MENANTU MAK AKHIR

“Mana mak saya, bang? Selamatkan mak saya dulu…tolonglah!!” separuh gila aku merayu abang bomba yang sedang mengarahkan beberapa ahli bomba berubah posisi.

Hampir 80% rumah kami musnah dijilat api. Mataku meliar cari kelibat mak atau Emelda di tingkap sebelah kiri. Api marak seperti lidah merah menjilat ruangan tingkap. Bahangnya terasa di kulit wajahku.

Mana mak? Mana Emelda?

“Mak…,” aku memanggil dengan penuh harapan.

Sesaat kemudian aku ternampak ada kelibat manusia sedang bergelut di dalam maraknya api! Mak??? Emelda??? Benarlah ada isteriku di dalam rumah yang makin ditelan api!

Apa Emelda buat?? Bukankah Emelda dari PJ menuju ke Bali bersama team syarikat? Atau… dia sengaja prank aku? Balik tapi sengaja bohong aku mengatakan dia akan ke Bali?

“Mel! Mel! Keluar, Mel!!!” Hampir pecah anak tekak menjerit memanggil Emelda.

Aku berlari mendekati anjung yang mula dimamah api dari tepi. Ingin sahaja aku meredah api menyelamatkan dua orang insan yang aku sayang.

“Bawa bertenang, Adeeb. Perbanyakkan istighfar. Pastikan apa yang kau lihat itu benar dan nyata,” suami Ustazah Sharifah menahan kedua lenganku supaya aku tidak bertindak melulu.

“Itu mak kami, ustaz. Siapa sanggup tengok mak sendiri m**i dalam api?!” Aku harap Ustaz Imran faham perasaan aku ketika ini. Ustaz Imran berulang kali laungkan takbir.

Meronta- ronta jiwaku nak berlari dari berdiri begini menunggu keajaiban. Mana ada keajaiban tanpa ikhtiar? Mana mungkin mak dan Emelda akan terselamat jika aku tidak bertindak!

“Along! Jangan!!!” Adeeb berlari dari belakang cuba menahan langkahku.

“Lepaskanlah aku!” Rontaanku menjadi kian lemah. Ustaz Imran, Adeeb dan Abang Mustaffa memeluk aku dengan kejap.

Tangan mak terawang-awang melambai ke luar tingkap. Wajahnya sudah tak begitu jelas kerana dimamah kepulan asap tebal. Cuma kedengaran batuk mak yang makin teruk.

Air dari paip bomba menembak tepat ke arah anjung dan tingkap yang tersisa. Aku berharap mak dan Emelda akan terselamat dari bencana ini.

Syukurlah ada ahli bomba yang nampak akan kedudukan mak setelah tangannya tekapai-kapai keluar dari tingkap.
.
.
.

“Encik Afeef. Masa untuk makan ubat.” Laju aku menyeka airmata yang bergenang di kelopak setelah disapa oleh seorang jururawat bernama Ameera.

Hurmmm, makan ubat lagi. Entah bila dapat keluar?

“Esok encik boleh minta ahli keluarga uruskan bayaran bil. Boleh balik dah,” ucapnya dengan ukiran senyuman semanis gula. Ditepuk-tepuk bantal di atas katil sebelah.

Syukurlah dapat balik juga akhirnya. Walau pun aku di dalam wad baru duduk dua hari, namun siksanya jiwa bagaikan terkurung selamanya.

Adeeb sibuk menjaga abah. Sesekali dia datang cuma menyampaikan keadaan terkini abah kami. Mujurlah ada dia. Dapatlah menemankan abah ke bilik air, uruskan makan minum abah.

Sambil mencuba habiskan bubur yang disediakan bersama air teh o suam dan sepotong oren sunkist, berkali aku kuatkan hati. Agar nanti apa pun yang aku dengar itu tidak mematahkan semangatku.

Aku mahu abah sihat. Aku sayangkan mak, juga Emelda. Sudah semestinya aku berharap mereka semua selamat. Seharian aku tidak sedarkan diri….aku pengsan!

Ya, ketika aku berusaha lolos dari pegangan mereka, dengan mata kepalaku sendiri menyaksikan sebatang kayu dari atap rumah jatuh hampir dengan mak dan Emelda.

Di saat kakiku berkeras untuk berlari, satu sosok tubuh bertutup kain cadar basah berlari tanpa memandang kiri dan kanan.

“Mak!!!” Dia melaung sambil melangkah tiga anak tangga kayu sekali gus. Tidak menoleh ke belakang sedikit pun, dengan memeluk tubuh dia menghempaskan bahu kanan ke arah dinding yang rapuh di hujung anjung.

“Ngah? Adeeb! Ngah tu..” aku pasti itu adik iparku, menantu yang dibenci mak!

“Ya Allah…” Adeeb kehilangan kata-kata. Pegangannya longgar. Dengan peluang yang ada inilah aku tolak tubuh ustaz dan abang Mustaffa.

Berlari sekuat hatiku cuba menjadi berani seperti Ngah. Dia cuma menantu yang dipinjamkan Allah untuk mak dan abah, kenapa Ngah sanggup bergadai nyawa demi menyelamatkan mak? Sedangkan anak-anak mak yang masih trauma dengan api atas pengalaman waktu kecil, langsung tidak lakukan apa-apa!!

Seharusnya Adeeb malu dengan isterinya. Lebih-lebih lagi aku! Aku anak sulung! Apa lagi yang aku lakukan tercegat dalam pegangan dua lelaki di luar pagar?!

“Jangan, Long!! Tu bukan…” Ahh, sudahlah kau!! Memang kau penakut.

Sejarah hitam menimpa keluarga kami ketika Adeeb darjah empat dan aku dalam darjah enam. Kebakaran berlaku waktu itu. Dulunya ada sebuah bilik kecil tempat aku dan Adeeb bermain.

Malam itu lilin yang kami main menyambar susunan suratkhabar yang abah kumpul. Nasib baik kami terselamat. Bilik itu tidak wujud lagi, kini menjadi laluan kecil di tepi rumah.

“Mak, ikut Ngah. Kita keluar,” suara Ngah ku dengar jelas di dalam rumah.

“Selamatkan Emelda dulu! Aku tak nak keluar seorang!” Mak terjerit-jerit ke arah Ngah. Wajah Ngah tak dapat kulihat dengan jelas. Kain yang lebar hampir menutupi wajahnya.

“Ya, Ngah keluarkan mak dulu. Lepas mak baru Kak Mel,” walau agak kuat suaranya namun masih dalam nada memujuk dan menyantuni ibu mertuanya.

Setelah tubuh mak dibaluti kain selimut basah, Ngah mengejutkan aku yang masih terkaku seperti orang bodoh.

“Along bawak mak. Cadar mak ni besar, muat Along sekali. Pergilah,”

Prakkk!!!

Kayu burti jatuh satu persatu. Cuma kedengaran Ngah melaungkan kalimah Allah setiap saat.

“Mak nak menantu cantik mak…” mak masih berperangai seperti anak kecil. Aku sudah tidak tahan dengan kepanasan disekelilingku itu. Tubuh mak ku rangkul sekuat hati. Mengajak dia keluar.

Namun sempat juga aku menoleh ke kiri dan kanan mencari kelibat Emelda. Begitu juga Ngah. Terbatuk-batuk aku dan mak. Tak ada langsung kelibat Emelda berdekatan meja kuih di tepi tingkap.

Lima balang biskut Makmur tersusun lagi di atas meja. Kerana tak tahan lagi sesak nafas, aku memaksa mak keluar dulu. Nanti aku masuk ke dalam semula selamatkan Emelda bersama Ngah.

“Adeeb tolong jaga mak,” hanya dia harapanku di luar sana.

“Along nak ke mana? Kita bawa mak ke hospital,” rayu Adeeb.

Pelik betul cara dia memandang aku. Bukankah isteri kesayangannya ada di dalam sedang mencari Emelda?

Tanpa menunggu jawapan dari mulut Adeeb, aku berlari semula dengan harapan dapat mengeluarkan Emelda. Ngah juga harus diselamatkan. Dia yang berjuang menyelamatkan abah dan mak. Dialah wira sebenar.

“Along jangan dekat!!” Jelas itu suara Ngah sambil batuk melarang aku memasuki rumah yang musnah itu.

Lantainya basah! Keadaannya hancur tidak akan dapat diselamatkan lagi. Aku mencari Emelda dan Ngah. Tertinjau tinjau le sana sini.

“Emelda. Ngah.”

“Sriiikkkk…..syurrrrrr…..,”

Suara apakah itu?

Api baru sahaja berjaya dipadamkan. Di luar sana mula terdengar kecoh di sana sini. Siren ambulan mula kedengaran semakin menjauh. Aku harap mereka bawa mak pergi ke hospital secepat mungkin.

“Pergi, Long..,” Ngah merayu. Aku mencari Ngah mengikut suaranya dari arah mana.

Bawah meja? Sebatang kayu yang masih mengeluarkan asap sedang menindih meja kuih mak. Balang kuih ada yang bersepai di atas lantai. Mana lagi yang lain itu bukan aku kesahkan.

Yang penting aku kena keluar bersama Emelda dan Ngah.

Bergerak-gerak pula alas meja yang hampir mencium lantai. Aku nampak tapak kaki comot sedang menolak kerusi yang menahan meja dari menyembah ke bawah.

“Pergilah, Long. Sini bahaya!”

Itu kaki Ngah rupanya. Apa yang Ngah merepek? Aku disuruh pergi? Dengan sekuat hati aku menendang kayu yang menindih meja, aku menarik meja pula dengan penuh harapan dapat bertemu Emelda.

Kerana suaranya tidak kedengaran, aku membayangkan Emelda sudah pengsan. Hanya Ngah masih sedar.

Setelah tersingkap apa yang berselindung di bawah meja, aku terkedu. Mimpikah aku atau aku sedang berhalusinasi? Satu tangan Ngah sedang memeluk dua balang kuih makmur yang dibuat untuk Emelda.

Dalam keadaan meniarap, satu tangan lagi sedang dipegang oleh… sesuatu!? Makhluk apakah ini? Kedua lututku semakin lemah. ‘Dia’ memandangku dengan mata bulat tanpa berkedip!

Bermata merah, berwajah hitam berkilat, mulutnya koyak sisinya. Ngeri sungguh bila dia tersenyum menampakkan seluruh gigi dan gusinya. Dengan berbaju kuning berbunga biru… manusia atau…?

“Ngah dah suruh pergi! Kenapa kau degil, Long?” Lantunan suara Ngah tidak berapa jelas ku dengar. Siapa sahaja yang tidak takut berdepan dengan makhluk seperti itu?

“Apa benda ni, Ngah?” Soalanku Ngah jawab dengan pandangan sayu, lalu dia menggeleng.

Baju yang dipakai makhluk itu adalah baju Emelda! Kenapa ada di badannya? Aku hampir hilang akal melihat ‘dia’ menyeringai ke arahku. Lalu aku tekad mencampak kerusi ke badannya.

“Berani kau nak campak kerusi? Kau belum tahu kekuatan aku!” Sehabis dia bercakap, terus dia melompat ke arahku.

Mulutnya yang ternganga luas seperti mahu menelan kepalaku. Aku cuba mengelak, tapi kedua tangannya telah menerkam kepalaku dengan sekuat tenaga.

Dalam sekelip mata aku tidak sedarkan diri lagi. Hanya Ngah saksi apa yang berlaku ketika itu. Bila aku sedar, aku telah berada di atas katil hospital. Dengan kepala berbalut serta sakit berdenyut yang tak terhingga.

Tiba masanya aku akan keluar, Adeeb yang uruskan. Selesai urusan aku keluar hospital tengahari itu, Adeeb membawa aku ke rumah ibu Ngah. Di dalam kereta Adeeb dah beritahu akan keadaan mak.

Alhamdulillah mak cuma dirawat sebagai pesakit luar. Mak berehat dan dijaga oleh Ngah serta adik-adiknya. Patutlah Ngah tak pernah datang ke hospital. Risau juga aku kalau Ngah diapa-apakan makhluk berwajah hitam.

“Along percaya dengan sihir?”

Aku diam dan memandang wajah Adeeb dari tepi.

“Tangkal pembenci?”

“Merepek apa kau?” Semakin mengarut soalan Adeeb.

“Nak cerita ni, jangan tidur pulak!”

“Ya, tak tidur…,” aku layankan apa mahunya adikku.
.
.
.

Setahun yang lalu.

Ketika kami berempat baru menjadi suami isteri. Setiap hujung minggu kami akan balik menjenguk abah dan mak.

Balik ke kampung menjadi rutin kami berempat. Waktu itu mak masih berlaku adil pada kedua-dua menantunya. Cuma mak lebih suka pada menantu kaya belikan barang perhiasan untuknya.

Manakala Ngah pula mengambil hati mak dengan memasak dan mengemas rumah. Mak bersyukur juga kerana dua menantu ini pandai memikat hatinya.

Suatu hari, abah bercadang setiap kali kami balik abah akan bersedekah makanan kepada jiran-jiran. Jadi Ngah memegang peranan utama dalam hal masak memasak ni.

Seronoklah Ngah dapat memasak demi memenuhi permintaan abah. Semakin ramai pula memuji masakan Ngah setaraf masakan di restoran. Kadang-kadang ada jiran yang sengaja beli lebih lauk untuk diberi kepada rakan atau saudara.

“Untungnya Mak Temah dapat menantu pandai masak. Hebat betul orangnya,” puji Kak Maisarah.

“Daripada beli mahal di luar, baik beli dari menantu Mak Temah. Sedap tak terkata kau!” Abang Mustaffa pula tak henti-henti memuji. Isterinya selalu penat mengambil upah menjahit, gembira tak terkata bila dibelikan lauk lebih dari Ngah.

“Kami sokong kalau menantu Mak Temah buka restoran dalam kampung ni. Boleh beli selalu. Masakan macam ni yang kita mahu, hehehe..” seronok Mamu memuji masakan Ngah.

Abah diantara insan paling gembira bila jiran-jiran memuji menantunya. Berkali-kali juga abah menyuruh Ngah buka kedai makan di kampung kami.

Tanpa disedari rupa-rupanya isteriku mula tak selesa. Hatinya mula berasa iri pada Ngah kerana kerap dipuji. Sedangkan dia cuma mak seorang yang melambung tinggi pujiannya terhadap menantu kaya dan cantik ini.

“Bosanlah balik kampung. Nyamuk banyak! Panas pula tu!”

Emelda mulai memberi alasan tidak mahu balik ke kampungku. Sekali dua dapat aku halang, tapi seterusnya dia yang menghilang. Dengan alasan kerja di luar kawasan bersama team.

Hubungan mak dengan Ngah tidaklah seburuk mana. Mak cuma jarang bergurau senda dengan Ngah. Tapi disuruh itu ini mak memang laju. Setiap bulan rumah mak berganti langsir. Ngahlah yang disuruhnya.

Bila berborak dengan Emelda, mak akan tersebut juga nama Ngah kerana hanya menantu seorang itu yang sanggup melayani kerenah mak.

“Baliklah, Mel. Ngah dah gantikan langsir kuning. Macam rumah anak raja kalau tengok dari jauh. Eh, Mel suka makan daging panggang kan? Ada Ngah perap daging semalam. Baliklah, boleh makan sama-sama,” bukan main gembira lagi riak wajah mak .

Lama kelamaan, Emelda tidak lagi menghubungi mak. Kalau mak yang telefon dulu, talian sengaja diputuskan. Sesekali aku marah juga pada Emelda kerana sengaja menghampakan hati mak.

“Mel penatlah. Kerja banyak. Staf makin kurang. Semua bertimbun atas kepala Mel!” Mengamuk juga dia bila kena marah.

Perlahan-lahan aku mengalah. Aku balik seorang diri. Walau pun bernanah telinga mendengar leteran mak, aku hadap juga. Sebab sayangkan mak aku terimalah apa sahaja.

Suatu ketika, mak tidak lagi mahu bersembang dengan kami. Dia lebih banyak termenung dan mengunci mulutnya. Bila mak buka mulut, hamburan makian akan kami terima.

Jadi kami biarkan mak melayan anginnya sendiri. Ngah pula langsung tidak dibenarkan mak duduk berehat atau mengambil angin di luar rumah.

Sekejap Ngah menghilang pasti akan keluar bahasa kesat dari mulut mak. Ada sahaja benda yang tak kena di rumah kami. Dipaksa Ngah mengemas dan membersih dari siang ke malam.

Sampai longkang tersumbat pun Ngah kena selesaikan. Sengaja mak mengajak aku dan Adeeb keluar ke bandar. Ditinggalkan Ngah kerja yang tak akan habis.

Bila kami balik, Ngah terlelap di atas sofa kerana kepenatan. Nanti akan dimarah mak pula. Menantu pemalas dipanggilnya Ngah.

Sikap pemarah mak semakin hari semakin menjadi-jadi. Sudah puas abah melarang, aku juga bersuara agar mak berubah. Kenyataannya mak lebih teruk membahan Ngah.

“Habis laki aku, anak-anak aku semua kesiankan kau?! Pandai berlakon betullah kau ni!!”

Sikap Ngah tetap tidak berubah. Dia masih rajin balik menjenguk mak dan abah. Masak sedap-sedap untuk kami semua. Hanya sesekali Emelda akan ikut balik, itu pun sekejap cuma. Dia akan bermalam di hotel dengan alasan nak siapkan kerja perlukan ruang yang selesa.

Rupa-rupanya Emelda telah mencari bomoh untuk pedajal Ngah. Sengaja dibuat sihir ke atas mak untuk menambah kebencian mak terhadap birasnya. Tangkal pembenci Emelda ambil untuk memporak perandakan hubungan mak denga Ngah.

Tergamaknya kau, Emelda. Mereka itu mak mertua dan biras kau. Ahli keluarga baru kau. Sampainya hati kau bomohkan mak supaya bencikan Ngah?

Apalah yang tak cukup dari mak? Kasih sayang mak untuk kau lebih dari Ngah. Kau menantu kesayangannya. Menantu yang dinanti dengan bilik sentiasa rapi, menu sedap-sedap mak fikirkan untuk kau yang tak gemar masakan kampung.

Ngah tu melayan kehendak mak demi tekak kau umpama orang gaji! Kau bomohkan Ngah???

Bagaimana nak ku bentuk isteriku menjadi manusia berhati mulia seperti Ngah? Solatnya seawal waktu, berlembut tutur bicara pada suami dan orang sekeliling. Kau?

“Adeeb, jalan ni menghala ke mana? Ni bukan jalan ke rumah ibu Ngah,”

Sepanjang jalan Adeeb leka bercerita tentang Emelda mencari tangkal pembenci sampai tersilap jalan?

“Sabar, Long. Kita nak sampai dah.” Adeeb tersenyum pahit.

“Tanah Perkuburan Islam Sungai XXX” aku memandang lagi wajah Adeeb.

“Kau jangan bergurau dengan Along, nak ke mana ni? Mak mana? Abah mana?”

Di hospital tadi Adeeb mengatakan abah masih lama dalam bilik X-Ray dan mengajak aku balik dulu. Mungkinkah abah sebenarnya sudah tak ada?

Atau pun… mak?

“Mak mana, Deeb?” Aku mulai gelisah.

“Mak ada. Adik-adik Mariam dengan ibu temankan mak jalan-jalan petang. Kadang-kadang sampai ke mamak layan roti canai,” Alhamdulillah abah dengan mak masih hidup.

Lama aku berfikir. Ketika kereta berhenti tidak jauh dari pintu masuk tanah perkuburan, aku terbayangkan Ngah.

“Mana Ngah? Dia kena baham …,”

“Ada, Long. Mariam tak berapa sihat lepas kena gangguan tu. Badan dia lemah, demam. Sebab tu ibu dengan adik-adik yang jagakan mak kita,”

Tanganku ditepuk Adeeb. Dia mengajak aku ke dalam. Kubur siapa nak diziarah? Aku keluar dari perut kereta seperti orang bingung.

Adeeb sampai di depan sebuah kubur baru lalu menadahkan tangan. Aku masih berjalan dengan longlai. Dalam hati terlalu ingin mengetahui kubur siapa agaknya.

Bila aku tiba, Adeeb baru selesai membaca surah Al-Fatihah. Di bawah terik matahari aku terasa silau. Tertinjau-tinjau mencari nama sang pemilik kubur. Tanahnya masih merah. Cuma dua ketul batu sebagai tanda.

“Along, inilah kubur Kak Mel.”

Kubur Emelda? Aku melutut di atas tanah. Mencari kepastian yang tak pasti. Apakah Adeeb sengaja menyakiti hatiku kerana isterinya dikhianati Emelda?

“Kak Mel meninggal sebab dilanggar pemabuk depan hotel ternama di Bukit Bintang. Kepala Kak Mel cedera parah. Meninggal di tempat kejadian,” ujar Adeeb penuh hati-hati.

Bukankah Emelda ke Bali?

“Kak Mel dengan bos dia, Long. Skandel Kak Mel tu…ermmm,” Adeeb tak teruskan kata-katanya. Bila melihat aku menangis menggenggam tanah, Adeeb memeluk bahuku.

“Sabar banyak-banyak, Long. Along kena redha,”

Emelda, sanggup kau membelakangi aku. Mengkhianati ikatan suci kita yang baru dibina setahun yang lalu? Bukankah bos kau sudah beristeri empat?

“Mari kita baca yassin, Long. Ini je hadiah dari kita untuk arwah Kak Mel,”

“Tergamaknya kau, Mel!!!” Tanah merah ku tumbuk-tumbuk untuk melepaskan kekecewaanku pada Emelda. Aku benar-benar marah. Tapi marahku hanya dapat dilepaskan pada tanah.

“Aku sayangkan kau, Mel. Sayang sepenuh hati…ini yang kau buat di belakang aku??!!”

Aku menangis sepuas hatiku. Bersubahat dengan bomoh sudah cukup menyakitkan hati. Mak dan Ngah menjadi mangsa busuk bernanahnya hati Emelda. Tahu pula kejahatan dia di belakangku. Aku tidak dapat menerima hakikat isteriku berlaku curang! Tak mungkin aku menerima dengan mudah!!

Adeeb menarik tanganku yang mulai meleleh d***h di lapisan kulit yang terkoyak. Beginikah pengakhirannya?

“Langit dah mendung. Kita baca yassin dulu, lepas tu kita balik. Mak dah masakkan bubur lambuk special untuk Mariam. Kita pun dah lama tak makan bubur lambuk mak,” mata Adeeb bercahaya. Nampak ada garis kegembiraan terukir di bibir.

“Mak masak untuk Ngah? Alhamdulillah,”

Awan mendung yang menghiasi langit, sedikit sebanyak telah menyejukkan hatiku. Dengan angin yang bertiup bagaikan lagu. Menyapu lembut ke wajah kami.

Aku dan Adeeb mula membacakan surah yassin untuk Emelda. Walau hati masih terasa bengkak, aku teruskan bacaan. Tak sabar nak jumpa mak.

Di dalam kereta, aku menceritakan tentang makhluk pelik yang menyerang Ngah. Ke mana perginya makhluk tu?

“Itulah belaan bomoh tu bagi pada Kak Mel. Bila Kak Mel meninggal, dia tunjuklah rupa yang sebenar. Tugas dia memang untuk mengacau Mariam.”

Tak ku duga Emelda sanggup menyekutukan Allah demi merebut perhatian dari mak. Sedangkan mak memang sayangkan dia lebih dari semua orang.

Nasib baiklah ada Ustaz Imran. Dialah yang menghalau makhluk buruk yang ganggu Ngah. Sebenarnya Ustazah Sharifah dan Ustaz Imran sejak awal lagi sudah nampak ada yang mengikut setiap kali aku dan Emelda balik ke rumah mak.

“Ustazah cakap, benda tu menyerupai Kak Mel, tapi ada masanya dia bertukar jadi buruk. Mulutnya koyak, kulitnya hitam berkilat, mata benda tu merah tak ada bola mata.”

Naik meremang bulu tengkuk!

Pernah Ustaz Imran berpesan pada mak dan abah, tapi mak menjadi semakin baran setelah dinasihatkan supaya tidak meninggalkan solat, mengaji dan lakukan solat sunat.

“Menantu kaya aku tu sebaik-baiknya manusia. Kalau menantu miskin tu main bomoh percaya juga aku!” Mak memang tak dapat terima bila orang menyampai hal keburukan Emelda.

Berulang kali Adeeb minta aku bersabar. Dia tahu betapa aku menyayangi Emelda. Sukar untuk aku menerima hakikat.

“Kita dah sampai.”

Termenung aku melihat rumah ibu mertua Adeeb tidak lagi seburuk dulu. Hilang sudah rumah papan beratap zink yang aku masuk ketika meminang Ngah untuk Adeeb.

Dari jauh mak menjengah ke luar. Tersenyum simpul mak nampak kami sampai. Lega hati aku melihat mak berwajah manis begitu.

Nampaknya aku harus redha dengan pemergian Emelda. Apa yang dia lakukan dalam keluarga kami. Terpaksa aku ikhlaskan.

Mak keluar bersama Ngah yang berbalut tangannya. Mungkin terluka akibat tarikan tangan makhluk memakai baju Emelda, katanya belaan Emelda sebagai syarat untuk menerima khidmat dari bomoh durjana.

Tak mengapalah, segalanya telah pun berakhir. Syukur kerana kami semua dalam keadaan baik. Pihak hospital sudah memaklumkan esok abah sudah boleh dibawa balik.

Malam ini aku lihat sendiri betapa manisnya senyuman mak ketika menyuapkan bubur lambuk ke mulut Ngah. Adik-adik Ngah pula berebut mahu menyuap mak makan.

“Tak lama lagi, mak nak dapat cucu. Harap-harap Ngah dengan anak dalam perut sihat selalu. Tak sabar mak nak peluk cium anak kamu,”

Patutlah mak begitu ceria. Rupa-rupanya Ngah sudah berbadan dua. Tak lama lagi aku akan jadi Pak Long.
.
.
.

“Along!” Terkejut aku mendengar suara mak memanggil aku.

Diikuti pula dengan suara Adeeb dan ibu menjerit nama Mariam.
Entah apa yang kecoh di luar sana? Mata baru nak terpejam. Akal pun tak berapa cergas lagi.

Bila aku membuka daun pintu, kelihatan Ngah sudah terbaring di atas lantai. Penuh d***h di sekitar badan Ngah.

“Kakak. Kakak… bangunlah,” adik bungsu Ngah menggerak-gerakkan tubuh Ngah.

“Bangun, Ngah. Mak baru nak ajak esok beli baju baby,” mak merintih di saat Ngah tidak bergerak lagi.

Hilaian yang nyaring muncul di luar pintu utama. Sekejap suaranya di sebelah kiri dan sekejap di sebelah kanan. Meremang bulu tengkuk kami yang berada di dalam rumah.

Sosok tubuh wanita memakai baju kebaya hijau milik Emelda dengan kedua tangannya dibasahi d***h merah. Dia menyeringai ke arah aku sambil menunjukkan tangannya yang sedang melambai lambai.

“Iblis celaka!! Berani kau ganggu keluarga kami?!” Aku bingkas menuju ke pintu.

“Tuan aku yang menjanjikan janin bayi untuk penamat tugasanku. Kini aku dah dapat… Terima kasih Emelda, ahahahaha..aku akan pergi!!!” Dalam sekelip mata dia menghilangkan diri.

××××××××××

“Apa yang Along menungkan tu? Barang yang lepas jangan dikenang,”

Adeeb datang bersama anak ketiganya dalam pelukan. Selepas peristiwa hitam itu, kami semua berpindah ke bandar. Mulakan hidup baru.

Kenangan pahit dalam hidup Ngah telah diganti dengan bayi lelaki kembar. Terubat juga duka dan lara mengenangkan kandungan pertamanya.

Mujurlah ada mak, ibu dan abah yang sentiasa memberi sokongan dan nasihat pada Ngah supaya bersabar dan redha atas ujian Allah.

Kami akan ingat sampai ke nafas terakhir kami, setiap perjanjian dan pertolongan dari syaitan pasti akan diminta balasan. Selalunya sesuatu yang kita sayang.

Beringat sebelum terkena.

SEKIAN.

TAMAT.

karyapanda

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 37 Average: 4.9]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.