MEREKA JUGA KELUARGAKU

Sebelum mengisi perut dengan sarapan pagi, aku akan memulakan aktiviti memanaskan tubuh seperti biasa. Menjadi rutin bagiku berjoging terlebih dahulu. Biar keluar peluh sedikit. Baru sihat tubuh badan. Lebih-lebih pada waktu aku sedang bercuti hujung minggu begini. Panjang sedikit masa yang boleh diambil untuk berjoging di sekitar kawasan rehat itu. Urusan di pejabat aku lupakan seketika. Semuanya sudah diserahkan kepada pembantu peribadiku, Anna.

Sudah beberapa tahun aku menguruskan sebuah syarikat besar di ibu Kota. Syarikat yang semakin berkembang maju itu semestinya akan memberikan hasil yang lumayan buatku selalu. Malah aku sudah memiliki sebuah rumah banglo tiga tingkat dan berbagai jenis kereta mewah berjenama dari dalam dan juga luar negara. Cuma apa yang aku masih belum memiliki lagi adalah sebuah keluarga bahagia yang aku impikan.

Biarpun usiaku kini menjangkau tiga puluh tahun dan ketampananku menjadi kegilaan para wanita namun, tiada satu pun yang tersangkut di hati aku. Tdak tahu mengapa sukar untuk aku menerima mana-mana wanita yang ingin mendampingiku. Yang ingin memberikanku cinta. Apakah mungkin kerana aku belum cukup bersedia lagi? Atau belum menemui seseorang yang benar-benar boleh membuatkan hatiku terusik. Jantungku berdebar. Sejujurnya, aku tidak memandang pada paras rupa atau kedudukan seseorang wanita itu.

Kecantikan itu pasti akan pudar juga suatu hari nanti. Pangkat yang tinggi juga belum tentu menjaminkan kebahagiaan setiap pasangan itu. Aku lebih suka memilih yang sederhana. Yang tidak keterlaluan dalam bergaya. Yang tulus berbicara soal hati dan perasaan. Kecantikan, keanggunan atau godaan yang mereka sering gunakan untuk memikat mahupun mendekati aku sedikit pun tidak mampu mencairkan hati lelakiku. Belum ada seorang pun yang benar-benar ikhlas mendampingi aku kerana cinta yang tulus. Semuanya menempel demi meraih layanan romantis serta kekayaan yang aku miliki. Adakalanya, aku merasa jengkel.

Memang benar aku memerlukan seseorang di sisi menemani. Kerana aku adalah seorang anak yatim piatu. Tidak punya adik-beradik lain. Hidup aku sunyi, sepi! Walaupun Aunty Latifah dan seorang pembantu rumah tinggal di bersamaku tetapi, masih tetap juga terasa sunyi. Ibu bapaku meninggal ketika aku masih terlalu kecil. Baru berusia dua tahun. Kisah tragis itu sudah lama berlalu. Suatu hari aku bersama ibu dan bapaku dalam perjalanan ke tempat percutian. Bapaku yang memandu kereta tersebut. Manakala aku duduk di sebelah dalam pangakuan ibuku.
Tetapi malang tidak berbau. Kami ditimpa kemalangan. Sebatang pokok di tepi jalan tiba-tiba tumbang menghempap kereta kami. Kedua ibu dan bapaku meninggal di tempat kejadian. Aku terselamat kerana nyawaku masih panjang. Aku berada dalam pelukan ibu yang sudah tidak bernyawa. Begitulah apa yang diceritakan oleh beberapa orang saksi kejadian yang menimpa aku dan keluargaku. Aku kemudiannya dibesarkan oleh ibu saudara dan bapa saudaraku. Aunty Latifah adalah adik kepada ibuku, Rashidah.

Mereka tidak mempunyai zuriat setelah sepuluh tahun berkahwin. Namun kehadiran aku membawa penyeri dalam hidup pasangan itu. Aku dijaga dengan penuh kasih sayang seperti anak mereka sendiri. Sehinggakan aku memanggil mereka dengan gelaran ibu dan ayah.
Selepas bapa saudaraku, Uncle Ahmad meninggal akibat penyakit kanser paru-paru yang dialami sejak beberapa tahun, aku menjadi pewaris kepada syarikat tersebut. Lagipun syarikat itu ditubuhkan hasil dari kerjasama bapaku juga.

Usai berjoging aku melakukan sedikit regangan pada bahagian-bahagian otot. Udara pagi itu begitu nyaman. Agak dingin sedikit. Seketika aku melabuhkan duduk di atas kerusi rehat. Air mineral yang aku beli tadi aku teguk beberapa kali. Setelah itu aku bersandar sambil memejamkan mata untuk menikmati udara segar yang menyapa wajahku. Namun ketenangan yang baru aku kecapi cuma sekejap sahaja. Aku tersentak apabila merasakan ada sentuhan lembut pada lengan kiriku. Lantas, aku membuka mata dan menoleh ke sebelah.
“Ayah.”
Terkedu. Kanak-kanak perempuan comel itu tersenyum padaku selepas memanggil aku, ayah?
“Hai? Siapa nama?” Aku terus menyapanya sambil bertanya tentang namanya.

Comel sungguh kanak-kanak perempuan itu. Anak matanya besar bersinar serta hitam pekat. Kulitnya pula putih melepak. Sedikit kemerahan. Kedua belah pipinya tembam. Aku kira usianya mungkin dalam lingkungan tiga atau empat tahun. Tetapi aku agak bingung. Kalau aku tidak salah mendengar tadi, memang kanak-kanak itu memanggilku, ayah? Mengapa agaknya?
“Puspawangi.”

Kanak-kanak comel itu memperkenalkan dirinya. Nama yang jarang aku dengar pada zaman ini. Kalau ada pun mungkin dalam filem-filem klasik hitam putih. Puspawangi adalah nama sejenis bunga.
“Puspawangi? Cantik nama tu. Umur puspawangi berapa tahun?” Aku menyoalnya lagi walaupun sudah dapat mengagak umurnya tadi. Sengaja aku hendak kelihatan lebih mesra dengannya.
“Puspawangi kan anak, ayah? Takkan ayah, tak tahu? Ayah rasa, umur Puspawangi berapa tahun?”
Tersenyum melerat aku dengan celotehannya. Dia cuba hendak bermain teka-teki dengan aku pula. Aduhai! Anak siapakah ini? Comel betul telatahnya. Tapi hati aku masih tertanya. Mengapa perkataan ‘ayah’ itu begitu mudah terluncur dari bibirnya yang comel dan petah berkata-kata itu? Bukan sepatutnya dia memanggilku dengan panggilan, uncle?
“Ermm…empat tahun?” Tekaku dengan reaksi tidak begitu yakin.
“Wah! Ayah memang hebat! Puspawangi nak berikan hadiah pada ayah, sebab ayah jawab dengan betul.”
Cup!
Satu ciuman lembutnya hinggap ke pipi kiriku. Dia buat aku terkedu sekali lagi. Tetapi aku cukup menyukai sikapnya yang mudah mesra itu. Seolah kami sudah lama mengenali antara satu sama lain. Padahal baru hari ini aku bertemu dengannya.
“Puspawangi datang sendiri saja? Mana ayah dengan ibu?”
“Ibu tak tahu Puspawangi keluar. Ayah…? lnilah, ayah Puspawangi.”

Dia menundingkan jari telunjuk kanan kecilnya itu ke arah aku. Tapi aku masih lagi tidak yakin dengan jawapannya. Tak mungkinlah aku ini ayahnya. Aku tidak pernah berkahwin lagi. Apatah lagi melakukan hubungan terlarang dengan mana-mana perempuan. Sejahat-jahat aku pun belum pernah lagi aku mengandungkan anak orang.
“Kalau Puspawangi jawab dengan jujur, uncle janji akan berikan hadiah pada, Puspawangi. Nak hadiah tak?”
“Nak-nak!”
“Jadi, siapa nama ayah, Puspawangi? Dan, dekat mana dia sekarang?”
“Ini! Yang duduk di sini. Namanya, Akil Haiman bin Abdul Muizz!” Dia menyebutnya dengan lancar. Tanpa berbelit-belit sambil menatapku dengan mata bundarnya.

Aku jadi penasaran terus. Puspawangi tetap merujuk kepadaku lagi, dan lagi! Jantung aku serasa hampir gugur dibuatnya! Bagaimana dia boleh tahu nama penuhku? Siap dengan menyebut nama bapaku sekali! Siapakah anak ini? Meski dia sangat comel, sangat polos. Tetapi aku semakin hilang sabar bila dia semakin galak memanggil aku, ayah. Aku bukan ayahnya! Aku langsung tidak mengenalinya atau ibunya.
“Puspawangi sudah menjawab dengan betul, kan? Kenapa ayah diam saja? Mana hadiah yang ayah janjikan untuk Puspawangi?”

Aku masih memandangnya dengan pelik. Rasanya, aku perlu menyelidik tentang anak comel ini. Biar saja kalau dia hendak memanggilku, ayah. Aku layankan dulu kerenahnya.
“Ayah akan berikan Puspawangi hadiah tu. Tapi, dengan syarat. Puspawangi perlu menjawab soalan seterusnya dulu. Siapa nama ibu, Puspawangi? Dan, tempat tinggal Puspawangi di mana?” Soalku lagi. Hanya mahu mengujinya.
“Alah…Ayah bohong! Nanti kalau Puspawangi jawab, ayah tak berikan hadiah juga pada Puspawangi, macam mana?”
Rasa tercuit aku melihat wajahnya berubah cemberut sambil bibirnya yang merah jambu itu memuncung. Ah! Aku jadi semakin sayang padanya. Siapa pun pasti menginginkan anak yang comel dan pintar seperti Puspawangi.
“Kali ni, ayah akan berikan hadiah. Sumpah!” Aku menaikan sebelah tangan sebagai ikrar tidak memungkiri janji. Puspawangi tersenyum manis.
Terserlah lagi kecomelannya. Aku membayangkan ibunya pasti seorang yang cantik. Bapanya juga mungkin tampan orangnya. Kalau tidak masakan Puspawangi begitu manis dan comel.
“Nama ibu, Dahlia. Rumah Puspawangi di sana! Kampung Bunga Kristal.”
Dahlia? Nama bunga juga. Malah kampungnya juga dinamakan bunga. Adakah mereka dari dunia Bunga? Haha! Aku tertawa dalam hati. Tapi betulkah di sana ada kampung? Yang aku nampak cuma pokok-pokok besar tegak meninggi. Macam mustahil saja ada kampung. Mungkin juga Puspawangi cuma mereka cerita. Siapa tahu, otak pintarnya banyak idea untuk mengenakan orang.

“Ayah? Bila nak beri hadiah pada Puspawangi? Sekejap lagi Puspawangi dah nak pulang. Cepat sikit berikan hadiahnya.”
Puspawangi mendesak. Aku mengelamun sekejap tadi kerana memikirkan kampung Puspawangi yang terletak di kawasan sana.
“Sekejap. Ayah pergi belikan. Puspawangi jangan pergi ke mana-mana, tahu?” Pesan aku. Gadis kecil itu mengangguk.

Aku segera mendapatkan aiskrim daripada seorang penjual aiskrim yang berada di situ. Setelah kembali semula aku dapati Puspawangi tidak berada di tempat kerusi rehat. Aku mula melilau tercari-cari. Entah mengapa ada perasaan cemas yang menjalar dalam diriku memikirkan keselamatan Puspawangi. Bimbang jika dia diculik. Tidak ramai yang berada di kawasan itu. Dalam lima orang sahaja.

Mataku terarah pada pokok-pokok besar di seberang jalan. Aku nampak kanak-kanak perempuan bergaun putih itu dipimpin seorang wanita muda berpakaian serba putih juga. Mungkinkah itu ibu kepada Puspawangi? Sayangnya, aku tidak dapat melihat wajahnya. Mana tahu aku mengenalinya di mana-mana. Tapi aku hairan. Secepat itu Puspawangi ke seberang jalan. Padahal tak sampai seminit pun aku mendapatkan aiskrim untuknya.
Puspawangi dengan wanita itu sudah menghilang dari pokok-pokok besar. Aku terduduk semula di kerusi rehat dengan perasaan terkilan. Aiskrim di tangan yang mulai cair terpaksa aku sendiri yang menghabiskannya.


Aku agak sibuk di syarikat waktu ini. Ada beberapa projek harus aku uruskan. Sedang menyemak kertas projek pintu bilik pejabat aku diketuk. Aku segera mengarahkan masuk. Seperti biasa Anna masuk ke bilik itu menyapa dengan senyuman manisnya. Dia sentiasa terlihat anggun dari hujung rambut sampai ke hujung kaki. Mana-mana lelaki pun akan tertarik padanya. Kecuali, aku.
“Pukul 2.00 petang nanti, boss ada mesyuarat penting dengan klien dari Singapura. Lepas tu, minum petang dengan Tuan Khalil untuk bincangkan pasal projek di Shah Alam.”
Seperti biasa juga tugas Anna memaklumkan pada aku tentang jadual untuk hari ini.
“Anything else?”
“Itu saja, boss.”
“Okay, thanks! Awak, boleh keluar sekarang. Tapi, tolong panggilankan Khayril. Saya nak jumpa dia sekejap.”
“Baik, boss!”

Usai Anna berlalu aku duduk seketika menanti Khayril masuk ke bilik pejabat. Khayril merupakan seorang pekerja bawahan syarikat. Tapi dia antara pekerja yang rapat denganku. Jika ada masalah aku selalu kongsikan dengan Khayril berbanding rakan aku yang lain. Bagi aku Khayril boleh dijadikan sahabat. Kerana sifatnya yang memahami serta mengambil berat.

Sejak malam tadi aku hanya terfikir untuk menceritakan perkara yang aku alami kepada, Khayril. Aku tak boleh menjelaskan padanya melalui mesej atau panggilan. Aku lebih senang kalau menjelaskannya secara bersemuka. Lebih mudah untuk dia memahaminya nanti.
Selepas terdengar pintu diketuk aku segera menyuruhnya masuk. Khayril tersenyum nipis sambil terus menapak ke hadapan meja. Aku mempelawa dia duduk di kerusi yang tersedia di hadapan meja itu.
“Ada apa, boss nak jumpa?”
“Hurmm… Sebenarnya, aku nak tanya satu perkara dekat kau. Kau cakap, kau selalu masuk hutan, kan? Pernah tak dengar nama Kampung Bunga Kristal?”
“Kampung Bunga Kristal? Macam mana boss boleh tahu nama Kampung Bunga Kristal, ni?”
“Adalah. Kampung tu wujud atau, tak?”
“Macam mana ya, saya nak cerita dekat boss?”
Khayril seperti teragak-agak untuk memberitahu aku.
“Cerita ajelah.” Aku terus mendesak Khayril. Dari cara dia bercakap, aku rasa kampung tu macam wujud saja? Maknanya, Puspawangi tidak menipu.
“Saya tak pastilah boss, tentang kewujudannya. Tapi apa yang saya pernah dengar, kampung ni wujud bersebelahan dengan Hutan Simpang.”
“Hutan Simpang? Dekat dengan kawasan rehat, kan?”
“Betul tu, boss. Alah! Boss kan selalu joging dekat situ. Mesti boss nampak dekat seberang jalan pokok-pokok besar.”
“Okay. Kau tahu apa-apa tentang kampung tu, tak?”
“Tahulah sikit-sikit, boss. Kata orang kampung Bunga Kristal ni memang cantik. Hanya mereka yang bertuah sahaja dapat melihat tempat tu melalui pandangan mata halus. Makhluk-makhluk ghaib yang wujud di situ dikatakan dari keturunan Bunian. Islam macam kita. Ada yang berkahwin dengan manusia biasa. Pernah dengar tak orang-orang hilang dan tidak dijumpai selepas masuk ke dalam Hutan Simpang?”

Soalan Khayril aku balas dengan anggukkan. Memang aku pernah dengar kisah-kisah orang yang hilang ketika masuk ke dalam hutan. Ada yang ditemui selepas beberapa minggu atau bulan. Ada yang ghaib begitu saja.
“Sebenarnya, mereka telah tersesat ke alam tersebut. Alam Kampung Bunga Kristal. Mereka yang tersesat di situ tidak kira lelaki atau perempuan, bukan sahaja tertarik dengan tempat tu. Tapi mereka juga tertarik dengan kecantikan makhluk yang dipanggil Bunian ni. Mereka lupa dunia mereka sebenar kerana telah terpukau. Lalu ada yang berkahwin dan melahirkan zuriat dari keturunan Bunian. Tapi, boss janganlah percaya sangat. Mungkin semua tu sekadar mitos saja.”

“Tapi, kenapa kampung tu dipanggil, Kampung Bunga Kristal?”
“Oh, lupa pula saya nak ceritakan, boss. Sebab bunga-bunga yang terdapat di tempat tu, adalah Bunga Kristal. Sesiapa yang memetik atau bawa balik Bunga Kristal dari tempat tu, pasti akan mengalami berbagai penyakit atau musibah. Bunga tu kena dipulangkan semula melalui air terjun yang terdapat dalam hutan tu. Tapi kan, boss? Kenapa boss berminat nak tahu pasal perkara mistik macam ni? Boss percaya ke, dengan semua ni?”
Khayril pandang aku dengan dahi berkerut-kerut. Dia pasti pelik bila aku membincangkan perkara tersebut. Selalunya kami hanya berbincang hal syarikat. Tarik nafas dalam dan aku hembuskan perlahan. Patutkah aku beritahu Khayril apa yang terjadi semalam di kawasan rehat? Tentang pertemuan aku dengan gadis kecil yang comel bernama, Puspawangi. Yang tinggal di sebuah perkampungan, Bunga Kristal.

“Entahlah. Nak percaya atau tidak. Tapi mungkin aku pernah ke sana. Berkahwin atau mempunyai seorang anak.” Dalam bingung aku tetap lemparkan senyuman di hadapan Khayril yang semakin pelik memandangku.
“Boss? Biar betul? Jangan main-main, boss? Tak mungkinlah. Boss mesti bergurau, kan? Kan?”
Aku terus hamburkan tawa. Tak boleh tahan tengok wajah cuak, Khayril.
“Saya dah agak! Boss, mesti main-main” Khayril turut ketawa.

Tapi dalam masa yang sama, fikiran aku masih lagi kepada Puspawangi. Masih lagi kepada Dahlia, ibu Puspawangi. Dan juga Kampung Bunga Kristal. Selepas mendengar penjelasan Khayril, aku merasakan Puspawangi itu seperti anakku. Lagi pula dia memanggil aku dengan gelaran, ayah. Adakah ini bermakna Dahlia itu isteriku? Aku sudah ada isteri dan anak dari dunia berbeza? Ah! Mengarutnya! Jika benar, bagaimana semuanya boleh terjadi? Aku langsung tak mampu hendak mengingatinya. Semakin bingung otak aku memikirkan!


Pukul 3.00 pagi aku terjaga dari tidur. Bingkas aku ke bilik air mengambil wuduk. Aku lalu melakukan solat sunat tahajjud. Usai memberi salam tiba-tiba telinga aku menangkap suara kanak-kanak sedang berlari dan ketawa. Tapi aku abaikan. Mungkin cuma perasaan aku saja. Aku menghabiskan bacaan doa serta zikir sebelum menanggalkan songkok dan menyidai sejadah. Suara itu kedengaran sekali lagi. Malah sangat dekat. Berhampiran luar pintu bilik aku.

Bila pintu dibuka, aku ternampak kelibat kanak-kanak perempuan bertocang dua, memakai baju gaun putih sedang berlari menuruni anak tangga. Tanpa berlengah aku segera mengejar langkahnya. Hingga ke bahagian bawah kelibat kanak-kanak itu sudah menghilang. Lampu dapur aku hidupkan. Tetapi tidak kelihatan sesiapa pun. Namun, ketika berpaling aku terus tergamam. Kanak-kanak perempuan yang aku kejar tadi rupa-rupanya, Puspawangi???!
Dia yang sedang duduk bersila di atas meja makan memandangku bersama senyuman manisnya. Aku lalu mendekatinya dengan perasaan pelik.

“Macam mana Puspawangi boleh masuk?” Soalku terus. Setahu aku semua pintu dan tingkap sudah berkunci.
“Adalah.”
Jawabnya sambil tertawa kecil. Walaupun aku memikirkan Puspawangi mungkin makhluk dari alam ghaib, aku langsung tidak merasakan takut atau cemas berhadapan dengannya. Wajahnya yang comel buatkan aku suka untuk terus melihatnya.
“Puspawangi datang sendirian?” Aku menyoalnya lagi.
“Tak. Dengan ibu.”
“Mana, ibu?”
“Tuuu….”

Terus mataku memanah ke sudut dinding yang ditunjukkan Puspawangi. Aku terpaku seketika melihat wanita cantik yang sedang berdiri dalam keadaan kaku itu. Dia menatapku dengan pandangan yang sukar untuk aku fahami. Tetapi sinar matanya terpancar satu cahaya cinta yang terus menusuk ke hati. Aku cuma terdiam. Dia berganjak mendapatkan Puspawangi yang masih tersenyum bersila di atas meja. Matanya tidak lagi memandang ke arahku. Tanpa sebarang kata dia mengambil Puspawangi dan ingin berlalu.
“Tunggu! Dahlia!” Suara aku menghentikan langkahnya. Dia menoleh dengan wajah berubah sayu.
“Kau, Dahlia kan? Puspawangi beritahu aku nama ibunya, Dahlia. Tapi benar ke, aku ini bapanya?” Aku tidak kisah bagaimana cara mereka masuk ke dalam rumah tu. Tapi aku perlukan sebuah jawapan yang boleh menghilangkan semua persoalan yang bersarang dimindaku sejak akhir-akhir ini.

“Akil? Akil bercakap dengan siapa?”
Teguran Aunty Latifah mengejutkan aku. Terus aku berpaling ke arahnya yang sedang berdiri kaget di atas tangga.
“Ibu dengar Akil macam tengah bercakap dengan seseorang. Siapa?”
“Ibu, ini Dahlia dengan Puspawangi….?” Bila aku berpaling semula, mereka sudah menghilang.
“Akil, sebut apa tadi? Dahlia? Puspawangi? Akil mengigau, ke?” Aunty Latifah bingkas mendekati aku. Wajahnya tampak cemas.
“Akil tak mengigau, bu. Ibu, kenal ke, siapa mereka?” Soalku.
“Ibu tak kenal mereka. Dan, tak pernah kenal siapa mereka. Ibu tahu. Akil dah pulih. Dah beberapa tahun sejak peristiwa tu, Akil dah tak sebut nama mereka. Tapi ibu pelik. Tiba-tiba Akil sebut nama mereka tadi. Kenapa? Akil dah ingat semuanya, ke?”
“Apa maksud, ibu? Akil tak faham? Akil pernah sakit ke, sebelum ni? Sakit apa? Apa kaitan Dahlia dan Puspawangi dengan Akil?” Aku terus menekan Aunty Latifah dengan soalan demi soalan. Sebab aku masih tidak faham dengan segala penjelasannya.

Aunty Latifah mengajak aku duduk di ruang tamu. Dia kelihatan begitu berat untuk bercerita. Tetapi aku tetap sabar menanti.
“Kejadian ni berlaku beberapa tahun yang lalu. Akil masuk ke dalam Hutan Simpang sendirian. Ibu dengan arwah ayah dah tegah. Tapi Akil degil. Akil cakap sekejap aje. Ibu tak sedap hati nak biarkan Akil pergi ke tempat tu. Lebih-lebih lagi dekat kawasan air terjun.”
“Kenapa, ibu?”
“Ibu dah banyak kali dengar ada orang yang hilang dekat kawasan air terjun tu. Katanya kalau mandi dekat situ ada sesuatu yang akan menarik kita ke dalam. Sebenarnya, ibu tak nak percaya. Tapi bila benda ni terjadi pada Akil, baru ibu sedar. Ibu dengan arwah ayah patut berkeras halang Akli pergi masa tu. Akil pergi daripada pagi. Bila sampai ke malam Akil tak pulang-pulang ibu, arwah ayah dengan orang-orang dekat kawasan ni berusaha siang malam cari, Akil. Pihak polis, ustaz turut membantu mencari. Tapi kami tetap tak temui, Akil. Selepas seminggu, dua minggu semua dah anggap Akil dah tak ada. Akil hilang tanpa jejak. Ibu terus berdoa agar Aklil kembali pulang. Selagi jasad Akil tak ditemui ibu tetap yakin, yang Akil masih hidup. Dan, selepas setahun, Akil akhirnya pulang ke rumah. Kami semua terkejut. Ibu dengan arwah ayah gembira sangat. Cuma keadaan Akil agak merisaukan kami.”

“Apa yang berlaku, ibu?”
“Akil tak bercakap langsung. Bila kami tanya, Akil tak jawab. Esoknya, Akil asyik meracau. Sebut nama Puspawangi dengan Dahlia. Arwah ayah terpaksa panggil seorang ustaz yang pandai mengubat. Tiga hari berturut-turut dia datang ke rumah merawat, Akil. Dia beritahu kami, mungkin Akil teringatkan makhluk dari alam ghaib yang menjaga, Akli. Mujur Akil sembuh selepas itu. Akil jadi normal semula. Semenjak Akli sembuh, Akil dah tak menyebut lagi nama Dahlia dan Puspawangi. Tapi tadi, kenapa Akil sebut semula nama mereka? Ibu bimbang, Akil. Mana tahu. Mereka memanggil Akil semula untuk ke sana. Ibu tak nak kehilangan, Akil lagi. Ibu sayang, Akil. Ibu cuma ada, Akil….”
“Ibu, tenang. Akil takkan ke mana-mana. Akil takkan tinggalkan, ibu. Akil juga sayangkan, ibu. Mungkin tadi Akil tak sengaja tersebut nama mereka. Ibu jangan risau, okay?” Aku cuba memujuk Aunty Latifah sambil mengusap lembut tangannya.
Aku tidak mungkin akan memberitahu makcik Latifah apa yang berlaku sebentar tadi. Bahawa Dahlia dengan Puspawangi berada di dalam rumah ini. Pasti makcik Latifah terkejut jika aku memberitahunya. Tetapi apa yang aku rasakan ketika ini juga tidak mampu aku tepis. Keinginanku untuk bertemu dengan mereka.


Setiap kali aku berjoging di kawasan rehat, aku duduk di kerusi menunggu kemunculan Puspawangi dan Dahlia. Sudah berhari-hari aku menantinya. Selepas kejadian malam tu, mereka tidak pernah muncul-muncul lagi. Aku jadi gelisah kerana perkara tersebut menghantui hidup aku setiap hari. Aku memerlukan jawapan yang pasti. Siapa mereka dalam hidup aku sebelum ini? Mengapa baru sekarang mereka muncul? Jika benar apa yang aku fikirkan, mereka berdua anak dan isteriku, itu bermakna mereka adalah ahli keluargaku juga. Aku tak boleh mengabaikannya begitu sahaja.

Lama aku memerhatikan ke seberang jalan. Tidak sedar, kakiku mula melangkah. Aku berhenti seketika memandang pokok-pokok besar. Sebelum memutuskan untuk masuk ke dalam. Sejak semalam otakku sudah menyimpan segala maklumat yang aku perolehi mengenai Hutan Simpang dari dalam internet. Untuk memudahkan aku melalui setiap jalan ke kawasan air terjun.

Walaupun aku pernah ke sini, semua memori aku tentang tempat itu sudah terpadam. Rupa-rupanya kawasan tersebut tidak begitu jauh. Hanya dua puluh minit sahaja masa yang perlu diambil untuk sampai ke sana. Perasaan terujaku tiba-tiba menerjah saat melihat air terjun di depan mata. Wah! Cantik sungguh pemandangannya! Bagaimana aku boleh terlupa tempat secantik ini? Aku terus berdiri di atas batu besar. Lalu aku laungkan nama mereka. Aku harap mereka segera muncul menemui aku.

“Dahlia!! Keluarlah! Puspawangi!! Keluar!! Ayah datang ni! Ayah nak jumpa, Puspawangi! Tolong keluar, sayang! Ayah perlu bercakap dengan, ibu dan Puspawangi! Ayah tahu dunia kita berbeza. Tapi ayah tak peduli semua tu. Ayah akan tunggu di sini sampai Puspawangi dengan ibu keluar! Puspawangi dengar, tak?!!” Tiada sahutan. Hanya bunyi deras air terjun yang jatuh mencurah-curah.

Aku hampa. Tetapi enggan berganjak. Aku masih mengharapkan mereka akan datang padaku. Sementara menunggu aku labuhkan duduk di atas batu besar tersebut. Sejurus kemudian, aku melihat air yang mengalir di depan sedikit berkocak. Perasaanku jadi berdebar. Dua kepala muncul di permukaan air. Sehinggalah mereka berdiri di depanku. Tersenyum aku melihat kedua-duanya. Tubuh mereka langsung tidak basah. Cantik, comel. Putih berseri wajah mereka.
“Ayah!”
Puspawangi terus memelukku selepas aku turun daripada batu itu. Aku membalas pelukannya dan mencium kedua belah pipinya. Terasa seperti rindu seorang ayah terhadap anaknya telah terubat.
“Kenapa kau datang kemari dan memanggil kami? Kau mahu, apa?”
“Jawapan.” Balas aku sambil menentang wajah jelita Dahlia. Aku mendekatinya. Merenungnya dalam-dalam.
“Jawapan apa yang kau, mahukan?”
“Tentang kita.”
“Maksud, kau?”
“Aku, kau dan, Puspawangi. Apa hubungan kita? Aku juga ingin tahu. Kita pernah bersama ke, sebelum ni?”
“Kalau aku jelaskan semuanya sekalipun, bukannya bererti buat kau. Apa yang berlaku antara kita, kau dah tak ingat lagi. Semuanya telah terhapus dari ingatan kau. Aku rasa, lebih baik kau kembali saja ke tempat asal kau. Tak perlu pedulikan kami lagi. Aku minta maaf kerana Puspawangi sudah beberapa kali mengganggu, kau. Aku melarang dia.

Tapi, Puspawangi terlalu ingin bertemu dengan ayahnya. Jadi aku terpaksa menceritakan tentang kau. Dia minta aku menghantarnya kepada ayahnya. Kalau tidak, dia akan terus mendesak aku dan menangis. Takpun dia akan keluar sendirian mencari. Aku cuma beri dia jumpa kau sekejap saja. Tapi malam tu dia ingin berjumpa dengan kau lagi. Paling aku tak sangka, dia akan masuk ke dalam rumah, kau. Lepas ni, aku takkan biarkan semua tu berlaku lagi.”
“Tak apa. Aku tak marah pun. Jadi, memang benar? Aku ini, ayah dia?” Aku masih tidak percaya bahawa, aku sudah menjadi seorang bapa. Dahlia memandangku sambil mengangguk.

“Bagaimana boleh terjadi? Maksud aku, bagaimana Puspawangi boleh menjadi anak aku? Apa yang telah berlaku antara kita?”
Dahlia diam seketika. Mungkin sukar untuk dia memberitahu aku perkara itu. Tetapi bila dia sudah bersetuju untuk menjelaskan, aku terasa lega. Dia mula bercerita satu persatu. Dari awal hingga akhir.
…Ketika aku bermandi-manda di bawah pancuran air terjun, tubuhku tenggelam di tempat yang agak dalam. Aku hampir lemas. Seekor buaya putih yang muncul di situ menyelamatkan aku. Buaya putih itu merupakan penjaga di kawasan air terjun. Aku dibawa ke atas tubuhnya dalam keadaan tidak sedarkan diri. Buaya putih membawa aku sampai ke atas darat.

Dahlia sendiri yang menyaksikan bagaimana buaya putih itu meletakkan aku di atas tebing sungai. Sebenarnya, itu bukan kejadian pertama berlaku. Sudah kerap berlaku orang lemas dan hilang di kawasan air terjun itu. Mereka kemudiannya dibawa oleh buaya putih melalui sebatang sungai sehingga ke Kampung Bunga Kristal. Mereka yang sudah berada di tempat itu akan menjadi sebagian penduduk di situ. Termasuk, aku.
Dahlia dengan keluarganya yang menjaga aku sehingga aku sedar semula. Ingatan aku hanya tertumpu pada tempat itu. Aku mula bekerja di Kampung Bunga Kristal. Mereka memiliki kebun sayur dan juga dusun buah-buahan. Setelah aku dan Dahlia saling jatuh cinta, kami berkahwin. Dahlia mengandung selepas beberapa bulan. Kehidupan aku dengan dia sangat bahagia. Bahkan aku tidak sanggup meninggalkannya walau sesaat. Tetapi saat Puspawangi lahir ke dunia, fikiran aku tiba-tiba berubah. Aku teringat semula dunia asalku.

Aku ingin kembali kepada keluargaku, Uncle Ahmad dan Aunty Latifah. Namun, ingin membawa isteri dan anakku sekali. Aku meminta belas kasihan mereka untuk membenarkan aku pulang kepangkuan keluargaku. Malangnya, ibu dan bapa Dahlia melarang aku pulang ke tempat asal. Apatah lagi untuk membawa Dahlia dan Puspawangi bersama. Kami dari dunia yang berlainan. Mereka dari dunia alam ghaib tidak boleh tinggal di dunia manusia biasa.
Aku tetap berdegil untuk membawa Dahlia dan Puspawangi. Kerana marah dengan tindakan aku, bapa Dahlia mencampakkan aku ke dunia luar dengan menghilangkan semua ingatan aku tentang Kampung Bunga Kristal. Aku tidak dibenarkan lagi menjejakkan kaki ke tempat itu. Aku lalu kembali semula ke kediamanku….
“Selama ni, kau memerhatikan aku di kawasan rehat tu, kan?” Aku menyoal Dahlia sambil meliriknya.
“Ya. Bila aku rindukan suami aku.”

“Oh, patutlah aku tak boleh jatuh cinta dengan mana-mana perempuan. Rupanya, dalam hati aku dah ada orang yang aku sayang. Kau, masih isteri aku, Dahlia. Aku sangat menyayangi kau dan Puspawangi. Biarpun dunia kita berbeza, hati kau dan hati aku dah bersatu.” Aku meliriknya lagi. Dahlia hanya tersenyum malu.
Buat seketika, kami bertiga berseronok bermain-main di bawah pancuran air terjun. Aku memeluk dan mencium kedua-duanya saat kami harus berpisah.
“Ayah, nanti kita jumpa lagi.”
“Tentu, sayang. Ayah akan datang jumpa Puspawangi. Dan Puspawangi juga boleh datang jumpa ayah, kan? Jangan lupa bawa ibu sekali. Nanti ayah akan rindukan, ibu.” Aku cuit hidung comel Puspawangi. Dia tersenyum dan mengangguk.

Untuk sekian kalinya aku memeluk dan mencium kedua belah pipinya.
Dengan langkah menahan sebak, aku menoleh sekali ke arah mereka. Senyuman serta lambaian diberikan kepadaku. Aku turut melambai mereka sebelum meneruskan langkah kembali.
Biarpun mereka dari dunia yang berbeza, mereka juga adalah keluargaku.
-TAMAT-

Penulis _ Syazlina

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 80 Average: 4.8]

1 thought on “MEREKA JUGA KELUARGAKU”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.