Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua yang mengikuti Fiksyen Shasha sekalian. Terima kasih kepada team FS sebab sudi paparkan cerita aku sebelum ini iaitu “Misteri Dewan Utama”. Ucapan terima kasih jugak pada yang sudi baca dan bagi komen-komen. Ramai yang tanya macam mana muka “pelajar” yang ikut masuk surau tu? Takkan tak perasan muka “dia”lain. Aku jawab pertanyaan kalian ye.
Waktu kejadian tu, kami semua dalam keadaan huru hara. Team kami pulak ramai sebab kami berlatih untuk dua kategori. Bawah 18 tahun dan bawah 15 tahun. Setiap satu kategori ada dua pasukan, kumpulan pemain utama dan juga simpanan dan kami tak cam sangat kalau ada player yang baru join (tingkatan 1). Jadi kami sangka ‘dia’merupakan salah seorang junior kami sebab zahir “dia”menjelma sama macam pelajar lain.
Dan satu lagi pertanyaan iaitu boleh ke syaitan/iblis/jin ni masuk dalam masjid/surau? Kalau dari fahaman aku sendiri, jawapannya boleh. Dari segi dalil/hujah sokongan yang boleh sokong jawapan aku ni, korang boleh check sendiri dengan ustaz-ustaz/pakar-pakar yang arif. Tapi bukti paling senang ialah bila kita nak sembahyang dalam masjid pun kadang-kadang kita boleh rasa tak khusyuk, itu petanda “mereka”ada di sekeliling untuk ganggu solat kita. Ini adalah sebahagian jawapan yang aku boleh komen untuk cerita aku sebelum ni dan kalau sesiapa yang tak faham atau belum baca boleh refer pada tajuk Misteri Dewan Utama.
Hari ni aku nak sambung lagi kisah pelik dan seram yang pernah terjadi di sekolah aku ni. Kali ni aku nak cerita pasal pengalaman aku dengan kawan-kawan aku sendiri waktu kami di Tingkatan Satu. Waktu ni memang fresh sangat lagi dekat sekolah ni. Sebab aku pun tak tahu sejarah sekolah ni lagi. Minggu pertama masuk, kami ada orientasi seminggu. Waktu ni lah kami “dilanyak” puas-puas oleh geng senior memandangkan kami ni masih baru lagi. Tapi tak semua senior aku yang jahat. Yang baik, peramah, suka bantu tu tetap ada. Aku nak cerita tentang malam last kami orientasi yang sepatutnya meninggalkan kenangan manis tapi jadi sebaliknya.
Petang kejadian tu, lepas siap-siap makan malam, kami akan menjalankan rutin seperti biasa iaitu semua pelajar dari tingkatan 1 hingga 5 akan berkumpul di surau, membaca al-mathurat dan seterusnya solat maghrib berjemaah sebelum meneruskan aktiviti malam kebudayaan. Setelah selasai solat maghrib, tiba-tiba suasana menjadi kecoh apabila salah seorang pelajar pengsan di dalam surau. Aku dengan kawan-kawan ni tak faham apa yang terjadi waktu tu kami cuma biarkan saja. Mungkin budak ni tak sihat atau tak makan petang tadi tu yang pengsan. Jadi kami terus bangun untuk menanggalkan telekung dan bersiap-siap untuk ke dewan utama. Tetapi belum sempat kami membuka telekung, tiba-tiba kami mendengar suara perempuan menjerit.
Kemudian salah seorang pelajar senior mengarahkan supaya tiada sesiapa pun yang dibenarkan keluar dari kawasan surau dan semua pintu surau ditutup. Suara perempuan menjerit tadi masih lagi berterusan dan menjadi semakin kuat. Rupa-rupanya pelajar yang pengsan tadi telah diserang histeria di koridor surau. Aku pada waktu itu pertama kali mendengar perkataan histeria jadi agak bingung dengan suasana begitu. Aku terus bertanya pada sahabat aku tentang apa yang terjadi dan akhirnya aku faham. Ada sedikit perasaan takut di hati kecil aku akan tetapi perasaan ingin bantu tu lagi kuat menguasai hati aku pada waktu itu.
Pelajar senior terus mengarahkan kami untuk membacakan Yassin dengan kuat dari dalam surau. Kami tanpa berlengah terus membacakan surah Yassin berulang-ulang kali tetapi tetap saja bunyi jeritan pelajar tu lagi kuat dari bacaan kami dan tiba-tiba jeritan tu senyap dan suasana jadi aman seketika. Kami sangkakan histeria yang berlaku telah dipulihkan oleh kakak-kakak senior tapi malangnya benda tu tak berhenti di situ.
Waktu kami baru sahaja nak mengaminkan doa Yassin tiba-tiba kami mendengar pelajar-pelajar senior di luar menjerit ketakutan dan semua berlari ke dalam surau semula tetapi kami tidak melihat pelajar yang sakit tu bersama-bersama mereka. Mereka terus mengarahkan untuk meneruskan semula bacaan Yassin dan salah seorang perlu membaca dengan lantang dengan menggunakan microfon supaya boleh didengar hingga ke luar. Baru sahaja dipermulaan ayat, tiba-tiba surau blackout dan pintu-pintu surau yang ditutup tadi terbuka dengan sendirinya. Dan teka apa yang kami nampak di luar surau??? Kami melihat pelajar perempuan yang histeria tadi sedang menari-menari di kawasan parkir kereta di hadapan surau.
Telekung yang dipakainya di tarik sehingga menutupi mukanya dan lenggok badannya lincah menari seakan-akan penari makyong. Pelajar-pelajar yang di dalam surau ada yang menjerit ketakutan, ada yang pengsan serta ada yang meraung setelah melihat kejadian tersebut. Aku dan kawan-kawan seakan terpaku sebab pertama kali melalui kejadian seperti ini dan kami seperti khayal melihat pelajar tersebut menari. Kemudian kami disedarkan oleh rakan-rakan lain apabila mereka menepuk bahu kami untuk mengelakkan kami hilang kawalan diri.
Alhamdulillah ketika itu ada beberapa orang pelajar tingkatan 5 yang bertindak berani berlari keluar dari surau dan terus memaklumkam pada warden tentang kejadian yang berlaku di surau dan tidak lama selepas itu bantuan dari pihak guru-guru dan ustaz tiba untuk mengamankan keadaan. Pelajar yang histeria tadi dibawa ke dewan makan untuk dirawat manakala pelajar lain yang terkena tempias histeria dipulihkan oleh guru-guru. Setelah keadaan di surau aman, kami diarahkan oleh warden untuk kembali ke dorm masing-masing dan tidak dibenarkan keluar dari kawasan blok asrama selepas itu.
Disebabkan blok asrama aku menghadap ke dewan makan, jadi kami dapat melihat sesi rawatan pelajar yang histeria tadi. Aku dan kawan-kawan aku mengintai dari celah tingkap dorm untuk melihat apa yang terjadi di dewan makan. Kami mendengar pelajar tadi menjerit-jerit tetapi nada suaranya berubah-ubah. Kejap suara perempuan, kejap seperti suara lelaki. Kemudian kami melihat pelajar tadi terlepas dari pegangan guru-guru dan berlari ke luar dewan makan tersebut dan terus memanjat van yang ada di luar dewan.
Alangkah terkejutnya kami apabila melihat wajah pelajar tadi berubah seperti kehitaman dengan matanya terbeliak memandang sekeliling sambil badannya terus menari di atas bumbung van berkenan. Kami menggigil ketakutan yang amat sangat malam tu sampai kami tidur rapat-rapat antara satu sama lain. Akibat terlalu takut, aku dan kawan-kawan aku tak berani nak sambung tengok kejadian tu sampai habis dan kami putuskan untuk tanya saja pada guru-kami keesokkan harinya. Esoknya di sekolah kami pergi berjumpa dengan warden untuk mendapatkan pencerahan tentang kejadian yang berlaku pada malam tersebut.
Pada awalnya warden memarahi kami kerana cuba menyibuk hal orang tetapi akhirnya dia menceritakan kisah yang sepenuhnya. Katanya, pelajar yang diserang histeria tu memang sakit dah lama. Puncanya dia pernah ambil salah satu alat perhiasan (cucuk sanggul) yang dijumpainya sewaktu mereka menjalankan aktiviti menanam pokok di sekitar bangunan sekolah pada tahun sebelumnya. Alat itu telah dipulangkan (ditanam) semula di kawasan asalnya tetapi keadaan pelajar tersebut masih tidak berubah kerana kerap mengalami gangguan histeria dan akhirnya keluarga pelajar berkenaan nekad memindahkan anaknya ke sekolah lain yang berhampiran dengan rumah bagi tujuan memudahkan mereka untuk memantau keadaan beliau.
Selain itu, kami juga berkesempatan mendengar cerita sebenar dari sahabat baik pelajar yang sakit ini. Pada petang sebelum kejadian, pelajar tersebut ada memberitahunya yang dia hendak bersiar-siar di sekitar sekolah sebelum waktu makan malam. Tapi disebabkan rakannya ini perlu menyiapkan kerja sekolah, jadi si mangsa ni pergi bersiar seorang diri dan beliau melalui jalan lereng bukit yang dikatakan menjadi punca kes-kes histeria di sekolah tersebut. Dan setelah sahabatnya itu pulih dari histeria pada malam tu, dia bercerita yang dia bermimpi berjalan dengan seorang perempuan cantik seperti puteri zaman dahulu. Mereka jalan beriringan di lereng bukit tersebut kerana puteri itu mahu menghantarnya pulang.
Pada pembaca semua, peringatan untuk anda sekiranya menjumpai apa-apa barang perhiasan lama janganlah cuba-cuba nak ambil dan simpan. Kadang-kadang orang yang “membela” ni nak lepaskan belaan dia pada orang lain dengan cara mengurung belaan dia dalam barang-barang macam tu . Alat perhiasan lama ni cantik, unik dan apabila ada orang melihatnya pasti akan ada yang tertarik untuk menyimpannya tanpa menyedari mereka turut menyimpan “benda” lain bersama. Wallahualam. Hanya Dia yang Maha Mengetahui. Sekian..
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
jalan cerita yg baik….nk tggu next story plak