Lelaki Sebalik Kabus Bab 5

Cerita ini cuma fiksyen, tiada kena mengena dengan yang hidup atau m**i.
BAB 5

Di dalam sebuah bilik, ruangnya kecil. Diana tersedar semula, tubuhnya di selimuti dengan hoodie. Waktu itu masih malam. Jam di tangan sudah 12 pagi. Dia duduk dalam posisi tersandar di dinding ketika tidak sedarkan diri. Diana memegang kepalanya yang sakit bercampur pening. Tapak tangannya masih berdarah. Di mana pula dia berada kini? Dia menoleh ke luar yang ada cuma hutan. Diana cuba bangun meninjau keadaan. Didem sudah tiada. Gerak hatinya rasa selamat walaupun dia sendiri tidak tahu di manakah dia berada dan siapa yang membawanya ke situ.

Di luar masih lagi hujan. Lama juga dia bergelut dengan Didem tadi. Badannya mula sakit-sakit. Langkah Diana terhenti. Diana tidak tahu apa yang harus di lakukannya kini. Di hadapan sebelah penjuru kanan susuk tubuh lelaki tadi sedang berdiri menyandar di dinding. Cuma kelihatan bayang-bayang sahaja. Bau mawar mula menusuk ke dalam hidung.

Telinga terasa bingit dengan suara hujan yang lebat turun menimpa atap. Mereka berada di dalam sebuah kuarters tinggalan. Lembaga hitam, masih setia di situ. Diana tidak dapat melihat wajahnya. Tapi Diana tahu, dialah lelaki di sebalik kabus. Dia berdiri jauh di sudut bilik yang gelap tanpa sebarang cahaya. Cuma sesekali cahaya kilat yang sambung-menyambung menerangi ruang bilik dapat membantu Diana melihat dengan sedikit jelas di mana kedudukannya.

Sebahagian dari diri Diana seolah-olah sangat mengenali lelaki misteri itu dan sebahagian dari akal warasnya masih menolak. Diana cuba menyelak semula memori di yang ada dalam kotak fikiran tapi hampa. Diana yakin, seumur hidup ini belum lagi berjumpa dengannya. Hanya dalam mimpi mereka pernah bersua.

Suhu di dalam bilik makin lama makin sejuk, seolah-olah suhu berada di bawah 6 darjah Celsius. Hawa kedinginan makin mencengkam tubuh Diana yang sudah terketar-ketar. Perlahan-lahan dia cuba mendekati. Diana kaget, matanya mampu bercahaya di dalam gelap. Seolah-olah sepasang cahaya milik kunang-kunang. Persis mimpinya.

Tanpa sedar jarak antara mereka hanya satu meter. Jantung pula kian kuat berdegup. Nafas Diana seolah-olah tersekat, tubuh gadis itu kaku kerana kesejukan dan ketakutan. Makin dia dekat, makin dingin suhu di sekitar. Kelihatan kabus mulai menyelubungi mereka berdua di dalam bilik.

Mungkin ini penghujung hayat Diana. Dia pasrah menanti nyawanya di ambil pergi lalu memejamkan mata. Tangan Diana di pegang, lalu di angkat.

“Tangan awak masih berdarah.” Tangan yang tersarung dengan sarung tangan kulit itu, memegang tangan Diana.
Diana cuma diam. Hanya melihat tindakan lelaki itu yang sedang meraba poket di bahagian seluar seperti mencari sesuatu. Selepas beberapa minit, dia mengeluarkan sehelai sapu tangan yang sedikit lembab kerana terkena hujan sebentar tadi.

“Dengan bau d***h ni, boleh bantu dia jejaki awak dengan mudah.” Ujarnya sambil membalut luka tangan Diana.

“Awak siapa?” Diana bertanya selepas lelaki itu melepaskan tangannya.

Persoalan itu dibiarkan tergantung.

“Lepas ni jangan keluar sendirian. Kejap lagi saya hantar awak balik.” Ujar lelaki itu lalu kembali ke posisi asalnya. Berdiri sambil menyandar ke dinding.

Diana duduk, merenung skrin smartphone. Masih tiada talian. Hanya wajah Ora yang dia nampak untuk meminta pertolongan. Namun gagal pula untuk menghubungi.

Di tengah kawasan lapang yang di kelilingi hutan, waktu subuh kian menjelang tidak lama lagi, hujan sudah pun berhenti. Cuma daun-daun pokok dan rumput masih basah. Empat sosok tubuh manusia kelihatan sedang berdiri.

Keadaan kelihatan tegang. Wajah masing-masing berkerut. Terutama Mustafa, dia seperti tidak puas hati dengan Didem. Didem sikapnya suka main-main, sengaja mahu tunjuk kuasa dengan otaknya yang gila.

“Kau kata, kau mampu Didem.” Mustafa menyindir.

“Ada orang cuba selamatkan dia. Bukan orang biasa, ku kira.” Didem membela diri.

“Siapa?” Doruk tertanya-tanya.

“Aku tak pasti Doruk. Walau mataku jelas dalam gelap tapi aku tak mampu melihat wajahnya yang berkabus. Aku sudah bilang, alih perhatian penjaga dia. Apa kau orang buat?”

“Kali ni, hati-hati. Jangan main-main lagi kakak. Biar Didem uruskan budak tu, kau semua termasuk aku, alihkan perhatian orang yang cuba lindungi budak tu. Kali ini hati-hati. Tuan Atlas sudah tanya kepada aku perkembangan kerja kita. Kalau kita tak mampu, dia sendiri mahu turun padang.”

Lainnya terdiam. Ego sedikit tercalar, malulah kalau Tuan Atlas sendiri yang buat kerja mereka. Tapi, penting sangatkah tugas ini hingga tuan sendiri mahu turut terlibat andai mereka tidak mampu. Atau tuan mereka sudah hilang keyakinan dengan kerja mereka. Was-was.

Seharian Diana tidak keluar dari bilik. Bukan kerana terlalu trauma. Tapi demam selesema. Mungkin kerana berjam-jam berlari di dalam hujan. Mujurlah hari ini masih cuti. Dia harap esok kekuatannya kembali pulih, demamnya akan menghilang kerana esok akan mula sesi kuliah seperti biasa. Hujung minggunya dihabiskan dengan mimpi ngeri yang penuh misteri dan tanda tanya. Dia fikir itu cuma mimpi, namun bekas luka di tangan adalah bukti.

Bagaimana dia di hantar pulang, Diana sendiri lupa. Dia hanya tersedar pada jam 9 pagi esoknya. Ketika sedar dari lena, dia sudah berada di atas katil dalam bilik sendiri. Kereta Ora pula di parkir di tempatnya semula. Lelaki itu datang tiba-tiba dan menghilang begitu sahaja.

Sekali lagi Ora jugalah yang menjaganya. Dia lega kerana Ora tidak bertanya bukan-bukan tentang kejadian menimpanya. Biarlah perkara itu menjadi rahsia. Andai dia cerita pun, pasti Ora akan fikir dia mengalami gangguan jiwa atau sengaja mereka cerita kerana mahukan perhatian.

Angin bertiup lembut dari beranda masuk ke bilik. Wanita tua itu ralit mengait benang bulu kambing. Hari ini dia malas berkebun, tiba-tiba terdetik mahu hadiahkan cucu kesayangan topi dari benang bulu kambing. Dalam asyik melayan jari jemarinya mengait benang, sedar-sedar Bau wangian mawar yang dia kenal tiba-tiba saja menjengah masuk bersama tiupan angin. Nenek memandang ke arah beranda. Di luar berdirinya seorang lelaki yang memakai hoodie biru tua. Nenek tersenyum, faham maksud kedatangan lelaki itu.

“Maafkan nenek, Diana kena tahu dan itu hak dia untuk tahu. Biarlah Diana gali sendiri apa yang telah terkubur.”

“Tak usahlah kamu lenyapkan ingatan nenek, nenek dah tua. Bakal m**i.” Nenek tersenyum lembut.

Lelaki itu akur.

Bersambung….

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 5]

9 thoughts on “Lelaki Sebalik Kabus Bab 5”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.