Kereta Terpakai Berwarna Biru

Salam berkenalan kepada para pembaca di ruangan ini, saya Hannah seorang berbangsa Cina  peminat kisah-kisah misteri seperti anda. Sungguhpun berlainan latar belakang dan budaya, kita sudah biasa disebatikan dengan kepercayaan terhadap kewujudan makhluk-makhluk halus dan alam lain.

Cuma, kita tidak digalakkan untuk terlalu taksub mahupun tahyul…dan saya merupakan seorang insan terpilih yang telah melalui pelbagai hal paranormal semenjak kecil lagi.Ada kala saya memilih untuk tidak terlalu mengendahkan kehadiran entiti-entiti di sekeliling, namun saya terpaksa percaya kerana mereka memang ada bersama kita. Kali ini saya akan sajikan sebuah kisah benar berdasarkan pengalaman pak cik saya sendiri.

Kira-kira 35 tahun yang lalu pada era 80-an, pak cik saya telah membeli sebuah kereta terpakai berwarna biru muda. Kereta itu telah dibeli dengan harga yang berpatutan, sedikit rendah berbanding harga pasaran walaupun kondisinya masih elok dan nampak baru. Merasakan dirinya beruntung, pak cik Hannah telah melakukan proses jual beli tanpa rasa was-was dan tidak menyelidiki latar belakang kereta tersebut terlebih dahulu.

Waktu pak cik membawa pulang kereta biru tersebut, semua ahli keluarga berasa teruja. Maklumlah, pada masa itu orang yang memiliki kereta dalam kampung dianggap mewah.
Pada mulanya, tiada apa-apa kejadian aneh yang berlaku.

Namun sebaik masuk minggu kedua, kereta biru itu menunjukkan keganjilan yang tidak terjawab. Tengah malam saat semua orang sedang lena diulit mimpi, radio dalam kereta itu mengeluarkan bunyi muzik yang kuat sehingga mengejutkan seluruh isi rumah. Pak cik turun menjenguk keretanya, tiada sesiapa pun yang berada di situ.

Mungkin radio kereta itu rosak, fikirnya. Pak cik mematikan radio dan kembali tidur. Gangguan berulang pada keesokan malamnya dan pak cik tetap mematikan radio itu tanpa berfikir panjang, cuma berasa hairan. Malam seterusnya, radio tidak lagi berbunyi tetapi lampu kereta dihidupkan secara sendiri, hon berbunyi bertalu-talu tengah malam.Akibatnya pak cik sering tidak cukup tidur kerana turun naik melihat keretanya.Dalam diam, mendiang atuk saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena.

Keadaan memburuk beberapa hari kemudian ketika mendiang atuk sedang memberi makan ayam di bawah rumah. Waktu itu tengah hari, cuaca agak baik dan anjing-anjing peliharaan melepak di sekeliling rumah setelah kenyang diberi makan. Tiba-tiba, kedengaran anjing-anjing itu menyalak kuat ke arah kereta pak cik yang diletakkan di pinggir rumah.

Mendiang atuk hanya melihat sekilas pandang, tiada apa-apa lalu meninggikan suara sebagai isyarat mendiamkan anjing-anjing yang membuat bising. Akan tetapi, atuk tidak dapat bertenang lagi seperti tadi apabila melihat lebih kurang 10 ekor anjingnya berdiri mengelilingi kereta pak cik saya sambil tangan mereka diletakkan pada kereta tersebut seperti hendak menahan sesuatu.

Rupa-rupanya, kereta itu bergerak sendiri secara perlahan ke hadapan. Tidak cukup dengan itu, kereta itu bergoyang sendiri dengan kuat seperti ada orang yang melompat di dalam.Atuk segera naik ke rumah dan memanggil pak cik turun untuk melihat keretanya.

Suasana bertukar cemas dan pak cik segera turun meluru ke keretanya. Aneh sekali, brek tangan dilihat tidak diturunkan…gear juga tidak dimasukkan. Bagaimana kereta itu boleh bergerak sendiri? Di mana logiknya kereta itu bergoyang sendiri? Bagaimana pula dengan anjing –anjing yang menyalak dengan garang bagaikan terlihat sesuatu dalam kereta?

Memandangkan kereta itu seperti agak bermasalah, atuk menyuruh pak cik untuk menjualnya kerana dikhuatiri mempunyai misteri aneh yang mungkin mengundang malapetaka di belakang hari.

Hal ini kerana masyarakat Cina amat percaya bahawa hadirnya benda-benda yang tidak diundang akan menyebabkan unsur Ying (suram) bertambah daripada unsur Yang (terang) sehingga mempengaruhi nasib seseorang.

Apabila keadaan ini berlaku, seseorang akan mengalami gangguan kesihatan dan dirundung nasib malang. Pak cik mendengar nasihat atuk kerana beliau juga merasakan kejadian yang berlaku setiap malam cukup pelik.Mujur saja, tiada sebarang penampakan diperlihatkan…

Walaupun berat hati, kereta itu telah pun bertukar tangan sebulan kemudiannya dan tiada seorang pun yang tahu kisahnya dengan pemilik baru.Pengajarannya di sini, tidak semua barang yang didapati dengan murah berserta kualiti baik adalah sesuatu yang menguntungkan.

Sekian perkongsian dari saya, kisah ini mungkin tidak terlalu seram tetapi saya berharap kita semua dapat mengambil iktibar darinya. Akan saya hantarkan lagi kisah-kisah benar yang lain pada kesempatan yang akan datang.
Terima kasih….

 

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 4]

10 thoughts on “Kereta Terpakai Berwarna Biru”

  1. suka dengan sis sebab walaupun bukan melayu, tapi penggunaan bahasa Melayu yang baik dengan ejaan yang betul..cerita yang menarik jugak

    Reply
  2. Dulu dekat sekolah saya ada kereta warna kuning dekat rumah usang dua tingkat (kereta sebiji macam gambar kat atas), memang terbiar macam tu je, ada orang cakap kereta tu akan berjalan sendiri tanpa orang memandunya dan saya juga hairan sebab ada ketika kereta tu ada tersadai di rumah tersebut dan ada ketika tiada, kalau mengikut keadaan kereta tu yang begitu buruk, tak mungkin kereta tu akan hidup , dan saya sentiasa tertanya2 ke mana menghilangnya kereta tu time kereta tu x ada…Wallahualam…..

    Reply
  3. Bagus sis.. Penggunaan bahasa melayu dan ejaan lebih bagus dan lebih mudah difahami drp kebanyakan confessor melayu yg lain. Keep it up.. Looking forward for your next entry.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.