#MiyaA. Kisah Seram Aku.

Assalammualaikum semua. Kisah yang bakal aku cerita ni adalah kisah benar dari aku sendiri. Mungkin tak berapa nak seram tapi cukuplah buat aku ada part yang boleh dikatakan seram bila teringat balik. Nama aku Miya (bukan nama sebenar). Alhamdulillah dah nak masuk 4 tahun aku berkahwin dan dikurniakan seorang anak perempuan dan seorang anak syurga. (perempuan jugak). Kenapa aku bagitahu? Sebab semua ni ada kaitan dengan kisah yang bakal aku cerita. Termasuk suami aku. Maaf kalau terpanjang sedikit. Tak tahu nak shortkan cerita ni macam mana.

Kisah ngerinya bermula apabila aku dipaksa kahwin dengan suami aku yang sekarang ni. Setahun sebelum aku berkahwin tu memang aku ni agak sosial sikit. Zaman kebebasan boleh dikatakan selepas aku putus cinta dengan ex-bf aku yang kaki pukul dan baran tak bertempat tu. So aku tanam dalam hati lepas ni tak payah bercinta. Buat sakit hati je. Dari situ lah aku dah mula belajar macam2. Bila aku dapat pulak kerja baru, lagi bertambah lah ‘kebebasan’ dan ‘keseronokkan’.

Kakak aku memang dah tahu perangai aku. Bangun pagi tengok2 aku dah terbongkang atas sofa dengan muka tak boleh blah tu dia tahu dah lah apa aku dah buat. Tapi dia jenis tak ambik kisah. Tapi bila mak aku macam dapat hidu sesuatu, dia take action dan cepat2 suruh aku kahwin dengan suami aku ni. Tapi aku berkeras taknak. (aku kenal suami melalui family aku jugak). Mula2 aku memang berkenan kat suami aku ni tapi dia plak macam endah tak endah so aku geram lah. Aku pun mula jual mahal biar dia pulak terkejar2 kan aku. Akhirnya menjadi tapi aku pulak dah tak suka kat dia. Time aku tak suka tu lah mak dgn kakak sulung aku suruh kahwin dengan dia sebab perangai sosial aku makin menjadi.

Masa aku tengah nak siap2 keluar dengan kawan lelaki aku, suami aku ni datang nak ajak keluar. Aku bertegas memang taknak. Mak dgn kakak sulung aku dah paksa2 aku. Jadinya, bermulalah adegan gila aku. Aku dah naik gila masa tu macam kena rasuk (memang pun). Dorang tuduh aku macam2 dan cakap aku kena buatan ex-scandal aku tu. Tapi aku tak percaya sebab dia non-muslim takkan lah dia tahu buat benda2 macam ni plus aku memang tak suka pun kat suami aku!

Sampai satu tahap aku dah geram aku pergi dapur aku campak segala benda kat dapur dan ambik pisau konon nak b***h diri kalau dipaksa lagi. Apalagi orang2 dalam rumah tu pun mengelabah lah tengok aku jadi gitu. Aku menjerit. Menangis. Gelak. Mak terpaksa panggil kawan arwah ayah untuk bantu. Aku duduk terperok celah meja dan peti ais. Sebelum tu handphone aku matikan dan buat password awal2 dah sebab aku tahu akan jadi benda tak elok (taknak dorang selongkar phone aku).

Ramai pujuk untuk aku lepaskan pisau tu. Pisau tu tersemat elok kat perut aku. Aku genggam dan tekan pisau tu kat perut. Kawan ayah buatkan air limau. Sapu kat muka, tangan tapi tak dapat jugak lepaskan pisau tu. Masa tu aku pun tak tahu lah dapat kekuatan dari mana. Takde siapa yang boleh lepaskan pisau tu. Sampai abg ipar aku terluka kat tangan masa bergelut dengan aku. End up, aku senyap. Abg datang kat aku dia pujuk aku. Aku tetiba jadi sedih sangat. Peluk, nangis kat dia. Gelak. Senyap. Tapi pisau still ada. Abg give up dia pun keluar dari dapur. Time tu aku macam tak betul dah. Gelak, nangis, senyap, jerit. Then senyap terus. Mak datang nak pujuk. Dia pegang je aku, aku jatuh longlai. Apalagi mengelabah orang tua tu berlari panggil orang suruh angkat aku keluar. Katanya aku pengsan. Pisau pun dah terlepas.

Bawak je keluar dorang baringkan aku. Aku dengar suara suami aku suruh ambik biji lada hitam. Sebelum tu aku dengar suara kakak aku yang tak kisah tu cakap mata aku terkelip2 macam nak bukak. Suami aku letak je biji lada hitam tu, terus aku jerit sebab rasa macam sakit gila. Haaa terus dorang confirmkan yang aku kena rasuk. (konon buatan ex-scandal tu). Dengarlah suara kawan suami aku baca ayat2 al-quran. dengar suara suami aku suruh abg aku pegang tangan aku. Pintu pagar dah kunci takut aku berlari keluar. Aku merayu2 menangis cakap kat abg aku suruh lepaskan tangan aku. Sakit. Merintih je aku. Suami tak bagi lepas,katanya tu bukan aku. Jangan percaya. Berapa orang juga yang pegang aku. Sebab aku meronta2.

Sejak kejadian tu, aku sering dibawa berubat dengan family aku. Perasaan taknak kahwin tu still ada. Bomoh, ustaz, raden, dukun, semua aku dah lali. Aku jadi marah bila suruh aku bawak pi berubat. Aku fedup. Masa aku kat rumah kakak aku kat 1 tempat di Utara, (saja balik sana). Suami aku pancing aku nak ajak pergi makan. Aku pun ok je lah. (waktu malam ni) Tetiba macam jauh sangat dia bawak aku ni. (kawan lelaki dia pun ada). Pastu dia masuk 1 perkarangan rumah orang. Terus aku jadi marah. Nak buat datang sini! Kata nak pergi makan! Dorang senyap je. 5 minit pujuk suruh aku keluar kereta. Akhirnya aku mengalah.

Masuk je dalam rumah, sorang2 aku tengok. Aku jadi marah. Aku duduk bersila sambil tengok ada sorang dukun tengah berubat kaki orang sakit. Habis orang tu tetiba dia panggil aku. Aku dah apahal ni. Secara tak langsung dia dah ‘scan’ aku. So bermula lah lagi adegan ‘berlawan’ dengan dukun tu.

Hari kedua aku di paksa lagi berubat dengan dukun tu. Masa tengah duduk tu aku macam terperasan gelisah dan terus terpandang ada sorang pakcik (kawan dukun) ni tengah tenung aku. Nampak tangan dia tengah ‘scan’ aku dari jauh. Automatic aku jelling je dia. Hari kedua lagi dahsyat. 2 orang ‘berlawan’ dengan aku. Aku bersilat, jadi harimau, paling best jadi ular. Ular? Yes ular. Aku terbaring, lengok badan aku beralun macam ular, tangan aku buat gaya ular tengah menjalar, dan aku mengeluarkan bunyi ular. Hari tu hari aku rasa paling kuat sekali. Beradu tenaga dengan ‘benda’ tu. Tapi takda hasil pun.

Berubat aku diteruskan sampai dah kahwin pun. Terpaksa kahwin sebab dah letih nak layan dorang. Dan aku cuba untuk sayang suami aku ni. Lepas je akad nikah tu timbul rasa sayang sikit demi sikit. Lepas 5 bulan rasa timbul nak ada zuriat sendiri. Pergilah berurut kat ada 1 kakak kat kampung mak. Dia suruh meniarap dulu. Dia pegang je belakang kat pinggang aku tu terus dia cakap ‘kenapa badan panas ni?’ mak aku pun pelik dah. Dia cakap ni bukan panas biasa ni. Adalah dia bagi hint2. Aku pun tetiba teringat, lepas je kahwin, setiap malam mesti aku rasa macam badan panas berhaba. Suami aku 100% lah terasa jugak. Dia check dahi nak kata demam, tak demam. Kadang2 nak peluk dia pun dia macam tempis katanya panas…

Esok tu berubat pulak dengan kakak dan suami kakak tu. Satu2nya masa berubat, aku (benda) tu bercakap. Aku jadi nenek kebayan. ‘benda’ tu cakap yang dia suka aku sebab aku cantik. Kakak tu cakap lah dia ada suami. Tetiba melenting pulak nenek kebayan tu. Dia cakap dia tahu. Dia tak suka suami aku. Dan dia taknak kami ada anak! Masa tu pun aku dan mengalir air mata. Bila ditanya siapa hantar? Nenek tu takde siapa hantar. Tapi dia gelak. (menipu kot). Tapi masa tu aku terbayang muka ex-bf aku yang kaki pukul tu!

Lepas berubat, Alhamdulillah aku disahkan mengandung. Memang happy. Tapi sepanjang mengandung tu aku dengan suami jadi dingin gila. Asyik nak bergaduh je. Benda remeh pun jadi hal besar. Bila gaduh mesti cakap aku nak b***h anak yang dikandung ni. Sampai ada 1 tahap aku pukul2 perut aku ni. (Allahuakhbar!) Dengan stress kat tempat kerja hari2 ada masalah dengan aku dikatakan menipu masa interview cakap tak pregnant. Mana lah nak tahu pregnant. Bila delay period baru tahu pregnant lepas buat test. Sepanjang pregnant kerap mimpi bukan2. Mimpi dah bersalin, menyusukan anak, mimpi seram2. Dan aku selalu mengigau.

Kandungan nak masuk 8 bulan, mungkin dah ajal, bayi dalam kandungan tetiba meninggal. Tak bergerak. Doctor tak tahu punca. Dan assume terbelit tali pusat. Aku yakin 100% bukan terbelit. Sebab masa scan takde Nampak pun tali pusat tu terbelit. Elok je kat luar tu. Dan masa bersalin pun takde sangkut tali pusat pun kat leher bayi. Jadi meroyan kejap aku. Aku cakap baby hidup lagi ni. Tapi Alhamdulillah proses bersalin keluarkan baby sangat mudah. Tahan sakit berapa jam je. Sekali nafas je teran. Bersyukur sangat.

Ingatkan dah settled. Dalam pantang pun mimpi jugak. Aku mimpi ada seorang budak dalam 2 3 tahun tengah berdiri di belakang kubur siapa tak tahu, dalam gelap suram. Dia panggil suruh datang melawat. Nama dia JEDDAH. Ada lagi mimpi yang aku dah bersalin, tapi baby tu hidup cumanya, muka dia menakutkan, hujung mata tu macam naik ke tepi menakutkan. Gigi taring terkeluar. Tapi aku sedih dia cacat. Paling best sekali, kawan baik aku sendiri ada mimpi anak aku tu. Dalam mimpi tu dia bawak mak dia berubat. Dia Nampak anak aku baby lagi. Hidup! Dia sempat main2 dengan anak aku tu. Tetiba ada sorang makcik ni datang ambik anak aku dan masukkan dalam plastic warna hitam dan ikat bagi lemas takde udara.

Habis pantang 2 3 bulan, masa tengah tidur, tetiba aku tak tahu lah aku separuh sedar ke atau tengah bermimpi, aku ternampak ada pocong kat sudut dinding bilik sebelah bilik air. Muka pocong tu mengerikan dan muka dia lebih kurang macam muka ex-bf kaki pukul tu. Dan selepas tu aku berurut dan berubat lagi dengan kakak kat kampung tu. Sekali lagi nenek tu muncul. Kakak tu cakap nenek tu bawak banyak gila kain. Bila ditanya, kenapa bawak banyak kain ni. Katanya, dia nak masukkan semua anak2 aku dalam tu.

Dia suka anak aku. Dan dia kata dia yang makan anak aku yang meninggal tu. Dia nak buat main. Dia memang taknak bagi kitorang ada anak. Mengalir air mata aku. Ditanya lagi siapa yang hantar. Nenek tu cakap ada lah. Gelak2. Taknak bagitahu. Dan sekali lagi aku terbayang muka ex-bf aku kaki pukul tu! (allahuakhbar!) kakak tu Tanya satu persatu, ‘lelaki kan dia, putih2 kan? Muka macam cina2 kan?’ nenek tu gelak je. Aku sempat terpikir macam mana kakak tu boleh tahu macam mana rupanya ex-bf aku tu? Sampai sekarang aku diam je tak bagitahu sesiapa apa yg aku bayangkan tu.

Nak dijadikan cerita, genap setahun anak syurga aku pergi, sepatutnya tarikh tu due period tapi tak kunjung tiba jugak. Selepas seminggu lebih tak period baru lah aku buat test dan Alhamdulillah pregnant! Sebelum tu aku ada berurut dengan ada nenek bidan kat selayang, aku cerita apa yg aku lalui dia. Tak pasal2 dia cakap ‘setan tu semua! Setan!’ dia berurut sambil mulut kumat kamit. Kesnya sebab aku senggugut je. Doctor cakap rahim melipat. (berdasarkan ultrasound). Elok pergi berurut utk betulkan balik. Rezeki lepas urut tunggu next period tak period.

Dan Alhamdulillah pregnant kedua ni, jarang sangat2 masam muka dengan suami. Takde la asyik dingin pun. Berpikiran positif. Takda apa2 yang seram berlaku. Cuma awal2 tu terjadi macam kes pocong tu tapi aku Nampak ada banyak gila burung gagak terbang2 dalam bilik tu ttbe terus mcm meluru terbang ke aku. Apalagi menjerit lah aku ‘burung!’ laki aku terjaga. Aku pun mcm tersedar.

Kedua mimpi yang aku dah bersalin, anak tu dah macam setahun dua boleh berjalan, dan nama anak dalam mimpi tu sama sebijik dengan nama yang bakal aku letak nanti. Dan bila ditanya nama ayah siapa, sama dengan nama suami aku. Cerita kat mak aku. Mak aku dah tak tenteram. Dia ajak pergi berubat kat Pahang. Kawasan felda. Seminggu selepas tu mak ada bagi ‘minyak calit’ dalam tu ada beberapa biji lada hitam. Suruh calit kat belakang telinga, dan tapak kaki. Org tu katanya berubat utk minyak tu dari jauh. Cuma mak perlu siapkan barang2 je dan letak kat tempat tinggi. Org tu dari jauh buatkan minyak tu. Sbb masa pergi sana, tak bawak apa2 sebab tak tahu.

Selesai 8 bulan mengandung, 10 hari bersalin awal dari due date yang sepatutnya. Nama pun dah tetapkan sama macam dalam mimpi aku tu. Lepas beberapa bulan dah lupa baby dah berapa bulan masa tu, 5 bulan kalau tak salah. Suami kena tidur luar kat ruang tamu sebab dalam bilik atas katil, aku dgn baby. Masa tengah tidur, baby dalam buaian lagi nak bagi dia tidur lena baru angkat tidur atas katil. Tetiba sekali lagi masa antara sedar atau tak. Ataupun bermimpi, keadaan bilik masih sama. Ada buaian, baby tidur, tetiba masa nampak 1 bebola warna hitam sebesar kepala manusia, tapi berduri semua takda muka ke rambut ke apa tengah bergoyang2 datang ke arah aku. Betul2 sebelah buaian baby.

Makin lama makin meluru datang. Aku apa lagi menjerit lah ‘sayang!!’. Nak panggil suami. Then dengar suara suami menjerit ‘ALLAHUAKHBAR!’. Datang marah2 tanya kenapa ni. Terkejut lah. (dia tahu bini dia buat hal lagi). Marah2 tanya kenapa! Kenapa! Pergi ambik ambik sembahyang! Kita ni nangis2 bercampur marah sbb kena marah pun masuk toilet ambik air sembahyang. Suami terus tidur dalam bilik sekali. Baby tidur je dalam buaian.

Esok pagi aku Tarik mulut muncung 10inci bebel2 kenapa marah2 semalam bla bla bla. Dah cakap itu aku. Kalau jadi gitu, jangan tanya onthespot kenapa dan jangan marah. Sebab dia pernah cakap dulu masa kes pocong tu. Dia takut tu bukan aku. Mungkin ‘benda’ tu. Sekarang alhamdulillah baby pun dah 11 bulan. Dan takda benda2 mistik berlaku lagi. Cuma mimpi seram je kadang2. Tak selalu. Baru2 ni mimpi ular pulak sebab sebelum tu ada tengok video ular beranak. Hahaha. Sampai ke mimpi kauuuu.

Terima kasih sebab sudi baca cerita panjang lebar ni….

Miya Azamy

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 3]

1 thought on “#MiyaA. Kisah Seram Aku.”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.