KLINIK 24JAM

KISAH ini dah lama, sekitar 20 hingga 30 tahun yang lalu. Lokasinya di sebuah daerah di negeri Johor.

Sebuah klinik baharu dibuka di sebuah kawasan bangunan yang baharu siap dibina dan demi mahu memberi pertolongan kepada penduduk di daerah itu, pemilik klinik itu telah memberi perkhidmatan 24jam. Apabila menjelang malam, pekerja yang bertugas syif malam akan ditemani seorang pengawal keselamatan.

Biasalah klinik baru buka, jadi agak kurang pesakit yang datang, disebabkan itulah pemilik klinik itu seorang doktor lelaki telah mengambil keputusan untuk memberi perkhidmatan 24jam.

Pada malam yang boleh dikatakan sunyi dan lengang itu, doktor lelaki mengambil keputusan untuk pulang ke rumah yang tak jauh dari kliniknya itu, dan dia meninggalkan pesanan kepada pekerjanya untuk menghubunginya jika ada pesakit yang perlukan pemerhatiannya.

..

..

..

Waktu sudah menjengah ke pukul 2 pagi, dan suasana di pekan itu juga sungguh sunyi dan lengang tanpa ada sebarang kenderaan. Pekerja klinik 24 jam itu sudah beberapa kali menguap tanda kantuk sudah bergayut di mata. Sesekali dia melihat kelibat pengawal keselamatan yang mundar mandir di hadapan pintu klinik itu.

Untuk beberapa ketika pengawal keselamatan yang bernama Pak Leman (bukan nama sebenar) masuk ke dalam klinik dan menyapa pekerja wanita yang berada di kaunter pendaftaran.

“Saya nak ke tandas sekejap boleh? Tak tahan ni.” Pinta Pak Leman kepada Marina.

“Jangan lama sangat tau, takut Marina sorang-sorang kat depan kaunter ni.” Pesan Marina kepada Pak Leman.

Pak Leman mengangguk dan terkocoh-kocoh berlari menuju ke belakang klinik itu. Jarak tandas klinik itu dengan kaunter pendaftaran sekitar 5 hingga 8 meter.

Maka tinggallah Marina sendirian di kaunter pendaftaran. Selang beberapa saat kemudian, anak telinganya terdengar bunyi tapak kaki sedang berjalan. Tetapi tidak kelihatan orangnya. Marina fikir mungkin orang itu pemilik kedai di sebelah klinik 24 jam itu.

Bunyi tapak kaki itu tidak kedengaran lagi. Marina yang sedang menyusun beberapa fail senarai ubat kembali terganggu dengan bunyi tapak kaki, kali ini bunyi orang berjalan sambil kedengaran seperti mengheret kakinya.

Semakin lama semakin kuat Marina mendengarnya. Sehinggalah muncul di hadapan pintu klinik seorang lelaki tua berbaju pagoda lusuh memandang tepat ke arahnya.

Gaya lelaki tua itu sedikit berbongkok dan berwajah kusam dan lemah. Marina tersenyum tetapi lelaki tua itu tidak membalas senyumannya.

“Boleh saya bantu pakcik..?”

Tanya Marina mesra dengan senyuman. Lelaki tua itu tidak bercakap hanya sesekali mendengus kasar dan terbatuk-batuk.

Marina melihat sahaja lelaki tua itu datang mendekati kaunter pendaftaran tempat di mana Marina sedang berada sekarang.

“Pakcik nak jumpa doktor?” Soal Marina lagi.

“Sakit… Aku sakit…”

Balas orang tua itu dengan parau dan dalam sekali suaranya. Marina faham, malah sudah betah dengan perangai pesakit yang datang ke klinik itu. Bermacam-macam karenah yang dijumpainya.

Tetapi ada juga perasaan seram bertandang di hati Marina di saat melihat wajah lelaki tua itu yang cengkung, berkedut dan mulutnya yang asyik termenganga tanpa ditutup. Malah Marina seram melihat bola matanya memandang Marina seperti ingin menekannya hidup-hidup.

Apa yang membuatkan Marina tidak selesa apabila dia melihat seperti ada liur pekat sedang meleleh dari mulut orang tua yang termenganga itu. Malah baunya juga tidak menyenangkan.

“Pakcik sakit apa?”

Tanya Marina…

“Aku sakit kepala… Aku sakit kepala…” Ucap lelaki tua itu berkali-kali.

“Oh… Boleh pakcik berikan kad pengenalan. Saya nak isikan borang pesakit untuk pakcik.”

Pinta Marina dengan baik. Niatnya meminta kad pengenalan adalah kerana ingin merekodkan pesakit yang datang ke klinik itu.

Lelaki tua itu dia. Dan hanya mendengar suara parau dia seperti sedang mendengus-dengus. Marina hairan, kenapa lelaki tua itu masih tidak memberikannya kad pengenalan diri.

“Pakcik… Pakcik ada kad pengenalan? Boleh berikan kepada saya. Saya nak isi borang pesakit ini. Kalau ada pakcik letakkan di atas meja kaunter ini ya.” Pinta Marina lemah lembut.

Lelaki tua itu memegang kepalanya yang dikatakan sakit itu. Marina berkerut melihat ulah lelaki tua itu. Dalam hatinya mungkin lelaki itu benar-benar sakit kepala.

Ketika Marina ingin meminta sekali lagi kad pengenalan Lelaki tua itu. Mata Marina bulat memandang apabila lelaki tua itu dengan bersahaja memulas kepalanya sehingga putus dan meletakkannya betul-betul di atas meja kaunter Marina.

Kepala lelaki tua yang mulutnya masih menganga itu tajam mrncerlung wajah Marina.

Marina menjerit sekuat hati dan menggelupur sebelum rebah ke atas lantai pengsan.

Suara jeritan Marina didengari Pak Leman yang keluar berlari dari tandas terus menuju ke hadapan klinik.

Pak Leman melihat satu tubuh milik Marina terbujur kaku di atas lantai, selekasnya dia melihat ke kiri dan ke kanan seraya memegang cota hitamnya. Dia mencari-cari kelibat apakah yang menyerang Marina ketika dia berada di dalam tandas.

Namun langsung tidak kelihatan sesiapa pun yang berada di situ. Pak Leman tidak bertangguh terus menelefon doktor klinik dan selepas itu cuba menyedarkan Marina yang kaku tidak sedarkan diri.

Kisah ini tular sehingga kini. Pelbagai gaya cerita yang disampaikan dari mulut ke mulut. Tetapi kisah jururawat yang ditegur lelaki tua mencabut kepalanya sendiri itu benar-benar berlaku.

Akibat daripada kisah gangguan itu, pemilik melayu di kedai2 di bangunan baru itu berpakat mengadakan solat hajat dan bacaan yasin demi menghindarkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku lagi.

Kisah dah lama, tetapi tetap segar diingatan.

Wallahualam.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 31 Average: 4.8]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.