan kena tindih atau orang kata sleep paralysis ni.

———

Nota tambahan:

Untuk pengetahuan korang, bukan keluarga budak perempuan tu je penghuni rumah tu. Ada 2-3 lagi penghuni yang aku boleh rasa kehadiran, tapi lebih kepada aura negatif. Jiran sebelah rumah mak aku tu (rumah hujung) dah berapa kali bertukar. Mak aku selalu sidai baju malam-malam. Aku kalau bab sidai baju memanglah malas, kalau malam lagilah jangan harap.

Sekian, wassalam.

W

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 3]

5 thoughts on “Kena Tindih?”

  1. “Kalau rumah mak aku ramai orang datang ke, ada open house ke, budak perempuan tu akan jenguk kat tangga. Ye lah, macam budak-budak normal, teruja nak tau siapa datang rumah kan?”

    Mcm comeeelll jer bile die pon beria excited nk tau sape dtg umah…
    Hehehehehe…

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.