MISTIK TEMASEK 4 – KISAH2 DI KEM PERTAHANAN (BHG 1)

Masa berjalan begitu pantas, sambutan Syawal berlalu sudah. Rasa terharu mengenangkan momen meriah berkumpul sesama sanak-saudara, yang jauh maupun yang dekat.
Entah bila kita dapat ketemu lagi. Walau bagaimanapun diharapkan Syawal ini bukan yang terakhir bagi kita semua.

Bila berkumpul beramai-ramai pada musim perayaan sebegini, pelbagai topik perbualan pun tercetus, dari gosip-gosip kosong melarat ke cerita-cerita seram. Sehingga minat aku menulis kisah2 mistik di ruangan FS sudah menular ke pengetahuan sepupu-sepapat. Apalagi, sesi berkongsi cerita pun bermula tentang pengalaman mereka serta rakan-rakan yang lain-nya bertembung dengan alam ghaib semasa menjalani perkhidmatan negara sepenuh masa selama 2 tahun.

Harap maklum: Kesemua nama-nama watak dan kumpulan telah diubah-suai untuk melindungi peribadi serta hak masing-masing.

Pulau Hantu: Pulau yang terletak di bahagian timur laut, bila nama disebut memang tidak asing pada semua orang yang menetap di sini dan terutama sekali di kalangan anggota-anggota NS (National Serviceman), di mana kejadian-kejadian nan luar-biasa selalu dikaitkan. Pernah dijajahi oleh tentera Jepun pada tahun 1942-1945. Saat itu dianggap paling pahit oleh rakyat tempatan yang sentiasa hidup dalam kesengsaraan dan ketakutan. Kezaliman kempetai bersifatkan kuku besi bukan sahaja mendera malah m******h sesiapa sahaja yang disyaki ingin menentangnya.

Sesetengah orang percaya pulau ini telah ternoda dengan kes penderaan dan pembunuhan berlaku secara pensendirian atau beramai-ramai pada waktu itu, dan mangsa-mangsa yang terlibat datang dari golongan-golongan yang tidak bersalah, termasuk kanak-kanak.
Ayat yang selalu menjadi kelaziman, “Biasalah tempat-tempat gini kan banyak orang m**i tak rela, jadi roh-roh dorang semua tak aman dan selalu berkeliaran”.
Wallahu a’lam bish-shawab.

Selepas kemerdekaan, sebahagian pulau ini telah dijadikan markas pangkalan bagi tentera darat. Setiap anggota yang berdaftar di bawah unit kombat perlu melalui BMT (Latihan Asas Militari) dan harus berpangkalan di sini. Untuk beberapa minggu pertama, tiada keganjilan berlaku. Demoralasasi hanyalah latihan ketenteraan yang sangat berat dan sulit, tidak ketinggalan juga para pegawai atasan yang bengis belaka.

(I) Sumber: Korporal Fairuz
Peristiwa: “Spiderman”

Lokasi bangunan satu tingkat yang diagihkan kepada pasukan kami terletak di sudut paling hujung, berjauhan dengan seksyen-seksyen yang lain dan berhampiran dengan hutan belantara.

Semua lampu-lampu di kem terpadam tepat jam 10.30 malam. Namun pada malam itu, keadaan di bilik masih terang sedikit dari cahaya bulan mengambang. Aku tinggal berdua dengan rakan sebilik, Syam sementara Rashid dan dua lagi teman dikenakan tugas mengawal malam. Sungguhpun telah melalui latihan lasak dan memenatkan pada siang hari, aku masih tidak dapat merehatkan mata ditambah pula dengan cuaca yang bahang. Untuk memudahkan aku tertidur, aku bermainlah permainan komputer di PSP yang kubawa dari rumah.
Berbeza dengan Syam yang kukirakan sudah hanyut di alam fantasi.

Suara lolongan anjing-anjing liar yang berterusan dari padang kawad semacam memberi petanda tentang kehadiran sesuatu yang tidak elok bakal muncul tanpa diundang. Selepas itu, kedengaran bunyi seperti beberapa biji guli jatuh bertalu-talu di atas lantai jumbin; pelik siapa yang bermain di lewat malam hari dan sah-sah tidak ada aras kedua di bangunan ini.

Syam tiba-tiba terpekik meminta tolong dan meloncat turun dari tempat tidurnya di bahagian atas katil dua tingkat. Dia menunjuk-nunjuk kepada sesuatu di tembok siling. Seminit kemudian, Rashid pula masuk dan segera menyalakan lampu. Syam tampak bagai ayam yang terkecundang; wajahnya putih berkilat dengan cetusan peluhan sejuk di dahi seperti lilin yang cair ketika dibakar. Aku serta Rashid sedaya upaya menenangkan keadaan dengan menyuruhnya beristighfar.
Bila reda sedikit, barulah Syam menceritakan sungguhpun masih lagi dalam keadaan gementar.

Aku di sini ialah Syam:
Ada sesuatu yang menggangguku ketika tidur. Bila tersedar, satu lembaga hitam berada di hujung kaki, melekat di tembok siling seperti “spiderman”. Matanya yang merah bercampur kuning semacam bebola api, menenung aku kembali. Aku tergamam buat seketika melihatkan benda aneh yang tidak semena-mena muncul di situ. Ia kemudian melopongkan mulutnya luas dan melompat ke arahku. Sebuah lubang hitam besar ibarat mulut gua, gelap dan banyak taring-taring melapisi di atas dan bawah mulutnya datang menghampiri semacam ingin menelan aku. Sebab itulah aku menjerit.

Aku di sini ialah Rashid:
Aku kebetulan sedang meronda berdekatan dan jelas kelihatan seseorang, kemungkinan lelaki, memakai jubah panjang serba hitam bersama hud menutupi kepala berjalan masuk ke bangunan. Mengesyaki mungkin ada pencerobohan berlaku, aku pun mengekorinya. Setibanya berada di hadapan bilik kamu, dia terus sahaja menembusi masuk ke dalam. Dan ketika itu jugalah, aku terdengar jeritan dari Syam.

Sekali lagi terdengar lolongan anjing liar di luar menambahkan efek yang menakutkan dan diikuti dengan hilaian ketawa mengejek panjang, “he he he ha ha ha haa” bergema di seluruh bilik membuatkan kami tergesa-gesa keluar dari situ.

Bulan ketujuh merupakan musim Perayaan Hantu dalam qamariah orang-orang Cina. Pada waktu beginilah kerap terjadinya penemuan yang aneh lagi pelik.

(II) Peristiwa: Auditorium usang

Berikut adalah kronologi menimpa beberapa kumpulan kadet nasional yang dijadualkan tugasan mengawal di waktu malam, berhubungan dengan sebuah auditorium terbelangkalai terletak di sebelah bangunan yang digunakan sebagai ibu pejabat bagi pengedalian urusan pentadbiran. Perantaraan-nya:

-Jelmaan seorang perempuan berpakaian putih menyisir rambutnya sambil bersenandung di suatu sudut. Peliknya ia mengadap dinding dengan tiada cermin tergantung dihadapannya. Dan bila berasakan eksistensi mendapat perhatian dari seorang manusia, kepalanya berputar 360 darjah ke arah si pengintai dari belakang itu.

-Seorang rekrut membuat panggilan secara rahsia di pondok telefon yang terdapat di dalam auditorium itu. Sedang asyik berborak dengan kekasihnya, sekilas dia terpandang sesuatu bercahaya putih berligaran di atas pentas. Sangkaan mulanya mungkin seekor kelawar telah masuk tetapi apabila dia lama mengamatinya, dia terkejut lantas melepaskan gagang talipon dan pecut lari dari situ.

Pendedahan: benda terbang itu merupakan susuk kepala tanpa badan bersama usus, perut dan hati tergantung serta titisan d***h merah kehitamman memercik. Selain muka yang hodoh, tulang dagu makhluk itu semacam tercabut dan tergantung dengan sisa kulit dan urat.

-Sekumpulan kadet telah dimarahi dan didenda teruk oleh ketua mereka kerana tidak menyelesaikan pusat pemeriksaan ketika menjalani kawalan malam. Dengar cerita, mereka telah terserempak dengan makhluk yang menyerupai seorang perempuan atau ibu berduduk menyusukan anaknya di salah satu bangku didalam auditorium. Bila kain membaluti bayi (konon-nya) itu terselak, ternyata yang digedungnya adalah seketul batu nisan!!!

(III) Sumber: Privet Ah Beng
Peristiwa: Pegawai kemeja putih

Sebagai seorang bekas ahli gangster dan kerapkali terjebak dalam pergaduhan besar antara geng-geng, sudah semestinya aku skeptis dengan benda-benda paranormal apalagi mahu mempercayai tentang kewujudan-nya. Akan tetapi satu pengalaman yang aku alami sendiri, telah sama sekali mengubah tanggapanku dalam perpekstif sedemikian.

Rutin aku setiap pagi ialah mengemas bilik pegawai yang berada di tingkatan bawah tanah. Kerja aku selesai dalam jam 6.30 pagi dan aku pun berehat dekat sofa depan televisyen memandangkan ada masa terluang sebelum latihan kawad bermula pada jam 7 pagi. Reflek dari kaca TV pula, dapatlah di-lihat dengan jelas segala yang berlaku di belakangku. Seorang pegawai berkemeja-T putih menjelma dari sebelah kiri melintas menuju ke kamar mandi. Aku dengar bunyi hempasan pintu ke pintu.

Setelah 10 minit lamanya, aku didatangi oleh satu perasaan aneh secara tiba-tiba:
1) Pintu utama masuk ke pejabat hanya satu dan berada di sebelah kanan.
2) Yang pastinya tidak ada seorang manusia yang berada di bilik ketika aku masuk tadi (aku tidak mengantuk dan tidak juga berhalunasi).
3) Dia berjalan agak pelik sedikit dari cara seorang manusia biasa – atau lebih tepat lagi seakan melayang.
4) Kalau berasaskan undang-undang, baju berwarna terang atau putih tidak dibenarkan dalam premis kem, selain dari warna hijau lumut/hitam.

Dia masih belum keluar dari tandas jadi aku pun mula berteriak. Senyap, tiada jawapan balas. Aku memulas tombol dan membuka pintu yang tidak berkunci dari dalam. Terkejut aku bila melihat pegawai tadi berdiri di depan cermin. Dengan ukiran senyum sinis melihatku, ia memegang kepala dan sebelum aku ketahui aksi selanjutnya, kepala pegawai itu telahpun terpisah dari badannya lalu diletakkan di atas sinki. Senyumanya masih tidak pudar.

Aku panik; terus menerpa keluar dari situ. Kakiku melemah sejurus bertembung dengan rakan-rakan di tingkatan satu yang sedang sibuk bersiap sedia untuk berkawad. Mereka terkejut melihatku menggigil ketakutan. Hanya tuturan perkataan “Gui aah, Gui aah (Hantu aah Hantu aah)!!!” yang mampu keluar dari anak tekak-ku.
Mereka terpaksa memapah aku berjumpa dengan pegawai perubatan.

Selepas peristiwa itu, aku diserang demam panas dan diberi cuti sakit selama seminggu. Apabila aku kembali bekerja, aku pastikan aku tidak keseorangan di dalam bilik itu lagi dan memberi seribu satu helah untuk membawa seorang lagi rakan sebagai penemanku.

(IV) Sumber: Korporal Zack
Peristiwa: Joseph dan elemen ‘supernatural’

Pasukan kami boleh dikatakan antara yang berdisiplin dan memaparkan prestasi baik dalam kebanyakan latihan kem. Ramai pegawai atasan sangat berpuas hati dengan kami, kecuali seorang komander bernama Staf Sarjan Tan. Seorang yang tidak berperikemanusiaan dan sentiasa mencari kesalahan untuk mendenda, terutama dengan rakan seperjuangku, Joseph. Kami pun tidak tahu punca sebenar mengapa dia tidak sehaluan dengan si Joseph itu.
Joseph pula seorang yang baik hati dan suka membantu rakan-rakan yang lain, cuma adakalanya dia sedikit cuai dan leka.

Pada satu petang, aku bersama beberapa kawan yang lain sedang menonton TV di bilik rekreasi. Joseph masuk dan menghempaskan dirinya di sofa bersebelahan denganku. Beliau baru sahaja selesai melakukan tugas tambahan yang dikenakan oleh SGT Tan sebagai denda kerana melanggar perintah semasa latihan siang tadi. Joseph kelihatan begitu marah sekali dan tiba-tiba dia memberontak, “You will die and burn in hell!”
Aku menasihatinya supaya mengikut sahaja arahan yang diberi dan jangan melawan kalau dia tidak mahu lagi menerima hukuman. Lebih-lebih lagi kami sudah masak sangat dengan perangai bajingan Tan.

Joseph bangun dari tempat duduknya dan melemparkan pandangannya kepadaku. Perubahan di wajahnya, yang sebelum ini tampak naif dan tenang, menimbulkan sensasi buih-buihan sejuk menyusur di tulang sendiku. Seketika bulu romaku meremang – ada suatu aura nan lain, susah bagiku jelaskan gambarannya. Sambil dia berjalan keluar meninggalkan kami, dia mengulangi ayat-ayat yang sama, walaupun dalam bisikan kecil tetapi ketara kedengaran, ““He will die and burn in hell, he will die and burn in hell.….!”.
Ku rasakan dia seperti menjampi mantera atau mengenakan wabak sumpahan terhadap Tan.

Selepas kejadian itu, ada suatu malam terasa mencengkam dan entah mengapa aku berasa gusar – perasaan was-was seperti ada benda yang mengawasi. Aku berputar balik di atas katil mendapatkan keselesaan untuk tidur. Pada satu jangka masa, aku mengiring ke kanan dan ternampak satu bayangan hitam sedang bertenggek di atas lemari dan menenung Joseph yang sudahpun lena dibuai mimpi. Kedudukan katil Joseph pula adalah di paling hujung bersebelahan dengan tingkap. Aku lantas berpaling arah dan memejam rapat mataku, tidak mahu melihat aksi seterusnya dari benda yang tetiba menjelma di dalam bilik.

Keesokan hari, Joseph kelihatan riang, berura-ura bahawa dia tidak pernah dapat tidur dengan nyenyak sekali seperti semalaman sepanjang berada di kem ini. Aku hanya tersenyum mendengarkan kata-katanya dan tidak mengungkitkan perihal kemunculan makhluk aneh itu.

Seminggu kemudian, SGT Tan m**i serta merta dalam satu kemalangan ngeri. Menurut khabar, Tan sedang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas sambutan pesta hari lahir temanita-nya pada malam hari Sabtu. Dia telah merempuh batu pembahagi jalan dan keretanya meletup akibat kebocoran dari tangki minyak dan gas. Mayat Tan rentung dan hangus dijilat api kebakaran itu.
Pembedahan siasat mendedahkan bahawa Tan telah mengambil minuman-minuman keras dan memandu dalam keadaan mabuk. Disebabkan itu dia telah hilang kawalan pada kereta yang dipandunya.

Secara kebetulan atau sumpahan benar – satu perkara yang implisit. Kes SGT Tan diibaratkan seperti kasturi m**i kerana baunya.

(V) Sumber: Sarjan Mejar Regimen Peter
Peristiwa: Sesat di kubur

Aku ingin menceritakan pengalaman misteri semasa mengetuai satu latihan navigasi. Platun aku seramai 6 orang menjalani latihan itu di sebuah hutan kecil berdekatan dengan tanah perkuburan Cina. Ketika ingin pulang ke HQ, aku tersedar bahawa kami telah sesat. Kompas kami pula seperti berhenti berfungsi; menunjukkan satu hala di mana tiada jalan keluarnya. Kami mengembara tanpa haluan, trek jejakan pun diliputi kabus tebal dan seketika aku merasa diriku seperti berada di zon senja.
Kedengaran satu teriakan nyaring menyentakkan kami dari lamunan. Suara yang biasa kudengari. Rupanya datang dari seorang rakan komander dari platun lain yang menjumpai kami di situ.
(Penjemahan dari Bahasa Inggeris) “Oi!! Apa hal korang jalan pusing-pusing kat sini? Nape tak balik kem lagi? Dah lambat tau tak.”

Barulah kami sedar yang sejak beberapa jam yang lalu, kami hanya berjalan mengelilingi sebuah kubur yang sama. Dan kubur itu tertanamnya seorang anggota tentera yang dipercayai telah m**i b***h diri.
Menurut kisah, semasa hayat kadet ini, dia seorang yang sangat pendiam dan suka mengasingkan diri. Pada suatu hari, dia telah menembak diri di kepala menggunakan senapang latihan kepunyaan-nya.
Satu nota bertulis telah ditinggalkan; dia tidak dapat menghadapi tekanan yang timbul dari masalah peribadi di rumah dan juga pembulian di kem pertahanan.

(VI) Sumber: Sarjan Mejar Iskandar (sudah bersara)
Peristiwa: Penjaga pokok pisang

Di sini saya ingin mengongsikan pengalaman berlaku dalam satu misi kerahan luar negara pada tahun 1983.

Saya bersama seorang lagi pegawai pemandu askar tempatan, telah dikerahkan oleh pihak atasan untuk memantau satu lokasi untuk dijadikan perkhemahan keseluruhan sementara.
Perjalanan dari bandara kombat ke lokasi itu mengambil masa kira-kira 3 jam atau lebih, tertakluk pada keadaan kesesakan trafik. Hari mula gelap jadi untuk jalan pintas, kami berdua berpakat untuk meredah sebuah ladang pokok pisang.

Kami dijunamkan ke dalam suasana yang gelap gelita, sunyi dari segala hiruk-pikuk kesibukan kereta, tiada lampu jalan dan hanya berpandukan kepada kuasa lampu tinggi yang terpancar dari jip Land Rover yang dipandu pada had kelajuan yang santai, ditemani unggas dan juga cengkerik dan segala jenis bunyi di malam hari. Alat penghawa dingin pula rosak dan cermin tingkap terpaksa diturunkan sepanjang perjalanan.

Tetiba kami disambut dengan bunyi daun-daun bergeseran sesama sendiri. Pokok-pokok pisang di situ mula bergoyang, kami berdua menjadi hairan kerana tiada angin kuat meniup pada saat itu. Dari sisi cermin pandang belakang, aku mula menyedari satu kelibat kain putih terbang sehaluan dengan kereta kami. Ia beralih dari satu ke satu pohon. Bila ia bersinggah, pokok itu akan bergoncang dengan kuatnya.

Saya: (penjemahan dari Bahasa Inggeris) “Pandu cepat, lekas lekas. Ada sesuatu di belakang kita”.

Rakan saya mungkin ternampak benda yang sama kerana dia pun menekan pedal pemecut dan terus memandu laju keluar dari kawasan itu. Saya membaca apa sahaja ayat pelindung yang terlintas di ingatan. Nasib keberuntungan menyebelahi kami, kami dapat menemui jalan keluar dan menyambung perjalanan kami di lebuhraya yang terang-benderang.

Saya merahsiakan pengalaman itu daripada pihak atasan dan kekawan semua sehinggalah ke saat ini.

(VII) Sumbangan: Sarjan Yahya (sudah bersara)
Peristiwa: Latihan Malam Jumaat

Kejadian menyayat hati pernah terpahat di minda sekumpulan askar-askar suatu ketika dahulu.

Seperti malam-malam yang lain, pasukan ini dijadualkan dengan aktiviti berbaris didalam hutan pada malam hari Khamis. Bila selesai latihan dan tiba saatnya untuk headcount, barulah disedari bahawa mereka telah kehilangan salah satu rekrutnya dan untuk berapa lama tidak pula diketahui. Pencarian dimulakan dan akhirnya mereka berjaya juga ketemu dengan anak buahnya itu namun mereka tidak sama sekali menyangka sebuah kejutan telah lama menunggu kedatangan mereka.

Tubuh rekrut itu tergantung longlai di atas dahan pokok dan telah dirobek dengan ganas bagai tiada perasaan keperimanusiaan oleh si pelaku. Organ, tali perut, usus dan segala dalaman badan dideretkan dalam satu barisan lurus di atas tanah lumpur bersama pek makanan dan segala bekalan yang dikeluarkan dari beg si mangsa seperti persediaan untuk suatu upacara yang tidak diketahui.

Sejak terjadinya peristiwa itu hingga ke hari ini, para pegawai masih lagi mengadakan latihan malam sedemikian pada hari-hari biasa kecuali malam kliwon.

Lain-lain kisah bersambung di bahagian 2….

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 0 Average: 0]

2 thoughts on “MISTIK TEMASEK 4 – KISAH2 DI KEM PERTAHANAN (BHG 1)”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.