Assalamualaikum buat warga FS. Semoga semua dalam keadaan yang baik-baik sahaja. Aku ingin berkongsi kisah-kisah yang aku dengar dari nenek aku. Kisah-kisah ini ialah pengalaman nenek aku. Terlebih dahulu, aku memohon maaf kalau penyampaian cerita agak kurang baik.
Kisah 1
Ketika aku masih kecil dulu, nenek masih sihat dan amat suka pergi memancing. Selalunya nenek akan pergi memancing bersama ibu dan tiga atau empat lagi rakan ibu yang lain. Rakan-rakan ibu itu juga tinggal di kejiranan yang sama. Mereka selalu memancing di sungai dalam kawasan hutan, melalui jalan denai semak. Kadang-kadang aku ikut sama. Kadang-kadang aku diarah untuk menjaga adik-adik yang masih kecil di rumah jika ayah bekerja di luar kawasan. Baik, cukup untuk pengenalan.
Pada hari Sabtu itu, seperti biasa nenek dan ibu serta tiga lagi rakan ibu hendak pergi memancing. Kali ini mereka hendak pergi ke kawasan air terjun yang agak tersorok di dalam hutan. Setelah bersiap dengan joran buluh, umpan cacing dan raga tradisional untuk menangkap ikan kecil, mereka pun memulakan perjalanan dengan menggunakan kereta.
Sampai di denai masuk ke kawasan air terjun, mereka berpecah kepada dua kumpulan. Memang ini kebiasaan nenek dan geng memancing. Mereka akan bergerak secara berdua atau bertiga sahaja ketika memancing. Nenek berpasangan dengan rakan ibu yang aku panggil Mak Ani. Mereka berdua ingin terus ke kawasan air terjun manakala kumpulan ibu ingin memancing di hilir sungai. Untuk sampai ke kawasan air terjun itu mengambil masa lebih kurang 10 minit sahaja.
Air terjun itu tidak tinggi namun terdapat batu hamparan yang agak besar dan memanjang di tebing sungai. Tiba saja nenek dan Mak Ani di kawasan air terjun, bau busuk serta merta menyerbu ke lubang hidung. Busuk amat seperti bau bangkai, kata nenek. Jelas di batu hamparan terdapat bekas engsotan yang dikerumuni oleh banyak lalat. Lalat itu pula bukan yang biasa kita tengok. Lalat itu bersaiz lebih besar dari biasa.
Melihat keadaan begitu, nenek mengajak Mak Ani beralih tempat. Tanpa banyak bicara, Mak Ani setuju.
Mereka bergerak ke hulu sungai. Bila hari semakin petang, mereka kembali ke denai dan melalui batu hamparan yang sama. Bekas engsotan yang berbau busuk dan lalat tidak kelihatan lagi. Malah, batu hamparan itu dalam keadaan seperti tiada apa yang telah berlaku. Kemudiannya, nenek bercerita dengan aku bahawa itu adalah bekas engsotan hantu engsot. Tergelak aku sekejap bila mendengar nama hantu itu. Kata nenek, hantu itu asalnya manusia. Entah sebab apa, dia telah diikat dari badan ke kaki. Maka untuk bergerak dia berengsot menggunakan p******g sehinggalah p******g dia menjadi luka dan buruk. Lama kelamaan dia berubah menjadi hantu.
Kisah 2
Masih lagi kisah nenek dan geng memancing cuma di hari yang lain. Kali ini nenek berpasangan dengan ibu. Mungkin kerana leka, nenek tidak menyedari bahawa ibu telah tiada bersamanya. Apabila nenek tersedar ibu telah hilang, nenek segera mencari ibu. Tidak lama kemudian nenek ternampak ibu berjalan membelakanginya. Nenek memanggil ibu – woo! Panggilan sebegitu tidak asing bagi mereka. Kerana menurut kepercayaan jangan dipanggil rakan dengan nama jika berada di hutan kerana penunggu hutan yang akan menyahut.
Tiada respon dari ibu malah terus berjalan dengan laju meredah hutan. Nenek mengejar ibu bersungguh-sungguh namun ibu semakin laju berjalan. Kelibat ibu hilang, nenek berhenti sekejap. Kemudian, ibu muncul semula di depan nenek. Juga masih membelakangi nenek. Waktu itu nenek tahu bahawa yang dikejarnya itu bukan ibu melainkan penunggu hutan yang menyamar menjadi ibu. Lalu nenek berkata,”Usahlah kau ganggu aku. Aku cuma nak berikan. Aku bukan orang tamak, aku ambil seadanya saja.” ‘Ibu’ terus menghilang di depan mata nenek selepas itu.
Nenek memandang keadaan sekeliling. Rupanya nenek masih berada di tempat yang sama, tempat dia memancing bersama ibu. Nenek segera mencari ibu. Ibu pula dijumpai berada tidak jauh dari situ, memancing sepertinya tidak tahu apa yang telah terjadi. Nenek lalu mengajak ibu pulang.
Kisah 3
Kisah ini berlaku sewaktu nenek berpindah ke rumah baru. Rumah baru nenek terletak di penempatan baru. Kawasan berpaya dan banyak kayu apong. Waktu itu kami beradik masih kecil. Rumah nenek didirikan seadanya terlebih dahulu namun nenek dan datuk sangat teruja ingin pindah rumah. Tidak sampai belasan rumah pun yang telah dibina di situ. Itu pun ada beberapa rumah belum ada penghuninya. Jalan masuk ke kawasan ini adalah jalan berbatu dan tanah kuning.
Belum ada elektrik masuk dan bila tiba waktu malam kawasan situ memang gelap. Penduduk cuma menggunakan lampu gas sahaja.
Suatu remang petang hendak masuk waktu Maghrib, selesai makan nenek duduk bersantai di beranda rumah sambil menghisap rokok. Nenek aku memang penghisap rokok tegar sehingga kini. Datuk pula belum balik dari menangkap ketam tidak jauh dari situ. Ketam memang banyak di kawasan ini kerana ia berpaya. Ketam ini digelar ketam batu.
Nenek tiba-tiba tersentak. Terdapat bayangan di kepala tangga rumah. Makin lama makin jelas. Sepertinya seorang perempuan tetapi berwajah seram. Rambut panjang lurus, pakaiannya labuh menyapu tanah dan kusam. Kata nenek itu penunggu. Penunggu apa, aku tidak tanya pula. Penunggu itu berada di dalam posisi mencangkung menghadap nenek. Tiba-tiba penunggu itu membuka mulutnya sambil merenung nenek. Lidahnya dijelir ke arah nenek. Lidah itu pula semakin panjang menghala ke muka nenek.
Sambil menghembus asap rokok, nenek bersuara. “Engkau jangan kacau aku. Aku tak kacau engkau. Baliklah engkau.” Aku rasa penunggu itu terbantut rasa hendak mengacau nenek aku. Sebab itu ia menghilang terus kemudian.
Kisah 4
Hantu bermata merah amat popular di kawasan penempatan baru nenek. Kata nenek, ia muncul tak kira masa sebaik saja senja. Cuma ia tidak pernah dilihat mengganggu penduduk setempat. Hantu ini, kata nenek hanya nampak matanya saja. Warna merah menyala. Cuma sekali saja nenek agak terkejut melihat hantu mata merah ini.
Awal pagi kira-kira jam 4 nenek bangun tidur. Itu memang jam kebiasaan nenek bangun pagi. Seperti biasa, nenek akan menjerang air dan menanak nasi. Nenek membuka tingkap.
Waktu itulah nenek terkejut. Ada mata merah tersembul di tingkap itu. Hilang rasa terkejut, nenek pun bersuara. “Apa kaubuat di sini? Pergi balik, dah nak siang ni.”
Tetapi mata merah itu tidak berganjak. Bila begitu, nenek biarkan saja dan melakukan rutin biasa. Namun mata merah itu mengekor nenek pula. Risau pula nenek. Apa yang diinginkan oleh si mata merah itu? Lalu nenek pun mengejutkan datuk. Sebaik saja datuk bangun, mata merah itu terus menghilang.
Kisah 5
Kisah terakhir ini kisah nenek ketika masih kecil. Hidup nenek sekeluarga adalah bersandarkan pada bertani. Jadi bila tiba musim berpadi, kebiasaan mereka akan bermalam di pondok yang didirikan di kawasan padi huma. Pondok itu dibuat dengan ada ruang di atas atap yang boleh dibuka. Jika cuaca elok, ruang itu akan dibuka bagi membolehkan angin luar masuk ke dalam pondok. Siangnya tadi, nenek sekeluarga melakukan upacara yang dikenali sebagai menghalau semangat yang jahat. Perumpaannya, jika bagi orang Islam – memagar kawasan daripada diganggu unsur-unsur jahat dari mahkluk Allah yang ingkar.
Malam itu cuaca amat baik. Amat banyak bintang bertaburan di atas langit. Nenek dan tiga lagi adik beradiknya tertidur setelah asyik melihat langit malam. Ibu kepada nenek kemudiannya menyusul tidur. Semuanya kelelahan setelah bekerja di sawah huma tadi. Mereka tidur di dalam kelambu nyamuk yang besar. Hanya ayah nenek saja yang belum tidur. Ayah nenek yang aku gelar Tok Yah turut berbaring bersama mereka tetapi bahagian kepala ke dada berada di luar kelambu. Tok Yah masih leka menghisap rokok, sambil berbaring.
Tiba-tiba terjengul kepala di ruang terbuka bahagian atap. Saiz kepalanya besar dengan hidung pesek lebar. Mulutnya juga lebar terbuka sedikit menampakkan gigi yang besar dan tajam. Telinga mahkluk itu bersubang dan terdapat rantai seolah diperbuat daripada gigi taring mengalungi lehernya. Tok Yah kaku. Mahkluk itu memandangnya kemudian menyeringai.
Ketika itu, Tok Yah tidak bergerak langsung. Tidak tahu apa yang hendak dilakukan. Kemudian muncul pula satu lagi kepala menjenguk di tempat yang sama. Agak kecil saiznya namun rupa wajahnya hampir seiras. Yang kecil itu tiba-tiba bersuara dengan suara yang parau dan keras. “Eh, ini kera bukan anak manusia. Kita tidak boleh makan!” Yang besar itu pula seolah tidak mahu berganjak. Masih lagi merenung ke arah Tok Yah.
“Kita belelang (berhijrah) ke sebelah matahari tidur. Cepat, sementara masih siang!
Nanti hari cepat malam.” Kedua-dua kepala itu menghilang serta merta. Tok Yah masih tidak bergerak. Cuma tersedar bila abu rokok yang dikepit di tangannya jatuh ke jarinya. Terasa panas sedikit. Tok Yah segera menutup ruangan terbuka di atap itu dan kemudiannya tidur.
Siang itu Tok Yah bercerita kepada mereka apa yang dia nampak dan dengar pada malam tadi. Kata Tok Yah, hantu itu melihat mereka sebagai kera kerana mata hantu telah diterbalikkan akibat upacara menghalau semangat jahat yang telah dilakukan sehari sebelumnya. Dan bagi mahkluk itu, siang manusia ialah malam bagi mereka dan juga sebaliknya.
Tamat penulisan yang berkisar tentang nenek dan kisahnya. Sebenarnya banyak lagi yang nenek alami tetapi aku hentikan di sini saja. Nenek aku kini sudah sangat tua. Jalannya berdengkot, mata dan telinga kurang jelas. Dia hanya duduk di rumah namun masih melakukan rutin ringan seperti mengemas rumah dan memasak untuk suami.
Sedikit info tentang kepercayaan kaum aku ini.
Asalnya mereka adalah pagan yang tidak berpegang kepada mana-mana ajaran agama. Bagi mereka, apa saja benda hidup di bumi ada semangat/penunggu tersendiri. Jadi dalam kita berbudi pada tanah, menangkap hasil sungai dan hasil hutan usahlah membongkak diri dan tamak. Mencemarkan dan merosakkan alam adalah amat dilarang. Kerana ia umpama memusnahkan kediaman mahkluk lain yang tidak ternampak oleh mata kasar. Melainkan untuk tujuan kelangsungan hidup itu pun harus yang seadanya saja.
Mereka juga amat percaya dengan kewujudan mahkluk yang boleh berbuat jahat kepada manusia. Oleh itu, sebelum melakukan apa-apa perkara terutama bertani, berburu, berikan, harus melakukan satu upacara khas. Cuma kini, ia amat jarang dilakukan kerana kaum ini ramai yang memeluk agama terutamanya agama Kristian dan ada juga yang memeluk agama Islam.
Terima kasih semua.
- hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
Follow Whatsapp FS KLIK SINI
Menarik ?. Tulis la lg ye ?
Cerita yang menarik
Sila sambung lagi
Last tu seram!