Main Kasar (Seram)

Hi semua, saya Gaya, penulis cerita #Akibat Cemburu. Ini bukan pengalaman saya selepas di kolej itu, cuma saya inginkan kongsi pengalaman yang diganggu entiti dengan cara yang agak “kasar”. Pengalaman saya ini berlaku di rumah yang kami diami setelah kahwin. Rumah ini terletak di Pantai Dalam, nama apartment biarlah menjadi rahsia.

Pada mulanya kami mendapat rumah teres di Taman OUG dengan harga RM 900, melebihi kemampuan kami dan juga tempatnya yang tidak strategik menjadi masalah utama kami ketika itu. Akan tetapi, kakak saudara suami saya iaitu Gee, telah menawarkan sebuah rumah apartment dengan harga RM 600, di Pantai Dalam, iaitu rumah yang baru didiaminya 2 bulan lalu. Apabila kami bertanya tentang sebab musabab dirinya yang ingin menawarkan rumah yang sedang didiaminya, dia berkata bahawa rumah yang kami dapat di Taman OUG itu sangat sesuai untuk keluarganya memandangkan keluarganya besar dan berkemampuan berbanding kami. Alasan yang diberi oleh Gee tidak dapat disangkal dan tempatnya yang strategik untuk tempat kerja kami telah membuatkan kami bersetuju tanpa berfikir panjang. Rumah itu telah dibersihkan oleh Gee dan suaminya sebelum keluar. Saya berasa sangat pelik akan tindak tanduk Gee dan suaminya, yang kelihatan seperti tergesa-gesa untuk keluar dari rumah itu. Namun, saya cuba berfikiran positif, mungkin ada banyak lagi perkara yang hendak diselesaikan di rumah barunya. Saya dan suami membuat upacara kemasukan rumah secara kecil-kecilan sahaja. Gangguan bermula pada malam pertama kami di rumah itu. Ya, malam itu juga!

Dalam pukul 5 petang, suami saya telah selesai menguruskan barang-barang di dalam rumah dan mula membersihkan kawasan luar rumah. Saya pula bercadang hendak masak di rumah untuk makan malam (teruja sangat!). Sepanjang saya menumis bahan-bahan di kuali, saya terdengar seperti ada orang berdehem berkali-kali dan mundar mandir dari dalam bilik ke ruang tamu. Saya berfikiran mungkin suami saya telah habis bersihkan kawasan luar rumah dan berdehem sebab tidak tahan dengan bau tumisan, jadi saya abaikan sahaja bunyi-bunyi itu. Tiba-tiba, saya terdengar bunyi pintu rumah dibuka dari luar. Saya berasa hairan, siapalah yang nak datang ke rumah kami. Tanpa berfikir panjang, saya terus ke depan untuk lihat. Alangkah terkejutnya saya apabila suami saya berdiri di muka pintu dengan memegang beg plastik berisi dua botol kecil air berkarbonat. Dengan mata terbeliak dan jantung yang berdegup kencang, saya bertanya , “bila masa you keluar, kenapa tak reti nak bagitahu kalau nak keluar”. Agak kasar, tetapi suami saya jawab dengan senyuman di bibir, “I tengah bersihkan luar rumah, tetiba ternampak aunty depan rumah kita ni ada jual barangan runcit. Saya pun apa lagi terus beli la minuman untuk kita, kenapa berpisah sekejap pun tak boleh?” Jawapan itu tidak menggembirakan saya malah lebih merunsingkan saya. Siapa yang berdehem? Siapa yang berjalan mundar mandir? Saya segera beritahu suami saya mengenai apa yang telah saya dengar. Suami hanya tergelak dan mengatakan, “you mungkin tak biasa tinggal di rumah flat/apartment. Bunyi yang you cakap tu mungkin dari rumah sebelah la. Dah u masak apa untuk I…..” dan selari dengan itu suami saya telah menukar topik dan masuk ke dalam rumah. Saya berdiri terpinga-pinga sebelum berjalan menuju ke dapur.

Setelah selesai makan malam, kami menonton tv sambil bergelak ketawa. Meluangkan masa dengan suami saya sedikit sebanyak telah membuatkan saya lupa akan perkara sebentar tadi. Pada malam itu, saya telah bermimpi seperti saya sedang bercakap dengan suami saya dengan gelak ketawa dan selepas itu kami masuk tidur. Situasinya sama sepertimana kami menonton tv malam itu. Yang bezanya dalam mimpi itu, saya rasa seperti ada orang berjalan dengan begitu marah ke dalam bilik kami dan berdiri tepat di sebelah saya. Suami saya tidur sebelah dinding, saya pula mengiring sebelah kanan, iaitu bertentangan dengan arah dinding. Saya membuka mata saya memandangkan saya dapat rasa ada sesuatu di sebelah saya. Apa yang saya nampak sangat mengejutkan saya. Kaki berwarna hitam (tapak kaki memang tak nampak) dan cara kain batik yang dipakai oleh orang tua-tua dalam masyarakat India (kain batik sehingga paras bawah lutut sahaja). Setakat itu sahaja yang saya nampak, tak ada niat langsung untuk mendongak ke atas dan lihat siapa gerangannya. Sedang saya cuba untuk memfokus apa yang sedang berlaku dan menyoal diri sendiri, adakah ia mimpi (sedangkan saya lihat dengan mata saya sendiri), tiba-tiba “seseorang” itu telah mejerit sekuat hatinya. Bulu roma saya naik mencanak serta merta. Saya sedar, walaupun saya bermimpi pada awalnya, tetapi apa yang saya alami pada waktu itu bukanlah mimpi. Sejurus saya sedar apa yang alami bukan mimpi, terus bayangan kaki berkain batik paras bawah lutut itu hilang seperti asap. Saya diam tidak berkutik buat seketika, fikiran saya kosong, jantung berdebar.

Insiden seperti bunyi berdehem, rasa kewujudan seseorang, mimpi buruk dan penampakan sudah menjadi rutin harian saya. Namun, panampakan kali ini bukanlah imej keseluruhannya. Cuma kaki atau dari belakang entiti tersebut. Pernah sekali semasa saya sedang menyapu sebelum tidur, saya ternampak ada sesuatu dengan rambut kusut dan nipis, serba hitam sedang berdiri membelakangi saya. Saya buat tidak nampak sahaja supaya saya tidak menarik perhatian “dia”. Saya tidak menceritakan secara terperinci tentang gangguan ringan ini sebab ianya gangguan biasa kita dengar, tiba-tiba berdiri belakang saya semasa saya toleh, tiba-tiba bangun tengah malam dan sejurus buka mata nampak bayangan hitam, gegaran pintu balkoni jika saya dan suami bercakap mesra, tiba-tiba angin kuat menerpa muka semasa memasak dan sebangainya. Suami tidak merasa apa-apa disebabkan kerjanya yang membataskan keberadaan suami di rumah. Perkara ini berlanjutan dan saya hanya menceritakan sesetengah insiden sahaja kepada suami kerana tidak mahu membebankannya. Semua insiden yang saya anggap sebagai ringan dan biasa ini berlanjutan sehingga dua bulan selepas kami berkahwin, iaitu sehingga saya disahkan hamil oleh doktor. Rasa gembira ketika itu tidak dapat digambarkan, tetapi kegembiraan dan rasa bahagia yang dirasai tidak lama. Semasa saya hamil 6 minggu, saya telah bermimpi seperti ada seorang bayi dalam lingkungan umur 6-8 bulan sedang tidur di sofa rumah kami dan ada sesuatu yang kelihatan bejubah seperti “death messenger” sedang membongkok badannya melihat bayi itu. Saya yang sedang melihat kejadian ini dari jauh, jerit “HOI” pada entiti itu. Entiti itu toleh ke arah saya secara perlahan dan saya lihat bahagian mukanya kosong, hanya kelihatan kepulan asap putih di ruangan tersebut. Kemudian ia hilang seperti asap serta merta. Sejurus itu dilihat seperti saya dalam keadaan berdarah (seperti keguguran) sedang berjalan dengan titisan d***h di lantai dan ada suatu lembaga hitam (tiada rupa bentuk , hanya kelihatan seperti bayang-bayang) sedang berada di celah kedua kaki saya, menjilat d***h yang bertitis di lantai. Saya yang sedar ada lembaga hitam di celah kaki saya, berhenti dan berundur selangkah dan menangis apabila ada lidah berwarna merah sedang menjilat bayi yang sempurna sifatnya tapi masih dalam ketuban. Saya menangis teresak-esak dalam mimpi, tetapi sedar bahawa ada orang sedang memanggil nama saya sambil menangis juga, “Gaya..Gaya…bangun Gaya, oh my god, you are bleeding, bangun Gaya, jom pegi klinik”. Itu suara suami saya, tetapi saya berasa sangat lemah untuk membuka mata dan akhirnya keadaan menjadi senyap dan gelap.

Apabila saya buka mata, saya dikejutkan dengan berita keguguran saya. Saya sangat terkejut, saya sangka mimpi tetapi itulah yang berlaku sebenarnya. Suami memberitahu saya bahawa saya yang sedang tidur mula meracau. Suami membiarkan sahaja sebab menyangka ianya perkara biasa. Namun, beberapa minit kemudian, saya mula menangis dan tangisan saya menjadi semakin kuat. Suami saya segera membuka lampu dan agak terkejut sebab dia ternampak d***h di celah kaki saya. Disebabkan saya seperti tidak terkesan dengan cahaya lampu, hanya menangis teresak-esak dengan mata tertutup seperti tidur, dia mula memanggil nama saya malah menggoncang tubuh saya supaya saya sedar dari “tidur” saya. Oleh sebab tiada respon dari saya, suami saya segera mendukung saya ke kereta untuk ke hospital. Saya ditahan di wad selama seminggu dan diberi cuti 4 minggu, memandangkan keadaan saya sangat lemah. Saya hanya berehat di rumah selepas discaj dari hsopital. Suami saya telah pergi ke pejabat pagi itu sebab dia telah mengambil cuti selama seminggu semasa saya berada di hospital, untuk memasak dan menjaga saya. Untuk makluman pembaca, kami tidak memaklumkan berita kehamilan dan keguguran saya kepada kedua keluarga kami (sebab bercadang hendak beritahu tentang kehamilan saya selepas 3 bulan). Baik, balik kepada cerita, pagi keesokan selepas saya keluar dari hospital, saya sedang duduk bersarapan di rumah. Saya mengelamun, memikirkan tentang bayi saya. Tiba-tiba, saya terdengar suara perempuan gelak mengejek di dalam bilik stor. Saya tutup mata, tarik nafas sedalam-dalamnya dan hembus seraya melepaskan memori kehamilan saya pergi. Kerana, saya beranggapan bahawa bunyi tadi merupakan imaginasi saya. Saya tahu saya salah apabila saya terdengar lagi ketawa mengejek, kali ini lagi lama dan semakin galak. Saya mengumpul semangat saya, cuba menjadi Gaya yang lama. Saya bersuara dengan tenang, “kamu ingat kamu dapat ambil anak saya? Tanpa Tuhan, kamu ingat kamu dapat buat semua yang kamu sedang buat?” Selari dengan itu, jam dinding yang kukuh sejak kami berpindah jatuh bederai. Dan, bunyi dengusan kedengaran. Saya senyum sinis dan buat muka selamba seperti tidak terkesan dengan apa yang berlaku, walaupun jantung saya sudah berdebar-debar. Saya bangun berjalan ke arah dapur untuk letak cawan dan pinggan saya, pada waktu itulah dia mula menunjukkan dirinya secara keseluruhan. Rambut kusut yang ditutupi dengan kain hitam,mukanya yang tunduk tapi dapat lihat kulitnya yang berkedut seperti orang tua, blaus lusuh dan kain batik paras bawah lutut. “Dia” menaikkan tangan secara perlahan ke arah saya dan berbunyi “aaaa….” dengan mulut ternganga, tiada gigi kelihatan. Bunyi “aaa…” tersebut semakin lama semakin kuat dan nyaring, menyebabkan saya menutup mata saya dengan rapat. “Dia” berhenti berbuat demikian selepas beberapa minit. Saya membuka mata dan “dia” kelihatan memandangkan saya, kali ini mukanya tidak tertunduk. Mukanya tidak menakutkan macam hantu, tetapi kelihatan berkedut dan cukup menyeramkan. Saya menutup semula mata dan mula menenangkan minda dengan menyebut nama Tuhan sahaja. Selepas beberapa minit, terasa seperti angin yang kuat lalu sebelah saya seraya bunyi dengusan yang kuat. Apabila saya buka mata, seperti yang sedia maklum, “dia” tiada di depan mata saya.

Saya telah memberitahu suami saya berkenaan semua yang berlaku. Nasib baik dia tidak menganggap saya mengalami postpartum depression. Memang bukan pun. Maka, suami saya bercadang untuk berpindah dari situ dengan alasan keadaan tidak selamat di situ. Saya setuju dengan syarat untuk membuat upacara menyucikan rumah tersebut dan bertentang mata dengan Gee. Gee pada mulanya mengaku tidak tahu apa-apa. Tetapi apabila saya memberitahu mengenai keguguran bayi saya, dia mula bercerita berkenaan gangguan yang lebih kurang macam saya kecuali penampakan dan keguguran. Saya berpakat dengan Gee untuk berjumpa dengan tuan rumah tersebut. Pada mulanya tuan rumah tersebut berkunci mulut. Tetapi apabila digertak akan buat laporan polis dan memberitahu suami saya juga seorang polis (sorry hubby!), tuan rumah mula ceritakan tentang “dia”.

“Dia” ialah makcik bongsu tuan rumah yang tinggal bersama ibu bapanya (di rumah kami sekarang). “Dia” dikatakan telah bercinta dengan seorang lelaki, (saya namakannya Selan) yang juga sama sekolah dengannya. Selan yang pada mulanya bercinta dengan “dia” telah berpaling tadah pada seorang budak perempuan yang baru berpindah ke sekolah mereka, (saya namakannya Nisha). “Dia” selalu berjumpa dengan Selan untuk menagih simpati dan cinta lelaki itu. Tetapi, Selan menyatakan bahawa cintanya hanya pada Nisha, lebih-lebih lagi cintanya telah diterima oleh Nisha. Perkara ini telah mengundang perasaan marah dan kecewa “dia”. Maka, “dia” berpaling ke arah syaitan untuk membantunya. “Dia” ditinggalkan oleh keluarganya di rumah itu (rumah yang kami tinggal) apabila mereka dapat tahu yang “dia” mendalami ilmu hitam dan bertuhankan syaitan, juga enggan untuk berhenti berbuat demikian. Hanya ayahnya sahaja akan menjenguk “dia”, itupun untuk memberi makanan. Itu tidak mematahkan semangat “dia”. Ilmu hitam menjadi kuasanya. Dengan kuasa baru itu, “dia” menghantar macam-macam gangguan dan akhirnya menghapuskan Selan dan Nisha. Namun, “dia” tidak berpuas hati. Tidak berpuas hati kerana Selan dan Nisha merupakan pasangan kekasih yang bahagia sehingga akhir hayat mereka. Hidup “dia” penuh dengan kebencian dan kesuraman sehinggalah “dia” dijumpai oleh ayahnya dalam keadaan tidak bernyawa di bilik stor rumah tersebut dengan mata terbeliak pada usia 28. Ini bermakna “dia” menanggung keseksaan selama 12 tahun bersama segala makhluk diberi d***h “dia” sebagai “upah”. Tuan rumah yang turut berada bersama atuknya ketika itu mengatakan bahawa makciknya yang hanya berusia 28 tahun ketika itu kelihatan sangat tua bagi usianya dengan kulitnya yang berkedut dan tiada lagi gigi di mulutnya. Sejak kematian “dia”, rumah dikunci dan tidak dihuni oleh sesiapa, sehinggalah tuan yang ketika itu berusia 45 bercadang hendak menyewa rumah tersebut disebabkan krisis kewangan yang dihadapinya dan Gee merupakan orang pertama yang menyewa rumah tersebut. Meremang bulu roma saya bila mendengar cerita seperti ini. Masih wujudkah manusia sebegini?

Akhirnya saya telah meminta tuan rumah untuk membuat upacara menyucikan rumah tersebut dan bertegas saya hanya akan berpindah selepas upacara itu dijalankan. Upacara menyucikan rumah tidak dapat menghapuskan “dia “ sekaligus tapi dapat menunjukan erti “kepanasan”. Untuk menghapuskan “dia” memerlukan tok sami yang betul-betul warak memandangkan “dia” sangat kuat dengan ilmu hitam yang dimilikinya bersama dengan aura negatif (kebencian, dendam, dll) yang dia kumpul selama 12 tahun di rumah tersebut sehingga boleh buat apa sahaja, namun bukanlah kerja saya untuk mencari tok sami dan menghapuskannya. Saya hanya menasihatkan tuan rumah untuk menjalankan upacara yang seeloknya akan membuat rohnya tenang di sana. Sepanjang upacara penyucian rumah, bunyi jeritan nyaring dan bunyi mengerang kesakitan silih berganti. Saya pandang setiap orang di rumah itu. Muka mereka kelihatan tenang sahaja, tahulah saya bahawa mereka tidak dengar apa-apa bunyi. Hanya tok sami itu kelihatan gigih menjalankan upacara dengan muka berkerut. Selepas upacara tersebut tamat, saya ternampak “dia” sedang berdiri di penjuru rumah dengan senyap dan muka tertunduk. Saya berjalan ke arah “ dia” dan bersuara dengan tenang, “jangan lupa akan kewujudan Tuhan, untuk itulah aku sengaja jalankan upacara ini walaupun aku nak keluar dari rumah ini”. Hanya kedengaran bunyi dengusan kasar dari “dia”. Nampaknya “dia” marah. Saya berkata lagi dengan nada yang tegas, “Ingat jangan ikut aku, atau cuba untuk kacau kehidupan aku selepas ini. Aku berdiam kali ini sebab aku masuk tempat kau. Kalau kau cuba ceroboh tempat aku atas keinginan untuk mengacau aku, kau pasti akan terima balasannya sebab tok sami yang warak boleh dicari pada bila-bila masa dan di mana sahaja”. Aku tidak kacau engkau, dan engkau JANGAN sesekali kacau aku! Cukuplah engkau ambil anak aku, aku maafkan engkau”. Sengaja saya bertegas dengan “dia” supaya “dia” faham yang manusia tidak boleh diperlakukan sewenang-wenangnya oleh entiti seperti “dia”.

Selepas itu kami berpindah ke puchong dan memulakan hidup kami. Beberapa bulan selepas itu, saya disahkan hamil dan anak saya telah lahir dengan selamat. Tiada penampakan entiti dari Pantai Dalam sejak itu. Tetapi tidak bermakna saya sudah tidak nampak entiti-entiti di sekeliling saya. Ada lagi pengalaman saya. Akan cerita pada masa akan datang. Terima kasih dan maaf sekiranya terdapat salah dan silap.

Kongsi kisah anda: http://fiksyenshasha.com/submit

GAYA

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 6 Average: 5]

21 thoughts on “Main Kasar (Seram)”

    • mulanya memang saya pun x puas hati. adalah dalam beberapa bulan juga saya jauhkan diri dari dia. tapi setiap kali kami berjumpa, dia minta maaf secara ikhlas. so saya maafkan. apa-apa pun saya tetap berjaga-jaga dengan orang.

      Reply
  1. Huhu seram. Tapi awak memang wanita yg berani. Kawan awak tu x tak baiklah, dia nk lepaskan diri sndiri tp sanggup buat kwn sndiri mcmtu. Btw pantai dalam tu area sy huhuhu…

    Reply
    • Gee kakak saudara husband saya.. mmg betul, at least boleh aja dia beritahu dekat saya. dia x boleh pindah sebab baru 2 bulan tinggal situ, so dia kena carikan orang la.. hmm, saya jadi mangsa. kalau dia beritahu awal2, boleh saya ikhtiarkan apa2…apa2 pun thanks sebab baca..

      Reply
  2. best kisah ni. mmg seram. jarang baca kisah seram pengalaman non-malay and non-muslim. jiwa you sangat kental sis. nanti tulis lagi ya

    Reply
    • mimosa.. terima kasih.. ada masa nanti saya up pengalaman saya yang lain.. cerita ni pun gap 3 bulan dari cerita pertama saya “akibat cemburu”

      Reply
  3. cerita yang menarik. bila baca nama Gaya, tak rasa pelik. tapi bila baca tok sami, baru perasan penulis non muslim rupanya. hehehe, keep it up, penguasaan bahasa malaysia yang baik!

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.