Misteri Bunyi Guli Dan Gangguan Di Rumah Baru

Assalamualaikum buat semua pembaca. Sebelum ini aku pernah menulis tentang misteri rumah teres simpang pulai dan misteri rumah lama peninggalan British. Kali ini aku akan menceritakan pengalaman aku dan anak-anak di rumah baru yang kami menetap sekarang ini.

Setelah puas aku merantau ke negeri orang kini tiba lah masa untuk aku kembali ke negeri kelahiranku iaitu negeri Perak. Inilah masanya untuk aku dan anak-anak tinggal di rumah yang telah lama kami beli hampir 24 tahun. Untuk pengetahuan korang rumah tu dulunya kami hanya sewakan saja. Setelah rumah kami siap di ubah suai dan di deco kan baru lah aku pindah masuk ke dalam rumah tu. Untuk pengetahuan korang lagi suami aku hanya pulang seminggu sekali sahaja… hanya anak-anak saja jadi peneman aku. Suami aku bekerja di Rawang. Tu pun setelah pencen.

Dipendekkan cerita hari pertama aku masuk ke rumah tu ketika aku berehat dalam bilik aku sentiasa nampak seseorang melintas depan pintu bilik aku. Pada mulanya aku anggap mungkin perkara biasa kot, yalah rumah yang dikosongkan hampir 6 bulan mesti lah ada yang nak tumpang dok free. Lepas tu aku bangun ke bilik air dan aku terkejut apabila terdapat najis dalam mangkuk tandas bilik aku. Hairan juga siapa guna. Aku pun tanya anak-anak aku siapa punya angkara biadap pengotor macam ni, ”kami dah ada bilik air sendiri lah mak takkan nak masuk bilik mak lagi, lagi pun takkan kami buat benda camtu…”. Tu lah jawapan anak aku. Ok, aku pun cuba lupakan hal tu.

Pada malamnya iaitu malam pertama kalinya kami di dalam rumah tu aku mula terdengar tapak kaki yg sedang berjalan dalam rumah aku. Tapi aku diamkan saja hal ni dari pengetahuan anak-anak aku. Rupanya anak aku pun dengar macam aku juga. Dan pada malam-malam seterusnya kami mula terdengar bunyi guli. Pada kali ni aku cuba jejak bunyi tu dari mana nak ke mana. Lagi aku ikut bunyi guli tu makin perlahan dan lenyap begitu je. Dan pada pukul 2 ke 3 pagi akan terdengar lah bunyi pinggan mangkuk dan sudu-sudu aku di usik dan di alih kedudukkannya oleh sesusatu yang aku sendiri pun tak tahu. Pada ketika ni aku seorang diri pergi siasat di bahagian dapur bukannya apa takut-takut ada penceroboh je.

Bila aku berdiri di dapur tak ada apa pun yang aku nampak. Cuma aku hairan siapa yang makan sisa-sisa makanan yang ada dalam tong sampah aku ni. Sampaikan tulang-tulang ikan jadi bersih seperti dicuci tulangnya. Dah la tu siap berselerak sisa makanan atas lantai dapur aku. Mustahil kerja tikus. Sebab dalam rumah aku ni mana ada laluan untuk tikus masuk. Hampir 30 minit aku di ruang dapur aku pun terus masuk bilik dan tidur. Semasa aku sedang nyenyak tidur tiba-tiba aku dan anak-anak terjaga disebabkan pintu dapur kami digoncang dengan kuat sekali. Apa lagi aku arahkan anak-anak aku diam dan pegang telefon dengan tekan nombor 999 siap-siap. Kalau aku jerit maknanya ada orang ceroboh la dan buat lah panggilan terus. Aku ni ramai anak perempuan sebab tu kena peka benda-benda camni. Bukan apa sekarang ni kes jenayah bermaharajalela.

Dengan berhati hati aku menuju ke arah pintu dapur tu, dan aku terus buka tapi tak ada siapa pun. Cuma ada suara seperti suara jeritan angin yang keluar dari kerongkong. Agak bergema juga la dalam rumah aku saat tu. Ketika tu baru aku syak ini bukan angkara manusia, macam biasa aku ambil wuduk dan buat la perkara yang patut. Nak tidur balik pun dah tak boleh. Dan esok harinya aku cuba tanya pada jiran di sini, adakah di kawasan kediaman aku ni pernah ada kes2 jenayah. Kata jiran aku tak ada sebab kawasan sini ada rukun tetangga dan ada rondaan tapi bukanlah setiap malam. Jawapan jiran aku tu buatkan hati aku bertambah yakin tentang apa yang berlaku dalam rumah aku tu tak ada kaitan langsung dengan manusia.

Dan bila tiba saja selepas Asar bunyi guli tu dah mula masuk ke dalam rumah aku. Bunyi yang jelas dan boleh agak kedudukannya. Dan ketika tu juga aku arahkan salah seorang anak aku ambil gambar pada tempat yang ada bunyi guli tu. Untuk pengetahuan korang dalam gambar tu terdapat sepasang kaki dan gambar tu ada dalam simpanan kami. Dan nak jadikan cerita pada malam seterusnya aku seorang saja di dalam bilik dan anak-anak aku duduk di ruang tamu. Kebetulan masa aku sedang mengemas bilik, aku terdengar bunyi guli di belakang aku dan bunyi tu tak bergerak ke mana mana tetapi berbunyi di belakang aku. Kemudian aku toleh ke belakang sambil membaca ayat 4 qul. Bukan aku pandai sangat pun. Cuma baca sebagai pelindung diri je yang lain aku serah pada Allah.

Bila aku toleh aku dengar bunyi tu betul-betul di hadapan aku. Jelas dan boleh agak kedudukannya. Pastu aku saja-saja sebenarnya tangkap bunyi lantunan tu, seperti kata orang acah2 tangkap je. Tiba-tiba dengan tak disangka bila aku buka genggaman tangan, aku dapati ada sebiji bulatan macam guli tapi bukan guli. Warnanya putih susu bersaiz sebesar separuh bulatan duit syiling 5 sen tapi beratnya macam besi di bahagian bawah bulatan tu ada kesan terhakis akibat ketukan. Agak terjejas warna putih tu atau mungkin memang itulah sifat asalnya. Ni baru terkejut beruk. Aku pun terus call suami aku dan aku hantar gambar objek tu pada suami aku dan aku ceritakan segalanya. Kali ni memang agak serius bagi kami sekeluarga.

Walau bagaimana pun aku tetap kena tunggu kepulanggan suami aku juga. Maklumlah suami aku mencari rezeki di tempat lain dan jauh dari kami. Tapi seminggu sekali baliklah. Pendekkan cerita pada hari jumaat petang suami aku pun balik dan terus berjumpa dengan seorang ustaz dari perubatan darusyiffa yang dikenali di kawasan aku ni. Tapi kami terpaksa menunggu tempoh selama 6 hari lagi untuk buat sesi pemulihan rumah yang ditetapkan. Memandangkan ustaz tu ada temujanji lain yang lebih awal dari kami. Aku pun tak kisahlah lambat laun sampai juga ke rumah aku nanti. Kalau korang nak tau guli tu dah aku buang ke laut atas arahan ustaz tu dan cuma gambarnya saja yang ada dalam simpanan kami. Dalam tempoh penantian aku untuk pulihkan rumah ni maka bermacam macam lagi la yang aku dan anak2 kena hadap seolah olah makhluk tu tahu yang kami dah berhubung dengan ustaz tu. Bagi aku peduli apa dia nak marah ka, dia nak kacau ka, lantak la sebab dia pun ada kelemahannya, sebab tu dia takut.

Dalam tempoh seminggu sebelum kedatangan ustaz ke rumah kami, bermacam-macam kejutan yang terpaksa aku dan anak-anak hadapi. Dah tak kira pagi ka, tengahari ka, petang ka, apa lagi-lagi kalau malam. Kalau korang nak tahu pada pukul 10 .15 minit pagi lagi aku dah terserempak dengan seorang perempuan yang asing dalam rumah aku sedang keluar dari bilik tidur anak aku dan terus masuk ke bilik air. Aku ketika tu cuma tergamam seketika. Perempuan tu rambut paras pinggang berbaju putih dan penampilannya kemas cuma ketinggiannya saja berbeza dari ketinggian manusia. Aku cakap macam ni sebab aku ikut dia dari belakang. Lepas tu aku biarkan je. Bila tiba waktu petang pulak dalam pukul sedang aku dengan anak-anak duduk borak di ruang tamu tiba-tiba aku nampak longgokan rambut diatas lantai dihadapan pintu bilik anak aku dan aku berjalan menuju ke arah rambut tu aku tengok betul-betul memng tu rambut.

Kemudian dengan perlahan lahan aku cuba terjah ke depan pintu bilik tu dan toleh ke dalam bilik tapi tak nampak apa pun. Cuma yang ada bau hangit macam kesan terbakar je. Ketika tu juga rambut tadi hilang dari pandangan aku. Dan pada malamnya sedang aku nyenyak tidur tiba-tiba aku terjaga disebabkan aku dapat rasakan yang ada tangan yang mencengkam pergelangan kaki aku dengan sentuhan yang lembut dan sejuk. Masa tu hanya aku sorang saja dalam bilik tidur. Dalam keadaan sedar cengkaman tu masih terasa dikaki aku. Tiba-tiba aku menyebut kalimah Allah. Dengan serta merta aku terasa cengkaman tu mula melepaskan kaki aku dengan lembut sekali. Betullah apa yang anak lelaki aku mengadu sebelum ni.

Untuk pengetahuan korang, sebelum ni anak lelaki aku ada mengadu yang dia kena geletek waktu tidur. Ada tangan yang sejuk dan lembut geletek pinggang anak lelaki aku. Tapi aku tak ambil kisah sangat sebab aku ingat anak aku ni penakut. Akhirnya aku pun kena juga. Berbalik pada cerita tadi, setelah aku rasa cengkaman itu melepaskan kaki aku, aku sambung tidur lagi dan kali ni pula aku bermimpi ada dua orang lelaki sedang buat satu upacara pemujaan di dalam rumah aku. Mimpi tu bukan datang hanya sekali tapi sebanyak empat malam berturut turut. Bagi aku mimpi ni seperti cuba menjelaskan sesuatu pada aku. Mungkin ada kaitan dengan penyewa sebelumnya. Wajah-wajah dalam mimpi tu sampai kehari ini masih dalam ingatan aku.

Dan dipendekkan cerita pada hari2 sebelum ustaz datang ke rumah aku sekali lagi kejadian di mana pada satu pagi aku sedang membuat sarapan pagi, tiba2 hati aku tergerak untuk memandang ke dalam sebuah bilik yang terletak di dapur aku dan ketika tu aku ternampak kepala seseorang seolah olah sedang mengelak dari pandangan aku apa lagi aku meluru la ke arah tu dan macam biasa lah tak ada apa2 pun ada di situ. Dan ketika aku melangkah keluar dari bilik tu ketika itulah aku ditolak oleh angin yang kuat sehingga hampir aku tersungkur. Walau apa pun aku faham tu semua mainan makhluk tu. Dan dalam tempoh 2 hari sebelum ustaz datang ke rumah aku sekali lagi aku dan anak2 diganggu. Kali ni shower bilik air kami sering terdengar seolah olah ada orang sedang mandi.

Kebetulan suami aku ada ketika tu di rumah. Kebetulan cuti. Kami sama-sama dengar dan aku suami dan anak2 semua ada di luar bilik air jadi siapa yang mandi? Suami aku pun terus buka pintu bilik air tu dan didapati tiada siapa pun di dalam. Cuma ada sedikit kesan air di lantai bilik air tu dan korang mesti tak percaya apa yang suami aku jumpa. Pada dinding bilik air tu ada sehelai rambut. Bila aku tengok rupa rupanya rambut yang cukup panjang dan kasar serta beruban. Rambut tu suami aku ambil dan buang terus. Tak terfikir nak ambil gambar pulak nak buat simpanan. Dan semenjak kejadian tu setiap kali aku anak2 masuk dan melintasi bilik yang bersebelahan dapur tu pasti akan meremang bulu roma.

Entah kenapa. Bukan saja di buat-buat dan kalau kami masuk dalam bilik air tu pasti akan terdengar tepukan di dinding bersebelahan. Bukan ketukan. Bunyi seolah2 menggunakan tangan yang menepuk dinding. Dan bila tiba waktu malam aku sering nampak kelibat wajah seseorang yang mengintai di celah-celah pintu pagar rumah aku. Wajah yang aku tak boleh nak tengok dengan tepat disebabkan keadaannya yang sentiasa bergerak sekejap ke sana sekejap ke sini, macam main sorok2 Untuk pengetahuan korang juga, akhirnya suami aku pun berpeluang merasai sendiri gangguan yang kami anak beranak selalu kena di rumah. Pada waktu antara maghrib dan isyak. Suami aku leka menonton televisyen dan ketika itu salah seorang anak perempuan aku mula terdengar bunyi guli melantun lantun di dapur.

Anak aku pun bagitahu la pada suami aku, nak bagi suami aku dengar sekali. Biasalah, selalunya suami aku tak percaya. Biasalah, dia taknak anak-anak dan isteri dia jadi penakut. “Mana bunyi tu, tak dengar pun”, kata suami aku. Selepas saja suami aku cakap macam tu, terus bunyi guli melantun-lantun dengan kuat. Terkejut suami aku. Bukan saja melantun atas lantai dapur, bunyi tu melantun smpai ke ruang tamu, dinding, syiling, dan bilik-bilik seolah-olah berubah ubah kedudukan. Siap tampar-tampar dinding lagi. Memang lama kejadian tu terjadi. Hampir 15 minit. Suami aku pun cuba ikut bunyi tu sampai ke bilik. Makin kuat jadinya. Siap tepuk almari lagi. Akhirnya barulah suami aku percaya dan malam tu kami adakan bacaan Yassin. Barulah makin kurang bunyi tu.

Dan pada malam sesi pemulihan rumah aku, pada malam tu kami menanti kedatangan ustaz dan pembantunya datang ke rumah seperti yang dijanjikan adalah waktu sebelum maghrib. Tapi sehingga lepas waktu maghrib pun belum datang lagi. Dipendekkan cerita rupa rupanya ustaz tu kata yang dia tersesat semasa nak menuju ke rumah aku. Padahal hampir 17 tahun dia tinggal di kawasan perumahan yang sama dengan kami. Tu lah permainan makhluk tu. Tanpa buang masa ustaz dan pembantunya terus menunaikan solat maghrib di rumah aku dan diikuti bacaan yassin serta membaca ayat2 ruqyah dan selepas solat isyak baru lah rumah kami ditaburkan garam kasar dan lada hitam.

Untuk pengetahuan korang, semasa ustaz tu tersesat ketika itu waktu tu sama dengan satu kejadian yang berlaku dalam rumah aku. Di mana suami aku mendengar suara memanggilnya dari pintu luar dapur. Aku dengan anak-anak pun dengar segala bunyi pelik yang keluar dari dalam rumah aku. Seperti bunyi pintu dan dinding ditepuk dan disertai dengan bunyi cengkerik yang amat kuat. Ketika ini aku ambil keputusan biarkan saja, sebab aku tau benda tu dah rasa terancam. Dan bila ustaz mula melangkah ke arah bilik yang terletak bersebelahan dapur aku tu, kebetulan aku di situ tiba2 meremang bulu roma aku sehingga aku rasa kepala aku jadi besar dan ustaz tu arahkan buka semua pintu yang ada dalam rumah aku. Untuk pengetahuan korang kalau sesuatu yang mudah, memang senang dikeluarkan dari dalam rumah kita.

Tapi kalau jenis makhluk yang degil ni kena lah panggil yang lebih mahir lagi dan tinggi ilmunya untuk menghalau makhluk tu keluar. Pernah juga satu kejadian makhluk tu mengajuk apa yg aku baca dan disambungkan lagi bacaan aku tu. Pada hal tu ayat2 suci yg aku baca. Kalau korang di tempat aku apa korang buat? Lari ? Tapi aku tak boleh lari dan aku tak boleh nak tumpang rumah sapa2 sebab ni rumah aku dan aku takkan ajak sapa pun temankan aku sebab aku tak nak susahkan sesiapa. Aku pun bukanlah berani sangat cuma sikap aku yang suka siasat terlebih dahulu dan lihat dulu baru aku berani cakap. Dan berbalik pada cerita tadi selepas selesai, dan sebelum keluar, ustaz berpesan dalam 3 hari selepas pemulihan rumah kalau dengar sesuatu baling saja dengan lada hitam yang ada di lantai dan jangan sapu rumah lagi sehingga tamat tempoh selama 3 hari.

Betul kata ustaz. Selepas ustaz keluar dari rumah aku pada malamnya anak sulung aku dengar ada ketukan pada cermin tingkap dapur. Ketukan yang menggunakan kuku. Dan pada malam keduanya pula aku terdengar bunyi guli yang bukan seperti aku dengar sebelum ni. Bunyinya agak keras sikit, macam guli yang betul betul berat. Pada malam ketiga kami tak dengar apa apa pun. Dan berikutan dengan hari2 seterusnya, kiranya sudah 1 minggu lebih la juga hingga saat aku menaip kisah ni pada korang. Baru aku rasa tenteram. Allhamdulilah.

MISTERI WAN PEAH (bukan nama sebenar)

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 0 Average: 0]

9 thoughts on “Misteri Bunyi Guli Dan Gangguan Di Rumah Baru”

  1. Akak memang berani lah.. Dari first story lagi saya baca.. Boleh plak akak ikut makhluk tu… Wuu.. Kalau teman idok lerr… Hope akak sekeluarga kuat tanpa suami dan ayah.. Salute lah kak..

    Reply
  2. ok ni seram…umah aku da la slalu bunyi guli…camne aku nak dok umah tu sensorang nant weyhhh….
    #sispenakot

    Reply
  3. beraninya kak…kak, haritu ustazah ada pesan, setiap minggu cuba “cuci” rumah. caranya, bukak youtube bacaan surah baqarah kuat2 dari awal sampai habis…lepas tu sambung dgn ruqyah.. bukak semua tingkap..

    Reply
  4. Tabahnye akk ni…
    Tapi betollah, bile kat rumah tu ramai org perempuannye, kita akan jd lebih berjaga2 smpi mengenepikan rasa takut…
    Saya pon dlu bile asben outstation lelame, mmg terus tukar identiti jd Mak Guard yg tdonye pegang Ridsect+Cota+handbag…
    Hehehehehehe…

    Reply
  5. Petua org dulu2..bila masuk umah baru sebaiknya diadakan bacaan yasin beramai2..bukan masuk gitu aje..lagi satu dlm rumah tabur lada hitam dan garam kasar keliling umah..jgn disapu..garam kasar ni umpama asid utk jin..lebih afdal setiap hari setiap bilik ada org mengaji Quran biar seluruh rumah terang dan segala jin setan lari..renjisan air yasin keliling umah pun boleh..bila nak tido pasang rukyah sampai subuh..elakkan dgr lagu yg bukan2 di dlm rumah sebab lagu2 yg melalaikan ni mmg menarik jin dtg..sebenarnya kita sendiri leh cegah benda2 ni dgn ibadah2 kita asalkan berani..jika tak mampu baru panggil ustad..saya dah alami spt kisah diatas semasa duk seorang diri dulu..tu sebab faham dan tau cara nak atasi masalah spt ini

    Reply
  6. Salam Akak. Saya pun duduk di Spg Pulai. Rumah saya pun memgalami gangguan2.
    Mohon jasa baik akak, boleh tak nak dapatkan no telefon ustad tu?
    Terima kasih sgt hope akak sudi bantu kami sekeluarga

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.