Misteri Dewan Utama

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera untuk semua pembaca Fiksyen Syasya sekalian. Harap anda semua berada di dalam keadaan sihat sentiasa. Hari ni aku teringin nak kongsi tentang cerita zaman sekolah menengah dulu.

Alkisahnya aku merupakan anak dan cucu sulung dalam keluargaku dan bagi menjadikan contoh terbaik kepada adik-adik , aku telah dipaksa belajar rajin-rajin oleh keluarga supaya aku dapat masuk sekolah berasrama penuh. Alhamdulillah berkat usaha keras keluarga yang selalu “push”aku belajar, akhirnya aku ditawarkan di sebuah sekolah berasrama penuh di Negeri Hang Tuah yang indah ini. Kisah yang aku nak kongsikan ini merupakan kisah benar yang pernah terjadi sewaktu aku belajar dan menginap di sekolah tersebut selama 3 tahun (sekitar tahun 2002).

Untuk pengetahuan semua, sekolah aku ni merupakan sekolah agama khas untuk pelajar perempuan sahaja. Lokasi sekolah ini terletak di kawasan berbukit bersebelahan dengan salah satu Penjara/Sekolah Juvana H.Gurney. Sejak dari hari pertama aku jejakkan kaki ke sekolah ini, pelbagai edisi cerita seram tentang sekolah tersebut telah disajikan oleh para senior kepada para junior yang baru masuk ni. Antaranya adalah cerita mengenai dewan utama sekolah yang dikhabarkan sangat ‘angker’ kerana dibina di atas kawasan perkuburan jepun lama. Kata seniorku sebelum sekolah dibina, kubur tersebut telah dipindahkan ke lokasi lain tetapi tidak semua kubur yang digali di atas sebab-sebab tertentu. Selain itu lokasi jalan lereng bukit yang menghala ke blok asrama juga turut menjadi sebutan para pelajar kerana kebanyakkan kisah histeria yang berlaku di sekolah tersebut berpunca daripada lereng bukit tersebut. Tetapi sejauh kebenarannya hanya Dia yang tahu.

Berbalik pada kisah aku, kejadian ni berlaku waktu aku dengan kawan-kawan sedang menjalani latihan bola jaring pada waktu malam. Aku merupakan salah seorang pemain bola jaring sekolah dan sekolah kami merupakan antara sekolah yang cemerlang dalam sukan berkenaan pada waktu tersebut. Memandangkan jadual kelas kami pada waktu siang sangat padat, jadi latihan terpaksa ditunda pada waktu malam dan gelanggang kedua kami selain padang sekolah adalah di dewan utama. Jadi malam kejadian tu, kami semua sedang menjalani latihan di dalam dewan utama tersebut. Sedang kami sibuk melontar bola antara satu sama lain, tiba-tiba lampu-lampu di dalam dewan terpadam dengan sendirinya. Kami terus menghentikan latihan seketika dan jurulatihku bersama beberapa orang kawan-kawanku terus pergi mencari kotak suis utama untuk menghidupkan semula punca elektrik di dewan itu. Sangkaan kami hanya gangguan teknikal dan Alhamdulillah percubaan pertama berjaya menghidupkan semula lampu dewan tersebut. Kami terus menyambung latihan semula selepas itu akan tetapi tidak lama tuan2 dan puan2 sekalian!!!

Kira-kira 20 minit kemudian sekali lagi lampu-lampu dewan terpadam semula dan kami tiba-tiba terdengar bunyi seperti alat-alat muzik dimainkan. Alat-alat muzik ini diletakkan di dalam bilik persalinan belakang dan ia digunakan oleh kumpulan nasyid sekolah kami ketika mereka menjalani latihan di dewan utama ini pada waktu petang. Pada mulanya kami berfikir mungkin ada diantara ahli kumpulan nasyid yang datang ke bilik persalinan tersebut untuk berlatih. Tetapi segalanya menjadi semakin “creepy” apabila salah seorang dari kawan aku memberitahu ketika dia mengambil kunci dewan pada waktu siang, pihak pentadbir ada memberitahu tiada siapa yang menempah dewan untuk sesi malam tersebut melainkan pasukan kami. Ada diantara kawan aku mula menangis kerana terlalu takut dan panik dengan kejadian tersebut.

Akhirnya jurulatih kami menyuruh kami semua mengemas barang-barang dan keluar dari dewan tersebut untuk berkumpul di kawasan parkir. Ketika kami sedang mengemas segala peralatan tiba-tiba semua gambar-gambar (gambar-gambar kenamaan serta jata setiap negeri) yang tergantung di sekeliling dewan jatuh terhempas ke lantai. Gambar-gambar tersebut jatuh secara bergilir bermula dari kiri dewan berpusing sehingga ke kanan dewan. Sungguh kami terasa sangat takut sehingga tak mampu bergerak seolah-olah kaki ni terpaku dekat lantai dewan tersebut. Salah seorang daripada ahli pasukan aku, Kak Nad terus menjerit “Allahuakbar” sekuat-kuat hati sebanyak tiga kali dan terus mengarahkan kami keluar dari dewan tersebut dengan segera tanpa membawa alatan.

Kami semua terus berkumpul di kawasan luar dewan tersebut dan jurulatihku mengarahkan kami untuk duduk dan bertenang sementara menunggu warden datang ke dewan bersama ustaz yang mengajar di sekolah kami. Kami duduk dalam bentuk bulatan dan jurulatih terus menerus mengarahkan kami berzikir sekuat hati sementara keadaan di dalam dewan menjadi riuh dengan bunyi bola dilantun-lantun dengan kuat menghempas lantai dan dinding. Semakin kuat kami berzikir semakin kuat bunyi gema bola dilantun. Keadaan itu berlaku selama lebih kurang beberapa minit sebelum dewan tiba tiba menjadi sunyi sepi ketika warden lelaki dan ustaz tiba di perkarangan dewan. Jurulatih terus menceritakan kejadian-kejadian yang berlaku kepada ustaz dan ustaz bersama warden terus masuk ke dalam dewan untuk melihat apa yang terjadi. Selang beberapa minit, ustaz keluar semula dan terus mengarahkan kami untuk menghentikan sahaja latihan pada malam tersebut ,terus pulang ke kawasan asrama dan berkumpul di surau.

Kami terus mengikut arahan ustaz untuk beredar dari kawasan tersebut tetapi sedang kami bersiap-siap untuk pergi tiba-tiba bola-bola yang ditinggalkan di dalam dewan dibaling dibaling ke arah kami di luar dewan tersebut. Kami tak tunggu lama dan terus bukak langkah seribu berlari menuju ke kawasan surau. Sumpah menakutkan sungguh waktu tu. Sampai sahaja di surau, kami terus berkumpul di dalam dan ditenangkan oleh rakan-rakan lain yang ketika itu berada di situ. Ustaz bersama warden dan jurulatih yang tiba kemudian, terus masuk ke surau untuk melihat keadaan kami.

Aku melihat jurulatih aku mengira bilangan ahli pasukan dan kemudian terus membisikkan sesuatu pada ustaz. Tiba-tiba ustaz bersuara “yang mana pelajar saya sila bergerak ke kanan saya”. Kami semua pada waktu itu mengensot ke kanan surau kecuali “seorang” pelajar. Kemudian ustaz terus berkata lagi “Kalau asal kau di atas, pulang kau ke sana dan jangan kau ganggu anak-anak ini.”Aku lihat “pelajar”tersebut terus bergerak ke pintu surau dan keluar. Rupanya ada yang mengikut kami pada waku itu dan syukur Alhamdulillah tiada kejadian histeria berlaku di kalangan kami. Setelah ustaz selesai menenangkan kami, kami terus pulang ke bilik dan kami diberi perlepasan latihan selama 3 hari sementara jurulatih kami mencari lokasi yang sesuai untuk menjadi tempat latihan yang baru.

Pagi esoknya aku dan rakan-rakan ditemani ustaz dan guru yang menguruskan pasukan kami pergi ke dewan tersebut untuk mengambil barang-barang yang ditinggalkan. Alangkah terkejutnya kami apabila melihat keadaan dewan menjadi seperti sedia kala. Tiada kesan kesan kaca berderai dan gambar-gambar tergantung dengan elok di dinding dewan manakala barang-barang kami terkumpul kemas di kawasan tengah dewan.

Allahuakbar sehingga sekarang aku tertanya-tanya apa yang terjadi sebenarnya pada malam itu. Itu sahaja perkongsian aku untuk kali ini dan sekiranya ada masa di lain waktu, akan aku kongsikan lagi kisah miseri yang berlaku di sekolah ini.

Sekian…

Nurul Iman
FOLLOW FB KAMI.

8 comments

  1. Saya tau sekolah yang dimaksudkan. Balik kampung memang saya kena lalu jalan atas bukit depan sekolah tu…Kawasan tu memang angker sejak dari zaman dulu lagi..Tiap kali lalu situ mesti ayah saya bukak cerita seram pasal bukit tu dan kawasan sekitar,,kami adik beradik buat tak pekak je sebab tengah malam kot,,,hahahaha…..

  2. Akhirnya….sebuah cerita seram sebenar…terima kasih sebab menceriakan kembali FS yg makin hambar dengan cerita klise..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.