MENANTU MAK

“Along. Mana daun kunyit mak suruh beli?”

Baru nak bersila depan abah, mak sudah mula bersuara. Dari pagi ada sahaja yang mak minta. Kami ikutkan demi menjaga hati.

“Ada di dalam peti sejuk. Along ambil free belakang rumah Wak Leman,” nada ku perlahankan sehabis mampu.

Mak terangguk-angguk sambil tersenyum meleret di depan oven petak hitam. Esok mak nak merendang pula. Abah dah bersihkan itik seekor. Puas hati mak agaknya. Sesekali dia mengira-ngira dulang berisi biskut makmur berinti kurma.

“Banyak sangat ni, mak. Siapa nak makan kuih lapuk macam ni? Cukuplah dua balang Ngah buat.” Adeeb yang sibuk memasukkan biskut ke dalam balang mula memicit bahu.

Kasihan agaknya melihat Ngah menyiapkan biskut raya yang tidak digemari keluarga kami. Mak dengan abah pun tak makan sangat. Tapi bertalam talam menunggu untuk dibakar.

“Diamlah, Adeeb ! Bukan kamu kena keluar duit beli barang! Mak nak lima balang. Faham? Haa, Ngah! Boleh tak, Ngah?” Mak mula menyingsing lengan.

Ngah mengangguk seraya mengukir senyum pada mak. Aku tahu Ngah tak akan melawan cakap mak. Dialah menantu paling baik pernah aku tengok di muka bumi ini. Mak memang tak hargai dia walau sedikit pun.

Susah nak cakap dengan mak. Tak pernah nak mengalah. Kalau dijawab lebih-lebih nanti dikata anak derhaka.

“Buatlah biskut lain juga, Temah. Buat banyak macam ni membazir, Tuhan marah.” Abah dah berulang kali cuba bagi mak faham. Tapi kedegilan mak itu yang mengatasi segalanya.

“Siap lima balang nanti Temah nak kemas bilik hujung. Lambat siap lambatlah Temah mengemas. Tak memasaklah Temah nanti, bang.”

Mengalah jua abah demi isteri tercinta. Mata abah mula terkaku memandang kosong ke luar rumah. Jalan kecil tidak bertar itu menggamit beribu kenangan dalam hidupnya. Abah meraut wajah sambil melepaskan keluhan.

Sebagai anak sulung, aku masih bertahan dari mengguris hati mak. Ngah pula entah berapa lama sanggup bersabar. Air mukanya yang sekejap keruh sekejap merah menahan mengantuk, hanya menunggu masa Ngah tinggalkan semua lalu mengunci diri di dalam bilik.

“Along minta maaf, Adeeb. Sebab Along mak paksa Ngah…,”

Belum sempat Adeeb menjawab, Ngah pula bersuara.

“Jangan disebut, Long. Ngah nak siapkan cepat, biar mak tidur dengan tenang. Bukan selalu kita sambut raya.”

Ya, maafkan aku kerana telah menyusahkan adik dan iparku. Sepatutnya mereka balik dapatlah berehat di rumah ini. Tapi kerana sikap tidak tegas akulah, mereka menjadi mangsa keadaan.

Hari ini Syawal ketiga, Aidilfitri diraikan seluruh umat islam. Dua hari sebelum masuknya bulan Syawal aku telah tercegat di rumah ini menemani keluargaku menyambut Hari Raya.

Ada kalanya aku malu pada abah, Adeeb adikku dan isterinya yang lebih selesa dipanggil Ngah. Orang lain rancak berhari raya tapi masih tak nampak batang hidung isteriku.

Kasihan Ngah kena buat itu dan ini mengikut telunjuk mak. Dua menantu mak tidak dilayan sama rata. Dari segi kasih sayang sudah tentu isteriku meraih berbakul-bakul. Iparku cuma diperlukan untuk memasak dan mengemas rumah.

Sebenarnya aku dan Adeeb memilih hari yang sama untuk menamatkan zaman bujang kami. Naik pelamin bersama, membuat majlis juga hari dan tempat yang sama.

Yang berbeza hanyalah layanan mak kepada kedua menantunya. Mungkin kerana isteri aku berpelajaran tinggi, anak orang ternama dan cantiknya tiada bandingan di kampung ini, maka mak layan Emelda umpama Puteri Raja.

Bukan disebabkan itu maka aku merendah-rendahkan kelebihan Ngah. Dia gadis polos tamat SPM. Hanya membantu ibunya membesarkan adik-adik.

Bekerja di kedai makan sejak tamat sekolah. Hasil dari bekerja di situlah Ngah meringankan beban si ibu tunggal. Baik budi pekertinya.

Orangnya tak kurang manis juga. Yang paling aku tabik adalah masakannya. Baru berusia 20 tapi masakan setaraf air tangan mak-mak.

Aku selalu puji kehebatan Ngah bila masak menu kampung. Pada mulanya aku hairan kenapa kuah singgangnya tawar? Dihirup sekali rasa tak puas.

Kemudian dia bawa sepinggan ulam-ulaman. Ada petai, ulam raja dan bendi siap dicelur. Mak mencebik-cebik di depan menantu kurang kasih sayang itu.

“Along tunggu. Jangan makan dulu,” Adeeb menahan lenganku. Sambil tersengih.

Dua minit kemudian. Ngah dengan senyum simpulnya bawa semangkuk budu. Mataku terbeliak! Budu? Meleleh air liur aku dan abah.

Lalu Adeeb perahkan limau nipis ke dalam mangkuk. Cili p****g dan bawang kecil berenang-renang di permukaan. Aku jeling abah. Abah sudah bersedia menceduk budu.

Kami bertiga tergelak bila tengok abah tak henti-henti menjilat jari. Gabungan singgang bersama budu memang mantap. Bertuahnya Adeeb dapat isteri sehebat Ngah.

Mak dan Emelda saling menjeling. Terjuih bibir mengejek lauk kampung masakan Ngah. Kemudian mak mengajak Emelda makan di kedai masakan western.

Walau pun begitu, Ngah tak pernah merungut. Apa lagi tidak menjenguk mak dan abah di kampung. Setiap jumaat dan sabtu Adeeb akan bercuti. Ngah selalu memujuk suami balik bermalam di rumah mak.

“Selagi mak dan abah ada, kita kena balik.” Pesanan Ngah selalu kami ingat. Ibu Ngah memang wanita hebat. Dia berjaya mendidik anaknya menjadi anak, menantu dan isteri yang berhati mulia.

Panggilan video dari Emelda mematikan lamunanku. Setiap malam kami berbual seketika sebelum aku tidur.
Aduhai, Emelda… dia beritahu tak akan beraya di rumah mak dan abah pula!

“Macam mana nak bagitahu mak? Mak nak sangat Mel balik…,”

“Cakaplah Mel banyak kerja. Lagi pun mak dah janji nak pasang aircond bilik kita tu, tak pasang pun! Mel tak tahanlah tidur bilik macam dalam sauna!”

Beginilah sikap Emelda. Dia tak akan berselindung denganku walau pun kenyataannya sangat menyakitkan hati.

“Macam-macam dah buat untuk Mel. Baliklah. Biskut makmur Mel suka tu, lima balang mak suruh Ngah buat. Rendang itik pun Ngah dah masak. Pleaselah ba..lik,”

“Hello? Tak jelaslah! Putus-putus…hello, kirim salam mak. I kerja esok. Bye!”

“Emelda!”

Habis! Senang betul dia beri alasan ada kerja. Aku yang akan menahan telinga bila mak mengamuk nanti.

Otak mula ligat mencari kata-kata paling mudah untuk mak terima. Alasan apa aku nak bagi? Mak tak akan terima. Sebab Emelda menantu kesayangan mak.

“Gosokkan baju Mel dengan mak. Esok mak nak bergambar dengan Mel depan pasu mahal. Cantik pula bunga kertas tu berbunga kali ni,”

Suara mak dah mula memecah kesunyian malam. Aku rasa Ngah baru siap menukar cadar dan langsir bilik hujung. Mak kata bilik tu khas untuk Emelda bersolek.

Abah pula yang baru balik bermesyuarat dengan AJK surau seperti dapat membaca keresahan di raut wajahku. Lalu datang dekat dan membuat isyarat ‘kenapa’.

“Mel tak dapat balik, bah. Boss suruh kerja.”

Abah mengangguk. Ditepuknya bahu kananku perlahan. Mudah untuk beritahu abah tapi tidak pada mak.

Derapan kaki mak dari dapur semakin mendekat. Buntu nak bagitahu mak.

“Lauk rendang itik menantu mak dah siap. Esok panaskan, Ngah. Jangan rentung pulak! Mak sanggup tuang atas kepala kau!”

Alahai mak… bercakap tak fikir perasaan orang langsung. Dari jauh aku nampak wajah suram Ngah tertunduk keluar dari bilik solek Emelda.

“Ngah dah gosok dari semalam, mak. Lauk tu Ngah dah tambah lodeh. Kak Mel suka juga. Esok Ngah panaskan.”

Aku terdengar abah membebel pada mak. Hati menantu yang tak berkerja executive itu suka diarah seperti bibik. Sedangkan menantu itu jugalah yang menyiapkan kerja rumah mak dari A sampai Z.

“Mak, Emelda tak balik. Dia kena kerja…,” mahu atau tidak aku terpaksa bagitahu juga. Biar Ngah dapat rehat kalau Emelda tak balik.

Hati aku ni agak tawar memikirkan isteri yang tak pernah menghormati aku sebagai suaminya. Mentanglah kau kerja bergaji tiga kali ganda dari gaji aku, kau biarkan perasaan mak aku berkecai!

Mak pantas menoleh. Kain cadar di lengannya jatuh ke lantai. Mulut mak terlopong. Mesti mak terkejut bagai nak pecah jantung.

“Along jangan main-main dengan mak! Telefon Mel sekarang! Mak tak percaya menantu cantik mak tak balik beraya dengan mak..,” bergenang sudah airmata mak.

Sudah ku beri alasan Emelda dan team syarikat sudah mula bekerja. Mak terlembik duduk di lantai. Menitik airmata di pipi tua mak. Sebak pula hati aku bagai dikoyak-koyak.

“Mel kirim salam kat mak. Esok dia kena ikut bos ke Bali.” Aku sekadar meniru alasan dari fb yang sedang viral. Tak tahu nak beri alasan apa lagi?!

Mak meraung sambil menekup muka dengan cadar baru untuk bilik aku dan menantu cantiknya. Abah berulang kali menyuruh mak sabar.

Seperti anak kecil mak menendang lantai. Adeeb yang baru nak pejamkan mata terus keluar menerpa ke arah mak. Ngah juga menyusul dari belakang Adeeb.

“Kenapa ni, mak?” Adeeb menggosok belakang mak.

“Emelda tak balik!!!” Mak merengek.

“Sabar ya, mak? Esok kita beraya ke rumah ibu Ngah…,” Ngah cuba memujuk. Tapi tangannya ditepis.

“Tak selera aku beraya rumah mak kau! Rumah macam reban!!” Mak membentak.

“Temah!” Abah meninggikan suara. Kami faham perasaan kecewa di hati Ngah. Dia cuba mengukir senyum agar abah tak naik hantu.

“Tak baik mak cakap macam tu. Mariam dah lama nak mak datang ke rumah ibu. Ada bilik khas untuk mak,” Adeeb pula rasa geram dengan sikap mak.

Sejak mereka bernikah, tak pernah lagi mak jejak ke rumah Ngah. Seingat aku mak cuma datang ke rumah Ngah waktu meminang Ngah. Itulah sekali tiada dua lagi.

Kerana tak sanggup melihat Ngah cuba menyembunyikan perasaan sedihnya, aku masuk ke bilik. Biarlah mak nak menangis atau mengamuk.

“Pergi masuk bilik semua! Tak payah pujuk aku! Aku nak Emelda! Aku nak menantu aku!!”

Semakin tenat aku dengar mak mengamuk. Eloklah aku baring daripada menghadap ragam mak.

Masa semakin berlalu. Aku cuma mendengar bebelan mak di ruang tamu. Tiada lagi suara Adeeb, Ngah atau abah cuba memujuk.

**********

Hampir sejam berlalu. Mungkin Adeeb sudah lena. Sebelum dia tidur, Adeeb telah bermesej denganku. Dia kena tidur awal sebab esok dia akan bawa mak mertua dan adik-adik ipar mengambil angin di pantai.

Ngah juga telah tidur lebih awal dari Adeeb. Mungkin penat seharian membuat kerja rumah. Masak itu dan ini untuk menambat hati ibu mertua yang tak tahu menghargai dirinya.

Terdengar derapan kaki menuju ke dapur. Kemudian bunyi api dapur dinyalakan berkali-kali. Aku cuma mendiamkan diri.

Bau harum rendang itik kesukaan Mel menerjah ke hidung. Siapalah panaskan lauk lewat malam begini? Mungkin mak lapar setelah penat menangis.

“Achommm!!”

Betullah itu suara mak. Tahu pun lapar… aku tergelak kecil.

“Mak lapar? Biar Ngah hidangkan. Mak tunggu depan ye, mak?” Suara lembut Ngah menyapa.

“Berambuslah! Masuk bilik sekarang! Jangan buat aku hilang selera pulak!!!”

Mak, mak… tinggi sungguh ego mak. Nasi impit, rendang itik, lodeh dan kuah kacang segala masakan di dapur tu Ngah yang siapkan. Mak lapar pun makan masakan Ngah, bukan masakan Emelda.

“Baik, mak.”

Kalau isteri aku diperlakukan seperti Ngah, memang aku balik ke PJ. Bukan nak jadi anak derhaka. Cuma sebagai suami aku kena juga jaga hati isteri supaya tak dilukai seperti sampah.

Kenapalah Adeeb masih mampu bersabar? Atau pun Ngah yang minta Adeeb bersabar? Aku selalu dengar Ngah menenangkan hati Adeeb bila mak mengutuk Ngah.

“Seorang tu je mak yang abang ada. Ngah boleh sabar. Abang pun kena bersabar. Baik yang kita buat pada mak abah, baik jugalah yang kita dapat dari anak nanti.”

Bertuah kau ada bini baik berhati mulia seperti dia, Adeeb. Setiap tutur katanya disulami senyum manis yang ikhlas. Tidak meninggi suara walau sedikit pun.

Lama-lama mataku pun terpejam. Siang nanti aku nak ikut Adeeb dan Ngah balik ke rumah ibu Ngah. Beraya bersama adik-adik Ngah yang comel-comel.

Entah berapa lama masa berlalu. Tiba-tiba terasa asap berkepul-kepul memasuki bilik. Bahang kepanasan juga terasa lain macam.

“Along, bangun! Rumah terbakar, Long!!!” Suara Adeeb di luar bilik. Bergegar pintu bilik masa ni.

“Abah, ikut Ngah…uhuk uhukk..abah, ni selimut basah.” Jelas kedengaran suara Ngah.

Aku melompat dari pembaringan. Asap tebal masuk dari celahan silling dan dinding. Keluar sahaja dari bilik aku nampak api marak dari arah dapur. Abah yang bertutup kain selimut sedang dipapah Ngah dan Adeeb.

Pandanganku mulai kabur, tapi kedudukan aku dengan mereka bertiga sangatlah dekat. Abah terbatuk-batuk menekan dada.

“Along tolong bawa abah keluar. Asthma abah menyerang nanti…” Ngah menghulurkan lengan abah ke arahku.

“Abang, pegang abah. Sayang nak ke dapur cari mak,”

Cari mak? Dengan api menyambar ke atap macam ni Ngah masih memikirkan mak?! Tak sempat pun kami menghalang, Ngah menutup kepala dan badan dengan cadar yang telah dibasahkan.

“Sayang!!”

“Jangan, Ngah!”

Namun tidak diendahkan langsung. Cuma kedengaran Ngah berzikir sambil meredah kepulan asap serta api yang mulai merebak ke ruang tamu.

Kami terpaksa bawa abah keluar dari rumah papan separuh batu ini. Nafas abah tercungap-cungap ketika beberapa orang kampung datang memapahnya.

“Aku ke belakang dulu, long. Macam manalah Mariam dengan mak…,”

Belum sempat aku menahan, tiba-tiba muncul kelibat Ngah dan mak dari tepi rumah. Alhamdulillah. Mak dan Ngah selamat.

Aku dan Adeeb meluru mendapatkan mereka. Tubuh mak terlalu lemah, aku mengangkat mak yang meracau tanpa butir kata yang aku faham.

Syukurlah mak dapat diselamatkan dari ditelan api yang mulai marak. Aku lihat Ngah sedang mengelap muka abah. Cuba menenangkan hati abah. Mungkinkah hati Ngah masih terluka dengan kata-kata mak malam tadi?

“Emel..da, kau balik juga sayang mak… mak sayang Mel, jangan tinggalkan mak..,”

Meracau apalah mak aku ni? Dia sangkakan Ngah adalah Emelda! Patutlah Ngah terus berlalu mendekati abah. Mengesat airmata dalam sebak yang tak difahami seorang ibu mertua.

“Terima kasih, Emelda. Mak sayang kau,” tangan mak melambai-lambai ke arah Ngah. Semakin deras airmata iparku itu.

Orang ramai mula membantu memadamkan api. Walau pun aku merasakan rumah ini bakal tinggal arang dan debu, tapi semangat orang kampung amat mengejutkan.

“Emelda tunggu mak!!” Tak semena mena mak melaung ke arah tangga rumah.

Kami semua cuba menenangkan mak. Minta mak mengucap. Tapi mata mak tetap tertancap ke arah daun tingkap yang ternganga.

“Biskut makmur menantu mak!!!” Mak menjerit separuh sawan.

“Nanti Ngah buat lain ya, mak?” Ngah menarik tangan mak dengan linangan airmata.

“Kau? Kau bukan Emelda!! Pergi sana!! Aku nak menantu cantik! Bukan kau! Kau berambus sana!!!!”

Terdiam Ngah memandang muka mak yang bengis. Sedu Ngah tidak berhenti. Mak pula memaki hamun dia di depan orang.

Aku dan Adeeb cuba menahan mak dari terus bersikap agresif. Seperti hilang pertimbangan.

“Abah…,” Adeeb melepaskan pegangan tangannya dan meluru ke arah abah.

Keadaan abah begitu tenat. Wajahnya mula pucat. Sudah tentu asthma abah menyerang. Ngah juga beralih ke arah abah.

“Aku dah panggil bomba. Kau hantar abah kau pergi hospital dulu, Afeef!” Abang Mustaffa jiran sebelah menggoncang bahuku.

Dengan keadaan abah yang tak cukup nafas tu, aku tak fikir panjang terus lepaskan tangan mak. Berlari ke arah abah yang sudah separuh sedar. Mata hitam abah dah naik ke atas.

“Deeb, kau hidupkan kereta. Along angkat abah,” tanpa berlengah Adeeb buat sperti apa yang aku suruh.

“Ngah jaga mak.”

Ngah mengangguk dalam menahan sedu. Bahagian belakang rumah kami telah marak apinya. Ngah seperti terkaku memandang api yang mula menelan bahagian atap.

“Along tinggal mak dengan kau, Ngah. Dengar tak?” Risau juga aku kalau Ngah tidak kuat dengan dugaan ini. Tapi bila Ngah memeluk mak yang sedang melaung nama Emelda, aku yakin dia akan menjaga mak dengan sepenuh hatinya.

Aku berdoa pada Yang Maha Berkuasa…Ya Allah yang Maha Pelindung, jagakan ibu kami dengan kasih sayang MU.

“Laju sikit, Adeeb. Nafas abah perlahan dah ni,” risau betul aku kalau abah tinggalkan kami ketika kami belum mampu memberikan abah cucu.

“Along, perasan tak…dekat tingkap anjung kiri tu?”

Soalan Adeeb hanya ku jawab dengan renungan mata yang pelik serta elengan kepala. Adeeb meraut wajah yang dibasahi peluh.

“Tak taulah, Long. Aku…aku nampak Kak Mel dalam rumah,”

Apakah Adeeb mengalami trauma hingga ternampak yang bukan-bukan? Mana mungkin Emelda yang berada jauh di negeri lain munculkan diri sekelip mata di rumah kami?

Lagi-lagi dalam api yang sedang marak membakar rumah peninggalan Tok Wan. Tak masuk dek akallah!

“Betul, Long. Kak Mel ada tepi balang kuih Mariam buat tu. Di..dia pandang Mariam lama juga, Long.”

Gila! Aku syak fius otak Adeeb dah tersasar ke arah lain hingga dia berhalusinasi. Mungkin kerana terkejut melihat kebakaran yang berlaku dengan sepantas kilat penyebab dia hilang kawalan emosi.

“Along dah vc Mel sebelum tidur malam tadi. Dia memang ada di banglo kesayangan dia tu. Along tak silap tengoklah, Deeb. Istighfarlah. Mungkin itu bayangan yang tak pasti je,”

Aku cuma risaukan keadaan abah dan mak. Perkara lain aku tolak ke tepi dulu. Melihat skrin di telefon, ada pesanan dari Abang Mustaffa mengatakan bomba akan tiba sekejap lagi. Alhamdulillah.

Satu lagi pesanan dari isteriku, Emelda. Ringkas sahaja,

‘I ikut boss dengan staff lain ke Bali. Take care.”

Betul-betul dia ke Bali ! Arghh, lantaklah kau!! Sekarang ni yang penting bawa abah ke bahagian kecemasan, kemudian aku nak jemput mak pula.

Biarlah Emelda nak ke Bali atau ke mana!

Biarlah rumah nak terbakar hangus tidak meninggalkan apa-apa! Yang penting keluarga aku selamat semuanya.

Setelah abah dimasukkan ke unit kecemasan, aku menelefon abang Mustaffa bertanyakan keadaan di sana.

Bomba sudah pun sampai dan cuba memadamkan api, namun ada berita sedih buat keluargaku. Puas aku bertanya, tapi Abang Mustaffa tidak memberi respon.

Talian diputuskan dalam keadaan aku tertanya-tanya di mana mak? Di mana Mariam? Adeeb juga ingin tahu.

“Jom kita balik. Tengok Mak dengan Mariam,” ajak Adeeb. Aku juga fikir begitu.

Kereta Adeeb aku bawa macam orang masuk lumba haram! Setiap kereta ku p****g dengan pantas. Adeeb sudah menggigil satu badan memikirkan mak dan Ngah.

Tiba di luar pagar rumah. Keadaan sedikit huru hara. Bomba sedang memadamkan api dengan segala tenaga dan kepakaran mereka.

“Mariam, sayang…,” bergenang airmata Adeeb mencari wajah sang isteri tercinta.

“Adeeb! Afeef! Sini..,” suara Kak Maisarah jiran belakang rumah memanggil kami dari tangga rumahnya.

Berlarilah kami ke sana. Beberapa orang kampung sedang memenuhi tangga rumah Kak Maisarah. Ada suara tangisan kedengaran.

“Mariam?” Adeeb dapat meneka itu tangisan isterinya.

“Mak! Ngah!” Aku pula memanggil penuh pengharapan mereka akan menyahut panggilanku.

Setibanya di depan tangga rumah Kak Maisarah, aku terlihat tubuh Ngah sedang dipeluk guru mengaji bernama Ustazah Sharifah.

“Kenapa ni, sayang? Mak mana?” Adeeb tercari-cari kelibat mak. Aku juga begitu.

Orang ramai yang mengerumuni rumah Kak Maisarah tiada seorang pun yang berani bersuara.

“Siapa nampak mak kami?” Aku dah mula gelisah.

“Abang Afeef, mak abang lari masuk dalam api!” Seorang remaja bernama Danial memberitahu.

Masuk dalam api? Jadi? Mak …? Mana mak? Aku berlari ke arah anggota bomba yang bertungkus lumus memadamkan api. Seperti orang gila aku melaung memanggil mak.

“Mak! Balik, mak… Along sayangkan mak…,” namun launganku tidak berbalas.

Api terlalu marak sehingga aku tak dapat mendekati rumah kami. Aku cuba mencari di mana mak?

“Along, mak lari ke anjung kiri… budak-budak tu cakap mak nampak Kak Mel lambai mak. Macam mana Kak Mel boleh ada dalam api yang besar?”

Emelda lambai mak? Aku menekan nombor telefon Emelda. Lama tidak berjawab. Sampailah masuk ke peti mel suara.

Tak mungkin Emelda dari PJ datang ke
Johor sepantas kilat! Kerja gila ni!

“Mariam pun nampak Kak Mel. Baju kuning bunga biru. Pakai tudung biru…sama macam yang aku nampak tadi, Long!”

Baju kuning berbunga biru. Baju yang aku belikan di harijadinya dua bulan yang lalu. Tudung biru.. betullah. Aku vc dengan Emelda memang itulah pakaiannya!!!

Di mana mak? Di mana Emelda? Apa sebenarnya yang terjadi????

Bersambung.

#karyapanda

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 24 Average: 4.9]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.