Assalamualaikum dan salam sejahtera. Kali ini aku ingin berkongsi tiga kisah pengalaman beberapa orang yang terjadi di sebuah masjid. Masjid ialah tempat beribadat yang khusus, seperti solat dan iktikaf, bagi orang Islam. Jadi seharusnya kita menjaga adab dan tingkah laku kerana masjid itu rumah Allah. Tempat yang suci dan tidak boleh sewenang-wenangnya melakukan apa saja. Jika tidak kita seolah-olah menghina dan tidak menghormati tempat ibadah tersebut. Semoga perkongsian ini dapat dijadikan sebagai iktibar untuk diri kita sendiri dan juga insan terdekat. Kerana akhlak dan adab sangat penting untuk kita praktikkan dalam kehidupan sehari-hari.
KISAH l
*Kisah ini dikongsikan oleh Kak Ton (bukan nama sebenar). Di suatu dinihari.. Allahuakbarullahuakbar!…. Kedengaran suara laungan azan dari masjid berdekatan dengan rumah Kak Ton. Dia sudah bersiap sedia dari awal untuk ke masjid bagi menunaikan solat subuh secara berjemaah. Kak Ton bergegas ke masjid sebelum azan selesai untuk menunaikan solat dua rakaat. Jarak rumahnya ke masjid tidak terlalu jauh, cuma selang sebuah rumah.
Sampai sahaja di masjid, Kak Ton menoleh ke pintu masjid bahagian muslimah. Sudah ada dua orang di situ. Seorang dia kenal, iaitu makcik dia yang bernama Mak Yah. Seorang lagi dia lihat seperti seorang kanak-kanak sekolah rendah. Sedang mengibas-ngibas telekungnya yang berwarna pink. Kak Ton tidak mengenali budak perempuan tersebut dan tiba-tiba budak tersebut menoleh ke belakang dan menuju ke tempat wuduk sambil mengibas-ngibas telekung yang dipakainya. Kak Ton menuju ke sana juga tapi apabila dia mencari budak tersebut, langsung tiada.
Hajat di hati ingin bertegur sapa namun setelah diperiksa, batang hidung budak itu tidak muncul. Kak Ton masuk ke masjid dan menunaikan solat sunat dua rakaat. Sempat dia bertanyakan pada Mak Yah mengenai budak tersebut namun Mak Yah tidak tahu menahu pasal budak itu. Menurut Mak Yah, dia hanya berdua sahaja. Memang Mak Yah dan suaminya datang awal ke masjid untuk membaca al-quran sementara menunggu waktu subuh.
Seusai solat subuh, Kak Ton bergegas mendapatkan suaminya, Pak Rafie dimana suaminya turut berada di masjid itu juga.Setelah memeriksa tandas dan sebagainya, langsung mereka tidak menemui budak perempuan bertelekung pink tersebut. Hilang tanpa jejak dan menurut Kak Ton, ketika itu memang tiada musafir yang singgah.
Sebenarnya itu bukan kali pertama hal yang sedemikian berlaku di masjid itu. Sebelum ini pernah juga dialami oleh imam masjid sendiri yang mana hadir lebih awal daripada orang lain. Ketika sedang solat sunat, dia mendengar akan kehadiran seseorang yang sedang mengambil wuduk dan orang tersebut menjadi makmumnya. Tapi setelah memberi salam, orang itu menghilang.
Tidak ketinggalan juga pengalaman musafir yang singgah untuk menggunakan tandas. Menurutnya kelihatan seorang lelaki berjubah dan berserban putih sedang solat di dalam gelap. Setelah dia menggunakan tandas, dia lihat sekali lagi tapi lelaki berjubah itu sudah menghilang.
Siapakah sebenarnya gerangan penampakan-penampakan tersebut, kini tinggal tanda tanya. Adakah mereka sebenarnya jin islam?
KISAH 2
*Kisah ini dikongsikan oleh Pak Rafie(bukan nama sebenar) /Suami Kak Ton/Siak masjid. Rutin Pak Rafie setiap jam sepuluh pagi dia akan ke masjid untuk mengemas. Masjid tersebut kerap kotor kerana menjadi tempat lepak pelajar sekolah yang ponteng.
Pagi itu hanya sunyi sepi. Tiada kelihatan akan kehadiran pelajar sekolah yang ponteng. Selalunya akan riuh dengan suara mereka bergelak ketawa di dalam masjid. Bungkusan nasi dibuang merata-rata di dalam masjid. Habuk rokok bertaburan di atas karpet. Bukan Pak Rafie dan ajk masjid tidak pernah menegur tapi tidak diendahkan mereka.
Setiap pagi, Pak Rafie terpaksa membersihkan kekotoran yang mereka buat. Terkadang dia merasa lelah dengan keadaan tersebut. Tapi demi mendapatkan pahala fardu kifayah dia gagahkan jua. Ketika Pak Rafie sedang mencuci tandas, kedengaran deruman enjin motorsikal masuk ke koridor masjid sedangkan perbuatan itu dilarang.
Mula kedengaran suara gelak ketawa mereka. Itu tandanya pelajar sekolah tersebut datang lagi. Datang ke rumah Allah bukan untuk beribadah, tetapi untuk melepak dan ponteng sekolah. Seorang pelajar masuk ke tandas. Tapak kasut bekas lumpur membuatkan lantai tandas kembali kotor. Sedangkan selipar telah disediakan di luar tandas. Pak Rafie menegur namun langsung tidak diendahkan. Dengan selamba pelajar tersebut keluar tanpa mengucapkan sebarang kata apatah lagi permintaan maaf.
Setelah selesai mencuci tandas, Pak Rafie berhajat untuk pulang. Diintainya ke dalam masjid, beberapa pelajar sedang melepak di dalam. Sedang dia menyimpan peralatan di stor, tiba-tiba kedengaran suara jeritan di dalam masjid. Beberapa pelajar bertempiaran lari meninggalkan masjid. Pak Rafie mendengar jeritan meminta tolong di dalam masjid lalu dia bergegas ke dalam. Kelihatan seorang pelajar sedang berguling-guling sambil menutup mata. Pak Rafie mendekati lalu menegurnya dan menyuruh pelajar tersebut membuka mata.
Setelah menenangkan pelajar tersebut, Pak Rafie bertanya padanya. Dia menceritakan kejadian yang dialaminya sebentar tadi. Pelajar tersebut nampak seluruh kawasan masjid itu dipenuhi dengan d***h. Makin lama lautan d***h menjadi semakin dalam. Lalu dia lemas dalam lautan d***h tersebut. Nasib baik Pak Rafie datang menyedarkannya. Rupa-rupanya kawan-kawannya yang lain turut mengalami hal yang sama namun sempat melarikan diri. Yang pasti itu bukan hanya sekadar khayalan. Tapi sebagai teguran daripada Allah bagi orang-orang yang tidak menghormati rumah-Nya.
Setelah kejadian itu, beberapa minggu pelajar kaki ponteng tidak memunculkan diri di masjid tersebut. Tapi sayang, aktiviti tersebut kini diteruskan kembali.
KISAH 3
*Kisah ini juga dikongsikan oleh Pak Rafie. Pagi itu Pak Rafie ke masjid untuk melakukan rutin seperti biasa. Kelihatan seorang pelajar yang ponteng sedang tidur di saf pertama. Tepat di belakang tempat imam. Pak Rafie masuk ke dalam lalu menegur pelajar tersebut namun tidak diendahkannya. Dalam hatinya berkata nasib anak orang, kalau anak sendiri mesti berbirat atas belakang dikerjakannya. Dia menyambung tugasannya seperti biasa sehingga selesai lalu pulang ke rumah.
Sempat dia menjengah ke dalam masjid, pelajar itu masih nyenyak tidur. Apabila hampir waktu solat zuhur, Pak Rafie ke masjid semula. Ketika dia sampai, bilal masjid tersebut, Pak Him baru sahaja tiba. Kelihatan seorang pelajar sedang tidur di kaki lima masjid, berhampiran dengan tong sampah. Pak Him dan Pak Rafie mengejutkan pelajar tersebut. Bila pelajar itu bangun, dia seakan terpinga-pinga. Ketika itu baru Pak Rafie perasan, pelajar tersebut yang tidur di saf pertama pagi tadi. Subhanallah. Pasti ada sesuatu yang mengangkat dia ke situ. Soal siapa yang angkat, wallahua’lam..
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit