Laluan Itu

Jauh di sebuah desa, di selatan Tanah Air, terdapat sebuah laluan jalan yang menghubungkan Bakri – Pt Sulong, Johor. Laluan yang begitu sinonim buat pengguna jalan raya di negeri asalnya kelab bola sepak terkenal tanah air, Johor Darul Ta’zim itu, bukanlah laluan yang asing buat Azimi, usai beliau ingin pulang ke kampung halaman, selesai bertugas di Melaka.

Seringkali tidak mengendahkan nasihat ibunya untuk elak laluan tersebut pada waktu dinihari, kepulangan beliau kali ini sedikit berbeza. Mana tidaknya, selepas Isyak sebentar tadi, beliau telah dikhabarkan dengan pemergian datuk kesayangannya di rumah. Tidak peduli lagi tentang tugasannya di pejabat, beliau nekad untuk pulang malam itu juga, meski jam menghampiri detik 12 malam.

“Kalau nak balik, balik terus. Jangan nak nyinggah mana-mana. Bukan apa, mana tahu ada orang nak rompak ke? Ngko tu sorang”, seraya pesan ibunya dalam dialek campuran Jawa-Bahasa Melayunya.

“Mak tak payah risau. Selesaikan urusan jenazah dahulu. Tahulah Jimi nanti.”

Selesai panggilan telefon itu, Azimi terus ke motosikal kesayangan Y16 beliau, yang dibeli dengan hasil titik peluh bekerja sebagai perancang bandar. Berdentum bunyi ekzos hasil modifikasi di kedai Olek tatkali beliau mendikit picu mula motosikalnya.

“Ini macam bising, baru tak sangap atas motor”, detik hati kecil Azimi.

Memecut dan membelah hening tengah malam di lebuhraya AMJ, ternyata bukan hantu atau jembalang yang Azimi takutkan, tetapi kelibat penguasa jalanan yang boleh bertindak menyamannya kerana pelbagai kesalahan yang beliau sedang lakukan seperti memecut laju dan modifikasi yang macam-macam di motosikal beliau.

Dalam beliau keseorangan itu, beliau teringat kembali akan datuknya. Orangnya kasar, namun hanya pada Azimi, beliau banyak berlembut hati. Ibu bapanya sendiri pun tidak tahan dengan perangai datuknya yang seringkali mengeluarkan kata-kata pedih menghiris kalbu. Beliau tahu datuknya bukan orang yang tidak baik, tapi belaanya dan ilmunya itu yang menjadikan beliau ada kalanya tampil riak dan takbur.

“Ah, orang dah takde. Buat apa nak pikir-pikir lagi.”

Dalam keadaan sedang memecut, ekzos Yoshimura beliau disapa oleh kenderaan yang sedang memecut sama tidak jauh dihadapan beliau. Jikalau waktu itu siang hari, barangkali motosikal tersebut tidak diendahkan Azimi, yelah, bukan beliau seorang sahaja yang memodifikasikan motornya sebegitu rupa. Terpesona dengan kelajuan motosikal itu, beliau terus memecut, bertindak mengejar motosikal berkenaan.

Yang peliknya, motosikal yang mulanya laju, kini beransur perlahan. Menghampiri motosikal dihadapannya, Azimi tergamam. Plat pendaftaran motosikal berkenaan, seakan sama dengan Y16 miliknya. Warna pun sama. Modifikasi yang sama. Azimi terus berhenti memulas pendikit dan memperlahankan momentum motosikal beliau.

“Ah kena aku malam ni.”

Demikianlah kata yang terpacul dari mulut beliau, menegur kejanggalan yang sedang berlaku di hadapannya. Nekad mahu sampai di kampung halaman secepat mungkin, pendikit Y16 beliau dipulas, membangkitkan kuasa 160cc itu ke tahap maksimum, menghampiri jelmaan motosikal beliau sendiri, Azimi bertindak memecut sebelum memotong motosikal itu, yang tidak kelihatan wajah penunggangnya. Mempersetankan apa yang beliau lihat, tidak lama selepas itu, motosikal berkenaan bertindak memotongnya sebelum memotong selekoh dan masuk ke dalam gaung tidak jauh dari laluan berkenaan.

“Kalau kat AMJ aku dah kena, dekat Bakri nanti macam mana pulak.”

Menghela nafas lega tatkala menyusuri bandar Muar, gangguan bermula apabila beliau melepasi Balai Polis Bakri. Ditahan di dalam sekatan jalanan, pegawai bertugas bertindak menegur Azimi.

“Berani kau lalu sini eh malam malam naik motor? Kalau aku, aku relax-relax dulu kat balai, lepas Subuh baru gerak.”

“Takpe bang. Saya nak cepat ni. Ada urusan orang meninggal” balas Azimi kepada pelawaan pegawai tersebut.

“Jangan kata saya tak payung. Pesan saya satu je. Jangan bawa secara merbahaya. Paling penting, jangan m**i. Kang awak susahkan saya pulak nak handle case-case rempit ni.”

Tidak terkesan dengan kata-kata pegawai itu, Azimi terus meninggalkan sekatan jalan raya berkenaan dengan tekad untuk tidak lambat sampai ke destinasi. Sambil melayan perasaan dan menghisap rokok Winston Light beliau, Azimi mula dibayangi kisah-kisah seram yang pernah dialami rakan sekampungnya, ketika menyusuri jalan Bakri-Pt Sulong itu. Ada yang menceritakan bahawa, kawasan perkuburan di sekeliling itu keras. Ada yang berkongsi bahawa jika tidak berhati-hati, ada yang akan menumpang.

“Ada awek lawa, aku bagi la tumpang. Awek kot. Paku aje nanti kat leher.” Begitulah seloroh Azimi tiap kali ada yang mengingatkan beliau akan kisah-kisah misteri yang terjadi di kawasan itu.

Sedang khayal memecut, samar-samar kelihatan sebuah kenderaan rosak di tepi jalan. Sekali imbas, kelihatan tudung dikilas-kilas menandakan perlunya beliau berhenti untuk memberikan bantuan. Ketika berhenti, beliau menghampiri kenderaan Iswara kereta kebal itu.

“Apa masalah ya Cik?”

Membisu seribu bahasa, gadis sunti berkenaan hanya bertindak mengeleng menandakan bahawa beliau tidak tahu apa yang terjadi. Bingung akan kebisuan gadis itu, Azimi yang sudah putus akal, bertindak menawarkan untuk membawa gadis itu ke warung berdekatan untuk bantuan. Berduaan, Azimi memulakan perjalan beliau untuk membawa gadis itu tindakan selanjutnya dari masyarakat setempat.

Motosikalnya yang di awalnya memecut laju, kini terasa berat dengan adanya dua penunggang dan pembonceng. Bau wangi mula menerpa hidung Azimi. Enggan menoleh belakang, lebih-lebih lagi dengan pembonceng yang diam seribu bahasa, pergerakan tangan gadis berkenaan kini bertindak merangkul Azimi dengan kuat. Barangkali takut dengan aktiviti-aktiviti misteri yang sedang mereka alami.

“Abang…takut.” “Hish! Apa nak takut-takut. Belum pernah ada orang dalam Malaysia m**i dicekik hantu.”

“Tapi diganggu selalu kan bang?” “Oh God damn. Betul-betul kena aku harini.”

Diselang-seli dengan hilai tawa, susuk tubuh yang merangkul tubuhnya dirasakan sudah mula tertinggal di belakang. Berbekalkan Alif Ba Ta dan doa Qunut tunggang-langgang, gigilan tubuh Azimi dan peluh jantan mula menerpa seluruh tubuhnya.

Tidak jauh dari lokasi itu, beliau tiba di warung mee bandung yang sering menjadi lokasi R&R ketika dalam perjalanan pulang ke kampung. Turun dari motosikal itu, beliau bertanya kepada tauke kedai akan keberadaan bantuan kereta yang ada malam itu.

“Ada masalah ke motor kau tu Jimi.” “Bukan Wak Mid. Macam banyak betul dugaan saya malam ni.”

Dalam keadaan serba kebingungan, Wak Mid mula mencelah untuk mendapatkan penjelasan Azimi.

“Aku rasa, kau ni macam ada benda yang tengah ikut. Ada benda yang tersuka dengan kau. Barangkali, ia berpunca dari perginya atuk kau, lagi-lagi kau kesayangan arwah semasa di hidup dan dia pun bukan orang yang tidak amalkan ilmu-ilmu ni.”

“Mungkin jelmaan-jelmaan ni cuma bertindak menjaga kau sahaja. Toksahlah nak pikir panjang-panjang sangat. Kita pun berkongsi dunia ni dengan makhluk lain. Istighfar dan teruskan je perjalanan kau.”

“Bukan taknak istighfar Wak Mid. Lupa dah semua benda.”

Menyedari Jimi sudah mula meracau, Wak Mid sendiri menawarkan untuk bawa beliau ke Pt Sulong, bagi urusan jenazah arwah datuknya. Setibanya, di kampung halaman, Azimi sendiri mendapat tahu bahawa beliaulah yang datuknya ingin bertemu sebelum meninggal dunia.

“Dia nak kau selamat Jimi. Tu je.”

Astora Jebat

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 21 Average: 4.1]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.