Makhluk tu akan mendengus “huh!”, maka semua syaitan akan ketakutan. Kisah Budak Lelaki Nama Aman

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Nama aku Kiki . Setelah sekian lama menjadi pembaca setia page ni, kali ni aku tergerak hati nak kongsi pula pengalaman aku. Kisah yang aku nak cerita ni adalah kisah benar tapi aku ubah nama-nama orang terlibat, tempat & masa, dan juga perjalanan cerita supaya tak ada yang mengenali atau berkecil hati dengan kisah ni. Ini adalah kisah aku dan jiran aku (lebih tepatnya kisah mereka). Cerita ni tak seram, tapi lebih kepada berkongsi pengalaman. Diharap pembaca dapat ambik pengajaran dari cerita ni. InsyaAllah..

Bismillahirrahmanirrahim….
20 tahun yang lepas, keluarga kami berpindah ke utara tanah air sebab ayah aku bertugas disana. Aku pada waktu tu berumur dalam lingkungan 15 tahun. Aku dan adik-adik aku agak seronok jugalah walaupun keletihan baru sampai sebab kami tak pernah lagi menetap luar negeri. Nak rasa juga lah macam mana tinggal ditempat baru, sekolah baru, kawan-kawan baru. Kami menyewa di satu taman perumahan rumah teres. Jiran-jiran, Alhamdulillah semua baik-baik belaka. Anak-anak mereka pun kebanyakan nya sebaya aku dan adik beradik aku. Tapi dengar cerita jiran-jiran, rumah yang kami duduk tu agak seram. Masa tu kawan-kawan aku cakap, rumah aku tu berhantu.

Cis, celupar mulut diorang tu! Ada yang beritahu pernah ternampak ‘hantu’ kat atas bumbung rumah, laman rumah, macam-macam lah. Biasalah budak-budak, masa tu aku tak percaya sangat. lagipun biasalah rumah kosong tak ada orang duduk kan, dah ‘dia’ pun tumpang lah sekejap. Masa tu keluarga aku belum berpindah ke situ. Lepas kami duduk situ tak ada dah dengar cerita-cerita macam tu lagi. Tapi perasaan seram tu masih ada. Kadang-kadang rasa diperhatikan pun ya. Aku tak ingat masa mula-mula masuk rumah tu ayah ibu aku ada buat doa selamat ke tak. Rasanya tak.

Dalam ramai-ramai jiran kat situ, ibu aku paling rapat dengan sorang jiran aku ni. Aku panggil dia Cik Mah (bukan nama sebenar). Dia duduk bersama suami dan anak-anak. Anak-anak dia semua lelaki. Cik Mah ni pandai mengubat orang (tapi tak ramai orang tahu). Dia bukanlah bomoh, tapi dia ada gerak hati yang kuat kalau-kalau ada orang terdekat dalam kesusahan. Dia akan ajarkan beberapa p****gg ayat al-Quran buat kita amal kan. Kisah nya, ibu aku tahu akan hal dia ni (pandai mengubat) bila ibu aku selalu cerita kat dia yang rumah aku ni rasa panas semacam, rasa tak tenang. Dia ada la beri beberapa potong ayat Quran. Lama-kelamaan, Cik Mah ni cerita la akan kisah sebenar keluarga dia. Yang ada kelebihan adalah salah seorang daripada anak dia, bukan nya dia. Tapi disebabkan anak nya masih kecil, kebolehan tu jatuh sikit-sikit kat dia (ni bukan saka okay…nanti aku cerita lebih lanjut ya).

Nama anak Cik Mah ni Aman. Aman ni jauh lebih muda dari aku. Umur dia masa tu dalam 5-6 tahun macam tu lah. So aku tak rapat sangat la dengan dia. Aman ni, mata dia boleh nampak apa yang kita tak boleh nampak.

Senang cerita hijab dia terbuka sejak dari lahir. Yang lucu nya, dia fikir semua orang boleh nampak macam dia. So dia rasa tak pelik dan buat tak endah je lah kat menatang-menatang tu. And menatang-menatang tu pun tak tahu dia boleh nampak mereka (pada awal nya). Tapi yang unik nya, dia boleh nampak makhluk tu dalam rupa sebenar mereka.

Bukan berupa pocong, langsuir, etc. tapi berupa bentuk jin yang pelbagai. Ada pendek, gemuk, bulat, panjang, besar, kecik, etc. tapi persamaan yang terdapat pada makhluk2 ni adalah mempunyai telinga yang runcing, bertanduk, ada ekor, bertaring. Macam kalau korang pernah baca komik kanak-kanak Asuh (Islamik) ada komik pasal syaitan kan, haa macam tu lah lebih kurang tapi lebih dasyat sikit la. Aku pernah mintak Aman lukiskan rupa diorang ni hehe.

Aman kata, tak ngeri sangat, hantu-hantu yg dalam movies tu lagi seram. Dia pun takut nak tengok hahaha. Cuma katanya, ada ngeri sikit tang siung (taring) yang tersembul keluar dari mulut tu (ala2 Alien vs Predator tu). Cara dia cerita kelakuan makhluk-makhluk ni (aku tak tahu lah dia ni nampak jenis apa, jin atau syaitan) sama macam yang kita tahu sebelum-sebelum ni. Contohnya, kalau kita mengantuk sangat2 dalam majlis ilmu, ada syaitan yang bergayutan di mata-mata kita. Kalau kita tak baca Bismillah sebelum makan, syaitan akan sama-sama makan dengan kita atau muntah & kencing dalam makanan kita, kalau menguap tak tutup mulut, syaitan akan masuk ke dalam mulut, dan lain-lain lagi. Pernah dia cerita dia nampak kat sekolah dia, ada dua ekor menatang tengah berebut sebiji burger. Mana diorang dapat burger tu dia pun tak tahu lah. Dia kadang-kadang menikmati pemandangan tu sebab dia kata kelakar (itu sebelum makhluk2 tu tahu yang dia boleh nampak lah, lepas dah tahu tu lain pulak cerita nya. Jeng..jeng…jeng..). Ibu aku pernah tanya Aman, kalau bulan puasa pula macam mana? Kata Aman, beberapa hari sebelum masuk nya Ramadhan, akan ada satu makhluk yang amat besar dan bengis, akan bawa satu guni besar ni. Makhluk tu akan mendengus “huh!”, maka semua syaitan-syaitan atau jin (aku tak pasti jenis) akan ketakutan dan beratur untuk masuk dalam guni tu satu persatu. Setelah itu, guni tu akan diikat dan dibawa pergi. Keadaan lepas tu akan lengang dan tak ada satu menatang pun akan kelihatan sehinggalah lebih kurang malam ke-3 Aidilfitri. Aman cakap, makhluk tu tak dilepaskan pada Hari Raya pertama on the spot, tapi raya ke-3. Wallahua’lam..

Ibu aku pernah tengok si Aman tu ‘bereaksi’ dengan makhluk2 ni. Masa ibu aku tengah lepak-lepak depan rumah dengan ibu Aman, Aman pun join. Tiba-tiba Aman mengundur langkah semakin jauh, semakin jauh sampai dia bersandar ke dinding rumah akhir nya. Ibu aku tanya “Kenapa Man duduk jauh-jauh tu?” Tahu apa Aman jawab, “Ramai sangat lah diorang sekarang ni, tengah berkenduri ni. Sebab tu Aman ketepi, tak nak terlanggar dengan diorang” Ibu aku teguk liur laa..hahaha. last-last, Cik Mah ajak ibu aku borak dalam rumah dia pulak. Pernah sekali ibu aku ke rumah Aman, tapi Cik Mah tak ada, keluar beli barang maybe, ada Aman sorang je. So sementara menunggu Cik Mah balik, ibu aku berborak-borak dulu la dengan Aman (masa tu dia dah besar dah masuk sekolah rendah kut). Tengah duk syok borak tu, tiba-tiba Aman pandang ke sisi dia and angguk-angguk. Then cakap, “Makcik, sekejap ye. Saya nak ke dapur jap, ‘dia’ mintak air.” Aduh.. ibu aku terus rasa seram sejuk kat situ kena tinggal sorang-sorang hahaha… (Actually tak ada lah takut pun sebab ibu aku dah tahu “kisah sebenar” & mereka pun makhluk Allah juga).
Tentang “kisah sebenar” tu….

Keluarga Aman sangat risau kan Aman sebab hijab dia terbuka, dah ramai mereka jumpa untuk tutup balik hijab Aman ni, tapi tak berjaya. Sampaikan ada seorang Ustaz yang terkenal ni pun mereka pernah jumpa tau. Tapi ustaz tu kata, jangan risau, ini memang anugerah Allah pada Aman. Ini bukan berkaitan saka or pendamping. Ada hikmah Nya, kemungkinan bila Aman besar nanti dia akan jadi perawat tersohor…kata nya lah. Jadi, keluarga Aman pun terpaksa lah redha dengan ketentuanNya..

Salah satu sebab mengapa mereka risau, sebab Aman selalu jatuh sakit. ‘Menatang’ tu selalu kacau dia (selepas geng-geng mereka dapat tahu yg Aman boleh nampak mereka). Makhluk-makhluk tu selalu halang Aman kat tengah-tengah jalan, semasa Aman nak ke sekolah. Kata mereka, “Kau jangan datang tempat aku (sekolah)!” Mereka takut aktiviti jahat mereka terbongkar sebab Aman boleh nampak mereka & Aman dah pandai baca-baca ayat Quran sikit untuk halau diorang. Makin lama makin teruk dugaan & cabaran yang Aman kena hadapi, sampai nak pakai baju sekolah pun sakit sangat.

Makhluk tu akan mengecilkan saiz mereka & masuk kebawah kulit Aman & meluncur mengikut urat-urat d***h Aman. Sedangkan tanduk & ekor mereka masih diluar, nampak diatas kulit Aman (aku tak tahu nak gambarkan macam mana harap korang faham lah). Aman nampak semua tu tapi dia tak berdaya nak menghalang. Dia masih kurang ilmu masa tu. Masih kecil, masih belum kuat (that’s why Allah bagi bantuan dengan memberi ilham pada ibu dia supaya baca ayat-ayat yang patut, sedangkan ibu dia tak pernah belajar pun semua ayat-ayat tu, Allahuakbar!) Ibu dia tolong hembus-hembus dan sapu-sapu air pada bahagian badan Aman untuk mengurangkan sakit.

Rentetan daripada serangan bertubi-tubi makhluk-makhluk tu, Allah telah mengizinkan satu family jin Islam tinggal di rumah Aman untuk memberi pertolongan .Yang ni aku tak pasti cerita detail dia mcm mana. Dan aku rasa ibu aku pun tak tergamak nak bertanya lebih lanjut pada ibu Aman (Ibu aku jarang bertanya, semua nya diceritakan Cik Mah tu sendiri. So bagi ibu aku, orang dah beri betis takkan kita nak minta peha pulak kan? Orang dah cerita setakat tu beruntung la). Okay, berbalik kepada cerita, jin Islam ni dia satu keluarga. Ada suami, isteri & anak-anak. Berapa jumlah semua nya aku tak pasti. Tapi mereka memang mengamalkan Islam betul-betul. Sembahyang berjemaah, pakaian menutup aurat, bahkan TV pun diorang tak tengok. Yang tengok pun anak-anak jin tu je. Itu pun rancangan-rancangan kartun je. Dah habis kartun tu diorang pun lesap. Haa.. yang mintak air tu, yang tu lah. Anak jin yang paling kecik & ‘agak nakal’. Dia saja nak test ibu aku mase tu. Kacau perbualan ibu aku & Aman masa tu haha.. Kalau korang faham sifat-sifat jin ni macam tu lah. Ada baik, ada jahat, ada nakal..etc. Tapi mereka tak pernah buat kacau dalam rumah tu melainkan untuk menolong melindungi Aman. Ada masa nya Aman tetap terkena juga serangan-serangan jin jahat/kafir. Itu pun, bilamana keluarga jin Islam tu tengah solat berjemaah sesama diorang, so Adam tak ada sapa yang kawal. Kata ketua keluarga jin Islam tersebut, satu hari nanti bila Aman dah ‘bersedia’, diorang akan pergi… pergi menolong sesiapa yang lebih memerlukan… Wallahua’alam.

Satu lagi cerita unik pasal jin Islam ni, mereka memang makan, minum, mandi, beli barang macam manusia, Cuma kita tak nampak lah. Kalau mereka tengah guna bilik mandi, pastu kita yg tak nampak ni nak masuk, mereka akan cepat-cepat keluar tau. Keluar pun dalam keadaan bertutup tanpa menunjukkan sebarang aurat pun. Kalau diorang beli barang, contoh anak-anak jin tu nak beli jajan dekat kedai, mereka bayar tau. Tapi duit tu kita tak nampak, and barang yang diambil tu pun kita tak nampak. Dimata kasar kita barang tu masih ada. Oh, satu lagi.

Kalau selepas hujan, korang jangan la biar anak-anak korang main kat luar. Anak-anak jin (tak kira agama apa) memang SUKA MAIN lopak-lopak air lepas hujan tu. Jangan anak-anak kita join sekali dah la.. karang TERKAWAN pulak. Ni semua Aman yang cerita. Lepas tu, kalau balik rumah dah lewat-lewat petang tu, jangan lupa la baca apa yang patut sebelum masuk rumah. Ayah aku selalu macam tu, balik petang-petang, selalu lah si Aman ni mengadu kat ibu dia yang ada benda duk bertenggek belakang badan ayah aku ikut balik rumah. Patut lah ayah aku kalau balik kerja petang-petang baran je haha.. Itu pun kalau Aman ternampak, Aman akan baca-baca & hembus dari jauh kat ayah aku, then benda tu pun hilang camtu je.

Ayah Aman pun selalu gak ada benda ikut dia balik. Pakcik tu suka memancing, tapi pancing ‘benda’ lain plak haha. Mase tu Aman masih kecik. Pada suatu hari selepas ayah nya balik dari luar, ayah nya terus masuk dapur minum air. “Ibu, ibu.. ayah buat balik ‘benda’ lah..” Ibu nya tanya lah, “Aman nampak apa?”. “Aman nampak, ada tu tengah peluk leher ayah. Tapi kan mak, rambut dia panjaaaang sangat. Ayah dah kat dapur tapi hujung rambut dia masih kat luar rumah lagi mak”. Terus ayah dia rasa seram dan baca-baca apa yang patut untuk halau benda tu pergi. Banyak lagi cerita-cerita dia, aku pun banyak lupa dah. Banyak jugak ilmu agama yang diorg belajar dari keluarga jin Islam tu, tapi hanya Aman sorang yang nampak diorang. Kemudian Aman akan cerita balik apa yg dia nampak/belajar kat ibu ayah dia.

Cik Mah & Aman ni dah jadi macam satu team “Ghostbuster” dah. Pergi ke rumah-rumah orang yang ada gangguan untuk meng’halau’ menatang-menatang yang membuat kacau. Aman akan beritahu kat mana benda tu berada, and ibu dia akan baca-baca ayat & hembus ke arah tu. camtulah lebih kurang. Aku pun pernah berubat dengan Cik Mah ni, berkaitan saka. Kena mandi limau yang dibaca 7 hari berturut-turut tak silap. Dan hari terakhir tu ‘benda’ tu akan munculkan diri depan aku sekejap sebelum dia pergi. Tapi aku tak cerita lah yang tu sebab tak seram. Aku pun nampak sekilas je (Alhamdulillah)…itu pun masa tengah mamai, entah betul ke tak apa yang aku nmpak tu.

Aman boleh nampak siapa yang ada ‘pemakai’, ‘pelindung’, atau ‘pemagar’ rumah yang tak betul ni. Ada satu rumah jiran kami ni, penuh “askar-askar” dia bertenggek atas pagar rumah. Konon menjaga rumah la tu.. Suatu hari, ada satu ruang lompong kat “pagar” tu. Rupa-rupanya botol minyak yang si polan tu simpan pecah daa.. Aman pun boleh nampak kat wajah seseorang tu, kalau dia ada tanda ‘hitam’, ‘putih’ atau ‘kosong’. Kalau yang ada tanda ‘putih’ kat dahi dia bermakna orang tu baik sangat-sangat, alim, tak berhati busuk..camtulah kut (yang ni aku tak reti nak explain, sebab aku pun tak berapa paham. Tapi yang pasti aku punya ‘kosong’ so kena banyak kan amal ibadat lagi.. guilty). Aku rasa ni berkaitan amalan atau hati nurani kita lah kut. Ramai jugak tokoh-tokoh politik yang dia nampak kat TV tu banyak ‘hitam’ kat wajah. Tapi aku tak reveal lah siapa tokoh-tokoh tersebut, kang jadi fitnah pulak. Lagipun masa tu Aman masih kecik. Orang tanya, dia jawab je lah tanpa fikir apa-apa.

Aku rasa disebabkan kelebihan yang Allah bagi kat dia ni lah, makhluk-makhluk tu tak suka kat dia. Masa dia nak membesar tu macam-macam dia kena hadapi. Dugaan-dugaan dia hebat jugak. Ibarat nya, sebelum nak jadi manusia hebat suatu hari nanti, dia kena lalui pelbagai ujian. Kalau jatuh sakit berkali-kali tu tak usah cerita lah. Kemudian, sebelum Aman meningkat remaja, mungkin Aman dah pandai defend diri atau mungkin ilmu dah cukup maybe, akhirnya keluarga jin Islam tu dah pergi. Tak ada lagi dah tinggal kat rumah Aman. Aman pun, sejak dah meningkat remaja (baligh) hijab dia dah slowly tertutup. Masa Aman dah start tak nampak tu, kami pun dah pindah dari situ. Ayah aku kena bertugas ke negeri lain pulak. Sejak itu lah aku tak tahu dah apa perkembangan Aman. Aman sekarang pun dah dewasa.

Setakat ini saja lah kisah Aman, tentang anugerah hijab terbukanya. Aku menulis ni bukan nak dedah rahsia siapa-siapa. Aku bukan penulis. Hanyalah nak berkongsi. Apa yang baik yang boleh di ambil pengajaran. Jangan kita leka sangat seronok-seronok kat dunia ni, sedangkan bukan kita sahaja yang mendiami bumi Allah ni. Dan bagi yang dah berkeluarga, diharap apa sahaja tips yang boleh di ambil, ambil lah… Baca doa sebelum masuk rumah, dan lain-lain. Especially yang ada anak-anak kecil, jangan biasakan bawak anak kecil terutama nya baby keluar malam-malam.

Dah menangis tak henti-henti kita pulak susah betul tak? Padahal ibu bapa yang ‘buat tak reti’. Aku kesian tengok diorang, kalau baby menangis tu, kadang-kadang makhluk tu saja mengacau baby, ketuk-ketuk kepala diorang, tarik tangan kaki baby tu.. Tak kesian ke? Kalau boleh mana-mana ayah yang merokok tu jangan lah korang amalkan depan anak bini korang. Dah “menjamu” diorang plak. Maaflah kalau kata-kata aku ni mengguris mana-mana pihak. Pada yang tahu kisah ni dan kenal siapa empunya badan, atau pada siapa yang kenal aku atau keluarga tersebut, mohon jangan di dedahkan siapa. Pada ahli keluarga tersebut yang ada terbaca ni, maaf saya pinta kalau cerita ni banyak tersasar & mengguris hati. Ada juga cerita diubah supaya mudah faham & menyorok identiti. Saya cuba sedaya upaya untuk bercerita secara santai sepaya ia dapat memberi pengajaran kepada semua. Lillahitaala…

Salam sayang buat Cik Mah sekeluarga. Semoga keluarga Cik Mah sihat walafiat & dirahmati selalu..

Rating Pembaca
[Total: 107 Average: 4.8]

2 thoughts on “Makhluk tu akan mendengus “huh!”, maka semua syaitan akan ketakutan. Kisah Budak Lelaki Nama Aman”

  1. Pembetolan ye..manusia biasa tak boleh melihat Jin dalam rupa asal dia..hanya Allah s.w.t..Nabi Sulaiman a.s dan juga Nabi Muhammad s.a.w je tahu rupa bentok asal Jin..hati-hati apabila mengaku boleh lihat rupa asal Jin ianya boleh jatoh Kaffir.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.