KISAH UYAD 2

Dari jauh aku nampak ayah seberang jambatan ke rumah Auntie Amu, sampai ke hujung jambatan ayah hentak kaki kanan 3 kali. Ayah berhenti dekat situ. Ada dalam 5 minit. Tak tahu pulak aku apa fungsi ayah hentak kaki masa tu. Masa tu budak-budak lagi, aku fikir ayah kena gigit dengan semut, jadi dia hentak kaki tu nak buang semut. Bodoh amat fikiran. Lepas tu ayah terus jalan ke tempat idai kain Auntie Amu. Masa tu tak terlintas langsung di fikiran macam mana ayah boleh tahu kedudukan benda yang aku nampak tu. Seingat aku, masa aku report tak pulak aku cakap aku nampak dekat kawasan mana, hanya cakap dekat rumah Auntie Amu je.

Kalau ikutkan hati, aku nak juga tahu apa yang ayah aku tengah buat tu. Manalah tahu dia nak ajak benda tu bergusti ke apa. Dapat jugak free show malam-malam ni. Tapi terbantut bila mak aku tarik aku masuk dalam rumah.

“adik nampak apa?” mak aku soal sambil rebahkan p******g aku atas kerusi. Aku pun ulang la dengan jelas pada mak aku. Mak aku dengar tanpa cakap apa-apa. Lepas dia dengar aku cerita, dia bergegas keluar ke halaman rumah, aku baru ikut setapak mak tunjuk isyarat suruh aku jangan ikut, duduk situ senyap-senyap nanti aku libas.

“abang, dah la tu. Jangan di bawak bergaduh. Saya dah la selalu berdua je dengan Uyad dekat rumah” aku dengar mak laung dari halaman rumah. Aku memang selalu berdua dengan mak dekat rumah. Ayah bawa lori balak. Waktu kerja tak tentu. Tapi selalunya dia balik lepas isyak. Jam 2 atau 3 pagi nanti dia keluar kerja. Kadang-kadang ada masanya ayah tak balik dalam 2 3 hari.

Tak lama lepas aku dengar mak aku laung tu, mak dan ayah aku masuk rumah terus menonong ke bilik tidur. Aku masih lekat dekat kerusi kayu dalam rumah dengan penuh patuh. Gila tak patuh, libasan mak aku tiada tandingan. Mahu jalan bongkok seminggu kalau kena libas atas belakang. Aku cuba curi-curi dengar perbualan mak dengan ayah aku.

“sakit jugak hati saya, dari masa budak-budak tu ada lagi dia berani, bila kita senyap dia berani tunjuk rupa”.

“biar la, dia duduk situ je pun dah syukur. Jangan datang sini sudah lah”

“kalau adik nampak lagi, bagitahu saya. Dulu dia kacau angah, ni adik pulak”

Aku pasang telinga dengar perbualan mak dengan ayah dalam bilik. Muka ayah masa masuk rumah tadi memang muka tahan marah. Jarang nak tengok ayah marah. Dengan anak-anak dia tak pernah tinggi suara. Aku tak hairan sangat kalau ayah aku berani pergi menghadap benda tu. Sebab ayah aku ni pandai la sikit bab-bab ni. Orang kampung pun adakalanya rujuk ayah aku kalau pasal perkara ni. Budak-budak kampung yang kena sampuk atau baby yang kuat menangis malam selalunya ayah yang settle.

“adik dengan Mamat lepas ni jangan main dekat pokok jambu rumah Auntie Amu. Kalau boleh kurangkan berjalan ke rumah Auntie Amu” ayah pesan pada aku tegas. Dia dah tak cakap banyak dia terus masuk bilik air.

Pokok jambu tepi ampaian kain Auntie Amu tu antara port aku, Mamat dengan kawan-kawan lain. Besar jugak pokoknya. Seminggu tu memang aku galak sangat main dengan kawan-kawan kat situ. Bising tu tak payah cakap. Tambah-tambah lagi buah jambu tengah lebat masak. Auntie Amu pulak jenis kurang pendengaran, takdanya dia marah. Lagipun dia kata dia sunyi sebab anak perempuan dia semua dah kahwin. Dengar suara budak ni hilang sunyi sikit katanya. Masalahnya nak dengar macam mana, dah dia pekak. Musykil juga aku.

Lepas ayah pesan macam tu, aku pun malas nak panjang cerita. Yang penting malam ni aku tidur dengan mak dan ayah aku. Rasa nak tahu tu masih ada dalam hati aku. Nak tahu jugak apa benda tu. Kenapa lelaki tu sama macam lelaki dalam gambar dekat rumah Auntie Amu. Lelaki dalam gambar tu dah m**i ke? Macam-macam persoalan bermain dalam otak aku. Yang aku tahu, nanti aku nak pergi siasat dengan Mamat.

Jam 10 aku masuk tidur dengan mak dan ayah aku. Sebelum ni aku tidur dengan kakak aku. Tapi lepas diorang kahwin, aku tidur la sorang-sorang. Aku ada 3 beradik je. Semua perempuan. Aku dan kakak ngah aku jenis kasar. Along aku jenis wanita Melayu terakhir. Beza umur aku dengan kak ngah 12 tahun. So family aku tak expect sebenarnya aku akan keluar. Disebabkan perbezaan umur yang jauh dan kakak aku kahwin awal, aku membesar seperti anak tunggal.

Aku tidur lena dibuai mimpi selama beberapa jam. Pukul 3 pagi, dalam mamai aku perasan ayah dah sarung baju seluar kerja dia. Perlahan-lahan dia keluar rumah. Tinggal la aku dengan mak je di rumah. Masa kecil aku ada habit, tak tahu la bila start. Bila terjaga waktu malam aku akan bukak tingkap bilik lepas tu tenung ke luar. Dia macam sleep walking. Kalau sleep walking kau tak sedar. Tapi aku sedar. Aku sedar yang aku bukak tingkap. Aku sedar yang aku tengah melangut. Tapi perbuatan tu terjadi secara langsung, tak terkawal. Yang aku ingat aku suka bila dingin angin kena dekat muka aku. Kalau mak dengan ayah aku perasan dia akan tarik aku suruh tidur semula, kalau tak dalam sejam jugak aku duduk termenung tepi tingkap tu.

Setengah jam lepas ayah keluar rumah pergi kerja aku terbangun. Sisi katil bilik mak ayah aku ni rapat ke dinding yang ada tingkap. Jadi sambil kau duduk atas katil kau boleh buka tingkap nako bilik tu. Tingkap bilik ni betul-betul menghadap pokok jambu Auntie Amu. Tingkap bilik aku pulak menghadap ampaian Auntie Amu.

Macam biasa, aku buka cermin tingkap. Takde apa yang menarik pada awalnya. Aku layan angin pagi kena muka aku. Aku berkalih tengok mak aku tengah syok sedut nafas. Bertengek taik lalat tepi hidung dia. Bersinar hitamnya. Bunyi mak aku sedut nafas macam lori bila naik bukit. Sesekali bunyi mak aku tukar gear. Krroohhh krroohh kroohh. Lena betul gayanya. Bila aku pandang semula ke luar tingkap. Aku nampak Auntie Amu. Auntie Amu sedang berdiri. Tapi tak menghadap aku. Dia menghadap pokok jambu tu. Maknanya aku nampak sisi dia. Tapi aku pasti Auntie Amu dari rambut panjang beruban tu. Dah ada dekat rumah agaknya Auntie Amu ni. Cuma waktu ni aku pelik dengan pemakaian Auntie Amu. Tak pernah pulak aku tengok Auntie Amu pakai jubah hitam macam ahli sihir omputih tu. Selalunya pakai baju tshirt dengan kain batik je bila dekat rumah. Advance betul Auntie Amu. Aku tengok dia pegang penyapu lidi.

“Awal betul Auntie Amu menyapu hari ni” getus aku dalam hati. Auntie Amu memang selalu bangun pagi. Pukul 5 pagi dengar bunyi loceng sembahyang dia, pukul 6.30 pagi bunyi dia menyapu sampah tu perkara biasa. Tapi ni dah luar biasa. Pukul 3.30 pagi duduk menyapu luar rumah. Auntie Amu gerakkan penyampu lidi ke kiri dan ke kanan. Gerak dia tu macam kau sakit pergelangan tangan. Ala, macam orang tengah mesin rumput tu. Macam tu la dia sapu. Tak normal kan macam tu. Kalau biasa orang sapu berlenggok jugak pergelangan tangan. Apa Auntie Amu ni sakit tangan ke?. Pelik semacam je gaya sapunya. Keras je tangannya.

Agaknya dia tahu apa yang aku tengah debatkan dalam kepala aku. Tiba-tiba dia singkap lengan baju dia. Perlahan-lahan aku nampak di sebalik lengan jubah tu adalah hanya rangka tangan. Terkejut beruk aku. Padanlah menyapu slow motion, buatnya kasar memang tercabut segala rangka yang ada. Sepantas kilat aku tutup tingkap. Aku perasan sebelum aku tergopoh-gopoh tutup tingkap tu aku nampak Auntie Amu berpaling memandang ke arah aku. Memang tak la aku nak perhati muka dia. Tangan pun dah seram apa lagi muka. Mak aku yang tengah lena tidur tersedar dengar cermin nako bilik tertutup.

“kenapa dik?” mak aku tanya mamai-mamai

“Auntie Amu tengah menyapu, tapi tangan dia…”

Tak sempat aku habiskan ayat aku, mak aku bangun buka tingkap bilik. Tengok kat luar. Sekejap je, lepas tu mak aku katup tingkap tu tarik aku sambung tidur. Aku pun sambung tidur dengan lena macam takde sebarang masalah. Lepas daripada kejadian tu, aku tak pernah dah nampak benda pelik-pelik dekat kawasan rumah Auntie Amu. Lepas aku publish cerita sebelum ni, baru la aku tahu yang kakak aku pun pernah kena sebelum ni. Tapi hanya usik macam tu je, tak pernah tunjuk rupa. Sampai pada aku, dia bagi ekstrem punya. Segala mak nenek dia tunjuk. Tapi 2 kali tu je, mungkin takut kena bedal dengan ayah aku gamaknya.

Seingat aku, ayah pernah cakap punca benda tu sakat aku sebabnya aku galak main lepas tu buat sepah sisa jambu yang aku makan. Yang sepahkan tu Mamat bukan aku, kenapa aku je yang kena. Pergi la sakat Mamat sekali. Sebelah rumah ni je. Part tu aku berdendam jugak dengan benda tu. Tak aci, pilih bulu sakat kaum hawa je.

Esoknya aku tanya mak aku pasal lelaki dalam gambar dekat rumah Auntie Amu tu. Mak aku cakap tu adik Auntie Amu, tapi dah lama meninggal tapi tak pasti puncanya. Aku pun tanya mak aku, roh orang m**i boleh jadi hantu ke?.

“Mana ada roh orang m**i kacau orang, tu semua setan duduk menyerupa nak takutkan orang. Jangan nak bodo sangat kita ni jadi manusia” mak aku jawab sambil sekeh dahi aku. Bergegar gelang emas dekat tangan kanan dia masa sekeh aku. Ni semua sebab Mamat. Dia la racun fikiran aku kata yang tu roh adik Auntie Amu cuba nak balas dendam. Tak pasal-pasal dapat sekeh free. Aku pun malas nak tanya banyak risau kena second round. Habis takat tu je.

—Kejadian ini berlaku selang seminggu selepas kejadian rumah Auntie Amu tapi takda kaitan pun, cuma sebagai time line—

“Mat, cepat la. Kau berbedak ke apa?” aku dah duduk tercongok atas pelana basikal tunggu Mamat nak pergi mengaji. Mamat ni kalau bersiap mengalahkan perempuan, janji pukul 7.30 kau kena suruh dia siap pukul 6 lagi.

“abang baru siap mandi, kejap lagi dia keluar” terpancul Si Eton adik Mamat depan pintu rumah. Cakap macam mintak gaduh. Amboi kerek amat kamu ya. Eton dengan aku sama umur, Mamat tua setahun dari aku. Tapi aku tak berkawan sangat dengan Si Eton ni. Apa hal main masak-masak, main kawin-kawin. Tak kena dengan jiwa aku. Layan lastik burung, jerat ayam kampung, jerat burung wak-wak, main bola baru syok. Projek rumah atas pokok dekat hutan depan rumah aku ni pun tak siap lagi. Tadi siang dah lejun bertukang dengan sepupu aku Paih, siapkan rumah tu. Harapkan Mamat, memang tak la. Dia setakat tolong hulur paku dengan kayu tu boleh la. Kalau dah siap syok jugak jadi port lepak sambil memancing dekat sungai kecil tepi tu.

“Woi, dah la mengelamun. Tadi nak cepat sangat. Aku nak berbedak sikit tak sempat” bebel Mamat sambil duduk dekat belakang basikal aku. Mak aihh, wangi betul. Kau sembur ke curah minyak wangi dekat badan ni Mat? Tahu la sunnah berwangi-wangian masa nak beribadat tapi ni dah melampau.

“Mat, kau mandi dengan minyak wangi ke Mat?”

“Ah Uyad, kau jeles la tu. Kau risau Ijam terpikat dengan aku eh?” jawab Mamat. Aku cebik je dengar jawapan dia. Ijam tu antara budak hensem dekat kampung ni. Memang taste aku la. Tapi tak pulak aku tunjuk minat aku pada Ijam dekat Mamat. Tahu-tahu je dia. Mengalahkan Mummy Jarum. Aku tinggal tepi jalan ni baru tahu. Layan jugak kayuh basikal kalau sorang-sorang malam-malam macam ni.

“Uyad, tadi kan aku dengar yang mak Si Tapik kena sampuk. Aku dengar Mak Cik Nor bercerita dengan mak aku masa dekat kedai runcit Pak Samad tadi. Ayah Tapik nak panggil ayah kau, tapi ayah kau pulak takde”

“Ha’ah, ayah aku ambik kayu dekat Betau. Dah elok belum mak Si Tapik?

“Entahlah, dengarnya belum lagi. Rasanya ayah Tapik dengan Pak Cik Taha pergi ambik ustaz dekat seberang kampung tu ha”

“Jom pergi tengok Mat?” soalan aku Mamat tak jawab. Setuju la kot. Tanpa berlengah aku pusing ke rumah Tapik. Melencong jauh dari surau. Laju jugak aku kayuh. Hajatnya nak tulis laporan sebelum ustaz tu sampai. Sempatla aku pantau keadaan. Mesti tak ramai lagi orang.

Tapi angan-angan aku hancur sebab bila sampai dah penuh orang berkerumun di rumah Tapik. Rumah Tapik ni antara rumah yang kedudukannya yang sederet tu. Jadi, bila jadi apa-apa memang mudah orang perasan atau dengar, lain dari rumah aku dengan Mamat, dekat dengan kawasan hutan hujung kampung. Aku cuba cari Tapik di celah orang ramai tu. Bising jugak keadaan rumah dia masa tu. Scan punya scan aku jumpa Tapik. Tak susah pun nak jumpa, perut Tapik yang gendut menjadi identiti Tapik sejauh 100 meter pun boleh nampak. Jenuh jugak tarik Tapik dari celah orang ramai tu. Dah la badan dia semangat. Elok kami tarik Tapik parking tepi rumah dia.

“Tapik, kenapa mak kau? Soal aku dengan Mamat serentak. Mamat telan air liur menanti jawapan. Aku seka peluh, penat tarik Tapik tadi tak hilang lagi.

Sambungan cerita Tapik aku akan cerita pada post selepas ini, itu pun kalau cerita yang ni dapat sambutan hangat. Kalau suam-suam kuku, merajuk la aku. Sebelum ni aku ada cakap dekat kawan aku, kalau post Kisah Uyad yang first capai 400 like aku sambung. Bangun pagi tengok dah 700 like. Kena sambung maknanya. Yang cerita Tapik ni dah cukup 700 like baru aku sambung cerita, aku sambung buat tesis aku pulak ye- Uyad

ps/cerita aku memang kena tulis sekerat-sekerat. Panjang woi kalau sekali hadap. Mau pinar mata. Harap bersabar ye.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

UYAD

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 7 Average: 4.9]

10 thoughts on “KISAH UYAD 2”

  1. Si Uyad ni asyik sambung je.. bila nak abis klau cam gini.. Panjang pun x pe kitaorang boleh baca sampai 3 hari 3 malam .. x sabar rasenya nak tau apeke bendanya kat umah auntie amu tu..

    Reply
  2. Mamat ni kira bff uyad la kan.. Moga berjodoh. Heee… Cita uyad Sgt menarik.. Seolah2 tgk movie. Gigih imagine keadaan umah.. Kg dan surau serta hutan..

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.