MACAM PUASA TAHUN LEPAS

“Apabila datangnya Ramadan maka dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu neraka dan syaitan-syaitan akan dibelenggu.” (HR Al-Bukhari dan Muslim)

…………………………………………………..

Esok, seluruh umat Islam akan menyambut kedatangan bulan Ramadan, bulan mulia. Malam ini solat sunat Tarawih juga bakal bermula. Pasti ramai yang akan ke surau dan masjid untuk melakukan solat sunat tarawih berjemaah seperti biasa setiap kali Ramadan tiba. Ramadan, bulan penuh keberkatan dan rahmat. Melentur jiwa agar lebih dekat dan taat kepada Allah.

☘️Pukul 4:30am

Suasana tidak hening seperti selalu. Di bulan Ramadan waktu begini kebanyakkan para ibu dan wanita sudah bangun untuk menyiapkan hidangan bersahur. Bunyi loceng jam juga boleh kedengaran di jam atau telefon pada setiap rumah berdekatan.

“Mama, bangun? Sahur. Nanti mama terlewat. Bangun, ma?” Suara seseorang mengejutkannya dari lena.

Erina terjaga. Terpisat-pisat melihat jam loceng di sudut meja lampu tidur. Belum waktunya lagi jam itu berbunyi. Pukul 4:50am baru ia akan berbunyi kerana Erina sudah siap meletakkan waktunya sebelum dia masuk tidur. Tetapi Erina perasan. Seperti ada yang mengejutkannya tadi. Suara kanak-kanak perempuan. Erina lantas menoleh di hadapan katil. Bibirnya melorek senyum tatkala melihat anak gadisnya, Tisha yang baru berusia sembilan tahun itu turut tersenyum memandangnya.

“Dah bangun, anak mama? Tisha ke, yang kejutkan mama tadi?”

“Ya, ma. Esok kan puasa. Tisha nak temankan mama masak sahur. Macam puasa tahun lepas. Bila mama masak sahur, Tisha bangun temankan, mama. Cepatlah bangun, ma….” Tisha menarik-narik lengan kiri mamanya apabila melihat, Erina masih duduk tidak berganjak dari atas katil.

“Ya, ya…mama bangunlah ni. Anak mama yang comel ni…tak sabar-sabar!” Ujar Erina sambil mencubit lembut pipi gebu anaknya. Geram, dengan tingkah Tisha yang mendesaknya.

Dia menoleh sekilas kearah suaminya yang lena di sebelah, sebelum turun daripada katil sambil membuat isyarat senyap dengan meletakkan jari telunjuk ke bibir.

Gadis kecil berbaju kurung putih itu hanya tersengih. Jemari kanan mamanya diraih. Beriringan dengan wanita cantik itu menapak keluar bilik.

Tet tet tet tet! Tet tet tet tet!

Bunyi loceng jam mengganggu lenanya. Tangan meraba-raba ke sebelah.

“Sayang…bangun. Matikan jam tu.” Arahnya.

Namun, jam masih terus berbunyi. Membingitkan! Sehingga memaksa untuk dia bangkit dari pembaringan.

“Erin…?” Bila merasakan kosong di sebelahnya, Aidin terus menoleh.

Dia mendapati isterinya tiada di atas katil. Pasti Erina sedang memasak ketika ini untuk mereka bersahur. Hidungnya pun sudah terhidu bau aroma ayam goreng.

Di dapur, Tisha yang sedang duduk di atas kerusi masih setia menemani mamanya.

“Mama, nak Tisha tolong?” Soal Tisha. Sejak tadi dia hanya memerhatikan Erina memasak.

“Tak apa, sayang. Mama boleh buat semuanya sendiri. Tisha, duduk saja temankan mama, okey?” Kata Erina sambil meletakkan ayam yang sudah siap digoreng ke dalam pinggan.

“Baik, ma.” Tisha tersenyum senang.

Erina kembali menyudahkan hidangan seterusnya. Untuk sahur biasanya, dia hanya memasak yang ringkas-ringkas sahaja. Lagipun mereka makan tidak banyak mana ketika bersahur.

Usai keluar dari bilik air, Aidin terus menapak ke ruangan dapur. Melihat si isteri sibuk memasak bibirnya menguntum senyuman. Dia mendekati Erina. Memeluk daripada belakang. Erina agak tersentak. Namun, tersenyum kemudian.

“Kenapa Erin, tak kejutkan abang? Abang boleh temankan. Atau tolong Erin memasak.” Tutur Aidin lembut.

“Erin ingat nak kejutkan abang lepas memasak. Tapi abang dah bangun sendiri.”

“Yalah. Tadi jam berbunyi. Abang terbangun. Abang ingatkan, Erin belum bangun lagi. Bila abang nak kejutkan Erin, abang tengok Erin dah tak ada dekat sebelah.” Jelas Aidin.

“Erin bangun awal sebab ada orang kejutkan. Dari tadi dia temankan Erin memasak. Macam puasa tahun lepas. Dia rajin temankan Erin.” Beritahu Erina. Tangannya lincah menumis ramuan sayur kacang buncis.

Aidin melepaskan pelukannya. Terkedu. Mata memandang setiap sudut ruang dapur tersebut. Tiada sesiapa. Rasanya hanya mereka berdua sahaja di dapur itu.

“Siapa yang kejutkan, Erin? Siapa yang temankan, Erin memasak?” Soal Aidin dengan riak pelik.

“Eh, abang tak nampak, ke? Kan anak kita, Tisha….?” Erina bingung ketika berpaling. Mana pula Tisha pergi? Tadi ada saja duduk di kerusi itu.

“Kejap! Erin pergi panggil dia. Tak sedar pula Erin dia dah tak ada. Masuk bilik lah tu. Sambung tidur balik. Bertuah betul budak Tisha ni.” Sambil mengomel Erina segera berlalu ke bilik anaknya.

Aidin hanya menggeleng melihat tingkah si isteri. Sayur yang sudah siap masak di dalam kuali dimasukkan ke dalam mangkuk kaca. Lalu dihidangkan di atas meja.

Sejurus kemudian, Erina kembali semula. Membawa Tisha duduk di sebelahnya. Aidin memerhatikan gelagat Erina meletakkan pinggan, nasi dan lauk buat Tisha. Minuman Tisha susu kurma dituangkan ke dalam gelas. Niat puasa dan doa makan dibaca sebelum mereka menjamu selera.

******************

Usai solat Subuh berjemaah, Erina mengucup tangan suaminya. Dia meminta Tisha melakukan perkara yang sama. Tetapi anaknya itu seolah tidak mendengar. Terus berlalu keluar meninggalkan bilik mama dan papanya. Erina bangun dan mengejar langkah Tisha yang ingin ke bilik. Menonong sahaja Tisha masuk ke dalam bilik tersebut. Aidin pula tidak kata apa. Hanya membiarkan sahaja. Cuma keluhan berat terlepas di bibirnya.

“Sayang, kenapa tak salam papa tadi? Tak baik buat macam tu, tahu? Tisha cakap nak jadi anak yang solehah, kan?” Tegas Erina tidak suka jika Tisha tidak hormat papanya.

Tisha tertunduk bungkam di birai katil. Erina mengusap-ngusap lembut belakang anaknya. Memujuk Tisha kerana merasakan anaknya itu seperti sedang merajuk.

“Maaf, mama. Tadi kepala Tisha sakit. Sebab tu Tisha masuk ke bilik terus. Lain kali Tisha salam papa, ya? Mama, janganlah marah….” Rengek Tisha dengan manjanya.

“Tak adalah. Mama tak marah pun. Inikan bulan Ramadan. Tak baik marah-marah, kan?” Dahi Tisha dikucup penuh kasih sayang. Tisha satu-satu anaknya. Sudah tentulah seluruh kasihnya akan diserahkan kepada Tisha dan juga suaminya.

“Mama, tahun ni Tisha nak puasa penuh. Macam puasa tahun lepas. Tisha dapat puasa penuh.” Kata Tisha dengan segaris senyuman.

“Baguslah. Macam puasa tahun lepas. Mama dengan papa bangga sangat bila Tisha dapat puasa penuh.

Hebat anak mama ni!” Puji Erina. Walaupun Tisha masih kecil ketika itu dia dan Aidin mengajar Tisha untuk belajar berpuasa. Lama-kelamaan Tisha sudah boleh melakukannya tanpa merungut lapar dan letih.

“Mama, bulan Ramadan ni kita kena banyakkan membaca Al-Quran dan berzikir, kan?”

“Betul tu, sayang. Selain diwajibkan berpuasa selama sebulan, Ramadan adalah bulan penuh kesabaran. Menahan diri dari segala hawa nafsu. Dan, jaga mulut. Jangan cakap perkara-perkara yang tak elok. Ia boleh mengurangkan pahala puasa kita. Faham, tak?”

“Faham, mama. Tisha nak mengaji. Nak dapat pahala. Nanti Tisha boleh masuk syurga. Jom, mama! Kita mengaji? Macam puasa tahun lepas. Kita mengaji sama-sama.” Tisha mengambil Al-Quran dan rehal kayu yang terletak di atas rak almari pakaiannya.

Sejuk mata Erina. Tisha memang anak yang baik. Ibu bapa mana yang tidak terharu dapat anak seperti Tisha.

************

Puasa pertama, kedua dan ketiga sahaja Erina rajin memasak juadah untuk berbuka. Tapi seronok juga bila Tisha pun sibuk juga membantu mamanya. Seperti puasa tahun lepas. Bila Erina melarang, Tisha tetap hendak membantunya. Masuk Ramadan keempat Erina tidak tahu hendak masak apa. Tempat paling mudah mendapatkan juadah berbuka puasa di mana lagi kalau bukan di bazar Ramadan. Erina pergi bersama Aidin dan anaknya, Tisha. Di kampung mereka deretan bazar Ramadan agak panjang berbanding di tempat lain. Pelbagai juadah yang enak boleh didapati.

Ketika hampir tiba waktu berbuka Erina meletakkan beberapa jenis kuih-muih kegemaran Tisha ke dalam pinggan. Minuman berperisa buah-buahan dituangkan ke dalam gelas Tisha. Seperti biasa juga sejak satu Ramadan lagi Aidin hanya menjadi permerhati setiap tingkah laku isterinya. Dia ingin menegur. Tetapi tidak sampai hati. Seperti Erina, dia juga sedih dan terlalu sayangkan Tisha.

Mungkin kerana dia sibuk dengan pekerjaannya di sebuah kilang kelapa sawit, Tisha lebih manja dan rapat dengan Erina. Apa sahaja yang dimahukan dia akan meminta pada mamanya berbanding dengan papanya.

Selepas solat Maghrib, Aidin meluangkan masa seketika dengan berzikir dan membaca Al-Quran. Hatinya terasa tenang setelah ayat-ayat suci Al-Quran dialunkan. Sementara Erina, berada di bilik anaknya. Sedang mengajar Tisha mengaji.

Aidin bersiap-siap untuk ke surau. Dia menapak keluar bilik lalu menjengah ke bilik Tisha. Ingin mengajak Erina ke surau sekali bersamanya melakukan solat sunat Tarawih.

“Abang pergi dululah. Nanti Erin dengan Tisha menyusul. Lagi sikit ni, Tisha nak habis mengaji.” Erin memandang Aidin yang berada di muka pintu bilik. Sedikit senyuman turut diukirkan. Aidin tersenyum tipis dan mengangguk sebelum berlalu.

Setelah hampir masuk waktu Isyak, Erina segera mengenakan telekung. Kemudian, dia meminta Tisha memakai telekung yang sama warna dengannya. Telekung sama yang digunakan pada Ramadan tahun lepas ketika mereka ke surau untuk solat sunat Tarawih berjemaah.

“Mama, macam puasa tahun lepas, kan? Kita pakai telekung warna biru ni pergi surau.” Ujar Tisha ceria.

“Ya, sayang. Mama rindu nak pakai telekung ni. Jom! Kita dah lambat ni.” Erina menarik lembut lengan anaknya.

Usai mengunci pintu rumah Erina dan Tisha menghayunkan langkah menuju ke surau berdekatan. Sesekali Erina disapa mak cik-mak cik yang ingin ke surau juga. Namun, ada juga yang tidak berani hendak menegur Erina apabila melihat Erina bercakap-cakap dengan anaknya.

“Malam Lailatul Qadar tu apa, mama? Hari tu ustazah ada ajar. Tapi Tisha lupa. Mama, tahu tak Lailatul Qadar?” Soal Tisha sambil memandang wajah Erina.

“Tahu, sayang. Lailatul Qadar amat istimewa. Satu malam penuh berkat yang lebih baik daripada seribu bulan. Ia muncul pada malam, sepuluh hari terakhir bulan Ramadan. Kemunculannya dinantikan oleh setiap umat Islam yang beriman dan bertakwa kepada Allah. Kita kena banyakkan berzikir dan membaca Al-Quran.” Beritahu Erina dengan jelas. Sebelah tangannya mengusap perlahan kepala anaknya.

Tisha hanya tersenyum mendengar penjelasan mamanya.

************

☘️Pukul 3:00am

Erina yang terjaga dari tidur bingkas turun daripada katil. Langkah diatur ke bilik air. Mengambil wuduk. Setelah itu dia melakukan solat sunat Tahajjud. Sedang berzikir, Erina terdengar seperti suara Tisha sedang menangis. Perasaannya jadi tidak enak. Tisha sakit kah? Ya, Allah! Erina mengucap sambil mengurut dada. Dia bergegas ke bilik Tisha.

Langkahnya terhenti di hadapan pintu bilik itu setelah pintu dikuak. Dia merasa pelik melihat Tisha yang berdiri di atas katil dengan berpakaian baju kurung putih kegemarannya. Rambut panjang Tisha separas pinggang mengerbang seperti ditiup angin. Masih kedengaran isakan kecil anaknya itu.

“Tisha? Kenapa, sayang? Kenapa Tisha menangis? Tisha sakit, ke? Beritahu, mama?” Soalan demi soalan Erina tanyakan bersama perasaannya yang resah.

Tetapi Tisha tetap juga begitu. Tidak berganjak. Berdiri tegak di atas katilnya. Membelakangi Erina sambil terisak.

“Tisha….” Belum sempat Erina menghampiri lebih dekat, Tisha tiba-tiba memusingkan tubuhnya menghadap Erina.

“Mama…Tisha sakit, ma…Tisha sakit….!!” Suara Tisha berubah garau.

Erina yang masih lengkap bertelekung terus terpaku di situ. Wajahnya pucat lesi. Suaranya tidak terkeluar. Hanya mulutnya ternganga. Seolah tidak percaya menyaksikan perubahan Tisha. Baju kurung Tisha yang putih suci bersih itu telah dicemari d***h merah pekat. Kepala dan wajah Tisha juga dibanjiri d***h yang mengalir.

“Mama….!” Sekali lagi Tisha bersuara.

Menggigil seluruh tubuh Erina. Dia ingin memanggil Aidin. Tetapi suaranya tersekat. Akhirnya, tubuh Erina jatuh rebah ke lantai.

.

.

.

☘️Tujuh hari sebelum Ramadan….

“Abang, Erin nak pinjam kereta boleh tak? Nak bawa Tisha pergi pekan beli baju raya.” Pinta Erina. Suaminya yang sedang menikmati secawan kopi o panas pagi itu, memandangnya dengan dahi berkerut.

“Awalnya nak beli baju raya? Ramadan pun belum lagi, sayang. Lagi tujuh hari baru masuk Ramadan. Tunggulah pertengahan Ramadan atau hujung-hujung Ramadan dulu.” Tukas Aidin.

Selalunya, dia, isteri dan anaknya membeli belah untuk baju raya seminggu sebelum hari raya. Pelik pula kalau pergi seawal ini.

“Tak tahulah, Tisha tu. Dari semalam merengek nak beli baju raya. Tak apalah, abang. Beli ajelah untuk dia dulu, ya?” Erina sedikit merayu. Harap-harap Aidin mengizinkan dia dan Tisha ke pekan sebentar. Pekan tu pun tidaklah jauh mana.

“Yalah. Tapi jangan lama-lama. Kejap lagi abang nak guna kereta. Nak ke kilang. Ada urusan.” Pesan Aidin. Sebenarnya, dia agak keberatan untuk melepaskan anak dan isterinya ke pekan tanpa dia menemani. Namun mulutnya tetap juga membenarkan.

“Baik, abang. Lepas Tisha beli baju raya, Erin dengan Tisha terus balik.” Janji Erina. Dia memanggil anaknya yang sudah bersiap.

Tisha keluar daripada bilik dengan mengenakan baju kurung berwarna putih. Baju kurung putih itu antara baju raya kegemaran Tisha. Tahun lepas raya pertama dia bersama mama dan papanya memakai warna sedondon, putih.

“Wah! Cantiknya anak papa. Dah pandai mekap sekarang. Ini mesti mama yang ajar, kan?” Aidin melirik kearah isterinya yang hanya mempamerkan sengihan.

Tisha mengangguk jujur. Dia pun nak jadi cantik macam mamanya. Selepas mengucup tangan Aidin, Tisha turut memeluk dan mencium pipi papanya itu. Tingkah lakunya mengundang sebak di hati Aidin. Entah mengapa hatinya juga berasa tidak sedap. Tetapi cepat-cepat disingkirkan perasaannya itu.

“Tisha pergi dulu ya, papa? Tisha sayang, papa.” Ucap Tisha sambil tersenyum.

“Okey. Papa pun sayang, Tisha.” Balas Aidin. Sempat dia memesan kepada Erina supaya berhati-hati ketika memandu.

“Bye, papa!” Sekali lagi Tisha tersenyum dan melambai kearah Aidin sebelum meloloskan diri ke dalam kereta bersama mamanya.

Siapa sangka. Itu adalah kali terakhir Aidin melihat senyuman manis dan lambaian Tisha sebelum anak dan isterinya ditimpa kemalangan jalan raya.

☘️Sebelum kemalangan….

Sampai di sebuah pekan, Erina dan Tisha ke kedai pakaian. Tetapi Tisha tidak berminat dengan kesemua baju kurung kanak-kanak yang terdapat di situ. Dia lalu meminta mamanya membawanya ke bandar besar. Bila Erina enggan, Tisha merajuk sambil menangis. Erina tidak sampai hati. Dia ikutkan sahaja kehendak Tisha. Kereta dipandu meluncur ke lebuh raya.

Mungkin Erina telah memandu dengan berhati-hati. Tetapi, malang tidak berbau. Kemalangan itu tidak dapat dielak. Sebuah kenderaan tiba-tiba muncul. Pemandu wanita terbabit memandu keretanya secara melawan arus. Mengakibatkan berlaku perlanggaran antara tiga buah kenderaan. Kemalangan tersebut menyebabkan kereta Erina terbalik beberapa kali. Namun, Erina bernasib baik. Dia hanya mengalami cedera ringan di anggota badan. Anaknya pula, Tisha yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dalaman badan hanya mampu mengerang. Sambil memandang sayu, cuba memanggil mamanya.

“Ma…ma…Tisha sakit…mama….” Rintihan suara Tisha kedengaran tenggelam timbul. Nafasnya tersekat-sekat.

D***h merah pekat deras mengalir daripada kepalanya. Memenuhi wajah kanak-kanak malang itu. Tisha akhirnya, menghembuskan nafas yang terakhir di sisi mamanya.

“Ya, Allah! Tisha! Tisha, anak mama! Jangan tinggalkan mama, sayang….! Bangun Tisha!” Erina terus meraung di dalam kereta yang agak remuk itu.

Hatinya hancur luluh. Pilu. Melihat keadaan Tisha. Dia sendiri tidak mampu bergerak kerana tersepit. Sehinggalah bantuan datang menyelamatkannya.

.

.

.

“Erin!” Aidin menghampiri isterinya yang sudah tersedar daripada pengsan.

“Abang….” Erina cuba bangun. Terasa berat dan berdenyut bahagian kepalanya.

“Erin baring aje. Erin tak sihat. Abang rasa Erin demam. Lepas ni, kena makan ubat. Kalau tak larat, tak payah puasa esok. Tadi, Erin pengsan dalam bilik arwah Tisha.” Beritahu Aidin.

Terkesima Erina apabila Aidin menyebut perkataan, arwah. Wajahnya berubah marah.

“Arwah? Abang cakap apa ni?! Tisha belum m**i lagi! Kenapa abang panggil dia ‘arwah?’ Sampai hati abang. Anak kita tu masih hidup. Dia selalu ada temankan Erin. Abang, tak nampak ke, semua tu? Macam puasa tahun lepas. Dia kejutkan Erin sahur. Dia temankan Erin. Dia mengaji dengan Erin. Solat dengan Erin dan abang. Berbuka sama-sama dengan kita. Pergi solat tarawih. Tisha sentiasa ada depan mata Erin. Dia lakukan semua itu sama macam puasa tahun lepas.”

“Cukup, Erin! Memang bagi Erin semuanya sama macam puasa tahun lepas. Sebab Erin tak pernah reda dengan pemergian Tisha. Erin bawa semua kenangan Ramadan tahun lepas dengan Tisha dalam hidup Erin. Sebab itulah Erin merasakan segala-galanya sama. Seolah-olah Tisha masih wujud lagi. Sudahlah tu, Erin. Jangan siksa jiwa Erin lagi. Tisha dah tak ada. Anak kita dah tak ada, sayang. Dia dah pergi buat selamanya. Erin kena terima kenyataan itu. Kita boleh rindu dan ingat pada dia. Tapi jangan sesekali kita biarkan diri terus dibayangi masa lalu bersama mereka yang telah tiada. Jangan kita kesali atas semua yang terjadi ” Lirih Aidin.

Sebagai seorang ayah, dia juga sedih dengan permergian Tisha. Sekalipun dia tidak pernah melupakan wajah comel anaknya itu. Apa yang terjadi telah ditakdirkan. Dan dia, tidak pernah menyalahkan takdir.

“Tapi, ini semua salah Erin. Kalau Erin pandu hati-hati semua ni takkan berlaku. Erin yang salah, abang. Erin yang salah!” Semenjak kemalangan yang meragut nyawa anaknya, Erina sentiasa menyalahkan dirinya sendiri.

“Tak! Bukan salah, Erin. Semua orang tahu punca kemalangan tu berlaku. Tak ada sesiapa pun yang salahkan Erin.” Pujuk Aidin sambil menarik tubuh Erina ke dalam dakapannya. Belakang Erina diusap perlahan untuk menenangkan.

“Kasihan anak mama. Maafkan mama, sayang. Mama rindu, Tisha.” Rintih Erina dengan perasaan hiba. Tangisannya dihamburkan ke dada Aidin.

Kerana rindukan Tisha di bulan Ramadan, Erina sentiasa merasakan kewujudan Tisha di dalam rumah itu. Menjalani ibadah puasa bersama anaknya sama seperti yang dilakukan pada tahun lepas. Erina akui, dia tidak boleh terima dengan kehilangan Tisha.

“Kalau Erin rindu Tisha, doakan untuk dia. Bacakan Al-Fatihah untuk dia. Esok, kita pergi ziarah kubur dia ya, sayang?” Ucap Aidin sebak. Dia berharap Erina akan pulih. Tidak lagi dibayangi kehadiran arwah Tisha di dalam rumah itu.

Anggukkan kecil Erina melegakan hati Aidin. Ketika itu jam menunjukkan hampir pukul 5:00am. Mereka terus sahaja bersahur. Walau tidak sihat Erina berkeras juga ingin berpuasa. Katanya, dia masih larat. Aidin membantu Erina memasak walaupun isterinya itu melarang.

Selepas bersahur Erina menjengah ke bilik arwah anaknya. Perasaan sebak tidak mampu disembunyikan. Dia duduk seketika dibirai katil Tisha sambil menatap foto anaknya itu di dalam bingkai. Air matanya jatuh satu per satu.

‘Mama reda. Mama dah lepaskan, Tisha. Semoga anak mama damai di sana. Mama sayang, Tisha.’ Bisik hati Erina sayu. Bukan mudah untuk dia melupakan kenangan bersama Tisha.

Gambar Tisha dicium dan dipeluk erat bersama air mata yang mengalir. Ketika menoleh ke luar pintu bilik tersebut, Erina seolah terlihat Tisha berdiri di situ. Memakai baju kurung putih kesukaannya sambil tersenyum pada Erina. Wajah Tisha kelihatan putih berseri. Erina hanya tersenyum dan mengangguk sebelum bayang-bayang anaknya menghilang dari pandangan.

Di Ramadan ini hati Erina dan Aidin terasa sayu dan pilu tanpa Tisha di sisi mereka.

-TAMAT-

Thank you!

🌹SELAMAT BERPUASA!

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 56 Average: 4.4]

1 thought on “MACAM PUASA TAHUN LEPAS”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.