#Mister- WANGIAN TIKA MAGHRIB

Assalamualaikum FS, terima kasih sebab sudi siarkan kisah aku dekat page FS (kalau terpilih, hehe). Nama aku, Mister. Tu pun bukan nama sebenar, hehe! Ini pertama kali aku kongsikan kisah aku dekat FS. Pengalaman paling tidak aku lupa sampai sekarang.

Kita balik ke zaman 7 tahun yang lepas. Tika tu, aku masih lagi budak sekolah. Tingkatan berapa aku pun dah lupa. Aku tinggal dekat sebuah kampung di mana perkampungan aku tu dipisahkan di antara sungai dan pekan. Maka, jalan menuju ke kampung aku masa tu masih lagi menggunakan perahu sampailah sekarang. Kampung aku ni, penduduk tak banyak mana. Rumah pun jauh-jauh. Cuma kawasan aku tinggal tu, 5 buah rumah yang bersebelahan berhampiran pula dengan surau dan balai raya kampung. Kampung aku masih lagi dihuni hutan-hutan tebal keliling.

Masih punya udara segar-bugar. Bangun jer pagi-pagi buka pintu dan jendela, semerbak angin segar masuk. Ditambah pula dengan kicauan burung di kaki langit, dedaunan yang melambai-lambai dek bayu menyapa dan cahaya mentari lembut yang menelinap masuk dicelah-celah ruang lalu terhasillah kedamaian tak terkata. Kalau sebelah malam pulak sejuk mengigit tulang. Makin larut makinlah sejuk. Tidur pun memang tak payah cakaplah, tidur mati jawabnya. Haa.. korang bayangkanlah sendiri kampung aku macam mana. Panjang intro bukan haha!

Dalam damai yang aku rasa, terkadang ada seramnya. Dicelah-celah keramaian kami dekat sana, ada sebuah rumah kosong berhampiran. Tak kurang surau yang sentiasa suram. Balai raya yang tiada lampunya. Semak yang menebal kiri dan kanan. Korang rasa ada berani tak nak keluar malam? Haha!

Berbalik dengan tajuk, seingat aku waktu tu aku duduk termenung di tangga rumah. Tak tahu nak buat apa jawabnya termenung. Menghadap hutan yang tebal sebelah sana tambah pula angin sepoi-sepoi bahasa, fulamak memang layan. Masa tu, aku ingat lagi maghrib menghampiri. Budak-budak sebelah rumah yang tadinya sibuk berteriakan bermain berlari sana-sini, kini pulang menuju ke rumah masing-masing. Pantang orang tua berkata, jangan berada diluar rumah tika maghrib lebih-lebih lagi budak-budak seperti mereka. Kalau tidak ditegur pasti sampai ke larut malam dorang bermain.

Hari semakin kuning, tatkala mentari hendak melabuhkan tirainya. Aku masih juga duduk ditangga. Zaman aku, mana ada handphone bagai. Mak bapak aku tak bagi lerr lebih-lebih lagi masa tu aku masih digelar pelajar sekolah menengah. Bukan macam budak zaman sekarang, tahun 3 dah ada ipad iphone bagai. (Ish3x…) Haha! Mencarut pulak aku. Dah bosan aku menghadap hutan aku naik ke rumah. Al-maklum, time tu dah azan maghrib. Sebelum mak aku membebel, baik aku masuk kan?

Selangkah dua anak tangga rumah, deria hidu aku menangkap sekuntum bau. Wangi! Aku berhenti. Kiri kanan depan belakang aku toleh tak ada juga empunya wangian tu. Semakin lama, semakin tebal. Wangi memang wangi! Kalau kat dunia ni, memang tak ada aku jumpa wangian macam tu. Aku ingatkan aku seorang jak terhidu. Rupanya, mak bapak aku terhidu sama. Dorang tanya aku, apahal aku pakai minyak wangi. Aku hairan, bila masa pulak aku pakai. Sedangkan aku dari tadi duduk melepak dekat tangga sorang.

Kemudian, mak bapak aku pergi bertanya kepada jiran. Yang buat aku terkejut, jiran-jiran kawasan aku tinggal tu semua terhidu bau wangi yang sama. Pulak dah! Hebat benar wangian tu sampai dorang pun terhidu sama. Paling pelik, bila dorang cakap kawasan rumah aku wangian tu paling kuat. Dengar jer dorang cakap macam tu, mak aku apa lagi melenting suruh aku masuk rumah. Mana taknya, aku boleh pulak turun balik ke halaman rumah mencari bau wangi tu. Haha! Berani tak bertempat.

Tapi, lentingan mak tak buatkan aku gentar. Selamba aku balik rumah tanpa rasa takut. Masuk jer rumah, fuh memang wangi rumah. Boleh jer aku tergoda saat tu. Tapi, dalam kesedapan bau tu mak bapak aku dah meremang. Bukan bermakna mereka takut, tau! Aku masih selamba tak rasa apa-apa. Sampailah, aku tiba-tiba terdengar… “Assalamualaikumwarahmatullah”.

Aku segera menjengah ke jendela, sambil menyahut salam tadi. Aku lihat di luar rumah, tiada sesiapa. Aku hairan. Dalam hati, kot budak-budak main lagi. Aku turun lagi sekali ke luar rumahm Tak puas hati katakan. Aku cari keliling rumah. Tiada sesiapa. Siapa pulak yang bagi salam tadi? Dahlah salam tu macam salam usai tahiyat akhir dibacakan. Aku kembali masuk ke rumah. Belum selangkah aku hendak menaiki anak tangga rumah, tiba-tiba aku kaku meremang sendirian. Mataku terbeliak besar dek terasa seperti sesuatu berada di belakang. Aku segera menoleh. Tiada apa. Hanya laman rumah yang luas dan kosong.

Wei! Janganlah takutkan aku, aku tak ganggu engkau. Gertak hati kecil aku. Perlahan-lahan aku naik anak tangga rumah. Sambil memandang belakang berkali-kali. Seram punya pasal boleh patah batang leher aku dek bertubi-tubi aku menoleh. Sampai ke dalam rumah, aku diam seribu bahasa. Mak dan bapak aku enggan berbicara lanjut pasal wangian yang semerbak harum tika itu. Masing-masing sibuk sengaja mengerjakan itu ini.

Hari semakin malam. Maghrib semakin tenggelam. Dek itu, wangian tadi semakin lama semakin kurang. Membuatkan aku kembali menjenguk ke luar rumah sana. Aku tak tahu kenapa, aku boleh rasa seakan ada sekumpulan sesuatu yang tak boleh aku sendiri tafsirkan siapa dan apa benda. Dan paling buatkan aku seram sampai sekarang, aku tersenyum sendiri. Boleh pulak aku senyum dekat laman kosong tu?! Wei, wei, wei! Aku senyum dekat siapa?! Jiran sebelah tak lagi yang pergi turun luar rumah. Budak-budak pun tak ada lagi bermain. Sedar-sedar aku terus aku tutup jendela. Tak tahu dengan siapa aku tersenyum. Hish! Seriau aku!

Esok harinya, jiran-jiran mulai sibuk bergosip pasal semalam. Kata mereka, wangian itu hanya kuat di kawasan rumah kami. Namun, kurang di kawasan rumah jiran yang lain. Lalu, anggapan pun bermula. Ada yang nak menziarah rumah kami. Ada yang berkata, seseorang sedang menghantar benda kepada kami. Aku hanya memekakkan telinga buat tak dengar. Dorang kalau tak beri anggapan selagi tu tak puas hati nak bergosip. Tak tahu mana satu yang betul, aku malas nak ambil peduli. Mak dan bapak hanya mengangguk tidak banyak bicara. Kejadian itu, memang viral satu kampung. Heboh mencarut sana sini gosip.

Apa yang berlaku, hanya Allah yang tahu. Mata aku masih berhijab. Alhamdulillah. Tapi, penangan bau wangi tu buatkan aku tercari-cari sampai sekarang. Konon nak jadikan minyak wangi harian aku hahaha! Tapi, tak ada satu yang cun dengan bau yang aku hidu 7 tahun lepas. Kalau korang tanya bau apa, aku memang cakap wanginya luar biasa. Lain dari yang lain. Segala minyak wangi mahal dekat dunia ni memang tak boleh tanding bau wangi tu. Bau kemenyan mahupun minyak hatta memang jauh sekali bukan. Wallahualam. Itulah kisah aku 7 tahun lepas. Tak seram dan mungkin boring bagi korang. Saja kongsi apa yang aku alami.

Sekian dari aku, Mister.

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

3 comments

  1. Maybe bau bunga kemboja yg en/cik//tuan/puan mister bau…xpn bau kasturi…sbb Allah ad berfirman yg bau mulut org yg berpuasa lbih wangi drpd bau kasturi…(rasenye la)

  2. saya pun prnh bau wangi dlm rumah . yg peliknya saya sorang je yg bau . bau tu subhannallah wangi yg menenagkan bgi saya . tpi saya x pasti tu bau wangi apa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.